FLORA DAN FAUNA DALAM PANTUN

UNSUR FLORA (TUMBUH-TUMBUHAN DALAM PANTUN)
objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di
dalam pantun.
Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian pokok
misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok, misalnya
lalang, padi, langsat, keduduk, dijadikan simbol untuk menyampaikan makna pantun
mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang
berkaitan.
Di
dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya  kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah
terhadap hamba-hambanya.
           Terbitlah
fajar menjelang subuh
                 Murai berkicau terang cuaca
           Kalau tanaman sudi  tumbuh
               Masakan bumi tidak terima.
(senikata
lagu Serampang Lapan)
Pantun
di atas menggambarkan tanaman yang tumbuh. Percambahan dan pertumbuhan benih
menjadi pokok baru adalah satu kejadian dan perubahan yang berlaku pada alam. Ia
adalah penanda kepada kesuburan bumi. Di dalam pantun ini percambahan benih dijadikan
petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada gembira iaitu
cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas.. Kegembiraan dibangkitkan
oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang 🙁 terbitlah fajar
menjelang subuh/murai berkicau terang cuaca). Terbitnya fajar adalah kejadian
alam yang menjadi penanda bermulanya suatu hari yang baru. Matahari akan muncul
dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud yang  tersurat dan tersirat iaitu jika orang sudi
menanam kasih sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh
rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila
tumbuhnya kasih sayang .  
Biji benih adalah
sebahagian dari alam ciptaan Allah, walaupun amat halus, mempunyai segala
kelengkapan yang membolehkannya bercambah menjadi sebatang pokok. Ia
mengingatkan bahawa setiap ciptaan Allah mempunyai peranan masing-masing dan
tidak diciptakan dengan sia-sia. Percambahan benih memperlihatkan kejadian yang
mempunyai sebab dan akibat, hikmah dan manfaat, menepati ciri-ciri yang
digariskan dalam Teori Pengkaedahan Melayu. Perlambangan bumi yang ditumbuhi
biji benih terdapat di dalam Al-Quran sebagai hati yang lembut dan disirami
oleh cahaya pertunjuk manakala hati yang tidak ditumbuhi kasih sayang seperti bumi
yang kering kontang.
Penggunaan simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah
penciptaan karya yang selaras dengan Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan
sebagai amthal atau misal
perbandingan. Hal ini mempengaruhi 
pemikiran kreatif pencipta-pencipta pantun Melayu Al-Quran menyebut
bahawa antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih
yang membolehkan proses percambahan pokok: Hal ini terdapat di dalam ayat yang
bermaksud, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih.
Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa
debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain,
dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Percambahan pokok
juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud:
“Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami
keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya.” (Surah
Yaasiin, ayat 33-35)
Pemikir-pemikir
Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti
tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak,
mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di
dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya
bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang
itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani
2003: 387).
Benih yang baik menjadi penanda sesuatu yang berasal dari sumber yang baik.
Sesuatu yang berasal dari sumber yang baik akan terjamin nilainya. Hal ini juga
membawa maksud anak-anak yang lahir daripada keluarga yang baik-baik dan
mendapat didikan yang baik akan lebih selamat walau di mana mereka berada. Hal
ini menjadi maksud pantun di bawah:
Buat bangsal di Pulau Daik
     Menahan taut sambil mengilau
Kalau asal benih yang baik
     Jatuh ke laut menjadi pulau.
Sebatang pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia
tumbuh membesar dan seterusnya menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang
ke bumi. Daun-daun akan gugur bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada
tiupan angin dapat ditafsir dari sudut Pendekatan Firasat bahawa manusia juga terdedah kepada
segala kemungkinan. Setiap kejadian membawa perubahan dan
menjadi penanda kepada kejadian yang lebih besar iaitu kehidupan manusia
berbekalkan usia yang dikurniakan oleh Allah. Sebuah pantun yang menggunakan
lambang daun atau pelepah yang gugur ialah:
Orang  Jawa menanam kapas
   Orang Eropah menanam anggur
     
Jangan ketawa pelepah di atas
      Melihat pelepah bawah yang gugur
                           (Zainal Abidin Bakar,1984:181)
Pelepah kelapa
yang  jatuh adalah kejadian-kejadian yang
berlaku di alam jasadi. Segalanya menjadi perbandingan atau perumpamaan yang
memandu kita menyedari hakikat bahawa segala yang berada di alam jasadi adalah
bersifat sementara, hanya Allah yang bersifat abadi. Pelepah jatuh kerana
adanya ribut dan angin.  Pelepah kelapa yang
mudah digugurkan itu adalah representasi manusia sebagai makhluk Allah yang
lemah, manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa
amaran ini adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat
bahawa mereka berada di bawah kuasa Allah SWT. Hal ini menepati huraian Hashim
Awang tentang manusia atau watak-watak di dalam karya sastera yang menemui atau
mengalami kebanyakan insiden secara tiba-tiba, tanpa perencanaan seperti yang
lazim berlaku dalam alam realiti kehidupan. Semuanya seperti sudah ditentukan
oleh Tuhan, tanpa diketahui manusia (Dewan
Sastera,
April 1991:34).
Terkandung peringatan agar manusia sentiasa insaf dan
tidak merasa riak dengan pangkat yang tinggi dan nikmat yang dikecapinya yang
disimbolkan sebagai pelepah yang berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan
berlaku kejatuhan seperti gugurnya pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan
nikmat yang dirasai tidaklah terjamin buat selama-lamanya. Dengan peringatan
demikian, sastera menjadi sarana atau wadah mempertingkatkan nilai ketakwaan
seseorang insan terhadap Allah.
DAHAN DAN RANTING. 
Selain benih pantun Melayu turut menggunakan kata dahan dan
ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan
gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh.  Justeru itu manusia mencari dahan untuk
berteduh atau menjamin keselamatan diri. 
Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan
sesuatu yang dihajati, oleh itu 
disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dan sistematis.  Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu
yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini
diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting
terlebih dahulu.
Anak
rusa lari ke pekan
      Mati ditembak datuk penghulu
Tiada
kuasa menangkap dahan
      Menangkap ranting cuba dahulu
(pantun
senikata lagu Serampang Lapan)
Pantun
ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud
menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk
Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak
rusa yang secara tabii  berada di hutan
telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu
telah berlaku tragedy iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris
pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di
dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar
mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk
menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian  menjadi penanda yang perlu diambil iktibar
dan dijadikan pengajaran.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.