KERONGSANG BERLIAN WAN TEMPAWAN (cerpen)

cerpen ini pernah tersiar di Dewan Sastera (2010)

Wan Tempawan (bukan nama sebenar) adalah seorang wanita bangsawan Kedah. Dia adalah di antara ramai lagi orang-orang bangsawan (dan bukan bangsawan) yang kehilangan tanah kepada bangsa lain. Cerpen ini ditulis kerana saya sangat terganggu dengan kejadian tanah-tanah orang-orang Melayu yang jatuh ke tangan orang lain.



KERONGSANG BERLIAN WAN
TEMPAWAN
OLEH: ZURINAH HASSAN
Aku tidak pernah melihat sendiri bagaimana cantiknya
kerongsang berlian kepunyaan Cik Puan Wan Tempawan.  Aku cuma tahu tentang kerongsang itu daripada  cerita-cerita nenekku.  Kata nenek, batu berliannya berkerlip-kerlipan,
diikat kemas oleh emas bermutu tinggi .  Kerongsang
tiga  sederet itu, tersemat  di baju kebaya labuh Wan Tempawan, menambah
seri wajah wanita bangsawan yang sememangnya sangat rupawan.  Kilauan permata dan pancaran emas semakin menyerlahkan
raut wajah dan membangkitkan cahaya  kulit sang pemakai yang   putih berseri.
Namaku Umar. Aku lahir  di dalam warga marhain dan memang  tidak  berminat dengan kerongsang yang selalu
digambarkan oleh nenek.  Aku cuma
mendengar sekadar untuk melayan  nenek  bercerita  tentangnya.  Aku faham, dalam usianya yang sudah di pinggir
senja, nenek hanya mampu melayan kenangan terhadap masa lalunya.  Dia merasa lega kalau ada cucu untuk dilawan
bercakap. Anak-anak dan cucu-cucu yang lain semakin sibuk dengan urusan masing-masing.  Akulah yang selalu duduk-duduk dengannya di
beranda sambil menghadap ke sawah yang  terhampar
dan , menghirup udara petang yang segar. Aku mendengar sambil menyapu minyak
angin dan memicit-micit betis  dan
lututnya  yang dikatakannya semakin keras
dan kejang itu.
Seingat aku  nama  Cik Puan Wan 
Tempawan  tidak pernah lekang dari
mulut nenek.  Itulah nama seorang  wanita bangsawan  yang pernah hidup di negeri kelahiranku.  Mujurlah aku meminati sejarah dan pernah  membuka buku besar  yang terpamer  di Muzium Negeri. Buku yang diberi jodol Titisan Kerabat itu  boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat   mengenai salasilah keturunan diraja. Aku
dapati yang Cik Puan Wan Tempawan adalah cucunda Al Marhum Sultan Abdul Samad.
 Wan Tempawan  lahir pada tahun  1875  dan mangkat pada tahun  1945.  Dia berkahwin pada tahun  1893  dengan Tunku Tajuddin  dan beroleh empat orang anak.  Aku pun tidaklah terlalu berminat untuk
menghafal nama anak-anaknya. Lagipun aku boleh mengetahui semua maklumat itu
daripada nenek.. Nenekku  tidak jemu jemu
menggambarkan perihal kecantikan dan kebaikan Wan Tempawan. Nenek selalu
menyebut-nyebut nama-nama putera dan puterinya.
Walaupun seluruh tubuh nenek semakin  lemah,  ingatannya masih kuat.  Dia masih boleh menggambarkan keadaan rumah  itu dengan  kamar-kamarnya dan anjung yang menganjur ke
halaman Dia masih boleh menggambarkan dapur yang selesa  tempat dia dan kawan-kawannya menyediakan
makanan untuk keluarga diraja.  
Kalau hendak dikirakan rumah itu tidaklah sebesar mana.
Rumah-rumah orang sekarang jauh lebih hebat dari apa yang digambarkan oleh
nenek. Tetapi pada masa itu orang yang mampu mendirikan rumah batu, sudah
dianggap terlalu kaya.  
Sudah tentu nenek mengingati rumah besar itu kerana di rumah
itulah juga nenek dilahirkan pada tahun 1900. 
.
“Nenek, kita ni rakyat biasa. Kita orang kampung dari
keturunan petani miskin. Bagaimana nenek boleh dilahirkan di rumah besar itu?”
