HARI INI saya gembira kerana Tuan Yusuf Muhammadd dari Kucing menulis tentang sajak saya “Pak Kaduk di Gelanggang Raja” . Untuk beliau dan untuk kawan-kawan yang sudi membaca saya perturunkan cerpen KADUK, AYAM DAN RAJA. Ini adalah hasil fikiran dan imaginasi tentang tanah pak kaduk yang dirampas raja. Sekarang tak ada lagi raja yang merampas tanah secara menyabung ayam tapi ada pelbagai cara menipu dan merampas tanah dan segala milik rakyat.SELAMANYA KAH KITA MENJADI KADUK YG MEMBELA AYAM DAN MEREKA MENJADI RAJA YG MENDAPAT TANAH.
KADUK, AYAM DAN RAJA
Oleh:
Zurinah Hassan
Kau
kenal Kaduk bukan? Ya, Kaduk itulah, Kaduk yang mana lagi. Kaduk yang kau ejek
siang dan malam dari tahun ke tahun dari zaman ke zaman. Kau kata dia bodoh kerana bertukar ayam
dengan raja. Kau ejek dia kerana ayamnya
menang tetapi kampungnya tergadai.
Tetapi
kau tidak pernah marah kepada raja yang sanggup mengambil tanah Kaduk. Raja
sanggup mengambil tanah rakyatnya yang miskin. Bukan hanya tanah Kaduk malah
ramai lagi rakyat yang ditipu dan dirompak di siang hari.
Kau
tahu apa terjadi kepada Kaduk selepas tanahnya diambil? Dia dan isterinya serta
seorang anak lelaki, hidup merempat dan menumpang di atas tanah yang sebenarnya
tanahnya sendiri. Dari miskin menjadi bertambah
miskin. Dari susah menjadi lebih susah. Masa berganti masa, anak lelakinya pun dewasa dan berumahtangga. Kaduk sudah bercucu, seorang lelaki juga.
Zaman
sudah berubah. Si Kaduk telah meninggal dunia.
Raja yang zalim itupun sudah mati, eh silap, sudah mangkat. Anak
dan cucu Kaduk hidup di zaman merdeka dan sempat mengecapi
kemajuan negara . Kotaraya semakin megah dengan
bangunan-bangunan yang tinggi menjulang. Ya mereka hidup di zaman kita
yang serba maju. Pada zaman ini tiada
lagi raja yang pergi ke kampung-kampung mengajak rakyat menyabung ayam.
Kaduk
menamakan anaknya Hassan atas nasihat seorang ustaz yang datang mengajar di madrasah kampungnya. Hassan membawa
pengertian ‘yang baik’. Hassan juga telah memilih nama yang baik untuk anaknya selaras
dengan ajaran Islam, iaitu Hakim yang bererti
“bijaksana”. Kau lihat, nama juga
mencerminkan kemajuan. Mereka tidak mempunyai nama-nama yang primif dan jelek seperti Si Kaduk, Si Kacong, Si Bulat, Si Buntal, Si
Labu, Si Labi atau Si Hodoh.
Hakim,
cucu
Kaduk adalah seorang yang terpelajar. Hal Hakim inilah yang hendak kuceritakan di sini. Dia belajar
hingga ke universiti, barangkali berkat namanya yang bermaksud bijaksana itu.
Hakim semakin sedar betapa banyaknya ketidakadilan
yang sedang berlaku di sekeliling. Dunia ini penuh dengan penginaayaan. Pengajiannya
memberikan dia pencerahan terutama di
dalam kes tanah datuknya yang telah terlepas ke tangan raja. Dia bercerita dan
berbincang dengan sahabat baiknya Azam, seorang mahasiswa jurusan undang-undang.
Mereka bersetuju bahawa ini adalah satu penginaayaan dan mula mengatur strategi untuk menuntut hak yang
dirampas.
Setelah bekerja, Hakim memfailkan saman menuntut hak
milik tanah Kaduk. Dia melantik Azam sebagai peguamnya. Mereka mengatur langkah
dengan tekun dan teliti mencari segala bahan bukti, menulis dengan kemas dan
terperinci, berbahas dengan fasih dan bernas .Hakim merasa bertuah kerana
mempunyai seorang sahabat sejati seperti Azam yang menangani kes itu dengan penuh dedikasi. Ini
semua kerana Azam juga menganggapnya
sebagai perjuangan sendiri dan satu misi
peribadi. Azam kesal dan sedih bila
mengenangkan betapa ramai orang-orang sekuturunannya yang telah kehilangan
tanah pusaka.
