Unsur Metafora dan Perumpamaan di dalam Al-Quran

metafora al-quran

UNSUR METAFORA DAN PERUMPAMAAN DI DALAM AL- QURAN

Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan bahasa serta mengandungi perumpamaan dan misal perbandingan terutama yang dikaitkan dengan unsur-unsur alam. Al-Quran menggunakan perlambangan atau Amsal yang diertikan sebagai “menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dan mendekatkan sesuatu yang abstrak dengan sesuatu yang inderawi (konkrit)” (Ahsin W. Al-Hafidz, 2005:24). Bahkan, Allah SWT berfirman dengan jelas tentang penggunaan unsur alam sebagai metafora ini. Hal ini dapat dilihat melalui ayat yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan (metafora) apa sahaja (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka.” (Surah Al-Baqarah ayat: 26)

Terdapat ayat-ayat yang menjelaskan penggunaan perlambangan dan perbandingan di dalam Al-Quran. Antaranya:

  1.  “Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu (Surah Al-Hajj, ayat 73-74).
  2.  “Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan” (Surah ar-Ra’ad, ayat 17).
  3.  “Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya” (Surah al-Ankabut ayat 43 ).
  4.  “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah az-Zumar, ayat 27)

Ayat-ayat di atas menyebut tentang penggunaan metafora dan perumpamaan dalam Al Quran. Metafora dan perumpamaan merujuk kepada misal perbandingan . bahasa kiasan, , atau menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain yang mempunyai aspek aspek persamaan. Kebanyakan missal perbandingan ialah dengan unsur alam.

Hal ini dijelaskan melalui ayat Surah Al Baqarah ayat 164.yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah, terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa setiap kejadian alam adalah tanda kebesaran Allah yang mencipta segala-galanya. Manusia diminta menggunakan akal fikiran untuk memerhati kejadian di langit dan di bumi kerana segalanya adalah tanda-tanda yang mengandungi makna tentang keesaan Allah. Di antara unsur alam yang disebut di dalam ayat di atas ialah:

  • pelbagai jenis haiwan.
  • pertukaran malam dan siang (waktu)
  • kapal-kapal yang belayar di laut
  • tumbuh-tumbuhan

Dengan berpandukan ayat di atas, tulisan ini seterusnya akan ditumpukan kepada empat unsur alam tersebut, iaitu pertukaran malam dan siang (waktu), laut dan perjalanan laut, tumbuh-tumbuhan, dan pelbagai jenis haiwan .

Dua unsur yang akan disebut di sini ialah Laut dan Lautan dan Pertukaran malam dan siang (Peredaran hari).

LAUT DAN LAUTAN

Laut digunakan dalam dua cara terbesar:

1. Laut yang luas dan bertenaga menjadi simbol kekuasaan Allah. Keluasan laut merepresentasi keluasan alam ciptaan Allah dan keluasan ilmu Allah.

2. Laut dan perjalanan laut mengandungi makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat.

Laut dan keluasannya digunakan sebagai simbol kebesaran Allah dan keluasan alam ciptaanNya. Laut dijadikan perbandingan untuk menyatakan tentang keluasan ilmu Allah atau kalam Allah. Hal ini dilihat daripada ayat yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan (Surah Al-Kahfi, ayat 109).

Kehidupan adalah ibarat sebuah pelayaran dan hanya Allah dapat menyelamatkan manusia daripada bencana karam di tengah lautan seperti yang diperingatkan oleh Al-Quran, “Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka, kira-kiranya Kami lakukan demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat diselamatkan ( Surah Yaa Siin, ayat 43).

Kewujudan laut dapat diterjemahkan sebagai rahmat Tuhan khasnya kepada manusia. Laut sebagaimana ciptaan Allah yang lain adalah amat besar manfaatnya. Allah berFirman, “Dan Dialah yang memudahkan laut supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat kapal-kapal belayar padanya, dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya kamu bersyukur” (Surah An-Nahl, ayat 14).

Laut menyediakan laluan untuk manusia mengembara dan membina tamadun. Pada laras yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat, iaitu kehidupan dunia adalah laluan ke akhirat. Aspek ini ditegaskan oleh ayat yang bermaksud, kegunaan laut amat jelas daripada ayat, “Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur (Surah Al-Jaathiyah, ayat 12).

Laut di dalam Al-Quran telah mengemukakan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dan iktibar seperti yang diseru oleh ajaran Islam. Di dalam kisah Nabi Nuh, Allah telah mewahyukan kepada Nuh untuk membina bahtera sebelum terjadinya banjir yang besar dan seluruh daratan telah menjadi laut. Bahtera yang menjadi penyelamat itu adalah simbol pertolongan Allah terhadap hambaNya yang beriman, sepertimana maksud ayat, “Dan sesungguhnya Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf” (Surah Al-Qamar, ayat 15).

UNSUR WAKTU DAN PERJALANAN HARI.

Pertukaran malam dan siang adalah ketentuan Allah yang membuktikan kebijaksanaanNya. “Bahawa sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (Surah Ali-Imran, ayat 190).

Peredaran waktu adalah bukti kesempurnaan ciptaan Allah SWT dan rahmat yang dikurniakanNya. Hal ini diterangkan melalui ayat yang bermaksud, “Dan sebahagian daripada rahmat Allah itu ialah dijadikanNya bagimu malam dan siang, agar kamu dapat beriistirahat dan bekerja mencari rezeki kurniaNya, dan akhirnya agar kamu sekelian suka bersyukur” (Surah al-Qasas, ayat 73).

Perjalanan hari sepatutnya mengingatkan manusia kepada perjalanan usianya. Hal ini dinyatakan di dalam ayat; “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu) (Surah Al-furqan, ayat 62).

Peredaran waktu dan kaitannya dengan alam terjelas di dalam ayat yang bermaksud; ”Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan silih berganti. Dan Ia pula yang mencipta matahari dan bulan serta bintang-bintang semuanya tunduk kepada perintahNya” (Surah Al-A’raf, ayat 54).

Antara lain, kejadian peredaran itu ialah supaya manusia dapat mengira masa (hari, bulan dan tahun) seperti yang dijelaskan oleh ayat: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)” (Surah Yunus, ayat 5).

Manusia diminta memerhati dan memikirkan kejadian peredaran malam dan siang yang melibatkan peredaran bumi, matahari dan seluruh cakerawala kerana perkara ini membuktikan kekuasaan Allah dalam mengatur,mentadbir dan memelihara alam di dalam undang-undang yang tersusun rapi.Hal ini diterangkan oleh ayat yang bermaksud, ”Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa” ( Surah Yunus, ayat 6 ).

Merenungi kejadian yang dicipta oleh Allah adalah dengan menggunakan matahati dan akal fikiran kerana segala kejadian yang dicipta oleh Allah mempunyai makna dan memberi iktibar bagi orang yang mahu berfikir, seperti yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud; “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik matahatinya iaitu berfikir (Surah An-Nur, ayat 44).

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.