Rencana fokus Dewan Sastera Oktober 2011

bahasa jiwa bangsa

BAHASA FIGURATIF PEMANIS BICARA
Oleh: Zurinah Hassan
Dalam usaha menulis rencana ini saya teringat satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok (arahan P.Ramlee, 1961) . Adegan itu ialah ketika Ramlee, Sudin dan Aziz pergi ke studio Jalan Ampas untuk meminta kerja sebagai pelakon filem. Sudin mendekati Pengawal Keselamatan (Jaga) yang bertugas, memanggilnya ”hoi, hoi” untuk bertanya sesuatu. Jaga (seorang Singh) tidak menjawab tetapi kemudian merungut ”Nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tak ada”. Mereka merasa malu dan Ramlee berkata ”Betul kata Singh itu, bahasa menunjukkan bangsa tau”.
Walaupun dialog ini dituturkan di dalam filem komedi, ia sebenarnya mempunyai makna dan implikasi yang penting. Dialog ”nama saja Melayu, sedikit bahasa pun tidak ada” menunjukkan bahawa si Jaga sangat terkejut dengan perangai Sudin yang tidak menunjukkan ciri-ciri keMelayuan kerana pada anggapannya (dan anggapan umum) orang Melayu biasanya bertutur dengan bahasa yang baik dan sopan.
Ramlee menjawab ”Bahasa menunjukkan Bangsa” . Apakah maksud kata-kata ini? Bahasa menunjukkan Bangsa menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat antara bahasa dan bangsa yang menuturkannya. Cara seseorang menggunakan bahasa mencerminkan pemikiran dan perilakunya. Cara seseorang memahami sesuatu perkataan juga bergantung kepada pengalaman bangsanya yang berlainan daripada bangsa-bangsa lain. Misalnya seorang Melayu memahami perkataan ’dunia’ tidak sama seperti dia memahami perkataan ’world’ . Bila menyebut ’dunia’ dia akan membayangkan dunia yang fana yang bertentangan dengan akhirat yang abadi. Tetapi bila menyebut world dia mungkin membayangkan pelbagai negara yang ada di dalam peta dunia.

Keindahan, kehalusan dan pemikiran Melayu terpancar di dalam bahasanya. Umumnya keindahan bahasa dapat dilihat di dalam penggunaan Bahasa Figuratif. Sesuatu ayat atau prasa di klasifikasikan sebagai figuratif apabila terdapat perkataan yang membawa makna lain daripada makna biasa yang telah diterima oleh massa atau makna yang berbeza daripada yang diberikan oleh Kamus. Bahasa figuratif d igolongkan sebagai bahasa kiasan.(Harun Mat Piah,1981:224) atau secara umum disebut juga sebagai bahasa berbunga.

Karya-karya sastera Melayu baik karya tradisional atau karya-karya moden memperlihatkan penggunaan Bahasa figuratif . Bahasa figuratif lebih diasosiakan dengan puisi baik puisi tradisional atau puisi moden. Penelitian terhadap penggunaan bahasa di dalam pelbagai jenis puisi Melayu seperti pantun, syair,seloka, gurindam, teromba, maupun peribahasa Melayu telah dapat menyerlahkan kekreatifan dan ketinggian pemikiran bangsa Melayu. Dengan menggunakan bahasa yang figuratif orang Melayu telah menyebarkan falsafah pemikiran dan ilmu pengetahuan,
Bahasa adalah wadah yang menampung fikiran yang dinyatakan di dalam karya sastera. Sebuah karya sastera terdiri dari ‘isi’ dan ‘bentuk’. Isi sebuah karya bermaksud mesej, tema, pemikiran, perasaan, ide dan gagasan yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Yang dimaksudkan dengan ‘bentuk’ ialah wadah atau perantaraan yang digunakan untuk menyampaikan isi. Perantaraan bagi penyair ialah bahasanya. Cara penyair menggunakan bahasa disebut sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa seorang penyair memperlihatkan identiti seorang penyair atau ciri yang membezakannya dari penyair-penyair lain.

