UNSUR ALAM DALAM PANTUN MELAYU

 UNSUR ALAM  SEBAGAI KIAS IBARAT DALAM PANTUN NASIHAT
Zurinah Hassan
Pantun adalah warisan bangsa
Melayu yang dikagumi di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai karya sastera yang
unik dan bermutu.  Hasil sastera Melayu memperlihatkan pengaruh dari alam. Hal ini
lebih terkesan di dalam puisi  Di antara
pelbagai cabang puisi Melayu moden dan tradisional,  pantun adalah puisi yang paling dekat dan
paling akrab dengan alam. Makalah ini membicarakan penggunaan unsur alam dalam
pantun, khasnya Pantun Nasihat dengan penerapan Teori Pengkaedahan Melayu.  Unsur alam digunakan di dalam baris-bris yang
dikenali sebagai pembayang dan di dalam baris baris yang dikenali sebagai
maksud. Alam yang dimaksudkan ialah alam fizikal atau alam inderawi yang dapat
dilihat dengan mata, didengar dan dirasai. Ini termasuklah langit, bumi, awan,
bulan, bintang, gunung, sungai, matahari, embun, pohon-pohon tumbuh tumbuhan
dan pelbagai jenis haiwan.. Unsur-unsur ini  digunakan untuk membawa makna dan membina
suasana di dalam pantun. Pantun-pantun yang dipilih adalah contoh-contoh pantun
nasihat yang dianggap mempunyai nilai estetika iaitu kesatuan idea dan
penyampaian yang jelas serta  pemikiran
yang tinggi dan cemerlang . Pantun-pantun ini 
memancarkan sikap dan pandangan semesta orang-orang Melayu khasnya di
dalam menyampaikan nasihat, pendidikan dan pedoman dalam menghadapi cabaran  hidup.  Pantun-pantun
yang dipetik telah disiarkan secara tulisan di dalam buku-buku atau kumpulan pantun.
Ada di antaranya digunakan sebagai senikata di dalam lagu-lagu Melayu. Namun
begitu sebagai khazanah sastera rakyat, pantun-pantun ini tidak diketahui
pencipta asalnya.
Pantun adalah sebuah karya kreatif
berbentuk puisi. Sebagai karya kreatif ia memiliki dua komponen penting iaitu
pemikiran dan perasaan (emosi). Pemikiran merangkumi pandangan hidup, nasihat,
pedoman, dan falsafah manakala Perasaan 
atau Emosi  termasuk sedih, suka,
bahagia, kagum, sayu, cinta, kasih, rindu dan sebagainya. Sebagaimana hasil
sastera Melayu yang lain, Emosi dan Pemikiran itu tidak dicurahkan dengan
berterus terang tetapi dengan menggunakan unsur-unsur perlambangan.
Perlambangan yang terbesar ialah dari objek alam. Penggunaan unsur alam ini
pula menambah keindahan atau estetika sesebuah pantun. Makalah ini menghuraikan
bagaimana objek alam digunakan sebagai perantara untuk menyampaikan pemikiran
dan sebagai elemen yang membina emosi di dalam pantun. Objek-objek alam fizikal
ini digunakan di dalam pantun di dalam bentuk metafora,  personifikasi, simile dan hiperbola selaras
dengan gaya bahasa sebuah penciptaan yang berbentuk puisi.  
Menurut
Hashim Awang (1994:10-15) keindahan itu adalah berteraskan tauhid. Dalam hal
ini beliau menegaskan bahawa penghasilan atau penulisan sastera juga merupakan
suatu amalan yang turut dituntut. Pembentukannya (sastera) dalam acuan yang ada
keteraturan dan keindahan, terutama keindahan yang memiliki nilai-nilai makna
dan hikmah, seperti yang terdapat pada keindahan alam semesta ciptaan Allah.
Karya
sastera diukur daripada isi dan penyampaiannya. Isi yang baik adalah isi yang
membawa nilai yang baik dan positif yang dapat memberi teladan kepada orang
Islam secara khusus dan juga kepada bukan Islam. Karya-karya ini mestilah
selaras ciri-ciri dengan seni sastera yang dituntut oleh Islam. Menurut Mohd.
Kamal Hassan, “Seni dan sastera yang dituntut oleh Islam mendapatkan visi
hidupnya dan visi keindahannya daripada Al-Quran yang amat nyata memperlihatkan
pertemuan yang sempurna antara kebenaran, kebaikan dan keindahan bahasa” (1981:
49).