Nenek memang suka kalau aku atau sesiapa saja mengajukan
soalan sedemikian. Ini akan memberi peluang dia membuka cerita lagi. Dia tidak
jemu mengulang  cerita yang telah berulang
kali dikisahkan. Mengikut cerita nenek, semasa  Baginda Sultan mengadakan perayaan untuk
mengahwinkan cucundanya, orang-orang kampung dipanggil ke istana untuk  membuat kerja-kerja.  Kawasan istana menjadi penuh sesak. Kerja tak
berhenti siang malam. Ada yang mengukur kelapa, ada yang menumbuk cili. Ibu
kepada  nenek , iaitu moyangku  yang bernama Kalsom, yang ketika itu berumur
lima belas tahun  telah dibawa ke istana
untuk membantu. Majlis perkahwinan berlangsung  tujuh hari tujuh malam. Cucunda Sultan yang
naik pelamin itu tidak lain dan tidak bukan ialah Wan Tempawan yang kukisahkan
di sini.
Konon ceritanya permaisuri raja sangat berkenan melihat
tingkah laku moyang Kalsom. Dia mengajak,(atau memerintah) moyang Kalsom  supaya terus tinggal di istana.  Dipendekkan cerita,  moyangku pun tinggallah di situ. Bila rumah
besar Wan Tempawan telah siap, moyang Kalsom turut berpindah.  Moyang Kalsom kemudiannya dikahwinkan dengan
seorang pekerja istana  dan lahirlah
nenek ke dunia. Nenek dibesarkan di rumah Wan Tempawan  sehingga moyang Kalsom kembali  ke kampung atas sebab sebab tertentu. Di
kampung itu mereka  meneruskan kehidupan
sebagai petani biasa.
Begitulah cerita nenek kepadaku, dan kepada jiran-jiran.  Orang-orang kampung kami begitu kagum. Mereka   tidak  dapat dapat membayangkan bagaimana mewahnya
rumah itu. Rumah-rumah di kampung semuanya kecil. Kebanyakannya beratap nipah
bahkan berdinding papan , hanya rumah penghulu yang besar.
Pada tahun 1980 aku belajar di Pulau Pinang. Di sana aku  menyertai kumpulaan yang menamakan diri mereka
mahasiswa sosialis. Suatu hari aku hampir 
memarahi nenek. “Nenek selalu memuji-muji keluarga di raja, Nenek
agung-agungkan mereka . Nenek bangga mengatakan Permaisuri Sakinah suka kepada
moyang Kalsom dan mengambil dia sebagai anak angkat.
Tapi nenek tak tau  itu
semua  helah golongan feudal. Nenek tidak
sedar  yang   mereka
hanya  menjadikan moyang Kalsom dan nenek
juga, orang suruhan atau orang gaji yang tidak berbayar.  Mereka kata nak buat anak angkat , tapi
sebenarnya itu semua menipu semata-mata. Rakyat seperti kita hanya dijadikan
hamba abdi”
Tetapi mujurlah aku berfikir dua kali. Aku tidak  jadi  meluahkan semua itu. Terfikir pula, apa
salahnya aku membiarkan nenek  dengan
kenangannya. Biarlah hatinya tenang tanpa mengetahui hakikat sebenar. Mengapa
aku harus mencalarkan hatinya. Dia pun tidak akan hidup lama lagi di dunia ini.
Aku pun sedar bahawa  dia
menganggap peluang untuk  tinggal di
rumah besar berpagar itu satu tuah baginya. Di situ lebih baik daripada  tinggal di kampung, di dalam pondok buruk   yang bergegar bila hujan lebat. Apa salahnya
mereka   memasak dan melayan kaum  keluarga bangsawan walaupun tidak dibayar . Setidak-tidaknya
di situ  rezeki mereka terjamin. Mereka
dapat makan  pagi dan petang.
Aku juga tahu betapa peritnya menjadi petani. Aku membesar di
dalam  keperitan dan kesengsaraan itu. Di
universiti aku belajar tentang  kemiskinan
di luar bandar Para petani  hanya beroleh
sedikit wang bila padi dijual setahun sekali. Ramai petani yang teperangkap di
dalam hutang. Ramai petani yang  terpaksa
berhutang untuk meneruskan kehidupan. Mereka berhutang bila ada sakit demam dan
kematian. Mereka juga berhutang untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak.
