MENYUSUR METAFORA SUNGAI HAYAT

MENYUSUR METAFORA SUNGAI HAYAT

OLEH ZURINAH HASSAN (Dewan Sastera Jun, 2011)

Sungai Hayat (2006,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka) adalah sebuah kumpulan puisi seorang penyair dari Sabah, Jair Sulai Ungkapan ‘sungai hayat’ merupakan sebuah metafora, yang membawa maksud perjalanan diri dan perjalanan kehidupan. Perjalanan itu sentiasa berterusan, menempuh pelbagai pengalaman, menuju ke negeri yang abadi, sama seperti sebagai sebatang sungai yang mengalir ke muara

Itulah yang dimaksudkan dengan metafora. Ianya adalah suatu perbandingan atau suatu misalan,. Kamus Dewan memberi erti metafora sebagai “Pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan.” Mengikut Owen Thomas (1969) metafora ialah “ A means of expressing one thing in term of another” atau yang diterjemahkan oleh Rahman Shaari sebagai “pernyataan sesuatu dengan menyebut yang lain (Rahman Shaari: 1993:1).

Perkataan Metafora (Inggerisnya metaphore) adalah cantuman dua perkataan meta dan phore . Meta bererti perrtukaran atau peralihan (sense of change of position or condition) dan Phore bermaksud pembawa atau bearer Di sini maksudnya perubahan dan peralihan yang telah berlaku kepada makna perkataan disebabkan penggunaan sesuatu perkataan yang menjadi Pembawa peralihan tersebut..

Metafora juga didefinisikan sebagai perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora ‘pulau impian’
Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Manusia menggunakan metafora untuk memberi keterangan tentang sesuatu yang abstrak atau sesuatu konsep yang baru dan sukar untuk diterangkan. Cara yang terbaik ialah mengaitkannya dengan sesuatu perkara yang konkrit , atau fenomena yang dikenali dan mudah difahami oleh masyarakat.

Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Selain objek alam metafora juga dibentuk dari unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda. Terdapat banyak puisi yang membandingkan sifat setia dengan Hang Tuah, angan-angan tinggi dengan Mat Jenin, dan pemberontakan dengan Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris “aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani” yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan.
Walau bagaimanapun alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001) Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan , hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114)
Penciptaan puisi dengan penggunaan alam sebagai metafora ini adalah merupakan penciptaan yang berlandaskan Al-Quran, kerana kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan mengandungi perumpamaan dan misal perbandingan terutama yang dikaitkan dengan unsur-unsur alam. Al-Quran menggunakan perlambangan atau Amsal yang diertikan sebagai “menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dan mendekatkan sesuatu yang abstrak dengan sesuatu yang inderawi (konkrit)” (Ahsin W. Al-Hafidz, 2005:24). Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi metafora dan misal perbandingan daripada objek-objek alam. Bahkan, Allah SWT berfirman dengan jelas tentang penggunaan unsur alam sebagai metafora ini. Hal ini dapat dilihat melalui ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan (metafora) apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka.” (Surah Al-Baqarah ayat: 26)

Terdapat ayat-ayat yang menjelaskan penggunaan perlambangan dan perbandingan di dalam Al-Quran. Antaranya:
1. “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).
2. “Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (Surah ar-Ra’ad, ayat 17).
3. “Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya” (Surah al-Ankabut ayat 43 ).
4. “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah az-Zumar, ayat 27).

Mengikut Osman Khalid, Al-Quran menggunakan pendekatan ini, iaitu penggunaan metafora dengan tujuan mendekatkan perkara-perkara yang abstrak (maknawi) ke alam pancaindera yang dapat dirasakan oleh orang-orang yang menerimanya (orang-orang kafir Arab) dengan itu menjadikan mereka lebih bersedia untuk menerima ajaran-ajaran yang terkandung dalam Al-Quran” (1980:20).

Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya:

”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan, hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu ciri dasar dalam estetikanya.”

Bertolak daripada kenyataan bahawa karya penulis Melayu dipengaruhi oleh alam dan agama Islam, maka Hashim Awang telah membina Teori Pengkaedahan Melayu yang dibahagikan kepada dua Pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Agama. Pengkaedahan Alamiah mengandungi tiga pendekatan, iaitu pendekatan firasat, pendekatan gunaan, dan pendekatan moral. Pengkaedahan Agama pula menyenaraikan tiga pendekatan iaitu pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan seni. Teori yang dikemukakan pada tahun 1989
ini dapat diterapkan bagi menganalisis hasil karya kesusasteraan Melayu untuk meneliti penggunaan unsur alam sebagai perantara bagi membawa makna, pemikiran dan mesej puisi.

