Pesan Pak Kaduk

pak kaduk ayam

Tuan Yang Berhormat
menang ayam kerana taji
menang tuan kerana undi
menang hamba jangan diulang
menang sorak di tengah gelanggang
sedang tanah diambil orang.

Tuan Yang Berhormat
jangan meniru cerdik raja memangsakan rakyat
jangan ulangi bodoh hamba
tamakkan habuan yang cepat
termakan pujuk terbelit muslihat
kurang ilmu buta hakikat
tumpul akal tidak melihat
kalah orang kalah mendapat.

Silap Pak Kaduk bertukar ayam
maka tergadai kampung halaman
silap tuan bertolak ansur
maka tercagar nasib keturunan.

Menang Pak Kaduk tidak bertanah
menang tuan tidak bertuah
kalau menunduk pada yang kalah
menang suara jangan kalah digertak
menang budaya jangan kehilangan watak
menang sorak jangan kalah sabungan
menang kerusi jangan hilang perjuangan.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.