Hari ini aku ingin bercakap tentang KUALI HITAM . Ramai juga yang kenal sajak ini sebab sudah menjadi teks di sekolah untuk subjek kesusasteraan.
KUALI HITAM
Sebiji kuali hitam
di dapur rumah kelahiran
adalah teman ibuku
siang dan malam
Sebiji kuali hitam
terjerang di atas tungku
adalah penghibur ibu
ketika kami menunggu
Sebiji kuali hitam
di atas api siang dan malam
tahun demi tahun
kami tidak pernah menghitung
Seorang ibu yang menyayangi sebiji kuali
wring memeluk kami
pernahkah kami perhatikan
matanya yang ditikam serbuk arang
kulitnya yang dikoyak percikan minyak
lengannya yang diserap abu hitam
dahinya yang disengat pucuk api
kami hanya tahu lena kekenyangan
ketika tidur ibu diketuk-ketuk
oleh lelah dan batuk
setelah asap dan abu menggaru-garu
di paru-paru
Kami tidak pernah menyedari
dan ibu pun tidak peduli
dia hanya tahu merasa bahagia
melihat kami keriangan
menunggu sesuatu akan terhidang
dan tidak ada yang lebih membahagiakan
dari melihat kami kekenyangan
Begitulah tahun demi tahun
kuali yang setia menjalankan tugasnya
hingga kami dewasa dan hidup di kota
(2)
Kini di dapur rumahku yang bersih
tak ada kuali hitam yang hodoh
cuma pada kesempatan
yang tidak selalu sempat
aku memasak untuk anak-anak
dengan kuali non-stick
yang tebal dan mahal
dan sesudah itu membasuhnya
dengan sabun yang lembut
berhati-hati seperti memandikan bayi
mengikut arahan pada buku panduan
Suatu hari ibu ke rumahku
dengan kerajinannya yang biasa
memasak untuk kami sekeluarga
cucu-cucunya ternyata amat berselera
dan ibu merasa terlalu bahagia
Dan sesudah itu
dengan cara yang dia tahu
mengemas dan merapikan dapurku
dan seperti yang biasa dibuat
pada kualinya di kampung
dia menyental kualiku yang mahal
dengan berus yang kesat
dan spontan aku menjerit
“Ibu merosakkan kuali saga
tahukah ibu berapa harganya?”
Ibu terdiam
barangkali hatinya terguris
barangkali dia hampir menangis
melihat wajahku yang bengis
(3)
Dan kini
setelah ibu kembali kepada Ilahi
aku menyesali keterlanjuran
kiranya aku telah mengukur kasih sayang ibu
dengan harga sebiji kuali
Ibu telah tiada
kuali hitam tergantung sepi
di dinding dapur rumah tua
bolehkah kami menghitung
berapa harganya?
Sajak ini disuarakan melalui gambaran suatu objek iaitu kuali. Hal ini sering dilakukan oleh penyair. Misalnya T.Alias Taib pernah menulis tentang peti surat, iaitu objek yang dilihat di tepi jalan. Orang ramai mengepos surat melalui peti surat. Apa yang penting ialah surat-surat yang ada di dalamnya, dan di dalam surat-sura itu sudah tentu ada pelbagai kisah tentang kehidupan yang dilalui. Saya juga sering menulis puisi yang berfokus kepada sesuatu ala misalnya sajak Kuali Hitam. Yang mahu disampaikan tentulah bukan tentang kuali itu tetapi tentang kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu menjaga dan membesarkan anak-anaknya dan pentingnya bagi anak-anak menjaga hati ibubapa apabila mereka sudah tua.
Kisah di sebalik penciptaan Kuali Hitam. Beberapa belas tahun yang lalu, arwah ibu mertua saya datang ke rumah. Seperti biasa dia rajin menolong di dapur. Suatu hari suami terlihat dia menyental kuali non-stick saya dengan berus kasar. Dia menyental sungguh-sungguh mungkin kerana dilihatnya kuali itu berwarna hitam. Suami menunjukkan kepada saya apa yang sedang dibuat oleh emaknya. Suami nyaris-nyaris hendak menegur perbuatan ibunya. Mujurlah saya sempat menghalang beliau menegur atau merampas kuali itu daripada tangan ibunya.
Sebenarnya bila melihat ibunya membasuh kuali saya teringat kembali segala cerita suami saya tentang kehidupan masa kecilnya, terutama kesusahan ibunya membesarkan mereka. Serta merta saya merasa hiba, kalau suami saya berkata apa-apa sudah tentu akan menyebabkan ibunya berasa kecil hati. Pada saya biarlah kuali itu rosak kerana harganya tidak seberapa pun.Saya berkata kepada suami “Kalau kita biarkan kuali itu rosak semata-mata untuk menjaga hati emak, InsyaAllah kita akan mendapat ganjaran yang lebih dari harga kuali yang tidak sampai RM seratus itu. Apa yang saya suarakan itu sudah terbukti. Saya mendapat idea untuk menulis Kuali Hitam yang kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Perdana dan dipilih sebagai teks subjek kesusasteraan.
Melalui satu objek tidak bernyawa iaitu kuali kita boleh menceritakan tentang:
Kasih sayang dan kesusahan ibu dalam menjaga anak-anak.Anak-anak tidak begitu prihatin tentang kesusahan dan pengorbanan ibu. Mereka hanya tahu menanti makanan terhidang tanpa menyedari susah payah ibu seperti menghadap api yang panas, menyedut asap dan abu dapur yang menjejas pernafasan dan kesihatan, risiko terkena minyak panas. Tetapi ibu pun tidak pernah menghiraukan semua itu kerana kegembiraan baginya ialah bila anak dapat makan(kekenyangan) dan dapat tidur dengan selesa.
adalah teman ibuku
siang dan malam
Baris ini memberi pelbagai gambaran: kerajinan ibu, kasih sayang ibu, anak-anak sedang membesar dan kuat makan.Ibu jarang dapat berehat.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa pekerjaan ibu sebagai suri rumah juga mendedahkannya kepada pelbagai bahaya.
matanya yang ditikam serbuk arang
kulitnya yang dikoyak percikan minyak
lengannya yang diserap abu hitam
dahinya yang disengat pucuk api
kami hanya tahu lena kekenyangan
ketika tidur ibu diketuk-ketuk
oleh lelah dan batuk
setelah asap dan abu menggaru-garu
di paru-paru
Si anak yang marahkan ibunya kerana merosakkan kuali kemudian menyesal bila menyedari betapa besarnya pengorbanan ibu selama ini. Sayangnya ibu sudah pun kembali ke negeri yang abadi. Sajak ini ingin mengingatkan pembaca agar menjaga hati ibu selagi dia masih ada bersama kita. Ajal maut akan datang dan tidak dapat diduga waktunya. datangnya
Salam Puan.
Saya memilih puisi "Kuala Hitam" dan puisi "Ibuku" karya Usman Awang untuk tugasan Puisi Melayu Moden. Saya akan buat analisis kritis ke atas kedua dua karya ini. Tema IBU pastinya terasa dekat dalam diri.