Ulasan Filem Arwah Pak Mat Lif & AJK

Arwah Pak Mat, Lif & AJK (TV Movie 2021) - IMDb

 

Sebelum berpindah ke rumah baru, yang tidak mempunyai Lif, saya dan keluarga kecil saya tinggal di sebuah apartment di ttdi jaya. Pengalaman duduk di tingkat 16, dan masalah lif yang selalu rosak menyebabkan saya tertekan dan nekad untuk menjual rumah lama dan berpindah segera. Bayangkan, ketika itu anak masih kecil, saya perlu pergi kerja di awal pagi, terpaksa pula turun tangga (tingkat 16 ye) untuk mengelak kedatangan lewat. Anda ingat boss atau HR nak terima alasan lif selalu rosak? Maka turunlah saya mendukung anak yang  masih kecil itu dengan beg nurserynya yang tidaklah begitu ringan itu. Kemudian, bayangkan pula, setelah penat bekerja, pulang ke rumah, lif masih rosak, dan terpaksa pula naik ke atas dengan mendukung anak kecil sekali lagi, ditambah pula penat tidak hilang lagi menghadap jalan sesak dan kerja di pejabat.

 

Oleh sebab itu, filem Arwah Pak Mat Lif & AJK ini boleh dikatakan dekat di hati saya sebagai salah seorang mangsa pengurusan lif yang sangat teruk. Bagaimana aduan demi aduan dilakukan, tetapi masalahnya masih sama. Bagaikan satu kewajipan, seminggu sekali lif mesti rosak. Betapa bersyukurnya saya diberikan rezeki untuk menjual rumah saya di apartment tersebut, dan menggunakan hasilnya untuk mencari rumah yang “tidak mempunyai lif”.

 

Bagaimana pula nasib seperti Nordin dan penduduk di flat tersebut yang tidak mampu untuk berpindah dan terpaksa menjalani hidup bekerja siang  malam lalu pulang dengan keadaan lif yang menyakitkan hati. Filem ini cuba menyampaikan mesej yang mendalam terhadap isu kebajikan masyarakat yang terabai, sedangkan orang-orang hanya sibuk berebutkan kuasa untuk memegang jawatan. Adakah pihak tertentu memandang ringan isu lif ini? Tidakkan mereka tahu bahawa lif ini ibarat “nyawa” penduduk yang memerlukannya. Bukan sekali dua kita dengar kejadian lif jatuh dan menyebabkan kematian. Begitulah juga nasib Nordin yang terpaksa membawa turun mayat arwah bapanya untuk dimandikan di surau menggunakan tangga kerana kerosakkan lif.

 

Pada pandangan saya, filem ini menghiburkan dan mempunyai konotasinya tersendiri. walaupun ringkas dan tidak mempunyai elemen “plot twist”, filem ini berjaya berdiri dengan naratifnya tersendiri. Pada akhirnya, kita boleh pelajari bahawa kerjasama dan bersatu padu itu adalah sesuatu yang berharga dan seharusnya dijaga dalam membentuk keharmonian masyarakat. Filem arahan Khir Rahman ini boleh ditonton di Astro First.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.