Para sarjana mengakui hubungan yang rapat di antara bahasa dan karya sastera. Bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang khusus seperti pendapat Steiner (1972) “Sastera adalah bahasa, tetapi bahasa dalam keadaan penggunaan yang khusus” Boleh dirumuskan bahawa bahasa di dalam sastera digunakan dengan cara yang istimewa. Cici-ciri keistimewaan ini lebih terkesan lagi di dalam puisi. Penggunaa bahasa di dalam puisi lebih bertujuan untuk menyentuh emosi pembaca
a. Hal ini dikui oleh Bakar Hamid “Adalah menjadi anggapan umum bahawa ucapan puisi bertujuan untuk membangkitkan perasaan dan kerana itu dialamatkan kepada emosi dan imaginasi sedangkan ucapan prosa lebih bertujuan untuk menyampaikan berita dan lantaran itu ditujukan kepada intelek. Pada dasarnya dapatlah diterima bahawa puisi lebih mementingkan unsur-unsur emosi dan imaginasi dari prosa’ (A.Bakar Hamid 1966)
Dalam perkataan Terry Eagelton “Karya sastera itu memperkaya dan mengubah makna-makna yang diberikan oleh kamus” (Eagelton, 1988:112) Di dalam ayat figuratif terdapat penggunaan gaya bahasa seperti metafora, simile, personifikasi, hiperbola, sinekdoki, Pars pro toto- totem pro parte-metonimi atau diselitkan dengan simpulan bahasa.
• Metafora- menyebut sesuatu dengan maksud yang lain
• Simile- membandingkan sesuatu dengan yang lain.
• Personifikasi- memberi sifat-sifat manusia kepada objek-objek yang tidak bernyawa
• Hiperbola- menerangkan tentang sesuatu dengan cara yang berlebih-lebihan yang tidak logik jika pengertiannya diambil secara harfiah,
• Pars pro toto- menyebut sebahagian dengan maksud keseluruhan.
• Totem pro parte-menyebut keseluruhan dengan maksud sebahagian.
• Metonimi – menyebut sesuatu objek dengan maksud sesuatu yang lain, yang berkait rapat dengannya. Misal sasterawan itu sangat tajam penanya

Penelitian terhadap puisi Melayu tradisional termasuklah pantun, syair, seloka, gurindam, nazam. akan menyerlahkan penggunaan Bahasa Figuratif . Pada umumnya, pantun dan syair lebih terkenal dan sangat jelas dari segi ciri dan strukturnya. Manakala jenis-jenis yang lain lebih dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Secara ringkas :
• Gurindam : menyampaikan nasihat dan panduan,
• Nazam: menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w.,
• Teromba: menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat,
• Seloka : menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat.Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.
Selain puisi, penggunaan Bahasa Figuratif juga sinonim dengan Peribahasa. Peribahasa mencerminkan struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap, aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang dianuti. Peribahasa memancarkan hati budi orang Melayu, sikap dan perwatakan (Wilkinson, 1947) tentang alam dan kehidupan yang mereka tempuhi. Penggunaan peribahasa akan lebih memperindah gaya pengucapan dan menimbulkan daya tarikan.Ungkapan atau rangkaian perkataan yang telah tetap tersimpul atau terbuku dengan susunan yang khas dipakai dengan erti yang khas atau telah diterima oleh masyarakat.
Penulis ingin menyentuh salah satu cabang puisi tradisional iaitu seloka. Seloka tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.
Walaupun tidak diketahui siapa pengarangnya, namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam yang perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar sesebuah seloka.
Salah satu seloka ialah seloka Pak Pandir. Pak Pandir merupakan watak yang ditimpa malang, sama seperti nasib Lebai Malang, Pak Kaduk dan Mat Jenin Nasib malang itu adalah akibat dari kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Begitu juga seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain.
Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka ”Pandai Pak Pandir”
Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan

Pengucapan Seloka ini diperteguhkan dengan peribahasa dan ciri-ciri bahasa figuratif untuk menyampaikan kisah Pak Pandiri yang kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, mudah ditipu. Sifatnya yang mudah percaya kepada orang asing itu digambarkan melalui:Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang. Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang,Buntut kena cangkuk onak,dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung. Kehidupan yang tidak berhasil dikiaskan pula kepada rambutan jantan Orang berbunga dia berunga Orang berbuah dia haram.
Bahasa Puisi di Luar Puisi