UNSUR ALAM DALAM PUISI.
Penggunaan unsur alam sebagai perlambangan yang sesuai
dengan makna yang disampaikan, akan menambah nilai estetika sesebuah puisi termasuk
pantun. Zaaba memberi pendapatnya tentang perlambangan atau yang disebutnya
sebagai bahasa kiasan (Zaaba, 1934:196):
”Bahasa kiasan menguatkan dan menambahkan tajamnya sesuatu karangan atau
percakapan supaya menarik hati orang, jadi perhiasan mencantikkan bahasa,
kerana bahasa kiasan itu banyak menggambarkan kecantikan alam dan perbandingan
yang terlintas di dalamnya itu selalu cantik. Oleh sebab cantiknya itu kerap
disebut akan dia bungaan bahasa.”                 
Mengikut Zaaba lagi, perlambangan atau teknik yang
sengaja menyamarkan citra dan makna adalah salah satu teknik utama sastera
Melayu, yang bukan sahaja digunakan dalam pantun tetapi juga dalam naratif
lainnya. Pada pendapat Zaaba, ini ialah kerana “dalam pemikiran sastera,
sekurang-kurangnya pantun, hikayat, dan beberapa bentuk berkaitan, sesuatu yang
lebih temaram (maksudnya tidak begitu terang) itu lebih misterius, dan oleh itu
lebih mencabar akal fikiran khalayaknya” (1934:
14).
Muhammad Haji
Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen
penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya:
”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara
alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan,
hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan
makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu
ciri dasar dalam estetikanya.” 
LAUT DALAM PANTUN NASIHAT
Seperti yang ditegaskan oleh Hashim Awang, Sastera Melayu
sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan.
Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan mesej yang baik dan positif di
dalam karya-karya mereka. Pengajaran  nasihat dan pengajaran ini disampaikan dengan
menggunakan perlambangan terutama dari unsur alam .  Salah satu yang paling dominan ialah laut.
Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu
mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun.
Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang
menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu
samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai,
bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.
            Penggunaan
laut sebagai misal perbandingan di dalam Al-Quran
yang telah membentuk pemikiran pemikir-pemikir Islam  yang turut membandingkan kehidupan di dunia
sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Antara lain dalam ucapan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani di
Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H. yang berbunyi, “Wahai anakku, dunia
ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan,
sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157).
Tradisi pemikiran ini menjadi  pembentuk kreativiti pujangga-pujangga Melayu termasuk
pencipta-pencipta pantun yang menggunakan laut sebagai simbol di dalam karya-karya
mereka. V.I.Braginsky telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah
digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam
syair-syair dan pantun. V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang
banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang
belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat
Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan telah juga
terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal 
(1994: 272).
Simbol laut dan dan perjalanan laut  telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk
memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam
yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah
Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17.  Hamzah 
menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia
menuju ke akhirat.  Ini terdapat di dalam
syair ’Perahu’.
Wahai muda kenal dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat juga kekal diammu.
Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah
jalan membetuli insan
 (sumber: Harun
Mat Piah, 1997:255)
Nasihat Menempuh Alam Dewasa:
Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah
besar tiang sebatang
            Kecil
– kecil ditimang ibu
                         Sudah besar ditimang gelombang
                       
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat
atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menyediakan minda
anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan.
Bila meningkat dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan
sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari kerana di dalam hidup ini tidak boleh
selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
            Sejak
kecil seseorang diingatkan bahawa kedewasaan  adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah
cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang
dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan
“Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang
sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu
‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh
ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh
gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai cabaran hidup.
Laut menjadi perantara orang Melayu menyampaikan
pemikiran dan nasihat tentang kehidupan di alam kedewasaan. Kedewasaan akan
membawa bersamanya tanggungjawab dan pelbagai cabaran. Seorang yang telah
dewasa perlu melakukan perjalanan melalui laut yang melambangkan perjalanan
meninggalkan dunia kanak-kanak dan menuju ke dunia dewasa.  . Dari sini nasibnya  akan ditentukan oleh ombak dan gelombang
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza,
iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya
ialah  masa kecil dan masa sudah
membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang
seribu. Tiang adalah dokongan (support).
Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan
kaum keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan
melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya.
Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah
tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi 
kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih
kecil..