Azam
dengan lidah yang fasih telah berhujjah di mahkamah “ Yang Ariff, bila raja meminta bertukar ayam, adakah Pak Kaduk boleh membantah perintah raja? Dia akan
dituduh sebagai perderhaka dan mungkin kepalanya akan dipancung. Ini bermakna Kaduk telah menyerahkan ayamnya si kunani
kepada raja tanpa kerelaannya. Tidak wujud sebarang bukti, atau sebarang tandatangan,
atau MOU yang mengesahkan pertukaran ayam itu. Jadi, bila si kunani menang di dalam
persabungan, bererti Pak Kaduklah yang menang dan berhak menerima apa-apa
hadiah yang telah ditawarkan dalam perjanjian persabungan mengikut terma dan syarat yang diperuntukkan,
termasuklah mengekalkan hak milik tanah
yang dituntut oleh anak guam saya.”
Mahkamah
mengumumkan keputusannya pada hari ini. Tidak payah aku ceritakan tentang
butiran hujjah dan berapa helaian muka surat yang dibaca oleh tuan hakim di
kamar pengadilan. Yang pentingnya, tanah empat ekar di hujung kampung dan di
tepi belukar itu kini sah menjadi milik Hakim bin Hassan bin Kaduk. Alhamdulillah.
Hakim
sedar bahawa tanah empat ekar itu
bukanlah luas kalau dibandingkan dengan
tanah yang dimiliki oleh para orang kaya yang ada di seluruh negara. Tanah
itupun tidaklah tinggi nilainya seperti tanah-tanah di bandar yang melambung
dan melambung naik. Namun dia amat bersyukur kerana berjaya menebus kembali
tanah itu dan lebih penting lagi dia
juga dapat membersihkan nama dan menebus maruah
datuknya Kaduk yang sudah bertahun-tahun menjadi ejekan bangsa.
Hakim
pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, Aku nak
dirikan sebuah memorial. Aku akan namakannya Memorial Pak Kaduk. Biar memorial
itu menjadi peringatan kepada semua umat
Melayu agar berhati-hati dengan tanah mereka. Maksud aku biar mereka menjaga
hak-hak mereka agar tidak terlepas ke tangan orang lain”.
“Kau
nak buat tugu Pak Kaduk ke? Apa gunanya
membina tugu di dalam kampung ni. Mana ada pelancong yang nak datang melawat?”.
Tanya Azam.
“Aku
bergurau saja. Lagi pun ini tanah kampung yang berstatus tanah pertanian. Apa
lagi yang wajar dibuat selain berkebun dan menternak. Aku sudah mendapat
nasihat dan bebincang dengan beberapa orang. Aku sudah berbincang dengan agensi
kerajaan yang bertanggung jawab memajukan bidang pertanian.
Hakim
merancang agar tanah Pak Kaduk dapat dimanfaatkan. Dia
memutuskan untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan sebuah syarikat
besar. Syarikat ini beroperasi dan terkenal di seluruh sebagai Global Chicken. Global
Chicken menubuhkan cawangan di
Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa
Agrikultur atau nama singkatnya RAJA. Hakim
membuat keputusan memasuki bidang penternakan bersandarkan beberapa faktor. Dia selalu
sangat mendengar para menteri dan pakar ekonomi berkata, “Pada masa sekarang
ini kerajaan sangat mementingkan aktiviti pengeluaran makanan. Negara mesti
mengeluarkan lebih banyak makanan.”
Sejak
dari dahulu dia sering mendengar pidato, “Tuan-tuan dan Puan-puan, sebahagian besar bahan makanan rakyat kita, adalah
diimport, sedangkan kita ada ratusan ribu ekar tanah yang terbiar kosong dan
tidak produktif. Mengapa kita bergantung
kepada negara lain untuk mendapatkan beras, ikan, daging, ayam, sayur-sayuran
dan sebagainya. Keadaan ini akan
membahayakan kita kalau terjadi sesuatu bencana. Kerajaan mengutamakan
bidang pengeluaran makanan kerana ini
adalah soal keselamatan negara.”
Pemimpin
tertinggi sendiri pernah berkata, “ Rakyat mesti membuka mata dan melihat
potensi yang ada di dalam bidang pertanian. Saya berseru kepada rakyat sekelian
untuk merebut peluang ini, terutama ribuan siswazah Melayu yang masih menganggur.
Kerajaan menyediakan banyak peluang terutama kepada kaum yang mendapat
keistimewaan dalam Dasar Ekonomi Baru.”
