CATATAN PERJALANAN SENI ZURINAH HASSAN
Seperti judulnya ‘ Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan ‘ ( Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2013. 146 hal. ) termuat dengan segala kisah suka duka Zurinah dalam bidang seni. Namun sebagai sebuah karya intelek, tulisan ini menjurus kepada kegiatan berkarya, jauh sekali menawarkan cerita sensasi peribadi. Tulisannya dipecah kepada 5 bab iaitu Menjadi Penulis Wanita, Membina Karya Daripada Legenda dan Cerita Rakyat, Penciptaan dan Reaksi, Sajak-Sajak di Sekolah dan Penulis Undangan ( Catatan Tentang Zurinah Hassan )
Dalam bab pertama yang mencatat bagaimana Zurinah terjun ke dalam dunia sastera. Seperti yang telah tercatat dalam banyak tulisannya, ia bermula apabila Profesor Hamzah Sendut mencadangkan agar puisi-puisinya dibukukan. Kerja untuk menilai puisi-puisi Zurinah diserahkan kepada Shahnoin Ahmad oleh Prof Hamzah. Dan ketika Shahnon menemui Zurinah dua minggu kemudiannya, Shahnon menyatakan, ” Saya sudah baca baca sajak-sajak Zurinah, tak sangka bagus rupa-rupanya, ” ( hal. 3 ) Begitu kata Zurinah yang semakin aktif menulis dan banyak puisi-puisinya sering tersiar di akhbar-akhbar tempatan. Salmi Manja dan Anis Sabarin menjadi idolanya daripada sederetan penyair wanita muda lain telah muncul antaranya Maimoonah Haji Omar, Rahimah MY, Noraini Shahrin, Azizah Shahrin, Halimah Haji Ahmad, Aina M, Maznah Ali dan lain-lain yang semakin kerap mengisi ruang puisi di akhbar mingguan seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu selain Mastika dan Dewan Masyarakat. Dengan yang semakin yang semakin berkobar-kobar, Zurinah semakin rajin menulis. Namun malangnya, sepanjang ingatannya tiada kritikan yang memfokuskan tentang penyair wanita. Kalau ada pun, hampir semuanya berunsur sensasi, dengan menyentuh perkara-perkara di luar karya itu sendiri. Dalam hal ini Zurinah dapat merumuskan;
1. Karya penulis wanita tidak setanding atau kurang bermutu jika dibandingkan dengan penulis lelaki.
2. Penulis wanita tidak kekal lama, mereka akan hilang selepas berumahtangga.
3. Penulis wanita tidak menulis tentang isu-isu yang penting atau isu-isu dunia dan kemasyarakatan. Tulisan mereka hanya berlegar di sekitar hal-hal rumahtangga.
Namun ketika ini, di sekitar kita semakin ramai penulis wanita, Ratusan penulis wanita sedang menulis novel-novel sebagai bacaan santai seperti Sri Diah, Samsiah Mohd Nor, Siti Rohayah Atan, Maharam Mamat, Amiruszati Noor Rahim, Norahayati Berahim ( sekadar menyebut beberapa nama daripada deretan nama yang ditulis oleh Zurinah ) Mudah-mudahan segalanya menjanjikan hari esok yang lebih cerah untuk semua. Sama-samalah kita menanti hari lahirnya seorang Sasterawan Negara daripada kalangan wanita ( hal. 13 )
Bab yang memperjelaskan Zurinah adalah dalam bab 5 di mana Muhammad Haji Salleh, Rahimah Abdul Hamid dan Shahnon Ahmad memperkatakan mengenai Zurinah Hassan. Bagi Muhammad, Zurinah telah menyimpang daripada kebiasaan yang ditulis oleh penyair wanita yang lain seperti Salmi Manja, Siti Zainon Ismail atau Zaihasra. Kenapa Muhammad membanding hanya 3 penyair wanita sahaja terhadap Zurinah, sedangkan puluhan penyair wanita telah tumbuh berkembang. Menurut Muhammad, walaupun Salmi Manja, Siti Zainon Ismail dan Zaihasra telah membawa beberapa pembaharuan dalam karya mereka, tetapi mereka memilih untuk melukis dunia dan perasaan mereka sebagai wanita yang halus, dengan suara yang lemah lembut dan rentak yang lemah gemalai. Zurinah dilihat menyimpang daripada kebiasaan ini dan berjiwa mendahului Anis Sabirin yang suka merenung dan berfikir dan tidak sahaja merasa cinta atau sengsara ( hal. 87 ) Muhammad melihat jalur perjalanan kepenyairan Zurinah dalam 3 cakerawala perasaan dan fikirannya.
