Pandangan Sarjana Penulis Tentang Zurinah Hassan

Pandangan Sarjana Penulis Tentang Zurinah Hassan

Pencapaian Zurinah Hassan di dalam bidang sastera, khasnya puisi di Malaysia telah diakui oleh ramai tokoh. Beberapa contoh adalah seperti berikut:

MANA SIKANA berpendapat bahawa “Zurinah Hassan adalah penyair wanita kita yang terkuat”.(Mana Sikana,1995:44).

Mana Sikana merumuskan bahawa
“Muhammad Haji Salleh adalah di antara penyair terbaik Malaysia. Ini diikuti dengan Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan. Kemala terus konsisten dengan pengucapannya. Baha Zain meski kurang prolifik, tetapi sajak-sajaknya masih kental dan belum ada pengarang terkemudian yang dapat mengatasinya.Saya menambah ZurinahHassan sebagai penyair terbaik, justeru di kalangan penyair wanita dialah yang paling terkemuka dan puisi-puisinya menjadi lambang kelembutan wanita Melayu”.
Mana Sikana “Penyair-Penyair Terkemuka Malaysia: Analisis Puitika Tekstual, Perisa (Jurnal Puisi Melayu) Bil. 3.1995:56)

Menurut Mana Sikana (1995: 44) Kekuatan puisi Zurinah Hassan terletak pada penguasaan bahasa yang cukup baik dan kental, mempunyai perasaan yang puitis dengan ungkapan yang hati-hati, bersih dan padat. Gaya Zurinah Hassan merdu, kadang-kadang sedikit melodramatik dan sekali-sekala sinis, tetapi cukup untuk menggoncang perasaan dan memberi kita pengalaman-pengalaman yang manis. Alam kehidupan, budaya dan sublimasi manusia mendapat tafsiran dan makna menurut kacamata Melayu yang lembut dengan suara yang harmonis.
“ Sajak-sajak Zurinah cantik, merdu dan bermutu dan tidak memerlukan huraian atau analisis. Puisi itu dengan sendirinya sudah berbicara dan kita sebagai khalayak sudah dapat menikmati kekuatannya. Dan di sini pun memadai untuk menyatakan bahawa Zurinah Hassan adalah penyair wanita kita yang terkuat.(Mana Sikana, 1995: 44).
Muhammad Haji Salleh berpendapat bahawa Zurinah Hassan mencipta suatu gaya penulisan yang cukup unik di Malaysia. Muhammad menulis tentang Zurinah, “Kita sedang berhadapan dengan peribadi yang kuat, dan yang dilahirkan dengan fikiran yang sama tajam dan ingin menyatakan yang dianggap sebagai benar, dan sedang berlaku di depannya, dan di depan bangsanya”. Hal ini dinyatakan dalam kertaskerja “Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah Hassan Sebagai Pentafsir Waktu Dan Peristiwa”, Seminar Kefahaman Budaya ke VIII: Zurinah Hassan, Sirih Pulang ke Gagang, yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 18 Disember 2004 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Muhammad menulis:
“Saya selalu terkesan oleh metafora dan diksi yang sesuai, tepat dan oleh itu lekat pada ingatan. Sering kita dihadiahkan dengan metafora dan alur gagasan yang membawa ‘surprise’ . dan hadiah begini tidak datang dengan mudah.”
Muhammad Haji Salleh, 2004,
Di dalam bukunya (Muhammad Haji Salleh An Anthology of Contemporary Malaysia Literature, dbp. 1988 : 362). Muhammad menulis tentang ZH, “the really vocal and individual woman poet is a rare person. Her poems not only show that she is a different woman from other woman writers but also a person who finds in poetry the opportunity to speak out her innermost soul without the decorum of the past literary practices

Usman Awang menganggap ZH penyair wanita berbakat besar yang lahir selepas Anis Sabirin. ( Usman Awang, Ismail Ahmad Titian Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka: 97).
Akhbar The Star, melaporkan: “Literary Laureate Usman Awang says “Zurinah has made a significant contribution to Malay literary development. She brings meaning to the Malay language, breathes life into her words. Her use of language is captivating, poetic and harmonious “.(The Star, 30 Jun 1988).
Ini boleh diterjemahkan sebagai “Zurinah Hassan telah memberikan sumbangan yang bermakna terhadap perkembangan sastera Melayu. Dia membawa makna kepada Bahasa Melayu, membawa ruh kepada kata-kata. Pemilihan kata-kata dalam puisinya turut memberi variasi pada penggunaan Bahasa Melayu. Nada-nadanya pengucapannya amat memikat, puitis dan harmonis”.

Shahnon Ahmad telah ditugaskan sebagai penilai manuskrip Sesayup Jalan. Shahnon mendapati sajak-sajak Zurinah bermutu dan sejak itu Shahnon mula memberi perhatian dan memperakui karya-karya ZH di dalam beberapa buah artikel termasuk sebuah kertaskerja untuk Pertemuan Sasterawan Nusantara III di Jakarta, Indonesia, 1976. Antara lain Shahnon menulis “Zurinah Hassan adalah penyair wanita yang besar bakatnya. Nada dan irama puisi-puisi Zurinah amat lembut dan manis terutama puisi puisi sepinya. Ini disebabkan pemilihan kata-katanya yang amat sesuai dengan gerakan sumber alam yang menjadi imej puisi-puisinya. ( Shahnon Ahmad “Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”, Dewan Bahasa dan Pustaka 1993: 226). Tulisan tulisan dan ulasan Shahnon adalah penting kerana sebelum itu belum ada makalah yang membicarakan mana-mana penyair wanita secara serius .

Shafie Abu Bakar memberi pandangan bahawa Zurinah Hassan sesungguhnya mempunyai kedudukan yang kukuh di dalam perpuisian tanah air, bukan sahaja sebagai penyair wanita terbaik di dalam persajakan moden, tetapi salah seorang penyair terkemuka tanah air sebaris bersama Usman Awang, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh dan Kemala. (Shafie Abu Bakar, “Perjalanan Kualiti Persajakan Melayu dalam Peradaban Melayu (1997:163-166)

Arbak Othman menegaskan bahawa kekuatan karya puisi ZH diukur berdasarkan dua faktor, iaitu nilai estetik yang tinggi dan kualiti yang mengangkat puisi-puisinya sebagai genre puitik yang meningkatkan kesan pada aras kesedaran pembaca. Puisi-puisi yang beliau cipta berhasil mengekalkan kesatuan fikiran dalam sifatnya yang indah. Idea-idea yang diungkapkan kelihatan tersusun, menyentuh perasaan dan logik. Kata-kata dalam diksi dibentuk dalam susunan yang berseni. Unsur rasa dan emosi paling kuat memberikan sifat kepada puisi yang dicipta. Puisi dibentuk dengan menggunakan gaya yang tersendiri dengan kata-kata yang sesuai dan relevan dengan mesej yang disampaikan. Kebanyakan puisi beliau berhasil membentuk mesej yang berkesan. Kata-kata yang digunakan menyentuh perasaan dan akal budi.(“Idealisma Budaya dan Jatidiri Bangsa yang Tercalar” kertaskerja Seminar Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan, UKM. 23 Nov.2011)

Rahman Shaari menulis untuk blurb buku Puisi Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka , Pekan Ilmu Publication 2012 “ Zurinah Hassan ialah penyair Malaysia yang telah mencapai kecemerlangan. Beliau juga merupakan sarjana Kesusasteraan yang berwibawa.”

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.