Sempena Anwar Pulang ke Parlimen

Sempena Anwar Pulang ke Parlimen

Maka Anwar pulang ke Parlimen. Sempena kepulangannya saya ingin membaca sajak “Pulang Tun Perak” (Salasilah, dbp.2005: 29). Kepulangan Tun Perak ke Melaka dipandang oleh Tun Ali yang tua dengan khuatir dan wasangka. Apa yang jadi di Melaka harap tidak jadi di sini.
Pulang Tun Perak

Namanya Tun Perak
Anak Bendahara Seri Wak Raja
Yang mati membunuh diri
Yang mati berkecil hati.

Namanya Tun Perak
Muda, gagah dan segak
Dihantar ke Klang
Jadi penghulu terbilang.

Apabila Siam menggertak
Tun Perak dipanggil pulang
Kerana diyakini bijak dan layak
Untuk menyusun gerak.

Gagahnya Tun Perak
Tangkas dan garang
Menghapuskan segala jejak
Musuh dihalau Melaka terlindung
Tun Perak disanjung.

Hebatnya Tun Perak yang muda dan segak
Namanya jadi sebutan
Dikagumi rakyat disayangi Sultan
Dari sisi Tun Ali menyendiri
Memandang penuh iri.

Tun Ali ialah bendahara
yang tua dan cepat terasa
mula mengumpul puaknya.

Sayang Tun Perak
Lembingnya tajam menghalau Siam
Menghapus musuh dari luar
Mengumpul musuh di dalam.

Pulang Tun Perak
Yang bijak dan layak
Melaka semakin ternama
Dindingnya semakin tegak
Namun, lantainya mulai retak.
ZURINAH HASSAN

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.