Tidak ada jalan lain melainkan hutang.  Mereka boleh pergi ke bandar. Di sana ada ceti,
ada tauke Cina, ada India Muslim  yang
bersedia memberikan hutang  dengan senang
hati. Tidak perlu menulis kertaskerja. Tidak perlu menunggu berbulan-bulan.
Bawa sahaja geran tanah untuk jadi sandaran. Bila padi dituai, padi itu dijual
kepada orang yang memberi hutang dengan harga yang sangat murah. Bagaimana
kalau padi tidak menjadi? Bagaimana kalau banjir melanda atau kemarau
memanjang? Jawabnya mudah sahaja, geran tanah tidak dikembalikan dan tanah yang
dipusakai pun bertukar tangan. 
Bila mengenang nasib petani yang
malang, aku semakin marah. Semangat anti feudal dan anti kapatalis semakin membara
di dadaku.. Tetapi agak aneh juga kerana kawan baikku adalah  seorang berketurunan fuedal iaitu Tengku Amir Amjad.
. Mungkin kerana Tengku Amir  ialah
peninggalan anak cucu  fuedal yang
langsung tidak berjiwa fuedal , jauh sekali dari menunjukkan apa-apa lagak
fuedalnya. Gaya hidupnya tidak berbeza dari mahasiswa-mahasiswa yang lain. Tidur  bangun dan berkubang di dalam buku-buku
bersama kami. Dia menyanyi-nyanyi, melalak dan melawak seperti  kawan-kawan lain. Sekali pandang tidak siapa
yang akan menyangka bahawa anak muda yang berambut panjang berjeans lusuh itu
adalah keturunan diraja.
Semasa di tahun akhir  Tengku Amir mengikut aku balik ke kampung. Pada
masa itu nenek sudah uzur benar. Katanya seluruh sendi sendinya bagaikan di
cucuk –cucuk jarum. Bila dia tahu yang temanku itu bernama  Tengku Amir , nenek dengan  mentaliti fuedalnya mulalah bertengku dan
berpatik. Nenek mula mengeluarkan segala bahasa di raja yang tak pernah  kudengar  selama ini. Geli juga hatiku.
Bila  diberitahu yang Tengku
Amir  berasal dari bandar diraja negeri
kami,  semakin berminatlah nenek. Nenek
bertanya pelbagai pertanyaan dan semuanya dijawab dengan baik oleh Tengku Amir
kerana dia juga seorang anak muda yang berbudi bahasa dan tahu mengambil hati
orang tua-tua.
Nenekku pun mula rancak bercerita tentang masa lalunya. Aku
lihat nenek merasa terhibur  kerana ada
orang yang menjadi pendengarnya. “ Nenek dulu memang tinggal lama di sana. Nenak  dulu duduk di rumah   Mak Wan Tempawan. Suami dia Tengku Tajuddin  pegawai besar. Tengku pernah dengar ke?”
“Apa pula tak pernah dengar. Wan Tempawan dengan Tengku Tajuddin
 tu moyang saya. Ayah saya Tengku
Iskandar  cucu Wan Tempawan la”.
“Ya ke.? Ya Allah gembiranya hati nenek dapat berjumpa dengan
Tengku. Syukurlah Tuhan nak pertemukan kita. Mak Wan dengan anak-anaknya semua
baik terhadap nenek”.
Pertemuan dengan Tengku Amir  menjadi episod nostalgia bagi nenek pada
petang itu. Walaupun aku tidak bersetuju dengan mentaliti fuedalnya, aku mula
bersyukur kerana membawa Tengku Amir pulang dan membawa  keceriaan pada wajah nenek.
Selepas konvokesyen, aku dan Tengku Amir mula berkhidmat di bandar
diraja Nenek sudah pun pulang ke pangkuan Ilahi. Tengku Amir  menjadi pegawai perancang bandar dan aku memegang
jawatan penolong pegawai daerah.  Pejabat
kami di bangunan yang sama iaitu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang
tersergam indah di tengah bandar. Pejabat Tengku Amir di tingkat sepuluh dan
pejabatku di tingkat dua. Kami terus berkawan rapat.
