HAK CIPTA: UNTUNG RUGI SASTERAWAN MALAYSIA

HAK CIPTA: UNTUNG RUGI SASTERAWAN MALAYSIA

HAK CIPTA: UNTUNG RUGI SASTERAWAN MALAYSIA

.(rencana ini pernah disiarkan di Dewan Sastera) dikongsi di sini lanjutan dari Dialog Hakcipta di DBP 29.3.2024.dipengerusi oleh Datuk KP, Dr. Hazami Jhari

Barangkali saya melangkah kaki ke dunia penulisan dan penerbitan (pada akhir tahun enam puluhan) dengan persepsi yang salah atau telah diberi maklumat yang tidak tepat oleh penulis-penulis yang lebih awal. Saya beranggapan bahawa sebuah sajak atau cerpen yang saya tulis menjadi milik saya walaupun ia mungkin tersiar di akhbar seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu atau majalah Mastika, Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat (yang kebanyakannya tidak membayar).

Seorang penyair sudah tentu gembira bila sajaknya disiarkan di akhbar walaupun tidak ramai yang membaca atau melihatnya dan esoknya akhbar itu menjadi paper lama. Hanya jika beruntung sajak yang sama mungkin dikutip oleh mana-mana penyusun dan dimasukkan ke dalam antologi bersama yang kerap diterbitkan suatu ketika dahulu. Antologi puisi bersama merupakan koleksi puisi beberapa orang penyair memuatkan sajak-sajak yang biasanya telah terbit di pelbagai media. mempunyai tema tertentu ataupun tidak, bergantung kepada konsep buku yang disusun. Mereka akan menulis surat kepada penyair meminta izin. Dengan anggapan bahawa pengarang berhak atas karyanya maka dengan mudah penyair menandatanagni persetujuan.

Penyusun antologi ialah pengkaji dan sarjana seperti Ali Ahmad, Ahmad Kamal Abdullah

( Kemala), Dharmawijaya, Rahman Shaari dan A.Wahab Ali. Dengan cara itu terbitlah sejumlah antologi bersama misalnya Titian Zaman (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979), Bunga Gerimis (Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986) Himpunan Sajak (Dewan Bahasa dan Pustaka,1981-. Bintang Mengerdip (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984) , Malaysia dalam Puisi , (Dewan Bahasa dan Pustaka 1984), Di Penjuru Matamu (1975), Puisi Sepanjang Zaman,

( Dewan Bahasa dan Pustaka 1988). Lagu Kehidupan (Dbp.1982), Mustika Diri (Dbp1994), Lukisan Zaman (Marwilis Publisher 1991). Selain usaha para sarjana, terdapat juga pelbagai antologi yang diterbitkan oleh Persatuan-persatuan penulis di seluruh negara.

Kita juga dapat berbangga dengan antologi yang menggabungkan penyair-penyair di peringkat antarabangsa khasnya Nusantara. Antara lain ialah Puisi-puisi Nusantara. (Dewan Bahasa dan Pustaka 1981) disusun oleh Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Dengan terbitan antologi bersama ini, puisi-puisi Melayu juga dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui terjemahan seperti yang diusahakan oleh Muhammad Haji Salleh melalui buku The Pupeteer’s Wayang, (DBP, 2009) dan Emas Tempawan/Burnished Gold (DBP, 2006)

Penerbitan antologi puisi, cerpen dan drama ini merupakan sumbangan yang besar kepada perkembangan sastera Melayu. Kumpulan-kumpulan ini memberi manfaat khasnya untuk pembelajaran di sekolah dan kajian di institusi pengajian. Antologi seperti ini juga sangat besar peranannya dalam mendokumentasi perkembangan puisi tanahair. Misalnya kumpulan Puisi Sepanjang Zaman, susunan Dharmawijaya, memberi maklumat yang jelas tentang sejarah dan perkembangan penulisan puisi di Malaysia. Khalayak mendapat pengetahuan siapakah penyair-penyair penting dalam sejarah sastera tanahair. Kumpulan Mustika Diri pula mendokumentasi perkembangan penulis wanita Malaysia dalam pelbagai genre iaitu puisi, skrip drama, esei, cerpen. Penyair gembira kerana akan mendapat beberapa ratus atau puluhan rm dan sajak yang dikarang dengan susah payah itu akan menemui lebih ramai pembaca melalui antologi berkaitan.

