Hanya Yang Hebat Menjadi Sasterawan Negara

zurinah hassan

SAJAK yang baik ialah sajak yang ikhlas dari segi pengucapan, mantap dalam pemaparan makna, dan beridentiti. Sajak yang begini hanya dapat diungkapkan oleh penyair tulen. Seperti sifat manusia, kita tidak dapat memperlihatkan keikhlasan, kemantapan dan identiti puisi dengan menyebutkan unsur-unsur persajakan yang objektif. Selok belok puisi sejajar dengan selok belok manusia, kebagusannya dikenali oleh hati pencinta puisi, bukan hanya oleh akal pembicara yang bersikap akademik semata-mata.

Dalam tahun 1971, Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr Zurinah Hassan menghasilkan puisi yang menggunakan judul 1971. Sajak itu dan sebuah lagi berjudul ‘Bahawa Aku Pernah Hidup’ memenangi Hadiah Sastera 1971 merupakan pengiktirafan yang cukup membanggakan, apabila dikaitkan dengan usia penyairnya ketika itu.

Sajak ‘1971’ memuatkan mesej biasa, namun penyampaian mesej amat mantap. Ia tidak menonjolkan sifat didaktik secara langsung. Dari segi binaan, olahan dan persembahan sajak didaktik mendekati sajak propagandistik. Kaedah demikian sentiasa dihindari oleh Zurinah.

Sajak ‘1971’ dan ‘Bahawa Aku Pernah Hidup’ ditulis ketika Zurinah amat muda, iaitu berusia 22 tahun. Bakat seseorang penyair khasnya, dan sasterawan amnya, memang selalunya terserlah ketika muda. Dalam sajak ‘1971’ kita mendapati tema tahun baru yang datang membawa kedewasaan. Itu ialah mesej dan pengajaran. Perhatian rangkap kedua ini:

Tiba-tiba ia datang
membawaku ke laut terngaga
di hadapanku ombak hidup
gelombang mencabar
ini perahu pengayuhnya hanya petua
rempuhlah
hari ini bukan lagi untukmu
bermain pasir.

Perhatikan ‘ombak hidup’ yang membawa dua makna dan berada dalam keadaan dua unsur gaya bahasa. Frasa ‘ombak hidup’ ialah metafora yang bermakna hidup ini laksana ombak, manakala sebagai personafikasi ‘ombak hidup’ bermakna ombak melakukan sesuatu kerana sifatnya yang hidup. Laksana hidupan, ombak kadang-kadang menimbulkan pergolakan yang besar, kadang-kadang sederhana dan kadang-kadang kecil. Metafora dan personifikasi berjalan serentak dalam fikiran pembaca.

Dalam menjalani kehidupan, ilmu pengetahuan (disebutnya ‘petua’) menentukan pencapaian. Dengan membayangkan hidup laksana berada di dalam perahu di laut, Zurinah menyatakan tema ini dengan satu baris yang berkesan, ‘ini perahu pengayuhnya hanya petua’. Kata-kata ini menimbulkan kesedaran tentang kewaspadaan, kerana pencapaian bahkan keselamatan dalam kehidupan ditentukan oleh ilmu pengetahuan semata-mata.

Demikian pada usia awal dua puluhan, Zurinah amat sedar tentang makna dewasa. Ada tanda-tanda dia sudah mempelajari, atau sekurang-kurangnya meminati falsafah ketika itu. Sajak ‘1971’ memuatkan falsafah eksistensialisme ( rasa tanggungjawab atas kemahuan yang bebas tanpa memikirkan salah atau benar) yang disesuaikan dengan persekitaran di Malaysia. Antara lain, falsafah ini menekankan bahawa manusia dihantar (malah terlontar) ke dunia untuk menghadapi pelbagai cabaran. Tema ini ditekankan lagi melalui sajak “Bahawa Aku Pernah Hidup”.

Dalam rangkap kedua sajak ini, citra ‘ombak’ dimunculkan lagi. Dalam mendakap pantai laguku/getarannya irama ombak/ gementar salam pelaut/ basah di air masin/ pecah di air mata.

Rangkap ini bersahaja tetapi kaya dengan ibarat. Setiap manusia, terutama yang menjadi seniman, ada gaya yang ketara, atau identiti, malah lebih tepat disebut cara khusus (ideosinkrasi). Zurinah menyebutkan bahawa dia mempunyai ‘pantai lagu’ yang dikawal dengan keras. Dia hidup bersama-sama ‘pantai lagu’nya yang dipeluk erat. Dia amat sedar akan cabaran dalam kehidupan, oleh itu dikatakan ‘pantai lagu’nya berirama ombak. Dalam keadaan biasa, kehidupan diiringi suasana biasa. ‘Laut’ bererti ‘air masin’, satu pernyataan literal. Sesekali manusia menghadapi kegagalan malah penderitaan, dan ini dilambangkan dengan citra ‘air mata’.

MUHAMMAD menyampaikan syarahan bertajuk Dalam Zaman Mabuk Sains dan Teknologi, Mengapa Sastera? di Dewan Za’ba Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. – Foto Saifullizan Tamadi.
Penerapan falsafah, antara lain, menyebabkan sajak Zurinah terserlah sebagai karya yang bernilai tinggi. Dia bukanlah penyair yang mencari perlindungan di balik imej atau kata yang terlalu memungkinkan kepelbagaian makna. Dia juga tidak memilih kata yang mendesak pembaca mendapatkan kamus. Dalam amalan berpuisinya, dia tidak menggunakan kata yang jauh daripada penggunaan penutur biasa di sekitarnya, baik yang arkaik mahupun yang pasca moden.

Tema pengorbanan dan kasih sayang ibu, dan kelalaian anak dalam menghargainya terungkap dengan cemerlang melalui sajak ‘Kuali Hitam’ (dalam buku Mutiara Sastera Melayu Moden). Dalam sajak itu, dikisahkan ibu yang gagal faham akan harga kuali dan cara membersihkan kuali yang mahal. Si anak bersuara tinggi kepada ibu. Perbuatan anak akhirnya bertembung dengan penyesalan:

Dan kini aku menyesali
keterlanjuran
setelah ibu kembali
kepada Ilahi
kiranya aku telah
mengukur kasih sayang
dengan harga sebiji kuali.

Harga kasih sayang ibu tidak mungkin diukur dengan apa-apa sekalipun, apatah lagi dengan hanya kuali, betapa pun mahal. Zurinah telah mendapatkan satu citra biasa, citra yang ada di dapur, untuk menyatakan budi dan pengorbanan ibu. Dia memilih citra dapur, kerana itu lambang wanita dalam ukuran tradisi. Namun sajak ini bertahap tinggi dan universal, menyatakan kasih sayang secara yang amat menginsafkan.

Zurinah amat berupaya mempersembahkan puisi dalam bahasa sastera tulen. Beliau berada dalam deretan penyair berwibawa. Malaysia bertuah kerana memiliki penyair seperti ini, sama bertuah dengan mana-mana negara yang hebat dalam bidang seni budaya.

INFO
– Datuk Rahman Shaari adalah pensyarah kanan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

sumber: beritaharian

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.