Tulisan ini membicarakan penggunaan alam sebagai metafora di dalam sajak-sajak Jair Sulai yang termuat di dalam kumpulan puisinya Sungai Hayat Dalam menilai sajak-sajak dalam Sungai Hayat, penulis akan mengaplikasi pendekatan dakwah khasnya untuk melihat penggunaan unsur alam sebagai kias ibarat , penanda atau alamat kepada kewujudan dan kebesaran Allah, petunjuk kepada kelemahan manusia, serta pemberi iktibar dan motivasi untuk terus berikhtiar.

Jodol antologi diambil dari sajak berjodol Sungai Hayat (hal 38) .
Sungai Hayat
Ini sungai berliku
Airnya sekeras batu
Arusnya mata pisau
Muaranya tanda tanyaku

Dengan nyali keyakinan
Di sini kukayuh sampan harapan
Pada airnya kusaring kelembutan
Pada arusnya kujaring kebeningan
Ini sungai berliku
Mengapungkan degup rinduku
Mengalirkan pijar cintaku
Ke samudera Maha Khalikku.

Penyair ini menggunakan sumber metafora dari alam jagat raya iaitu sungai dengan meyifatkan perjalanan sebatang sungai sebagai perjalanan diri atau perjalanan hidup menempuh pelbagai kejadian. Sebatang sungai mengangkut tanah dan pasir begitulah juga hari-hari yang dilalui memberikan pelbagai pengalaman. Sungai merupakan sumber metafora yang penting yang telah digunakan oleh ramai penyair. Misalnya Hassan Jaidin telah menulis sajak yang berjodol “Sungai Peribadi”, Rahman Shaari dan Ahmad Razali menghasilkan sajak “Sungai Sejarah”. Muhammad Haji Salleh menggunakan metafora ‘sungai takdir’ dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe”. Jair Sulai juga menggunakan metafora ‘sungai waktu’ dalam sajaknya “Belajar Resmi Sungai Waktu” (Sungai Hayat:21).

Pada pandangan Penyair, perjalanan hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah umpama berdayung di sebatang sungai yang airnya tidak lembut, malah keras seperti batu. Di dalam hidup kita akan menemui perkara-perkara yang menyakitkan. Hal ini diibaratkan seperti arus sungai yang kadang-kadang tajam seperti mata pisau. Seperti arus sungai, perjalanan hidup membawa kita ke suatu destinasi atau menuju masadepan yang tidak dapat ditentukan ataupun diramal. Hal ini dilambangkan oleh ungkapan ‘muaranya tanda tanyaku’ Namun begitu penyair telah membina keberanian dan keyakinan diri untuk terus melangkah. Selain ‘sungai hayat’, ungkapan yang berupa metafora yang terdapat di dalam sajak ini ialah ‘sampan harapan’ yang membawa maksud sesuatu yang amat diperlukan di dalam menjalani kehidupan ini. Kata sungai dan hayat tidak mempunyai hubungan dan persamaan tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya berjalan dan berterusan.

Sebuah lagi sajak yang memperkatakan tentang perjalanan hidup ialah Bahtera Hidup (hal: 19).

Sewaktu pelayaran bahtera hidup
Di samudera fana ini
Hanya kemudi iman yang teguh
Meluruskan arah tujuanya
Meski dilanda badai dan
Dioleng arus gelombang dugaan.

namun yang memastikan ke mana
haluan bahtera hidup
adalah nakhoda minda yang arif
tentang ilmu pelayaran
Kerana tali kemudi iman
Terletak dalam genggamannya

Jika sajak terdahulu (Sungai Hayat), menggunakan lambang sungai ,sajak ini menggunakan lambang laut Laut dan perjalanan laut telah digunakan di dalam sekian banyak puisi Melayu moden dan tradisional.untuk membawa makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat. Setiap insan mesti berhati-hati dalam melayari hidupnya. Laut yang luas dan bertenaga adalah juga lambang kekuasaan Allah SWT. Sajak ini mengandungi peringatan bahawa manusia adalah pelayar yang mengharungi samudera dan mereka memerlukan pertolongan Allah agar tidak karam dan tenggelam di lautan yang dalam. Pemikir-pemikir Islam turut membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Contohnya, Syeikh Abdul Qadir Jailani pernah menyebut, “Wahai anakku, dunia ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157). Ucapan dibuat di Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H..