Untuk merancang pembangunan Tengku Amir memerlukan maklumat
tentang kedudukan tanah di bandar diraja dan persekitarannya. Semua maklumat
itu tersimpan di pejabatku.  Di situ
tersimpan fail  mengenai status dan nama
nama pemilik tanah sejak beberapa dekad. Beberapa kali ketika kami keluar makan
atau bersiar-siar pada waktu malam,  Tengku
Amir selalu mengeluh, “ Sedihnya Umar, kau lihat tak ada lagi tanah di dalam
bandar yang dimiliki oleh orang Melayu. Di sana dulu semasa aku kecil ada juga
rumah-rumah Melayu. Sekarang semua sudah hilang. Tanah-tanah yang berdekatan
dengan bandar pun bertuankan orang lain. Hairannya tanah-tanah ini dulu
berstatus Tanah Simpanan Melayu. Mana pula perginya ratusan ekar yang pernah
dimiliki oleh kaum kerabat diraja?”
“ Betul juga. Nenekku pun pernah bercerita keluargamu ada
tanah yang luas di sana sini” Kataku tanpa niat untuk menambahkan kesedihan
Tengku Amir.
 “Ayahku  pun selalu bercerita . Satu dekad yang lalu ,
tanah di sini luas tak bertuan. Seorang kerabat diraja berhak memohon tanah.
Berekar-ekar  tanah diberi percuma kepada
kaum kerabat di raja. Tapi di mana tanah-tanah itu sekarang?. Tengku Amir
menggenggam erat tangannya penuh dendam dan geram.
Pagi itu aku   dan  Tengku Amir 
berbincang di bilik mesyuarat Pejabat Daerah. Perbincangan itu diadakan
berikutan ada permohonan untuk mendirikan sebuah pasar raya terbesar di satu kawasan.
Aku  sudah pun meminta kakitangan pejabat
mengeluarkan fail fail yang mengandungi 
maklumat yang diperlukan . Kami meneliti fail-fail sambil menghirup kopi
yang telah disediakan. Peta lengkap kawasan yang sedang  menjadi fokus 
perbincangkan sudah terhampar di atas meja bercermin tebal.
Hampir lima  minit ,
kuperhatikan Tengku Amir  tidak
mengangkat mata dari peta itu… Mendung duka sedang bergantungan di wajahnya.
Amir sedar aku memerhatikannya dengan penuh tandatanya. Dia
menjawab persoalanku. “Kau tengok ini Umar,  di sinilah rumah keluargaku dahulu. Sekarang
menjadi milik orang lain yang bukan sebangsa dengan kita”
Tengku Amir menunjukkan kepada kawasan yang dimaksudkan.
Fahamlah aku mengapa wajah Tengku Amir dilanda kesedihan. Di situlah dahulu terletaknya
rumah besar di dalam pagar yang diceritakan oleh nenekku. Di situlah  dahulu tinggal Cik Puan Wan Tempawan dan kaum
kerabatnya  seperti yang disebut-sebut
oleh nenekku hingga ke akhir hayat.
Selama ini kami telah sedia maklum bahawa rumah dan kawasan
sekitarnya telah tergadai kerana hutang yang tidak dapat dibayar. Apakah jenis
hutang itu dan berapakah jumlah sebenarnya tidaklah begitu jelas. Di pejabatku
juga tersimpan  fail harta pusaka
termasuk urusan jual beli, pindah milik dan lelong melelong tanah. Kami
mengambil keputusan untuk meneliti fail-fail berkenaan. Tengku Amir inginkan
butir-butir yang sah tentang perjalanan 
tanah di pinggir bandar  yang
tidak lagi menjadi milik keluarganya itu. Aku memanggil pembantuku dan meminta
fail-fail rekod lelongan tanah.
Kami sedia maklum betapa banyaknya tanah yang tergadai kerana
hutang. Orang-orang kampungku juga kerap berhutang. Hasil padi hanya boleh
dituai setahun sekali. Kadang-kadang malang yang datang,  ada 
kemalangan atau penyakit yang menimpa ahli keluarga. Di kala itu duit
sudah kehabisan sedangkan  anak-anak mesti
 makan.. Jadi tak ada cara lain selain
berhutang.Sampai sekarang pun orang kampungku berhutang. Tetapi aku tidak arif
pula mengapa golongan bangsawan ini berhutang”
Kata Amir, “Ada golongan syeikh-syeikh Arab yang licik. Mereka
berbaik-baik dengan wanita-wanita bangsawan seperti nenekku. Pada mulanya syeikh
syeikh ini bercakap tentang agama. Lama kelamaan pujuk suruh beli  barang-barang kemas. Wanita-wanita ini mudah
tertarik apatah lagi semuanya boleh didapati dengan berhutang. Lagipun apa pula
kata orang, wanita bangsawan tak pakai gelang dan rantai, tak pakai kain sutera,
tak buat majlis kenduri  besar-besaran. Semua
mesti sesuai dengan status.
