Sumber Ilham Dari Perjalanan

sumber ilham

SUMBER ILHAM DARI PERJALANAN – Zurinahhassan

Banyak puisi telah ditulis dan banyak lagu telah dicipta hasil dari perjalanan seseorang dari satu tempat ke suatu tempat. Puisi puisi tersebut bertemakan hidup dan perjalanan. Puisi tentang perjalanan dipenuhi imej lebuh raya, kenderaan dan pemandangan yang dilihat di luar kenderaan. Penyair berfikir tentang perjalanan hidup manusia lalu mencambahkan idea atau ilham untuk mencipta karya. Perjalanan adalah pergerakan fizikal yang mempengaruhi pergerakan mental dan kerohanian.

Sebilangan besar sajak saya memperlihatkan hubungan secara langsung dengan perjalanan, seperti “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang”, “Hidup Dari Jendela keretapi”, “Senja di Pelabuhan”, “Di Perhentian Bas”, “Di sini Tiada Perhentian”, “Keberangkatan”, “Madah Pelaut”, “Semoga Selamat Pulang”, “Menunggu Pesawat”, “Batu Tiga Shah Alam”, “Bas Mini Wilayah”, ”Jalan Kelang Lama”, “Bas Stand Klang” dan beberapa lagi.

Saya menulis “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” yang pertama kali disiarkan di Utusan Zaman, Disember 1970, kemudian dimuatkan dalam kumpulan Sesayup Jalan. Sajak tersebut telah dilagukan oleh Kumpulan Harmoni dan sering berkumandang di radio pada awal tahun lapan puluhan:

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
laut mengimbau sayu
ombak-ombak ini hatiku
berhasrat tiada tepi
pecah di pantai berbuih cuma.

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hujan memberi lagu
angin menampar ke setiap ruang rasa
berhiba-hiba awan pilu.

Aku antara insan beribu
air mataku antara laut lepas
laguku hilang dalam angin menderu.

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
hatiku terjun ke air
mencari tempat bagiku
aku seorang pelarian.
(Sesayup Jalan, hlm. 28).

Penciptaan “Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang” berlaku ketika di dalam feri menyeberangi laut. Pada masa itu jambatan Pulau Pinang belum dibina. Dari feri itu kelihatan kapal-kapal besar sedang berlabuh dan bot-bot kecil melintas Unsur-unsur alam menerbitkan perasaan yang telah diungkap dalam sajak ini. Sebagai karya awal, sajak ini lebih didominasi oleh perasaan kesayuan dalam mengenang beberapa hal yang menggelorakan kehidupan ketika itu. Ombak-ombak melambangkan keresahan. Langit kelabu dan hujan membawa rasa murung.

Perjalanan itu adalah perjalanan diri meninggalkan rumah atau zon selasa ke suatu tempat yang belum dikenali. Berjalan seorang diri menjadi pertanda terlantarnya diri ke alam kedewasaan. Saya mula menyedari bahawa setiap individu itu akan akhirnya keseorangan dalam menempuh kehidupan. Ini lebih terasa dalam dunia yang semakin sibuk dan manusia membawa hal masing-masing. Jika saya menangis pun air mata saya hanya akan menjadi setitis air di laut yang luas dan lepas itu.

Memandang laut yang berombak saya semakin terkenang pada kehidupan zaman remaja yang tidak sunyi daripada geloranya. Perasaan mudah tergores dan, semangat mudah lemah. Saya berfikir bahawa menusia perlu “lari” daripada cengkaman perasaan. Bahkan, survival manusia terletak pada kecekapannya mengurus perasaan atau melarikan diri daripada cengkaman perasaan. jika boleh, larikan diri daripada ditawan oleh perasaan itu. Maka saya sifatkan diri sebagai seorang pelarian dan mengatakan, “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang/ hatiku terjun ke air/ mencari tempat bagiku/ aku seorang pelarian”.

Perjalanan dan menunggu kenderaan juga memberi makna tertentu tentang perjalanan hidup. Suatu petang ketika menungu bas saya diganggu persoalan-persoalan tentang perjalanan dan destinasi. Maka saya menulis “Di Perhentian Bas”. Sajak ini membawa anggapan bahawa setiap manusia bagaikan sedang berada di sebuah perhentian bas, seseorang yang tidak dapat menentukan destinasi, tidak dapat bergerak.

Di perhentian bas ini
asap-asap mobil laju
hinggap ke mataku

Di perhentian bas ini
bebayang yang panjang
telah terbaring
di atas debu

Dan aku terus menanti
mobil-mobil berlalu
tiada satu yang kuberhentikan
kerana aku belum pasti
ke mana akan pergi.

(“Di Sini Tiada Perhentian”, hlm. 7)

Perhentian bas mengingatkan kepada perjalanan hidup.. Semua kita ialah penunggu atau penumpang bas kerana kita tidak dibenarkan tinggal di satu tempat buat selama-lamanya. Ketika menulis sajak itu saya dipengaruhi oleh drama Samuel Beckett, Waiting for Godot . Saya turut menulis beberapa buah sajak yang bertemakan penantian seperti “Di Sini Tiada Perhentian” dan “Menunggu Pesawat”. Saya selalu bertanya tentang kehidupan. Adakah setiap orang menentukan destinasinya sendiri?. Yang pastinya, manusia dituntut untuk membuat keputusan segera. Seseorang yang tidak membuat keputusan samalah seperti seorang yang menunggu di perhentian bas tetapi, tidak pasti ke mana arah yang hendak ditujunya. Individu seperti ini akan ketinggalan. Hidupnya akan diganggu ketakutan. Saya menggunakan imej asap dan debu yang hinggap ke mata, sebagai lambang kepada gangguan gangguan.

Terdapat ayat “bebayang yang panjang/ telah terbaring/ di atas debu”. Di sini saya menggambarkan hari petang. Saya suka mengaitkan waktu petang dengan bayang yang panjang. Pada waktu petang kita melihat bayang sendiri terbaring di atas debu, Ini membawa rasa yang menakutkan. Hari sudah hampir malam. Malam membawa kegelapan. Saya gunakan imej malam sebagai simbol satu keadaan kegelapan, tidak pasti, dan membimbangkan.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.