1. Cakerawala diri dalaman peribadi dan wanita
2. Cakerawala perkahwinan dan keluarga
3. Cakerawala masyarakat/publik
Begitulah Muhammad Haji Salleh secara terperinci melihat perjalanan puisi Zurinah. Bagi Rahimah Abdul Hamid pula, beliau melihat takah-takah perjalanan puisi Zurinah menuju puncak. Rahimah melihat ‘ Sesayup Jalan ‘ ( puisi-puisi yang dihasilkan pada 1967-1973 ) 39 puisi yang mencakup pelbagai persoalan. Misalnya, persoalan tentang permasalahan kehidupan orang Melayu, seperti petani dan nelayan kerana kemiskinan, kurangnya kesedaran pendidikan dan kegagalan untuk bergerak selari dengan pembangunan negara. Ini dicoretkan dalam puisi ‘ Buat C.P. yang Mengilhamkan ‘ ( Sesayup Jalan: 8 )
minden bagimu bukanlah rumput-rumput dingin
jua minden bagiku bukanlah ramah angin
ia adalah tangan-tangan bergantungan
ia adalah wajah-wajah meminta
ia adalah belantara perjuangan
demi air mata demi keringat
orang-orang tercinta yang bernama rakyat
laut yang menanti di censelori
anginnya menghembus ke mata
ia padang nelayan
yang pulang tenang dengan penderitaan
minden buatku adalah pintamu
untuk turun mengusapi padang jerami
demi cinta demi keadilan
tangan-tangan telah lama mengais
anak-anak telah lama menangis
ladang-ladang telah lama menanti
Bagi Zurinah yang menanggapi lihatan Shahnon menyatakan, ramai penyair ( termasuk saya ) tidak begitu gemar bercakap tentang sajak-sajak mereka di peringkat awal. Shahnon merupakan penilai pertama untuk melayakkan puisi-puisi Zurinah diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Sains Malaysia. Tiga buah puisi yang disorot oleh Shahnon ialah Bersama Demi Maya, Clockwise dan Di Padang Pasir Yang Penuh Manusia.
Menurut Shahnon puisi-puisi Zurinah dicipta di USM. 37 buah puisi dalam tempoh 6 tahun, bukanlah suatu yang prolifik. Namun saya merasakan Zurinah hanya memilih puisi yang terasa kuat sahaja bagi menunjukkan bahawa kehadirannya benar-benar memberi impak. Kenyataannya begitulah apabila kehadiran ‘ Sesayup Jalan ‘ membuka terowong bagi Zurinah menerobos dunia puisi. Impak itu begitu besar hingga pada saat ini ia dilihat sebagai julad kepada penilaian terhadap Anugerah Sastera Negara. Zurinah berada di landasan yang paling tepat untuk dianugerahkan anugerah tersebut. Jalan yang disusur oleh Prof Hamzah Sendut yang kemudian diperhalusi oleh Shahnon Ahmad, kini telah tumbuh sebagai ‘ baobab ‘ yang besar, rimbun dan meneduhkan. Hanya menanti waktu dan khabar gembira itu
kredit : FB Ulasan Buku Kreatif Institut Terjemahan dan Buku Negara Malaysia