Lelaki Dan Perempuan Wajib Jadi Pandai

Lelaki Dan Perempuan Wajib Jadi Pandai

DALAM ISLAM LELAKI DAN PEREMPUAN WAJIB JADI PANDAI

Ada sebuah hadis Rasulullah SAW yang terkenal bermaksud, “Menuntut ilmu adalah kewajiban atas setiap Muslim” (Riwayat Ibnu Abdil Barr) Hadis ini menjelaskan tentang perintah menuntut ilmu bagi setiap Muslim tanpa mengira lelaki atau Wanita. Hadis ini adalah bukti yang jelas bahawa Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu dan menjadi pandai.

Hal ini menjelaskan bahawa seorang wanita harus mendapat pendidikan yang sesuai dengan fitrah, kecenderungan dan kudrat kewanitaannya. Wanita, seperti lelaki, memiliki tugas untuk membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan dalam seluruh aspek kehidupan mereka. Untuk menjalankan tugas ini kedua duanya perlu memiliki ilmu untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Lelaki dan wanita memiliki hak untuk belajar dan memahami ilmu yang boleh digunakan untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat. Hal ini terdapat di dalam

Islam tidak merendahkan kedudukan wanita, malah menyatakan dengan jelas bahawa seorang wanita memiliki hak-hak tersendiri dan sepatutnya dimuliakan oleh lelaki. Islam tidak menyatakan bahawa sesuatu jenis jantina itu lebih mulia atau tinggi, cuma mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan yang berlainan mengikut kesesuaian kejadian dari segi fizikal. Allah SWT menegaskan bahawa setiap hambanya berhak mendapat balasan atau ganjaran dunia dan akhirat mengikut apa yang mereka usahakan. Ini bermakna, posisi dan status yang diraih oleh kedua jantina adalah setara. Pencapaian sebenar kedua-duanya dibezakan oleh tingkat ketakwaan dan amalan masing-masing seperti yang dijelaskan melalui ayat Al-Quran yang bermaksud:

Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan dan orang orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan pohonlah kepada Allah akan limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu.
(Surah An Nisaa:32.)

Penegasan bahawa Allah tidak merendahkan hamba-Nya dari segi jantina terdapat di dalam banyak ayat lagi, antaranya: “Sesungguhnya aku tidak akan sia-siakan orang-orang yang beramal dari kalangan kami, sama ada lelaki atau perempuan (Surah Ali-Imran: 195).

Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Panduan umum Al-Quran dan al-Sunnah terhadap kedudukan wanita adalah sama dengan lelaki dari segi kemanusiaannya, iaitu kedua-duanya mempunyai sama hak dan sama kewajipan dalam melaksanakan tugas-tugas agama.

Maka dengan itu, masing-masing jantina tertakluk kepada prinsip etika dan akhlak yang sama untuk dipatuhi, seterusnya dapat mengangkat darjat mereka tatkala melaksanakan fungsi kekhalifahan semasa memikul amanah Allah. Isu perbezaan seksualiti biologi dalam Islam tidak dilihat sebagai mendasari sikap untuk mendominasi jenis jantina yang lain sehingga mengakibatkan diskriminasi dan pergeseran gender.

PERKEMBANGAN GERAKAN FEMINISME DI MALAYSIA

Pemikiran dan kesedaran tentang kedudukan wanita ini tetap melanda masyarakat Melayu pada dekad awal abad ke-20. Walaupun istilah feminis belum dikenali, tetapi golongan intelektual dan pemikir yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan guru, wartawan dan penulis telah menyuarakan kepentingan untuk membela kedudukan kaum wanita. Golongan ini dapatlah dianggap sebagai golongan yang sedar terhadap masalah yang dihadapi golongan wanita yang agak ketinggalan dalam semua bidang pendidikan, sedangkan wanita merupakan hampir separuh daripada penduduk negara ini.