“Ada
pelbagai bantuan dan skim pembiayaan untuk projek pertanian yang dikendalikan oleh sebuah bank khusus. Nah, semuanya
ada di hadapan anda. Yang diperlukan sekarang ialah kesanggupan anda untuk
bekerja kuat, Ingat slogan ini, pertanian adalah perniagaan.”
Hakim
telah mendengar dengan penuh minat.
Segala kata-kata itu membakar semangatnya untuk memajukan tanah yang
ditebusnya. Dia juga berharap
kejayaannya nanti akan menjadi contoh teladan kepada orang orang yang seketurunan
dengannya yang mendapat kelebihan dari Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai projek
pembangunan sebuah kerajaan yang prihatin.
Hakim
perlu membina sebuah reban tertutup. Dia
memulakan segala kerja menebang pokok dan meratakan tanah.. Berlori-lori tanah telah
diangkut untuk menambak kawasan yang memang
rendah dan berair itu. Wang simpanannya hampr habis di situ.
Kos
pembinaan sebuah reban ayam tertutup dengan sistem penyaman udara dan peralatan memberi makanan semi automatic melebihi dua ratus ribu RM. Hakim sudah beberapa kali
turun naik tangga bank untuk berbincang tentang pinjaman projek pertanian. Kertaskerja sudah beberapa kali dipinda sehingga akhirnya pinjaman diluluskan.
Pinjaman sebanyak itu memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain selain
tanah Pak Kaduk yang baru ditebusnya dengan susah payah. Itupun jenuh dia
bertelagah dengan pihak bank kerana kata mereka tanah empat ekar di tepi
belukar tidak ada nilai komersial. Hakim hampir putus asa. Mujurlah seorang
Yang Berhormat sanggup campur tangan dan memujuk pihak bank untuk meluluskan pinjamannya.Dengan
pertolongan itu terbinalah sebuah reban
yang boleh memuatkan sepuluh ribu ekor ayam.
Hakim menandatangani kontrak dengan pihak RAJA
. Maka jadilah dia seorang petani moden merangkap anak muda yang berjasa pada
nusa dan bangsa dengan menyumbang ke arah penambahan pengeluaran makanan
negara.
“
Tahniah. Aku doakan kau berjaya. Setahun lagi Insya Allah aku akan pulang. Kita jumpa
di reban ini untuk merayakan ulangtahun
kau menjadi penternak ”. Kata Azam sambil menggenggam tangannya erat-erat tanda
member semangat. Mereka akan berpisah buat sementara kerana Azam akan mengikuti
kursus selama sepuluh bulan di luar
negara.
Masa
pun berlalu. Genap setahun usia Hakim sebagai penternak, Azam sampai ke reban.
“Assalamualaikum, apa kabar taukeh ayam?” Mereka berpelukan lalu duduk di
bangsal rehat Hakim menghadap ke reban. Seterusnya marilah kita ikuti dialog mereka.
Segalanya menceritakan tentang realiti seoang petani moden di negara yang megah
dengan dasar pembangunan ekonominya.
“Dah
berapa kali kau menjual ayam?” Tanya Azam.
“
Sudah enam kali. Ayam-ayam kecil yang kita lihat di dalam reban tadi ialah
pusingan yang ke tujuh.”
“Bagaimana
hasilnya. Aku harap semuanya berjalan dengan baik.”.
Hakim
mengeluh sebelum member jawaban, “Aku tahu membela ayam ni satu risiko. Tetapi kalau semua orang takut bagaimana
manusia hendak mendapatkan barang makanan? Cuma..kadang-kadang aku rasa terlalu banyak
masalah yang menimpa.”
Azam
memandang ke wajah sahabatnya “Apa masalahnya? Bukankah kau boleh mendapatkan
bantuan. Kerajaan sudah berjanji akan menolong penternak sebagai insentif kerana menambah bekalan makanan untuk rakyat.?”
“
Azam, tanah ini sesuai untuk ternakan kerana ia jauh dari kawasan perumahan. Tetapi hal ini membawa masalah yang lain. Kau tengok jalan masuk ke
reban ini. Jalan itu tidak berturap dan becak pada musim hujan. Pernah lori tersangkut di dalam selut. Aku
sudah menulis surat memohon jalan itu dinaikkan taraf. Aku sudah berusaha ke sana ke mari untuk
menemui orang-orang yang berpengaruh tetapi
jawapannya tetap sama, Kementerian berkenaan tiada peruntukan untuk
menurap jalan itu buat masa ini. Aku dicaci maki oleh orang kampung kerana kemasukan lori-lori itu memburukkan
lagi keadaan jalan.”