Oleh kerana penggunaannya yang meluas di dalam puisi, maka bahasa figuratif sering dirujuk sebagai Bahasa Puisi. Namun adalah tidak tepat jika kita menganggap bahawa bahasa figuratif hanya terbatas di dalam puisi sahaja. Malah kita menggunakan bahasa figuratif di dalam percakapan seharian dan di dalam tulisan tulisan yang bukan puisi, misalnya berita dan rencana di dalam akhbar.
Justeru itu juga adalah tidak benar untuk menganggap bahawa Bahasa yang digunakan di dalam puisi adalah terlalu asing daripada bahasa yang digunakan sehari-hari.
Sebenarnya bagai penulis puisi saya sering diajak ber’gaduh’ oleh orang-orang yang secara terang terangan mengatakan mereka tidak suka puisi dan tidak suka penyair. Mereka bertanya apakah gunanya penyair menggunakan bahasa figurative seperti metafora yang kata mereka menyukarkan pemahaman. Kata mereka, “penyair tidak mengambil highway tetap jalan yang lebih panjang” Nah bukankah mereka juga menggunakan metafora?
Bahasa Figuratif dalam Percakapan seharian
Bahasa bahasa figuratif ini digunakan walaupun di dalam percakapan seharian. Adalah perkara biasa apabila seseorang berjumpa dengan kawan yang jarang-jarang ditemui untuk berkata “Kau ni ke mana tenggelam timbul, tenggelam timbul”. Ini adalah bahasa figuratif . Bila tidak kelihatan di samakan dengan keadaan tenggelam dan bila dia dapat ditemui keadaan timbul. Ini adalah bahasa figuratif kerana tidak mungkin orang yang kita maksudkan atau kawan itu hidup di dalam air.
Bahasa Figuratif dalam tulisan kewartawanan
Penulisan kewartawanan juga memerlukan bahasa figuratif. Pada umumnya penulisan di dalam media massa yang sasarannya adalah masyarakat umum dari semua lapisan dan latarbelakang pendidikan. Ia berbeza dari jurnal akademik atau majalah-majalah sastera (umpamanya Dewan Sastera) yang mempunyai audien tertentu iaitu golongan akademik dan penulis dan peminat sastera yang khusus.
Adalah perkara biasa menemui ungkapan yang berupa metafora dan ciri-ciri bahasa figuratif yang lain di dalam akhbar. Ini membuktikan bahawa bahasa figuratif sentiasa diperlukan untuk menyampaikan maksud dengan lebih berkesan. Bahkan boleh dikatakan bahawa akhbar memainkan peranan di dalam mencipta dan memperluaskan penggunaan bahasa figuratif. Pada masa ini muncul metafora baru seperti pengundi hantu, banjir kilat, syarikat gergasi, perhimpunan raksasa, akar umbi dan lompat parti.
Ayat-ayat yang biasa ditemui ialah seperti “Kuala Lumpur dilanda banjir kilat”. Di dalam ayat ini banjir merujuk kepada keadaan banjir biasa tetapi kilat tidak bermaksud kilat yang menyabung di langit tetapi merujuk kepada kecepatan banjir itu berlaku. Terjumpa juga tajuk berita “Aceh bermandi darah” sebagai tajuk berita tentang kekacauan di Aceh. Frasa ini adalah hiperbola kerana tidak mungkin seluruh Aceh dilumuri atau dimandikan dengan darah. Terbaca juga kenyataan “Negara Islam bercakaran sesama sendiri” yang merupakan penggunaan personifikasi. Objek yang tidak bernyawa iaitu negara digambarkan melakukan perbuatan sebagai objek bernyawa iaitu bercakaran.Dalam bahasa tidak figuratif ia berbunyi negara Islam bersengketa sesama sendiri. Frasa lain ialah seperti ‘pertemuan empat mata’ untuk menyatakan perbincangan biasanya di antara Ketua Negara yang diadakan secara tertutup. Ini adalah penggunaan pars pro toto, iaitu menyebut sebahagian (empat mata) dengan maksud keseluruhan orang-orang yang terbabit.
Di bawah ialah contoh-contoh yang dapat dikutip dari akhbar:
1- ‘Azizulhasni dihantui kecederaan lutut’ (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Ayat di atas adalah tajuk kepada berita tentang seorang pelumba basikal yang bimbang tidak dapat mengambil bahagian di sukan Olimpik kerana lututnya cedera ketika menjalani latihan di Sepanyol. Perkataan dihantui adalah metafora untuk menggantikan perkataan takut dan bimbang. Hantu ialah sesuatu yang ditakuti. Ia mempunyai hubungan dengan ketakutan yang dirasai oleh Azizulhasni.
2- ‘ICC berat sebelah kata Liga Arab’. (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk berita ini menerangkan resolusi yang dikeluarkan oleh Negara-negara Arab yang mengkirtik Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang tidak bersikap adil. Ungkapan ‘berat sebelah’ ialah peribahasa yang bermaksud tidak bersikap adil dan saksama
3- Eto dapat lampu hijau (Utusan Malaysia, 21 Julai 2008)
Tajuk ini adalah mengenai pemain bola sepak Barcelona yang dibenarkan merundingkan perpindahannya dari kelab itu. Lampu hijau adalah objek yang dikaitkan dengan mendapat kelulusan atau kebenaran untuk berbuat sesuatu. Ia diistilahkan sebagai metonimi iaitu menyebut sesuatu objek untuk memperkatakan sesuatu yang lain yang ada kaitan dengannya.
4- Liverpool palit arang di muka MU ( Berita Minggu, 14 September 2008)
Tajuk berita ini menggambarkan keadaan pasukan bola sepak Manchester United yang telah dikalahkan oleh Liverpool. Penulis menggunakan simpulan bahasa “ palit arang di muka” bagi menguatkan maksud memberi malu.
5- Entah berapa ribu jam masa rakyat dihabiskan untuk bertekak dan berbalah mengenai hal dalam kain orang politik- (Mingguan Malaysia 13 Julai 2008
Ayat ini dipetik dari rencana mantan Mufti Perlis Dr.Mohd Azri Zainal Abidin yang memperkatakan tentang hal ehwal politik semasa khasnya pelbagai skandal yang dikaitkan dengan pemimpin politik. Hal dalam kain merujuk kepada pelbagai isu atau cerita yang bersifat peribadi

