BAHASA DALAM PANTUN DAN PANDUAN MENULIS PANTUN

PENGENALAN
Pantun adalah warisan bangsa yang dikagumi di
seluruh dunia dan diiktiraf sebagai karya sastera yang unik dan bermutu.
Sebagai sastera rakyat, ribuan pantun yang diwarisi adalah khazanah bernilai
yang  tidak diketahui penciptanya.
Boleh
dikatakan Pantun adalah bentuk puisi warisan yang paling popular  dan hidup subur pada masa ini mengatasi  syair, seloka, nazam dan gurindam.  Pantun tersebar luas melalui pelbagai media
seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara
kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di
peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan.  Pantun bukan sahaja disiarkan dalam
majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam
majalah-majalah jenaka dan komik seperti 
Ujang dan Din Lawak.
Pantun bukan saja menjadi lirik lagu Melayu Asli malah lagu Rock. Lagu rakyat.
Dewasa ini Pantun juga
berkembang di internet. melalui beberapa laman web khas. Di facebook ada
pelbagai page yang tertumpu kepada pantun seperti Pantun Nusantara, Puisi dan
Pantun, Pantun Minang dll di mana ahli boleh menghantar pantun setiap masa
GAYA
BAHASA DALAM PANTUN DAN PANDUAN MENULIS PANTUN YANG BAIK
Pantun
ialah karya sastera yang sudah tentu menggunakan bahasa yang indah. Sebagai karya
kreatif, pantun memiliki komponen penting iaitu pemikiran dan perasaan (emosi).
Pemikiran merangkumi pandangan hidup, nasihat, pedoman dan falsafah manakala perasaan
merangkumi rasa sedih, suka, bahagia, kagum, sayu dan bermacam-macam lagi.
Sebagaimana
hasil sastera Melayu yang lain, Perasaan dan Pemikiran itu tidak dicurahkan
dengan berterus terang tetapi dengan menggunakan perlambangan yang sebahagian
besarnya terdiri daripada unsur unsur alam. Penggunaan unsur alam ini pula
menambah keindahan atau estetika sesebuah pantun.
Menggunakan alam
sebagai perlambangan bermaksud menyamakan sesuatu dengan alam. Kata ‘pantun’
itu sendiri adalah dari kata “sepantun” iaitu 
menyamakan atau mengumpamakan seperti terlihat di dalam baris pantun:
“kami sepantun telur itik, kasihan ayam maka menjadi”.
Karya sastera mengemukakan Pemikiran melalui
sentuhan emosi atau deria. Karya sastera yang bermutu adalah jalinan yang
harmonis di antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang
disampaikan.Unsur alam memberikan kesan audio,dan
kesan visual.  Dan kedua ini berpadu menyampaikan makna
pantun.
Kesan
audio atau kesan bunyi didapati dari cara penyair menyusun kata-kata dengan
menggunakan unsur-unsur rima (rima akhir, rima awalan, dalaman) , asonansi dan
aliterasi, ulangan perkataan , bilangan sukukata pada setiap baris dan bilangan
baris pada setiap rangkap.Ia juga dihasilkan oleh imej-imej yang digunakan.
Metafora
Dalam Pantun
Gaya bahasa dalam pantun yang dominan ialah penggunaan  Metafora, Simile,  Personifikasi dan Hiperbola, Metafora berlaku
apabila perkataan-perkataan yang digunakan mempunyai makna yang menyimpang dari
maknanya yang asal atau makna yang literal. Ini bererti telah terdapat pemindahan atau penyimpangan makna
di dalam kata-kata. Ia tidak lagi dapat dirujuk secara literal . Contoh:
Buah langsat kuning
mencelah,
    Keduduk tidak berbunga
lagi;
Sudah dapat gading
bertuah,
    Tanduk tidak berguna lagi.
Ungkapan gading bertuah
di baris ke tiga adalah sebuah metafora kerana ia digunakan untuk membawa makna
yang lain iaitu sesuatu yang mahal dan dihargai. Pantun ini lebih digunakan
bagi seseorang yang digantikan dengan lain. Pemantun mengharapkan agar dia
dapat dihargai dan tidak dilupakan begitu saja dengan kehadiran orang baru.
Simile ialah menyamakan atau
mengumpamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Perkataan bagai, umpama,
seperti, sepantun digunakan dalam perbandingan tersebut. Contoh Simile:
Berburu ke padang datar
     Dapat rusa
berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
     Bagai
bunga kembang tak jadi
Cahaya redup menyegar padi
    Ayam berkokok
mengirai tuah