Golongan intelektual ini dapat dibahagikan kepada dua, iaitu yang mendapat pendedahan pendidikan di luar negara termasuk di negara Mesir. Mereka ini adalah golongan ulama yang berfikiran terbuka. Semasa di Timur Tengah, mereka telah terpengaruh dengan pemikiran reformis dan modenis seperti Syeikh Muhamad Abduh. Di antara penulis ulama yang terkemuka ialah Syed Syeikh Al-Hadi. Beliau menulis dalam Al-Iman dan Al Ikhwan untuk menyuarakan kesedaran terhadap pentingnya wanita diberi pendidikan sebagai persiapan untuk menjadi guru nombor satu di rumah (Rosnah, 2003:16). Syed Sheikh telah menulis rencana-rencana berkaitan wanita secara bersiri dalam majalah Al-Ikhwan yang kemudian dikumpulkan dan dibukukan dengan nama Alam Perempuan (1930). Pandangan dan pendapat beliau tentang emansipasi wanita yang terpenting terkandung dalam novelnya yang termasyhur, iaitu Hikayat Faridah Hanum (1925).

Di samping ulama yang berpendidikan Timur Tengah, terdapat golongan guru dan wartawan lelaki dan wanita yang menulis rencana untuk membangkitkan kesedaran pembaca terhadap masalah semasa. Mereka menyalurkan pendapat dengan lebih jitu melalui rencana-rencana yang disiarkan dalam majalah Guru (1921-1941) dan Bulan Melayu (1930-1941). Menerusi tulisan-tulisan tersebut, mereka telah menggalakkan ibu bapa menghantar anak anak untuk membina kehidupan yang lebih baik. Guru-guru ini juga menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Inggeris untuk meluaskan peluang mereka menimba pelajaran.

Pemikiran ini selaras dengan kehendak agama bahawa menuntut ilmu itu wajib bagi lelaki dan wanita. Namun ajaran ini masih agak kurang dihayati oleh masyarakat Islam ketika itu. Belum ada kesedaran yang meluas tentang kepentingan pelajaran. Pemahaman terhadap kepentingan pendidikan kepada perkembangan mental anak perempuan belum meluas. Kedudukan sekolah yang jauh dari rumah dan keselamatan anak-anak menjadi hambatan kepada peluang anak perempuan dihantar ke sekolah. Pelajaran sekular pada waktu itu dianggap boleh mengkristiankan orang Melayu.

Usaha-usaha yang menarik dilakukan oleh guru-guru perempuan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pelajaran. Antara tokoh yang paling menonjol ialah Hajah Ibu Zain Sulaiman. Beliau banyak menyuarakan pendapat tentang perlunya anak-anak perempuan tahu membaca, menjaga kesihatan serta mengurus rumahtangga melalui tulisan dalam Majalah Guru dan Bulan Melayu (Rosnah, 2003:17).

Selain daripada menyiarkan rencana tulisan rakyat tempatan, majalah ini banyak menyiarkan rencana tentang ketokohan beberapa orang wanita di seluruh dunia. Contohnya, Kartini dari Indonesia yang membukukan surat-suratnya kepada sahabat dengan judul Habis Gelap Terbitlah Terang (1938). Ketajaman pendapat Kartini tentang nasib kaum sejenisnya yang dikongkong adat dan ditindas penjajah menjadikan dia tokoh emansipasi wanita yang dikagumi serta memberi inspirasi kepada ramai pembaca Bulan Melayu dan juga Majalah Guru. Sesungguhnya keadaan dan suasana masyarakat dapat mendorong supaya tercetusnya kesedaran wanita ke arah membaiki taraf pendidikan mereka seperti yang kemudian dapat dilihat dalam genre novel pula. Unsur feminisme dalam sastera ini telah bermula sejak awal abad ke-20 lagi. Antaranya seperti yang ditulis dalam Hikayat Faridah Hanum dan Iakah Salmah (1928) oleh Ahmad Rashid Talu (Rosnah, 2003:18).

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.