CERITA SEBENAR MAT JENIN
(SN Zurinah Hassan)
Aku mahu bercerita walaupun kau tak mudah percaya
seumur hidupmu kau mendengar mereka berkata
lihat Mat Jenin berangan-angan tinggi
terjatuh pokok lalu mati.
Aku tahu kau mempercayai cerita itu
tetapi dengar dulu penjelasanku
jangan menutup telinga
jangan memenjarakan minda
mendengar sebelah pihak sahaja.
Dengar ini cerita sebenar
desaku tidak pernah memberi peluang
pada cita-cita besar
tak mungkin ada daya ikhtiar
hidup seluruhnya takdir
apa guna berfikir.
Sebenarnya
aku bukan berangan-angan
tapi bercita-cita tinggi
kuatur strategi pemasaran
dengan rangkaian pengedaran
berkat penyelidikan membiak ternakan
menggandakan pendapatan
aku menjadi petani berjaya
tapi semua itu sukar dipercayai.
Sebaliknya
mereka menjatuhkan aku dari pokok kelapa
aku mati serta-merta
tujuannya nyata
supaya kau takut untuk bercita-cita
semuanya adalah helah
agar semangatmu terus lemah.
Itu perkara biasa
memutarbelitkan fakta
mengikut sesuatu agenda
mereka mencorakkan watak
mengikut kehendak sesuatu pihak
cerita diubah suai
mengikut selera ramai.
Atau tukang cerita berpendapat
jika Mat Jenin berjaya
cerita menjadi hambar
ada yang tak mahu mendengar
mungkin kerana jemu
atau berasa cemburu
senario akan terganggu
mana ada orang kaya
dalam kampung Melayu.
Pengakhiran yang dramatik
tentu lebih menarik
biarkan Mat Jenin mati
kerana terjatuh pokok
itu lebih seronok
si pencerita sudah masak
dengan kehendak khalayak
pasti mereka tergelak
gelak terbahak-bahak
seperti ketika melihat Pak Pandir
memandikan dan membunuh anak.
Cuma aku berasa terkilan
dan hatiku cukup terluka
bangsaku amat suka mentertawakan kegagalan
dan maut dijadikan bahan jenaka.
Ah tukang cerita
aku kesal dengan sikapmu
sesekali apa salahnya
kau memberi kejayaan
kepada watak Melayu?