BERCAKAP TENTANG SYAIR 2.

PENGALAMAN MENGARANG DAN MELAGUKAN SYAIR Sebagai penulis puisi moden (sajak), saya sering terlibat membaca dan menganjurkan acara baca puisi atau majlis-majlis deklamasi sajak. Kami mencari jalan supaya majlis menjadi lebih menarik. Saya cuba menyampaikan mesej yang terkandung di dalam sajak dengan menggunakan irama puisi lama, iaitu menyampaikan sajak di dalam irama syair. Ini tidak sukar kerana saya memang mementingkan unsur bunyi di dalam sajak dan kebanyakannya mempunyai rima yang terkawal. Di mana perlu saya akan menokok tambah perkataan. Hal ini samalah seperti Zubir Ali yang menyampaikan puisi melalui lagu puisinya atau kemudian Rahman Shaari yang mengemukakan kaedah mestamu (melodi sajak tanpa muzik). Saya tidak gemar irama Selindang Delima kerana terlalu panjang dan sukar untuk menyampaikan maklumat. 1 rangkap mengambil lebih 1 minit. Iramanya yang mendayu mungkin tidak sesuai bila dimasukkan unsur kritikan sosial dan jenaka. Saya ingat kembali satu variasi lagu syair yang pernah saya dengar dibaca oleh nenek. Nenek membaca kitab agama pun dengan gaya berlagu (untuk mengelak dari mengantuk) .Saya tambah ornamentasi, bunga-bunga atau lenggok-lenggoknyanya, panjangkan sedikit dan bawa ke tengah majlis. Pada akhir tahun 80han, saya menjadi jawatankuasa Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia dan Gapena. Kami sentiasa mencari acara-acara yang sesuai untuk diisi di dalam majlis seperti itu. Acara baca puisi oleh wakil-wakil negeri boleh menjadi meleret-leret. Kami mengisi dengan nyanyian lagu-lagu puisi. Di sinilah saya memantapkan bacaan syair. Pertama kali saya membaca secara besar-besaran ialah pada tahun 1992 di dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat kebangsaan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Saya kira bacaan itu telah mendapat sambutan yang baik. Radio Shah Alam merakam dan menyiarkannya. beberapa kali. (Bahkan ada permintaan dari pendengar). telah Sejak itu saya dijemput ke sana ke mari untuk membaca versi syair ini. Antara yang saya ingat, saya pernah membaca di Pekan Baru, Sumatera, Malam Puisi JAKIM, majlis-majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Perasmian Hari Sastera di Melaka, di Universiti Sains Malaysia, di Universiti Putera Malaysia, di Labuan, Alor Setar Kedah. di Perasmian Hari Peladang Kebangsaan, Hari Wanita, sambutan Merdeka di Putera Jaya dan lain-lain. Saya sempat mengutip respon audien. (Sambutan penonton boleh diukur dari tepukan dan komen-komen yang diterima selepas bacaan. JAntara komen yang saya dengar:

  • suka mendengar kerana jarang atau tak pernah dengar
  • tertarik dengan lagu
  • teringat ibu atau nenek pernah melagukannya semasa dia masih kecil terutama untuk menidurkannya.
  • tertarik dengan mesej yang disampaikan

