Sayembara Ini Adalah Perjuangan Peribadi

Sayembara Ini Adalah Perjuangan Peribadi

SAYEMBARA INI ADALAH PERJUANGAN PERIBADI. – kenangan mantan Setiausaha SDPHK.

Mesyuarat pertama SDPHK diadakan pada 16 Jun 1987 di DBP. Inilah pertama kali sebuah pertandingan deklamasi sajak dianjurkan oleh badan kerajaan secara besar-besaran dan dijadikan sebahagian sambutan Hari Kebangsaan. Saya hadir mewakili Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia.

Mesyuarat bersetuju agar Sayembara ini adakan di peringkat daerah, negeri seterusnya kebangsaan. Soalnya Jabatan manakah yang akan mengendalikannya?.

Ini bukan pertandingan untuk pelajar-pelajar sekolah, jadi tidak sesuai diserahkan kepada Jabatan Pendidikan. Dewan Bahasa tak cukup jentera untuk menggerakkan di semua pelusuk dan daerah hingga ke Sabah Sarawak. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun itu berpecah kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kem. Belia. Kedudukan Kementerian baru ini masih kurang jelas menyebabkan mereka menolak untuk memikul tanggungjawab bagi program yang begini besar.

Keadaan hampir buntu. Yang tinggal di situ hanyalah saya dan saya cuma seorang Pegawai biasa. Saya tiada kuasa, tetapi saya mencintai puisi. Maka bermulalah satu perjuangan peribadi. Saya pun bertakawal untuk mencuba. Esoknya saya menemui boss teratas, menerangkan dan cuba mempengaruhi agar menjadikan Sayembara ini satu tugas Jabatan Penerangan. Alhamdulillah berhasil. Arahan pun dikeluarkan daripada pejabat Ketua Pengarah Penerangan di Kuala Lumpur ke seluruh daerah dan pelusuk negara mengarahkan semua untuk bersiap sedia. Sebahagian pegawai dan kakitangan masih terpinga-pinga, bukan semua tahu apa itu puisi hahaha.Maka mulalah saya merentas seluruh negara, pergi ke setiap negeri untuk memberi taklimat dan penerangan. Ramai juga yang bertanya bgmana sebuah acara puisi dikendalikan oleh Jab. Penerangan yang selama ini tidak ada kaitan dengan seni dan sastera.

Keadaan tidak semudah sekarang.. Pada masa tu segalanya masih kosong, Maksudnya tiada panduan penghakiman, tiada format pemarkahan, malah puisi-puisi yang akan dideklamasi pun masih perlu difikirkan. Jawatankuasa Gapena dan tokoh-tokoh puisi bemesyuarat untuk menyelaras. Sejak awal saya menduduki Jawatankuasa SDPHK sebagai penyelaras pertandingan seluruh negara. Kawan-kawan di dalam komiti memanggil saya “wayar penyambung”. AGI (A.Ghafar Ibrahim) merupakan Setiausaha yang pertama. Beliau meletakkan jawatan SU beberapa tahun kemudian dan saya pun menggantikannya.

Syukur kepada Allah, SDPHK telah dapat dijalankan dengan meriah dan jayanya. Setiap tahun menjelang Hari Kebangsaan, saya dan kawan-kawan akan melaksanakannya dengan rasa senang hati. Malangnya atas sebab-sebab peribadi, setelah berbelas tahun bersama SDPHK, saya terpaksa membuat keputusan untuk bersara awal dari Jabatan Penerangan. Tidak berapa lama kemudian saya mendengar pelbagai cerita. Pertandingan berpindah ke Jabatan lain, kononnya atas pandangan orang besar yang merasakan sayembara ini perlu dikendalikan oleh Jabatan yang lebih sesuai dan cucuk dengan aktiviti seni dan budaya. Terdengar kabar juga yang ia pernah terhenti buat beberapa tahun.

Semoga ia dapat dihidupkan kembali dan disemarakkan semula. Siapa kenal saya melalui SDPHK? Harap ada yang angkat tangan.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.