Nasihat
Untuk Melengkapkan Diri
 Perjalanan laut
adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat
di bawah juga menggunakan unsur laut.
            Kalau mengail di lubuk dangkal
       Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
      Jangan lautan hendak diduga
                    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 129)
Pohon beringin daunnya hijau
    Pucuk
petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
    Biduk
ada pengayuh tidak.
                       (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 179)
Jika dilurut padi masak
         
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
         
Jangan berumah di tepi pantai.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:
146)
Ketiga-tiga rangkap
pantun menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa
untuk menghadapi pelbagai cabaran. Pantun pertama memberi peringatan bahawa
‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”.  Objek “kail panjang sejangkal” ditafsirkan
sebagai penanda kepada sesuatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya
mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan. Pantun ini juga
mencabar seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata
pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin
cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih
lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih
tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Dalam rangkap kedua
Pohon beringin daunnya hijau
       Pucuk
petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
      Biduk
ada pengayuh tidak.
Oleh kerana hidup
diumpamakan seperti satu pelayaran, maka perahu dan pendayung adalah peralatan
dan kelengkapan yang diperlukan untuk belayar menempuh hidup. Seseorang yang
tidak memiliki kedua-duanya, iaitu perahu dan dayung, akan berada di dalam
kekurangan,  seperti yang digambarkan
oleh baris pantun ”biduk ada pengayuh tidak”.
Setiap orang mempunyai cita-cita dan impian
sendiri. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat
dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang mencukupi.
Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal dan mental.  “Biduk ” juga merupakan tanda yang penting di dalam pantun
yang bertemakan perjalanan.
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah penanda
kepada  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau
yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan
pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di
dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah
simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu
yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah
musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang
terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jika dilurut padi masak
     Jatuh
ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
    Jangan
berumah di tepi pantai.
Pantun di atas mengingatkan
setiap orang untuk mengukur keupayaan. Selaras dengan itu ialah peringatan agar
manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri atau bermuraqabah, membuat perhitungan banyak sedikit amalan yang
diusahakan, iaitu bermuhasabah.
         
Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah
menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Oleh  kerana hidup ini umpama menempuh gelombang di
lautan, maka kita sering dinasihati agar memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan
sebagai persediaan untuk menempuh segala kemungkinan. Seseorang yang tidak
mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan
sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai
pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak
Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang mesti pula mempunyai persediaan
mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai
tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak
untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada
jauh dari pantai
Kapal atau perahu yang
belayar di tengah lautan yang luas 
adalah simbol perjalanan manusia yang amat bergantung kepada peliharaan
Allah. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan.
Salah satu sebab kapal tenggelam di tengah lautan ialah muatan yang dibawa
terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan
melalui pantun:
Angin barat gelombang
barat
      Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan
sarat
     Akibat laut tempat berkubur
Pantun ini
menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin
barat gelombang barat/ Barat ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi
menimbulkan suasana kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan
‘ditiup’ yang menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua
perkara yang bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’.  Angin barat sedang bergelombang dan angin
timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan yang
tidak tenteram.  
Untuk belayar seseorang
memerlukan bekalan yang cukup. Namun begitu dia tidak boleh membawa muatan yang
melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Oleh yang demikian manusia  perlu memilih barang-barang yang diperlukannya
sahaja. Di sini timbul keperluan untuk mengukur kemampuan diri sebelum
melakukan sebarang pekerjaan. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat
pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat
supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan
yang tidak penting.
Orang yang berjaya dan
selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan. Maka pilihlah yang terbaik
dan yang diperlukan sahaja untuk dibawa. 
Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu
karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat
laut tempat berkubur’. Pantun ini juga mengandung nasihat agar  berpada-pada atau bersederhana di dalam segala
segi. Kalau mahu selamat mestilah 
menjaga batas dan sempadan. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia
mengandungi panduan untuk hidup dengan berimbang iaitu mengimbangi
barang-barang yang dibawa dengan kemampuan had muatan kapal.  Ini menepati ajaran Al-Quran bahawa segala
sesuatu dijadikan Allah adalah dengan ukuran dan imbangan.
Di sini terdapat
nasihat peri pentingnya membuat pilihan yang tepat. Namun begitu sebagai insan
yang lemah, manusia tidak tahu apa sebenarnya yang terbaik untuknya. Justeru
itu manusia perlu selalu berdoa agar diberi pertolongan dan pertunjuk untuk
membuat pilihan yang tepat selaras dengan maksud baris Surah Al-Fatihah yang
dibaca di dalam solat “tunjukkanlah kami jalan yang benar”.