Penerbitan antologi berjalan lancar tanpa banyak kerenah kerana penyair bebas untuk memberikan kebenaran. Dengan cara ini sebuah sajak boleh terbit di dua buah antologi atau lebih tanpa sebarang gangguan dari mana-mana penerbit. Seingat saya tiada kekecohan kerana kalau ada pun peraturan mengenai hakcipta, tidak ada pihak yang terlalu mengambil berat mungkin kerana sebuah sajak tidak mendatangkan rm yang banyak kepada mana-mana pihak.

Suasana ini sudah berubah. Tiba-tiba penyair mendapati bahawa sajaknya bukan miliknya seorang tetapi dimiliki bersama oleh penulis dan penerbit asal yang menerbitkan karyanya. Penulis mula diingatkan untuk menyemak kembali tentang peraturan hakcipta. Ada dua perkara penting yang ditangkapi.

1- Hak cipta sebuah karya dimiliki bersama oleh pengarang dan penerbit . Pegangan ini berkuatkuasa dari saat buku diterbitkan sehingga 50 tahun selepas pengarang meninggal dunia. Ini adalah berdasarkan akta yang termaktub dalam konvensyen Bernes 1886.

2- Adalah menjadi kesalahan meniru atau menerbitkan kembali sesebuah karya orang lain khasnya yang telah dikbukukan atau diterbitkan oleh sesebuah penerbitan.

Sejak bilakah perkara hakcipta ini ditegaskan ? Seingat saya perkara hakcipta ini sangat diambil berat dan ditegaskan dengan munculnya KOMSAS atau Komponan Sastera dalam Bahasa Melayu yang diajar di sekolah-sekolah pada tahun 2000. Terasa seperti ada gerakan penguatkuasaan selepas tarikh tersebut. Penerbitan antologi bersama seolah-olah terhenti. Kalau ada pun usaha menyusun antologi, penyusun2 akan meminta penyair menghantar sajak-sajak kepada mereka dan sajak-sajak itu mestilah baru dan belum pernah disiarkan di mana-mana untuk mengelak sebarang masalah berbangkit ekoran hakcipta.

Lalu yang menonjol sekarang ialah antologi yang digunakan sebagai teks KOMSAS (komponen sastera) untuk kegunaan di sekolah-sekolah. terbitan Kementerian Pendidikan. Antologi KOMSAS memuatkan karya-karya yang dipilih oleh satu Panel pemilih. Karya-karya itu dikutip dari pelbagai buku atau penerbitan yang telah terbit di Malaysia. Menjelang munculnya KOMSAS riuhlah orang bercakap yang penulis akan menerima royalti yang banyak jika ada karyanya dipilih. KOMSAS terlaksana pada tahun 2000. Buat pertama kali penulis kreatif, yang karyanya terpilih dikatakan akan menerima royalti dalam jumlah yang belum pernah dinikmati oleh penulis lebih lebih lagi penulis puisi sebelum ini.

KOMSAS membawa harapan tetapi Penulis kemudian hampa bila pembayaran royalty tidak disampaikan terus kepada mereka tetapi kepada penerbit yang menerbitkan buku di mana karya itu diambil. Hal ini dilakukan kerana penerbit asal ditegaskan turut memegang hak cipta sesebuah karya dan kerana itu berhak menerima royalti.

Penulis tambah kecewa lagi kerana tidak disebut di mana-mana nisbah pembahagian antara penerbit dan penulis. Oleh itu setelah menerima wang dari Kementerian Pendidikan, Penerbit bebas untuk memberi mengikut suka hati mereka malah ada yang menganiaya penulis dengan membolot semua wang royalti.

Saya pun keliru. Dari pemahaman saya yang telah terlibat dalam antologi bersama selama ini, perkiraan royalti adalah berdasarkan jualan buku dan kemudian dibahagikan dengan jumlah karya yang ada dalam buku tersebut. Misalnya sebuah antologi berjudul Mawar Merah (hanya judul rekaan ) memuatkan 10 buah puisi. Royalti hasil jualan Mawar Merah ialah 100 ribu. 100 ribu ini dibahagi dengan 10 karya tentulah satu karya 10 ribu. Maka Kementerian Pendidikan akan menghantar kepada penerbit asal 10 ribu untuk sebuah puisi dalam Mawar Merah. Kalau Penerbit membahagi samarata dengan penulis, masing masing mendapat 5 ribu. Ini juga bererti semua penulis yang ada sebuah karya dalam Mawar Merah akan mendapat royalti yang sama. Tetapi ini tidak berlaku. Bila penulis yang ada karya dalam sebuah buku membandingkan pendapatan mereka, mereka dapati mereka tidak mendapat jumlah yang sama. Maka timbullah tandatanya dan curiga akan keikhlasan penerbit.

