SAJAK DARI PERTIKAMAN TUAH- JEBAT: TAFSIRAN SEMULA PERISTIWA SEJARAH MELAYU.
Antara puisi saya yang lahir dari pertikaman tersebut ialah BENDAHARA, TUAH DAN JEBAT,AKU SELALU BERTANYA. Di dalam sajak ini saya bertanya beberapa soalan kepada Bendahara, Tuah dan Jebat. Bendahara dan Jebat telah memulakan satu keberanian, iaitu keberanian untuk melanggar arahan Sultan tetapi kedua2 mereka tidak berani untuk meneruskan keberanian tersebut. Sajak ini telah menarik perhatian seorang pengkaji . yang teliti iaitu . Ahmad Said. Beliau telah menulis di fb. Tulisannya saya perturunkan di sini. (secara copy paste).
Tetapi Bendahara
bila Jebat menderhaka dan raja dalam bahaya
kau sepatutnya tidak membuka rahsia
yang Tuah masih ada
mengapa kau tidak berani
membiarkan seorang raja
terhukum oleh kekhilafannya?
ii
Tuah,
segalanya bermula dengan keberanian
mengalahkan musuh demi musuh
keberanian menjadikan kau seorang hamba
yang amat setia kepada raja.
untuk tahu berkecil hati dengan raja
Ketika raja memerintahkan kau dijemput
dia sebenarnya tidak menghargaimu
tetapi menghargai nyawanya sendiri
tetapi kau tidak mahu merasai semua ini
kerana kesetiaan telah membuatkan kau takut
untuk hidup
oleh kesetiaan itu sendiri.
Tetapi Jebat
mengapa kau membiarkan Tuah merampas taming sari
apakah kerana kau menyayanginya
kau lupa untuk berwaspada
apakah kerana kau menyanjunginya
maka kau tidak pernah curiga
yang dia bisa memiliki
tipu helah yang keji.
sari
Apa boleh buat segalanya telah terjadi
Tuah menyanjung raja lebih dari kawan
Jebat menyanjung kawan lebih dari kebenaran.
Namun Bendahara, Tuah, dan Jebat
mereka bertiga telah melepaskan peluang
yang datang hanya sekali sahaja
dalam sejarah bangsa.
ULASAN DATUK AHMAD SAID.
Rupa-rupanya bukan mustahil kita belajar memahami suatu epik melalui satu puisi, yang kalian ganda pendeknya. Bukan juga selalu kita dibantu merumuskan puisi oleh kalimat-kalimat karyawan sendiri, di hujungnya. Puisi penyair besar, teman fbku Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”, Dewan Budaya, Ogos 1988, muka surat 28-29” menyerlahkan permasalahan tragedi bangsa yang sudah berkurun tiada pernah diperiksa semuktamadnya. Hebatnya ciptaan ini kerana perspektif atau kekusutan suatu dilema yang dipercerahkan melalui beberapa kalimat padatnya yang memandu minda.