Di bawah ini
diperturunkan beberapa rangkap pantun lagi yang menggunakan unsur laut sebagai
perlambangan. Semuanya mengandungi nasihat dan pedoman untuk kebaikan
masyarakat. Ini adalah selaras dengan Teori Pengkaedahan Melayu yang melihat
sastera sebagai bahan untuk dijadikan pengajaran dan contoh teladan. Pantun-pantun yang menggunakan alam laut dan lautan perlu
ditanggapi secara mendalam untuk menemukan makna atau pengertiannya melalui
penafsiran lambang-lambang atau alamat tertentu yang wujud di dalamnya. Hal ini
adalah bertetapan dengan apa yang dijelaskan dalam Pendekatan Firasat bahawa
sastera adalah kejadian alam yang mempunyai makna atau pengertian yang
penemuannya itu hanya dapat dilakukan menerusi proses takbir atau tafsiran.
Buah kurma berlambak-lambak
      Dimakan
orang pagi petang
Bagai kerja menolak ombak
       Semakin
ditolak semakin datang.
Pantun di atas mengajak manusia mengambil pengajaran dari laut
yang terbentang luas dan ombak yang tetap memukul
ke pantai. Ini adalah kejadian alam yang  memberi kesedaran dan pelbagai pengertian
tentang kehidupan. Ombak tetap memukul pantai dan manusia tidak akan berdaya
menolaknya. Hal ini digunakan untuk menyatakan kemampuan
manusia yang terhad
dan terbatas. Tiada
siapa dapat mengatasi kekuatan alam yang mengandungi makna tersirat iaitu  kekuasaan Ilahi. Melawan kekuatan ombak
adalah pekerjaan yang sia-sia. Manusia dinasihati supaya menjauhkan diri dari
pekerjaan yang sia-sia seperti kata pantun ini ‘bagai kerja menolak ombak”.
Laut juga digunakan didalam menyuarakan
falsafah kepimpinan. Seorang pemimpin, samada seorang ketua negara, seorang
ketua kampung, atau ketua keluarga di anggap sebagai seorang nakhoda yang harus
bijak melayari bahteranya. Ini terdapat di dalam pantun yang dijadikan senikata
lagu Lancang Kuning.
Lancang kuning belayar malam
       Haluan
menuju ke laut dalam
Kalau nakhoda kurang faham
        Alamat
kapal akan tenggelam
Sehubungan dengan itu orang tua juga memberi
nasihat bahawa sebuah kapal tidak boleh dikendalikan oleh dua orang nakhoda.
Ini bermaksud bahawa para pemimpin tidak boleh bercanggah pendapat atau
mengeluarkan arahan-arahan yang berbeza.. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu
ia memberi penekanan kepada kepentingan mencari keharmonian dengan alam dan keharmonian
hubungan dengan manusia lain.:
Duduk berbual di remang senja
     Angin
taufan bertiup kencang
Kalau kapal dua nakhoda
     Alamat
karam dipukul gelombang
Seorang yang bijaksana amat dihargai dan
diperlukan oleh masyarakatnya. Misalnya seorang yang bijaksana akan
menyelamatkan bangsa atau sesebuah masyarakat lebih-lebih lagi ketika dilanda
masalah dan kekalutan. Kebijaksanaan pemimpin disamakan dengan kebijaksanaan
seorang mualimyang faham akan selok belok pelayaran dan dapat melayarkan bahteranya
dengan selamat di lautan yang bergelora. Pantun ini member nasihat agar mencari
orang bijaksana dan mendengar nasihat yang berguna dari orang yang
berpengalaman.. Pandangan ini telah diungkap didalam pantun di bawah
Baik baik belayar malam
     Arusnya
deras karangnya tajam
Cari cari mualim yang faham
    Di
situ banyak kapal tenggelam
Terdapat juga nasihat kepada guru supaya bersabar dalam mengajar
dan mendidik kerana pekerjaan itu bukanlah mudah. Cubaan dan dugaan akan terus
dihadapi seperti ombak yang tidak berhenti-henti menghempas ke pantai.
Orang
haji dari Jeddah
     Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan
guru bukanlah mudah
     Bagai kerja menolak ombak. 

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.