Inilah yang berlaku misalnya kepada Amaruzati Noor Rahim. Cerpen Amaruzati bertajuk “Tanggar Amanat” telah tersiar di sebuah akhbar pada 7 Disember 2003. Cerpen itu memenangi Hadiah Sastera akhbar tersebut lalu diantologikan. Dari antologi ini cerpen beliau telah dipilih untuk buku KOMSAS, Dirgahayu Bahasaku kegunaan Tingkatan 5, 2010-2015. Bila sampai waktunya, pembayaran royalti pun dihantar oleh Kementeria Pendidikan kepada syarikat tersebut. Mengikut Amaruszati dia hanya menerima royalti setelah berkali-kali menghubungi syarikat itu setelah mengetahui kawan-kawan yang lain telah menerima royalti mereka. Jumlah yang diterima, oleh Amaruzati ialah Rm 2ribu. Ini sangat mengecewakan kerana kawan-kawan lain mendapat jauh lebih banyak. Kata Amaruszati ini jauh berbeza daripada Siti Hajar Mohamad Zaki yang mendapat royalti hampir 20ribu dari cerpen yang tersiar dalam antologi yang digunakan sebelum Dirhagahayu Bahasaku. Walaupun royalti Siti Hajar adalah dari buku yang berlainan namun Amaruzati tidak menyangka ianya akan jauh berbeza, memandangkan kedua buku tersebut sama-sama dijual untuk KOMSAS.

Penulis prolifik Aminah Mokhtar juga menghadapi keadaan yang lebih buruk lagi kerana menurutnya sehingga sekarang dia tidak pernah mendapat satu sen pun habuan royalti dari karya-karya yang dimuatkan dalam antologi Kementerian Pendidikan itu. Puisinya “Sesekali Pesakitku”. Disiarkan dalam antologi Anak Global, 2010 untuk Tingkatan 4 dan 5.Sementara itu dua karya lagi dipilih pada 2016 iaitu puisi “ Kolek Bonda”. yang termuat dalam antologi untuk Tingkatan 4 dan 5. Cerpennya Gerhana Manusia juga dihimpunkan dalam antologi Langit Gemilang untuk Tingkatan 4 dan 5 masih belum mendapat apa-apa bayaran. Di samping mereka Abdul Hadi Yusof juga mengadu menghadapi nasib yang sama.

Penulis terpaksa menerima kenyataan bahawa mereka berkongsi royalti dengan penerbit yang lebih awal menyiarkan karya mereka. Tetapi mereka berpendapat alangkah baiknya jika Kementerian Pendidikan menghantar royalti kepada penulis dan penerbit secara berasingan. Jika terlalu sukar berbuat demikian, tidak bolehkah Kementerian menetapkan pembahagian antara penerbit dan penulis, seelok-eloknya samarata 50-50. Cara pembahagian ini juga anih. Misalnya sajak saya Mahsuri diambil dari buku yang diterbitkan oleh sebuah penerbit. Saya namakannya di sini Penerbit Kedua. Royalti diberi kepada Penerbit Kedua dan Penerbit Kedua mahu memberi kepada saya 12 peratus dari royalti yang diterima daripada Kementerian Pendidikan. Apakah hak mereka untuk membolot 88 peratus? Langkah Kementerian ini dianggap anih kerana sebelum itu sajak Mahsuri sudah terbit dalam antologi perseorangan saya Pujangga Tidak Bernama, terbitan Dewan Bahasa. Bagaimana pula kedudukan Penerbit Kedua yang mengambil daripada Dewan Bahasa tanpa kebenaran dan apa-apa bayaran.