Wanita-wanita bangsawan ini kebanyakannya tidak berpelajaran.
Tidak tahu membaca, menulis dan mengira.  Kaum wanita beginilah yang jadi sasaran  pemuitang Semuanya diserahkan kepada
pemuitang lalu senanglah mereka ditipu. Hutang piutang dibuat  tanpa surat hutang dan tanpa saksi.
Dengan hati yang sebu kami menyelak beberapa surat cara
permohonan penukaran nama hakmilik 
tanah. Surat surat itu dibuat oleh Syeikh Bajunid, Ceti Karuppiya dan
orang-orang yang senama dengan mereka. Semua tanah adalah milik wanita kerabat
Senarai harta menunjukkan 53 orang wanita Melayu kebanyakannya kerabat telah
kehilangan tanah kerana berhutang.
Ada fail mengenai seorang Ceti bernama Narayanan yang meninggalkan
harta pusaka yang dinilai oleh Pejabat Setem sebayak 350 ribu. Hampir semua
harta itu diperolehi dari aktiviti memberi hutang kepada orang Melayu. Peminjam
biasanya memerlukan modal untuk perniagaan, melabur dalam saham , membina
rumah, mengadakan kenduri perkahwinan anak-anak dan membeli barang-barang
kemas.
Ada catatan bertarikh  4 Jun 1939, kerajaan membenarkan mahkamah
melelong tanah Tunku Katijah untuk menyelesaikan hutangnya kepada Ceti Karuppan.
Tengku Katijah telah menggadai tanahnya  seluas lima relong. Oleh sebab tanah itu belum
dijadikan Tanah Simpanan Melayu, Karuppan memohon  membelinya dengan harga RM 300 sahaja. Bayangkanlah
betapa tinggi nilainya sekarang kerana ia terletak di kawasan elit
bersebelahan  Dewan Undangan Negeri.
Akhirnya kami mendapat maklumat   yang
dicari-cari. Fail  itu menceritakan
segalanya tentang perjalanan hutang piutang moyang Tengku Amir. Tidak lain dan
tidak bukan beliau ialah  Cik Puan Wan
Tempawan yang menjadi idola nenekku itu.
Di situ ada sepucuk surat 
bertarikh 10 Jun 1938 . 
Penulisnya ialah  Syeikh Abdullah
Al-Tawaff  yang  memohon kepada kerajaan negeri untuk melelong
tanah milik Wan Tempawan kerana Wan Tempawan tidak dapat menyelesaikan hutang
kerongsang berlian yang bernilai 400 ringgit. Pada masa itu belum disebut RM.
400 ringgit tak boleh bayar? Kami sedar 
nilai 400 pada zaman itu jauh lebih tinggi dari sekarang.
 “Kau tengok ni Umar,
perangai Syeikh ini . Dia diam sahaja bila nenekku tidak bayar hutang
bertahun-tahun. Dia sengaja buat macam tu supaya boleh mengaut untung  daripada kadar bunga yang dikenakan.
Ujung-ujung dia membuat aduan kepada kerajaan. 
Masa tu susahlah. Tak ada surat, tak ada bukti. Kerajaan pun tak boleh
nak tolong nenekku”.
Syeikh Al-Tawaf telah mendapat persetujuan mahkamah untuk melelong
tanah Wan Tempawan. Tanah itu pada asalnya dikurniakan kepada beliau oleh
Kerajan Negeri atas kedudukannya sebagai cucu Sultan. Mengikut peraturan hanya
orang Melayu sahaja yang boleh membelinya. Setelah beberapa lama, tiada orang
Melayu yang mampu membeli, maka Pak Syeikh membuat rayuan lagi agar lelongan
dibuka kepada orang bukan Melayu. Dengan hal yang demikian tanah itupun
terlepaslah kepada seorang saudagar China dari Pulau Pinang. Kini di kawasan
itu sudah terdiri sebuah menara yang menempatkan sebuah pasaraya terbesar di
kota kami dan beberapa tingkat ruang pejabat 
yang disewa oleh syarikat-syarikat besar.
Aku percaya kerongsang berlian yang termaktub di dalam surat permohonan
itu adalah kerongsang berlian Wan Tempawan yang sering diceritakan oleh nenek
sepanjang hayatnya.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.