6- Hari ini Sukan Olimpik ke 29 menyingkap tirainya- ( Sinar Harian, 8 Ogos 2008).
Ayat ini memberi maklumat bahawa sukan olimpik 29 telah bermula.Permulaan itu digambarkan dengan ungkapan menyingkap tirai. Umum mengetahui bahawa tidak mungkin adanya tirai dalam upacara pembukaan olimpik. Ia adalah metonimi iaitu penyebutan sesuatu objek yang dikaitkan dengan sesuatu perkara.
7- MB Perak Hanya Boneka (Utusan Malaysia 21 Julai 2008),
Ayat di atas merupakan tajuk surat yang disiarkan dalam ruangan Forum.Penulis ini memberi pendapat bahawa Menteri Besar Perak tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, sebaliknya hanya mengikut arahan orang-orang tertentu.
8- England Kian Terdesak (Mingguan Malaysia 11 November 2007)
Petikan di atas adalah tajuk berita tentang skuad bola sepak England yang menghadapi masalah untuk menang. Di sini terdapat penggunaan Totem pro parte iaitu menyebut keseluruhan England dengan maksud pasokan bola sepaknya sahaja.
9- “Perdana Menteri berkata gabungan Pembangkang tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka” ( Utusan Malaysia 6 Disember 2010)
Di sini dilihat bagaimana Perdana Menteri telah menggunakan peribahasa dalam ucapannya
Sasterawan Melayu telah mencipta karya sastera dan menyatakan reaksi mereka terhadap kejadian di sekeliling dengan menggunakan pelbagai perlambangan dari objek alam. Hal ini menepati kehendak Islam kerana berkata dengan terus terang adalah sesuatu yang tidak menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah dijelaskan melalui ayat yang bermaksud “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)” (An-Nisa’:48)
Bahasa figuratif bukan sahaja terhad kepada puisi atau karya-karya sastera yang lain. Penggunaannya di dalam akhbar menunjukkan bahawa bahasa figuratif diperlukan oleh semua pihak untuk memberi kekuatan kepada kenyataan yang disampaikan. Penggunaan metafora, simile, personifikasi, dan sebagainya di dalam akhbar boleh dijadikan penunjuk atau indikator bahawa gaya bahasa figuratif adalah diterima dan diperlukan oleh masyarakat.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.