Dengan adanya KOMSAS tiba-tiba semua pihak terlalu tegas mengenai peraturan hakcipta. Penyair yang berhasrat menerbitkan sajak-sajaknya dalam kumpulan perseorangan telah diminta mengemukakan surat izin terbit dari pelbagai akhbar dan majalah di mana sajak-sajaknya telah disiarkan buat pertama kali. Ini mendatangkan kesukaran andainya ada sajak yang terbit 30 tahun yang lalu dan dilupai tarikhnya. Ada pula akhbar yang tidak memberi jawapan walaupun disertakan sampul surat berstem. Inilah yang dialami oleh Aladin Mohamad seorang penyair veteran yang gigih dari Melaka. Penerbitan antologinya tergendala oleh syarat-syarat yang demikian. Mohamad Helmi Ahmad juga merasa hairan mengapa seorang kawannya diwajibkan untuk meminta kebenaran dari majalah padahal majalah itu diterbitkan sendiri oleh penerbit yang sedang menerbitkan kumpulannya. Mereka tertanya-tanya bagaimana kalau akhbar itu tidak memberi persetsejuan?. Jika akhbar tidak berhak, mengapa mengenakan syarat yang menyukarkan itu.

Perkara seterusnya ialah berkaitan pegangan hak cipta. Hakcipta dipegang bersama oleh pengarang dan penerbit untuk tempoh selama mana karya itu diterbit dan lima puluh tahun setelah penulis meninggal dunia. Klausa yang termaktub dalam konvension hakcipta Berne 1886 itu diapplikasi oleh penerbit terbesar iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Klausa ini telah menguntungkan seniman di dunia hiburan. Kabarnya karya-karya senikata lagu ciptaanAllahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan . Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada bidang penulisan?. Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat mendatangkan lebih banyak kesusahan dan kesukaran berbanding keuntungan.

Apakah rasional penerbit turut memegang hakcipta dan turut berhak atas royalti? Sebab yang diberikan ialah supaya jika ada mana-mana pihak melakukan kesalahan seperti menerbitkan kembali hasil karya penulis, maka penerbit boleh bertindak untuk membela penulis, kononnya sebagai badan yang lebih besar mereka akan lebih kuat untuk bertindak sedangkan penulis sebagai individu dianggap lebih lemah untuk bertindak sendirian.

Ini mengembalikan kita kepada klausa seterusnya, iaitu sebuah karya tidak boleh ditiru dan diterbitkan semula tanpa izin pemegang hakcipta. Akta ini dengan jelas melindungi hak pengarang. Tetapi sejauh mana pengarang boleh menuntut haknya. Sebelum mendapat pembelaan sudah tentulah pengarang menanggung beban membuktikan bahawa karya tersebut benar-benar karangannya yang asli. Adakah ini mudah dilakukan. Cuba lihat kes yang pernah berlaku.

Seorang penulis, Elias Idris (64 tahun) menonton Astro Ria. Sebuah filem berjudul Bohsia, terbitan syarikat Yusof Haslam iaitu Skop Production sedang ditayangkan. Elias terkejut kerana mengikut beliau seluruh cerita dan jalan cerita begitu banyak persamaan dengan novelnya Aku Bohsia.

Elias yakin filem itu disalin daripada ceritanya sendiri. Beliau cuba menemui Yusuf Haslam tetapi tidak dilayani. Langkah seterusnya ialah menyaman Skop Production menamakan Shamsul Yusuf sebaga defendan pertama. Elias nekad untuk melalui pelbagai kerumitan, mengorbankan masa dan wang yang tidak sedikit untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Segalanya berakhir dengan kekecewaan. Elias kalah dan menanggung kerugian. Skop Production kemudian mengenakan saman fitnah terhadap Elias. Skop menang dan Elias diperintahkan membayar rm 100k kepada Yusof Haslam

Pihak Skop Production menafikan sebarang peniruan dan mengaku semuanya adalah idea asal panel skrip mereka sendiri. Adakah Skop Production telah membuat penipuan? Allah sahaja yang tahu perkara sebenar. Kes ini diperturunkan di sini untuk menunjukkan adalah tidak mudah bagi seorang pengarang membuktikan bahawa sesebuah karya itu adalah karya beliau yang asal. Pihak yang didakwa nampaknya tidak sukar untuk menafikan dan mengatakan bahawa segala persamaan adalah kebetulan

Seperkara lagi, jika benar pengarang dan penerbit adalah pemegang hakcipta bersama sebuah karya, tidak terdengar pula pembabitan penerbit buku dalam kes Aku Bohsia ini.

