Tentang Irama Syair dan Irama Gurindam

Tentang Irama Syair dan Irama Gurindam

TENTANG IRAMA SYAIR DAN IRAMA GURINDAM
Bagi kebanyakan kita pengenalan awal kepada syair berlaku melalui rancangan radio, Bangsawan Di Udara yang diterbitkan oleh Radio Malaya (Singapura). Seronoknya mendengar alunan syair dari Tijah Deen Bangsawan. Irama itu sekarang digelar irama syair Selendang Delima. Saya pun tidak sedar bilakah penamaan ini berlaku. Satu soalan lagi Siapakah yang mencipta irama tersebut. Belum ada jawapan untuk itu, tapi yang pastinya tentulah ada pencipta yang mencipta dan menggubah. Tidak mungkin ia datang terus dari Arab kerana tidak pernah pula mendengar orang Arab membaca syair dengan lagu yang demikian. .

Jadi kita boleh katakan irama Selendang Delima ini dikarang oleh pencipta muzik dalam kumpulan Tijah Deen Bangsawan. Andaian ini diperkuatkan apabila kumpulan kumpulan bangsawan yang lain yang merupakan pesaing Tijah Deen tidak menggunakan irama tersebut. (mungkin juga masalah hakcipta).

Salah satu kumpulan Bangsawan pesaing Tijah Deem ialah kumpulan Bintang Timur yang diketuai oleh Bakar M. Ini diakui oleh Seniman Negara Rahman B, anak kepada Bakar M, dalam satu perbualan dengan saya di kampus Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA). Mengikut Pak Rahman B, “Kami mencari irama yang lain daripada syair itu”. Mereka telah menggubah irama yang berlainan yang mereka namakan Gurindam Bangsawan. Walaupun dinamakan Gurindam tujuan penciptaan bukanlah untuk membaca gurindam (karangan dua baris serangkap dengan struktur yang tersendiri) tetapi karangan empat baris serangkap yang pada struktutnya ialah syair. Gurindam Bangsawan biasanya dibaca oleh Rohani B penyanyi utama kumpulan Bintang Timur yang merupakan adik kepada Rahman B.Kita boleh katakan bahawa irama Gurindam Bangsawan adalah satu versi irama Syair, alternatif kepada irama yang digunakan oleh kumpulan Tijah Deen.

Gurindam Bangsawan tidak dapat menandingi populariti irama Selendang Delima yang telah tersebar luas ke daerah Nusantara melalui rancangan Bangsawan Di Udara. . Tetapi pada sekitar tahun 2000 irama Gurindam Bangsawan telah mendapat tempat. Irama ini mula berkumandang, diketengahkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam acara-acara besar. Hal ini terjadi berikutan kedudukan dan peranan Rahman B yang kembali aktif. Rahman B menjadi guru bangsawan di ASWARA dan berperanan penting dalam menghidupkan kembali bangsawan Melayu.

Bangsawan arahan Rahman B tidak menggunakan variasi irama Selendang Delima tetapi variasi yang mereka namakan Gurindam Bangsawan walaupun yang didendangkan adalah ouisi empat baris serangkap. Malah Rohani B dengan kreativitinya melagukan sajak-sajak dengan irama ini. Saya pernah mendengar Rohani B menggunakan irama ini untuk membawakan sajak Usman Awang iaitu Ke Makam Bonda.

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.