Dalam hubungan ini, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal (Braginsky,1994: 272). Penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17. Hamzah Fansuri telah mempelopori kaedah pemikiran simbolik Hamzah menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.
Wahai muda kenal dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan
(sumber: Harun Mat Piah, 1997:255)
Perahu ialah kenderaan yang membawa seseorang menuju ke tempat yang dituju. Perjalanan melalui sungai dan laut memerlukan kenderaan seperti bahtera, kapal, perahu, sampan, biduk atau rakit. Kenderaan-kenderaan ini muncul di dalam puisi membawa makna tersirat iaitu peralatan atau prasarana yang diperlukan di dalam menjalani kehidupan. A.Wahab Ali menggunakan perahu dalam sajak “Ke pelabuhan Jauh”, A.Samad Said menggunakan rakit dalam sajak “Menambat Rakit” dan Jair Sulai menggunakan sampan di dalam sajak “Sungai Hayat” yang dibicarakan sebelum ini,.(Dengan nyali keyakinan/di sini kukayuh sampan harapan). Setiap insan mesti memastikan peralatan atau prasarana ini berada di dalam keadaan baik dan lengkap untuk membawanya menyeberang. Sebuah kehidupan tanpa prasarana yang lengkap disifatkan oleh peribahasa Melayu sebagai “biduk ada pengayuh tidak”

Sajak “Bahtera Hidup membawa pesan dan peringatan agar manusia berhati-hati. Mesej puisi ini adalah selaras dengan prinsip Teori Pengkaedahan Melayu, yang melihat sastera sebagai penciptaan yang membawa manfaat dan kebaikan. Perjalanan menyeberang laut merepresentasi perjalanan ruh untuk pulang ke negeri asal atau negeri yang abadi. Di dalam perjalanan itu ruh akan diganggu oleh Iblis yang sentiasa mencuba untuk menggagal dan menyesatkannya. Gangguan-gangguan ini digambarkan sebagai badai dan gelombang yang cuba menenggelamkan bahtera hidup. Pada pandangan penyair, penyelamat manusia yang utama ialah akal fikiran. Oleh itu manusia harus mempertajamkan minda di dalam mengendali pelayaan. Suatu pelayaran yang dikendalikan oleh seorang nakhoda yang bijak dan dapat menggunakan akal fikirannya akan selamat sampai ke destinasi.

Dalam sajak ini terdapat beberapa buah metafora yang terbina dari alam lautan dan pelayaran. Tiga contoh ialah ‘bahtera hidup’, ‘kemudi iman’, ‘gelombang dugaan’. Sementara di dalam Sungai Hayat terdapat metafora ‘sampan harapan’. Empat metafora ini dicipta dengan cara mencantumkan objek konkrit dengan objek abstrak. Kata bahtera digandingkan dengan hidup , kata kemudi digandingkan dengan dengan iman, gelombang dicantumkan dengan dugaan dan sampan digandingkan dengan harapan.. Semua lapan perkataan yang terlibat ialah kata nama. Tetapi bila dua kata berganding menjadi metafora, maka satu perkataan akan bertukar menjadi katasifat yang berfungsi menerangkan tentang perkataan yang yang lain. Yang hendak disampaikan ialah perihal perkataan yang kedua. Di sini bahtera menerangkan tentang hidup, iaitu hidup adalah umpama menaiki bahtera.Setiap orang mesti menjaga bahteranya kerana bahtera yang tenggelam di lautan adalah seperti sebuah kehidupan yang musnah. Kemudi menjadi katasifat yang menerangkan tentang iman, iaitu iman adalah seperti kemudi yang menjaga sesebuah pelayaran. Kemudi menetapkan hala dan arah pelayaran sementara iman akan memandu tiap insan ke jalan yang benar. Kata gelombang memberi keterangan kepada dugaan iaitu segala dugaan di dalam hidup ini akan datang sebagaimana seorang pelayar akan menempuh gelombang di dalam pelayarannya. Gelombang akan menyukarkan pelayaran begitu juga dugaan akan memberi kesukaran kepada seseorang. ‘Sampan harapan’ merupakan metafora yang cantik, menyatakan tentang harapan. Dengan adanya sampan dapatlah seseorang berkayuh menuju sesuatu tempat

1 Comment

  1. assalamualaikum…

    saya nazare yusra, membaca novel Hatimu Aishah ketika zaman persekolahan dulu. entah kenapa, sehingga sekarang setelah hampir 20 tahun, saya begitu teringatkan buku tersebut, walaupun mempunyai ratusan koleksi novel.. saya cuba mencari untuk membeli di online, tapi nampaknya belum berjumpa… adakah saya boleh memilikinya sebagai koleksi peribadi daripada Dr sendiri? saya boleh dihubungi melalui e-mel .

Comments are closed