Jika hidup tidak berbudi
      Umpama
pokok tidak berbuah.
Selasih
di Teluk Dalam
      Datang kapas Lubuk Tempurung
Saya
umpama di burung balam
      Mata terlepas badan terkurung
Pantun
juga menggunakan hiperbola bagi menyatakan perasaan secara berlebih-lebihan.
Contoh Hiperbola
Buah
jering di atas para
    Diambil budak sambil berlari
Keringlah laut Selat  Melaka
    Barulah dinda mungkirkan janji
 “Keringlah laut Selat Melaka” adalah hiperbola
kerana tidak mungkin laut akan kering airnya.
Personofikasi
berlaku bila sesuatu objek diberikan perasaan atau  perlakuan seperti manusia. Contoh
Personifikasi:
Bacang
masak mempelam manis
     makanan anak bidadari
bintang teresak, bulan menangis
     hendak bertemu si matahari.
Di
dalam pantun di atas bintang dan bulan diberikan perlakuan manusia iaitu
teresak dan menangis
BEBERAPA PANDUAN MENULIS PANTUN YANG BAIK.
1    Sebuah
pantun yang baik mestilah menepati ciri-ciri pantun iaitu mempunyai pembayang
dan maksud, berima abab, mengandungi antara 8 hingga 12 sukukata pada satu
baris. Ia tidak hanya mempunyai rima akhir yang tepat tetapi juga rima tengah
dan rima awal.
2     Pantun
yang indah menggunakan alam sebagai pembayang. Penulis pantun perlulah
mempunyai pengetahuan tentang sesuatu unsur alam yang digunakan agar ia dapat
digunakan secara yang betul. Adakalanya seorang penulis  tidak arif tentang unsur alam yang digunakan sehingga
menyebabkan gambaran yang tidak logik, tidak jelas malah tidak ketentuan
maknanya. Contoh:
Dahan
bemban senang dipaut
            Pangkal kayunya dibuat ulu
            Jangan berkata sesedap mulut
            Sebelum
kata fikir dahulu.  
            Pembayang
yang digunakan menunjukkan bahawa penulis tidak arif tentang        jenis pohon yang digunakan. Bemban bukan
pokok kayu keras yang berdahan dan
beranting yang dapat dipaut. Batang Bemban lembut tidak Berdahan dan tidak boleh   dibuat ulu. Kulit bemban digunakan untuk dibuat tali.
            Awan mendung berarak melata
            Guruh
berbunyi bersahut-sahutan
            Kawan
yang baik umpama pelita
            Menyuluh
diri dalam kegelapan.
 Baris
pertama ‘Awan mendung berarak melata’ memberi gambaran yang tidak tepat.  Tidak sesuai awan dikatakan melata kerana
melata bererti merayap di bumi.
3      Baris-baris
Pembayang berfungsi untuk membayangkan apa yang akan terjadi pada baris-baris
maksud. Sebuah pantun yang baik mestilah mempunyai suasana yang sama di dalam
pembayang dan maksud.  Jika maksud
gembira maka pembayang juga sepatutnya menggembirakan .
Contoh:
Kusangka nanas di tengah padang
    Rupanya pandan yang berduri
Kusangka panas hingga ke petang
    Rupanya hujan di tengah hari.
Di sini terdapat  Pembayang
yang baik tidak  lari dari makna dan
suasana dalam maksud. Suasana dan makna dalam pembayang adalah sama dengan maksud
iaitu harapan yang kecewa.. Apa yang disangka tidak menjadi kenyataan. Yang
diharap ialah nanas yang boleh dimakan, rupanya bukan, Ia hanya pokok pandan
yang seperti nanas tapi tiada buahnya.
Lihat pula bercanggahnya dua baris pembayang
dengan dua baris maksud dalam pantun berikut:
Pokok tumbang dipanah petir
Patah menimpa pokok keranji
Jangan abang merasa khuatir
Adik tidak mungkir janji
Maksud yang hendak disampaikan ialah supaya bertenang
dan jangan bimbang, sedangkan di dalam pembayang terdapat kelapa yang tumbang
dan patah akibat dipanah petir.
4    Sebaik-baiknya
pantun tidak menggunakan nama orang kecuali 
tokoh yang dikenali masyarakat seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja
atau nama-nama am seperti datuk Penglima, Laksamana, Raja Muda dan  sebagainya. Ada juga pengarang pantun yang
menulis menggunakan nama orang Ini  dianggap sebagai mengambil jalan mudah untuk
mendapatkan rima..
           
            Kalau pergi ke kedai pak Ali
            Pergi Bersama Encik Husna
            Emas intan tidak terbeli

            Kerana saya miskin dan hina

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.