Bunga Manggar

bunga manggar

Pantulan 64/14: Kemeriahan oleh Ahmad Said

Sajak Dato’ Dr. Zurinah Hassan, “Bunga Manggar”, Dewan Sastera, Disember 1993, muka surat 32 mengingatkanku pesanan pemimpin utama agar tidak disambut besar-besaran bila datang berkunjung mengendalikan tanggungjawab atau kewajipan. Tetapi, pada masa-masa yang berlalu, pesanan begitu terbukti tidak berkesan. Ia hanya jadi suatu syor kebiasaan bagi seseorang pemimpin utama pada masa permulaan di tampuk kuasa. Lama kelamaan pesanan itu tidak lagi berulang dan pemimpin itu berterusan diundang atau disambut meriah riuh seluruh daerah. Bukan tidak ada pesalahnya membiarkan fenomena itu berlanjutan. Kita tahu, para petugas bertungkus lumus berbulan-bulan membuat persiapan kerana ketua yang atasan tidak menganggap seruan demikian sebagai arahan yang wajib dipatuhi. Maka berterusanlah amalan membazirkan sumber yang sewajarnya boleh dijimatkan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu diberi keutamaan.

Bukankah malang, “kampung” dan rakyat yang daif itu harus “…kembali kepada kegelapan”? Sedangkan pemimpin bertanggungjawab membawa pembangunan dan kemakmuran selama mandatnya belum hilang. Melihat ada tempat lain berubah amalan, membateras sebarang keterlaluan, siapakah boleh mempastikan “bunga manggar” itu tidak lagi diarak dan tercacak sebagai perhiasan? Tanpa pencak silat, pulut kuning, perbarisan mengerlip-mengerlap, berkurangkah makna acara? Hambarkah majlis jika yang dilebihkan ialah curahan rahmat setara kepentingan rakyat. Pembaziran berbanding pemanfaatan sentiasa melorongkan pendekatan pilihan terbaik lagi berkekalan. Mereka yang tergolong dalam kategori atasan harus mengutamakan perealitian wawasan dan bukan sekadar warwaran mengabui tujuan. Bukankah itu yang lebih diperlui orang awam sebagai balasan setimpal menjadi alat pihak tertentu mendaki tinggi ke awan?

(ASKAT: Mengenang pengalaman , aku suka kalau arahan yang jelas baik diikuti dan dizahirkan tanpa bertangguh-tangguh lagi). Tinggalkanlah amalan yang membazir). — at Dewan Sastera, Disember 1993

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.