Satu lagi kes yang ada kaitan ialah kes novel Hartini karya Aziz Afkar. Pengarang dan penerbit telah memfail saman terhadap syarikat Erma Fatima yang mengadaptasi novel Hartini tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu. Mengikut balu Aziz Aftar Puan Kamariah Awang saman bersama penerbit dan pengarang itu telah ditolak oleh mahkamah kerana mahkamah berpandangan yang menanggung kerugian dari segi kewangan ialah penerbit. Aziz tidak mengeluarkan modal. Jadi walaupun memerah otak dia tidak rugi. Saman dimenangi oleh Creative Enterprise dan mahkamah memerintahkan Erma membayar kepada creative enterprise sejumlah wang ( Dan mengikut balu pengarang, penerbit tidak memberi apa2 kepada mereka). Tetapi yang menjadi persoalan, mengapa pengarang diketepikan kalau dia sama-sama memiliki hakcipta ke atas karyanya.

Kes Hartini membawa kita ke senario seterusnya, iaitu yang bersabit dengan adaptasi karya sastera khasnya novel ke filem dan drama. Pembikinan filem berdasarkan novel atau adaptasi telah berlaku sejak dulu termasuk oleh penerbit gergasi di Hollywood. Senarai novel yang difilemkan terlalu panjang untuk disebut, termasuklah karya-karya sastera klasik seperti Jane Eyre (Charlotte Bronte) Wuthering Heights (Emile Bronte), A Farewell to Arms (Ernest Hemingway) dan karya besar yang meruntun perasaan seperti The Good Earth karya Pearl S.Buck. Di sini kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan siri filem yang bertolak dari novel Hamka misalnya Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck

Perbezaannya, hakikat bahawa filem itu didasarkan kepada novel akan diperbesarkan. Bahkan ia akan melariskan filem dan juga novel tersebut. Oleh itu penulis novel dan pembuat filem sering bersedia untuk bekerja sama. Tetapi mengapakah hal seperti ini belum terjadi di Malaysia. Bahkan ada percubaan untuk membuatnya secara “curi-curi”. Hak penulis diketepikan seperti yang laku kepada Hartini. Perkara ini juga menghairankan seorang yang meminati novel dan juga drama terbitan Erma Fatima. Beliau menulis dengan penuh emosi di blognya hartiniomar. blogspot. Beliau mengeluh alangkah baiknya kalau Erma Fatima memohon keizinan untuk mengadaptasi novel Hartini. Alangkah baiknya jika Erma Fatima bekerjasama dengan Aziz Afkar dalam melukis watak, membentuk dialog dan membina suasana. Dia percaya dengan cara demikian, drama dan novel itu akan bertambah popular, tidak disekat penyiarannya dan beliau akan dapat menontonnya lagi dan lagi.

Senario yang dibentangkan di atas memperlihatkan bahawa terdapat bahagian-bahagian dalam Akta Hak Cipta yang masih mengelirukan penulis. Jika penulis dan penerbit dikatakan pemegang bersama hak cipta mengapakah Aziz Afkar diketepikan dalam kes saman Hartini. Kesukaran untuk membuktikan adanya plagiat terhadap karya asal seperti dalam kes novel Aku Bohsia juga menunjukkan akta ini masih sukar untuk melindungi hak penulis. Di samping itu Akta Hakcipta di bawah Convention Berne menyukarkan penerbitan antologi bersama malah antologi perseorangan yang menyebabkan banyak sajak tidak dapat diterbitkan kembali. Di Malaysia Akta ini telah meletakkan penulis dalam keadaan mudah dianiayai bila penerbit asal diberikan hak untuk membahagikan royalti mengikut perkiraan mereka sendiri seperti yang berlaku dalam kes KOMSAS. Hal yang berlaku bukanlah disebabkan kelemahan Hakcipta tetapi kerana penerbit asal yang tidak jujur. Perkara ini sepatutnya diambil berat oleh Kementerian Pendidikan. Kementerian itu sewajarnya menyampaikan royalti bahagian penulis terus kepada mereka. Segala yang berlaku juga membuktikan bahawa klausa dalam Akta Hakcipta mengikut Konvensyen Bernes yang memperuntukkan pegangan bersama oleh Pengarang dan Penerbit sehingga selepas 50 tahun kematian pengaran, masih belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di Malaysia.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.