Monolog “Sehelai Kain” oleh Zefri Ariff Brunei.
“Sebuah ruang kedai dobi tiba-tiba menjadi medan trauma dengan kemunculan si Mati yang mencari pembunuhnya. Tukang dobi yang bekerja di situ telah menjadi tebusan sekaligus menjadi perantara si Mati dengan orang-orang yang dicarinya. Keadaan semakin kecoh apabila si Mati menjumpai beberapa bukti pakaian yang dipakai oleh mereka yang dipercayainya penyebab kepada kematiannya.”
Ketahui kisah selanjutnya dalam pementasan monolog “Sehelai Kain” naskah Zefri Ariff Brunei pada malam ini di Auditorium JKKN, Jalan Tun HS Lee.
Monolog “Sehelai Kain” menyusul selepas monolog pembukaan malam ini oleh Noor Hasnah Adam.
Dipaparkan sari kata bahasa Inggeris.
Profil:
Zefri Ariff Brunei
Zefri adalah seorang sarjana, penulis, dramatis, aktivis budaya dan pemimpin belia. Pengalaman beliau hampir tiga dekad dalam dunia media, belia, bahasa, sastera, seni dan budaya tanahair telah banyak kali membawanya mewakili Brunei ke beberapa misi persidangan, festival, pertandingan dan pertemuan seni, budaya, bahasa, sastera, media dan belia di dalam dan luar negara sama ada sebagai aktivis, pemikir, pembengkel, fasilitator, hakim pertandingan atau pembentang kertas kerja.
Zefri merupakan Naib Presiden Asian Youth Council (AYC), Bendahari Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), Setiausaha Agung Tertinggi Majlis Belia Brunei (MBB), Pengerusi Tetap Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM), Ketua 1 Kumpulan Putra Seni, Ahli Eksekutif Asian Theatre Association (ATA), Ahli Asia Pacific Writers & Translators Association (AP Writers), Ahli Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI), Penasihat Teknikal Gabungan Penerbit Drama/Hiburan Tv dan Karyawan Seni (GAPHAR) Brunei, kurator Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) dan panel Jawatankuasa Penilai S.E.A. Write Award (2014-2016).
Bakat beliau merentas dalam pelbagai bidang seperti penulisan kreatif, fotografi, videografi, kewartawanan, editor, deklamator, lakonan dan pengarahan untuk drama radio, televisyen dan pentas sejak zaman remaja lagi. Kepakaran beliau sering dimanfaatkan untuk kegiatan seni pentas, sastera dan budaya di peringkat kebangsaan dan serantau. Sehingga sekarang beliau telah berkolaborasi dalam pelbagai projek yang dianjurkan oleh ASEAN-Committee on Culture and Information, SEAMEO-SPAFA, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), ASEAN University Network (AUN), ASEAN-KOREA Culture & Arts Forum, World Assembly of Youth (WAY). Asian Youth Council (AYC), Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC) dan International Youth Centre (IYC) Kuala Lumpur.
Zefri juga sering diundang untuk mendeklamasi puisi, mementaskan seni pertunjukan dan menjadi hakim peraduan dalam pelbagai acara di sekitar Asia. Zefri juga menghasilkan buku-buku akademik seperti Dari Kertas Ke Pentas dan Bingkai Seni Budaya Brunei, dan buku kreatif seperti Kumpulan Puisi Kanak-Kanak Tik Tik Tik, Kumpulan Sajak Dari Kata ke Kota dan Kumpulan Drama Sukma Nitra.
Buku kumpulan drama beliau berjudul Rapat telah mendapat anugerah Hadiah Sastera MASTERA pada tahun 2003. Sementara pada tahun 2011 Zefri telah dinobatkan sebagai penerima S.E.A. Write Award. Pada tahun 2014, Zefri telah menerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa dan persatuan yang dipimpinnya, Kumpulan PUTRA Seni telah menerima Anugerah Persatuan Belia Cemerlang dan the 9th ASEAN-Ten Accomplished Youth Organisation Award. Terkini beliau telah diiktiraf sebagai Duta Bahasa 2015 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.Sebelum menyertai Universiti Brunei Darussalam sebagai tenaga akademik pada tahun 1996, Zefri pernah bekerja sebagai Penyunting Skrip Drama Kanan di samping menerbitkan program drama tv di Radio Televisyen Brunei selama enam tahun. Zefri juga pernah menjalani latihan penempatan selama tiga bulan di Unit Drama Televisyen Malaysia semasa belajar pada tahun 1988 dan pernah mengikuti kursus singkat penulisan skrip filem di Filipina pada tahun 1991. —