Siapa Pencipta Irama Syair dan Gurindam ?

Siapa Pencipta Irama Syair dan Gurindam ?

SIAPA PENCIPTA IRAMA IRAMA SYAIR DAN GURINDAM?

Semalam dalam Bengkel Mengarang dan Mendendang syair anjuran Asyiqeen Amin seorang peserta bertanya siapakah pencipta irama-irama syair yang begitu banyak kita kenali pada hari ini. Dia memberi pandangan bahawa pencipta-pencipta ini perlulah diketengahkan dan diberi pengiktirafan.

Jawapan saya: Setuju. Kita sudah ada banyak variasi irama syair sekarang dengan pelbagai nama dan bilangan itu nampaknya semakin bertambah. Pada keseluruhannya ia adalah hasil penyelidikan dan dedikasi Tuan Roslan Madun yang mengumpul irama-irama ini dari seluruh Nusantara. Beliau tentu dapat memberi jawapan yang lebih baik.

Namun begitu pada pandangan saya, sebagai irama tradisional pengarangnya sukar ditentukan. Ini perkara biasa yang berlaku pada pantun dan karya sastera tradisi yang lain , ciri utama ialah tiadanya hakcipta dan menjadi milik bersama.

Walau bagaimanapun apabila diketahui nama pencipta, maka wajar, malah wajib diperakukan. Boleh letak nama pengarang misalnya bila dirakam di you tube. Bagi saya sendiri, saya tidak tahu tentang irama-irama yang lain. Saya hanya boleh bercakap tentang tiga atau empat irama sahaja.

IRAMA TOK KENALI. Pencipta asal irama ini ialah Meriam Awang Lah (dari Kelantan) . Beliau memberitahu saya tentang ini, dan saya sendiri pergi ke studio bersama Meriam untuk merakamnya. Irama ini pertama kali digunakan dalam pementasan drama Tok Kenali. Irama ini sekarang dipersembahkan dengan meluas. Ada yang merakamnya di youtube (tanpa catatan nama penciptanya).

GURINDAM: Mengikut Seniman Negara Rahman B, irama yang kita gunakan untuk melagukan gurindam sekarang, adalah ciptaan kumpulan bangsawan Bintang Timor. Mereka menamakannya gurindam bangsawan untuk menggantikan irama syair selendang delima yang digunakan oleh pesaiang mereka iaitu Tijah Deen Bangsawan,

IRAMA SELENDANG DELIMA; Dari kumpulan Tijah Deen Bangsawan seperti yang didengar melalui Bangsawan di Udara.

IRAMA SARAWAK ATAU NARASI. Ini andaian saya sahaja. Irama ini dihasilkan oleh kumpulan bangsawan juga. Mengikut kajian Rahmah Bujang, setelah bangsawan malap di Singapura dan Tanah Melayu, bangsawan hidup di Sarawak. Dan setiap pertunjukan bangsawan memerlukan satu irama untuk melagukan jalan cerita,

Sekian, semoga ada yang meneruskan perbincangan..
#syair

1 Comment

  1. SISO KOPRATASA

    Irama syair boleh juga dirujuk dengan Dr. Nasir di Universiti Malaya, kerana dia pernah mengkaji dan menganalisa 900 lebih irama syair…dan beliau masih menyimpan hasil penyelidikan dan notasi irama syair yang diselidikinya…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.