Paling banyak ialah ke empat iaitu tertarik dengan mesej. Setelah beberapa tahun menjalankan aktiviti ini dapatlah saya membuat catatan berikut. Semoga catatan ini ada relevannya di dalam usaha melestarikan puisi tradisi terutama syair. Adakalanya saya berjaya dan kadang-kadang tidak. Antara faktor yang membawa kejayaan. . Syair perlu disesuaikan dengan majlis dan audien. Misalnya bila diminta membaca syair untuk pembukaan seminar seperti seminar sastera yang hadir adalah orang sastera. dan intelektual. Syair yang dibaca perlu ada substance yang mencabar pemikiran tapi menghiburkan dan lebih ringan dari kertaskerja yang akan disampaikan dalam seminar tersebut. Syair perlu disesuaikan dengan tema seminar. Suatu ketika saya ditugaskan bersyair dalam persidangan muzium di Selangor. Saya mencari maklumat dari buku cenderamata dan kertaskerja lalu mengarang syair yang sesuai. Namun saya belum puas dengan karangan saya. Pada waktu makan tengah hari saya cari tempat duduk yang tidak jauh dari meja ahli-ahli lembaga muzium supaya dapat dengar perbualan mereka. Saya dengar mereka mengecam pihak tertentu yang cuba memesongkan fakta sejarah.. Malamnya bila saya membaca syair, saya lihat mereka tersenyum bila saya membaca: Tuan pengarah dan ahli lembaga usaha kalian kami menyokong fakta sejarah mesti dijaga ada petualang ingin memesong Boleh menyebut nama tempat di mana syair dibaca dan komen yang menarik tentang tempat dan masyarakatnya. Oleh itu pengarang syair perlu studi tentang tempat tersebut, apa yang disukai oleh penduduk. apa yang menjadi bahan jenaka di situ. Ini disebut sebagai local colouring. Misalnya pada majlis Perasmian Hari Sastera di Melaka, penonton bertepuk bila dibacakan:: orang Melaka bualnya ramah kedengaran kasar kalau tak pernah tangganya batu masjidnya tanah mahallah tangga dari lah rumah. Boleh menyentuh orang yang penting dan popular yang hadir dalam majlis itu, pastikan komen yang baik, tidak menyinggung perasaan..Jadi cari maklumat tentang tokoh yang akan hadir. Lebih mencabar kerana kadang-kadang tokoh tersebut tidak dijangka hadir. Misalnya pada Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan di Shah Alam, Dato Sanusi Junid muncul pada malam kedua. Sempat juga saya masukkan serangkap tentang Taman Pertanian Bukit Cerakah yang sangat disayanginya. Gunakan bahasa puitis atau permainan bahasa seperti juga menulis sajak. Contoh: orang kita banyak peluang di tanah air yang kaya raya sedang kita kaya peluang orang lain berpeluang kaya cepatnya berubah wajah kotaku bangunan tinggi tandanya maju lain pula kampung baru kampung baru tak baru-baru Sesuaikan dengan audien: Untuk majlis orang politik saya membaca syair ini kepada tuan pemimpin budiman ingatlah ini satu pesanan jika tuan sayang keturunan jangan jual kuasa di tangan ingatlah kata orang bestari jauhi sengketa sama sendiri ibarat keris menikam diri itulah jalan musnah negeri Tan Sri Muhammad Mohd Taib pernah memberi komen, “elok baca syair-syair macam ini, kalau kata terus terang nanti orang marah). Untuk mengusik dan memberi peringatan kepada orang politik saya pernah membaca Dengarlah wahai tuan budiman anak isteri diabai jangan kerana asyik berangan-angan akhirnya hilang kuasa di tangan Untuk Sambutan merdeka di Putra Jaya:. Dengan insaf fakir mengarang terasa sedih bila dikenang beratus tahun dijajah orang kerana lalai maruah hilang Di suatu majlis untuk Ibu Tunggal, ada ibu tunggal yang menangis mendengar rangkap ini mengenang anak yang menderita tidak dipedulikan oleh ayah. kalau pun sudah suratan takdir atau jodoh sudah berakhir kebajikan anak samalah fikir jangan dibuat seperti fakir Ini bermakna saya mesti bersedia untuk mengarang “last minute” seperti yang dibuat oleh tukang karut dikir barat atau peran mak yong.Itulah ciri sastera lisan. Keperluan last minit ini juga terjadi di dalam majlis yang banyak protokolnya. Apa yang dikarang akan disemak dan mungkin disuruh pinda, misalnya dalam acara di Istana Iskandariah pada Saya juga terpaksa mengarang last minute kerana tak cukup maklumat tentang acara atau tempat yang hendak disyairkan. Semasa saya diminta membaca syair untuk acara pelancaran buku di Labuan saya terpaksa tunggu sehingga sampai di Labuan untuk merasa suasananya. Walaupun. boleh cari maklumat dalam buku, tetapi lebih puas jika dapat berada di tempat itu dan menyaksikan gelagat manusia, barulah ada unsur bergurau dan usik mengusik.. Semasa rehearsal barulah terbangkit suasana sebenar (umpamanya kesedihan yang menyelubungi ibu tunggal). Di situ akan datang idea-idea baru. Syair sentiasa diperbaiki hingga ke saat akhir. Kadang-kadang hal ini tidak dapat dilakukan. Lebih-lebih lagi jika penganjur majlis hanya mahu saya mengarang tapi orang lain membaca. (mereka mahukan seorang bintang untuk tampil ke hadapan). Saya mesti siapkan skripnya jauh lebih awal kerana pembaca syair perlu masa untuk berlatih Kalau ini pilihan mereka saya hanya boleh sediakan teks yang dry, tak ada elemen humor, usik mengusik dsbnya. Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa irama yang saya gunakan untuk membaca syair itu ialah irama Syair Dan Dan Setia. Semasa membuat persembahan di Pekan Baru, Indonesia saya diberitahu bahawa irama itu mirip syair Riau. Penyelidikan terus dijalankan dan kita menunggu hasilnya. Biarkan jauhari yang mencari manikam. Tugas pengamal dan pembaca syair ialah untuk meneruskan aktivitinya selagi terdaya agar suara kita tidak tenggelam dalam kesibukan orang membina bandaraya. Warisan kita yang indah janganlah tertimbus di bawah rumah.

1 Comment

  1. blum baca entri ini. bagus memartabatkan puisi melayu. saya lebih berminat dengan pantun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.