Azam
menggeleng-gelengkan kepada , “ Bagaimana hasil jualan ayam?”
Hakim
terus menjawab, “ Mujur juga ada hasilnya. Tetapi hidupku dikelilingi hutang.
Aku berhutang dengan bank. Aku berhutang
dengan Syarikat RAJA. Mereka menghantar anak anak ayam, mereka
menghantar dedak, mereka menghantar ubat ubatan. Semua itu akan dipotong dari
hasil jualanku. Kau tengok ni (Hakim menunjukkan salah satu penyata yang
dikeluarkan oleh syarikat RAJA. Nilai
jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu RM . Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke
kantungku. Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga
dedak dan ubat-ubatan. Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil letrik dan
air yang cukup tinggi dan segala kos
penyelenggaraan yang lain ”
Azam terus memerhati penyata dari syarikat
RAJA dari halaman ke halaman. Hakim berjalan mundar mandir. Lama juga mereka tenggelam di dalam pemikiran
masing-masing. Hanya angin petang yang sesekali datang menyapa.
Hakim
meneruskan perbualan, “ Nampaknya aku
tersalah perkiraan. Aku memilih ternakan kontrak ini kerana aku fikir penternak dan syarikat payung berada pada situasi menang-menang. Kalau aku
untung, pihak RAJA juga akan untung. Rupa rupanya tidak. Syarikat besar seperti
RAJA itu akan untung berlipat ganda biarpun aku rugi “
Hakim
menarik nafas dan mengatur kata-kata yang memang sudah sedia terpeta di dalam
midannya “ Sekarang baru aku sedar tujuan sebenar RAJA ialah untuk memasarkan makanan dan ubat-ubatan
mereka sedang aku tidak ada hak untuk menentukan
harga dedak dan harga ubat yang dihantar. Aku harap mereka tidak sengaja memberi ubat yang salah supaya ayamku bertambah sakit . Dengan cara
ini mereka boleh memberikan lebih banyak ubat dan lebih banyak wangku yang boleh
dipotong.”
Azam
menggeleng-geleng lagi, “ Tetapi Jabatan Haiwan kan ada. Tak kan mereka tidak
memantau? Kau boleh adukan kepada mereka. Minta nasihat doktor Veterina bila
ayam kau sakit.”
“Aku
pun harap begitu. Aku harap kerajaan
boleh buat sesuatu. Janganlah membiarkan penternak kecil terperangkap di dalam jerat syarikat
besar”
Azam
memujuk pula “Menternak cara kontrak ini
ada kelebihannya, bagus juga. Kau tidak
payah mencari anak-anak ayam. Kau tidak
payah keluar mencari dedak. Setiap musim
syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah
besar.”
Hakim
menjawab “ Ya mereka hantar segalanya dengan
harga yang mereka tentukan. Kini hidupku
bergelumang dengan hutang. Setiap saat aku berhutang dengan RAJA . Kau
fikirkan,pula, kalau nasibku malang dan nilai
jualanku kurang daripada harga dedak dan
ubat yang mereka bekalkan, bererti aku akan menanggung hutang kepada RAJA. Berhutang dan berhutang.
Azam
memandang wajah sahabatnya penuh simpati
“ Jadi apa cadanganmu sekarang?”
Hakim
terus mengeluh, “ Apa lagi yang boleh aku buat selain meneruskan kerja-kerja membela ayam dan mengharapkan hasil yang baik.
Aku sudah berhutang dengan bank. Hutang mesti dibayar kalau tidak tanah aku
akan dirampas. Kau ingat kan, tanah inilah
yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah. Bank akan merampas tanahku tidak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu.
Hakim
meluahkan segala yang telah bersarang di dadanya “Banyak persamaan antara aku
dengan datukku. Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah.
Kami sama-sama berada di bawah cengkaman
orang berkuasa. Walaupun namaku tidak lagi berunsur kolot dan kuno seperti nama
datukku tetapi itu tidak bererti apa-apa. Sepatutnya namaku ialah Kaduk bin
Kaduk bin Kaduk.”
“
Pada zaman ini tiada lagi raja yang menyabung ayam tetapi raja baru telah muncul. Raja itu tetap
menguasai seluruh hidup kita. Kita tidak dapat berbuat apa-apa selain mengikut
telunjuk mereka. Mereka adalah golongan yang memegang kuasa ekonomi negara. Kita tetap
kaduk dan mereka tetap raja.”