Ada pantun Melayu yang berbunyi:
Pucuk pauh berulam pauh
Petang-petang kacau inti
Sayang saya berkasih jauh
Petang-petang hancur hati
Pantun di atas dipetik dari Kumpulan Pantun Melayu susunan Zainal Abidin Bakar (DBP 1984). Pantun yang dikategorikan sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan, perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.
Pantun ini adalah salah satu pantun yang memperlihatkan hubungan waktu atau peralihan hari dengan emosi manusia. Mengapakah emosi seseorang terusik pada waktu petang? Ini mungkin akibat dari dua faktor. Pertama, pada waktu petang lazimnya orang akan duduk berehat setelah penat bekerja di sebelah pagi.
Di dalam keadaan sibuk bekerja biasanya kita melupakan hal lain atau sebarang masalah yang mungkin dihadapi. Tetapi apabila tidak membuat apa-apa, pelbagai perkara mula memnuhi ruang fikiran. Di sinilah datangnya kenangan dan rasa rindu kepada orang yang dikasihi.
Kedua pada waktu petang matahari tidak lagi terang benderang. Mata hari yang cerah dianggap sebagai ‘keadaan cuaca yang baik’ dan diasosiasikan dengan suasana ceria. Kecerahan atau keceriaan ini menghilang pada waktu petang. Hari semakin redup dikaitkan dengan kemuraman dan kesedihan. Dalam hubungan yang sama kita melihat bagaimana teknik penataan cahaya digunakan di dalam pementasan teater untuk membina suasana gembira atau sedih. Oleh itu tidak hairanlah jika orang yang berjauhan dengan kekasih merasa amat rindu apabila hari petang.
Pencipta pantun sering menggunakan peralihan hari bagi menggambarkan perasaan selain petang, waktu pagi, tengah hari, senja dan malam juga digunakan bagi membawa pengertian tertentu. Berkait rapat dengan waktu atau peralihan hari ialah keadaan cuaca dan pertukaran musim. Hal ini dapat dilihat didalam beberapa buah pantun yang dipetik dari buku Kumpulan Pantun Melayu yang diselenggarakan Zainal Abidin (DBP 1984).
Pantun Melayu amat banyak menggunakan unsur alam. Salah satu objek alam yang sering terdapat di dalam pantun ialah laut. Selain melambangkan cabaran hidup, laut juga membawa rasa sayu kerana laut yang luas adalah pemisah di antara insan. Laut yang terbentang membawa rasa sayu. Kesayuan ini semakin meningkat apabila hari petang. Ini digambarkan oleh pantun di bawah:
Kalau nak tahu rumpun padi
Lihatlah rumput di permatang
Kalau nak tahu untung kami
Lihatlah laut petang-petang
Seperti yang disebut di atas, selain faktor waktu, faktor ‘cuaca’ juga mempengaruhi emosi. Ini termasuklah cuaca terang, panas terik, redup, mendung, berawan, hujan, ribut dan sebagainya.
Salah satu fenomena cuaca yang sering digambarkan di dalam pantun ialah hujan. Hujan menjadi salah satu perlambangan yang amat ketara di dalam puisi Melayu baik puisi tradisi atau puisi moden.
Perkara ini terjadi kerana hujan menyekat perjalanan atau aktiviti manusia lalu di dalam hujan manusia terpaksa menghentikan aktiviti dan mengurung diri di dalam rumah. Sekali lagi, di dalam keadaan tidak bekerja kita mula mengenang sesuatu yang mungkin dapat kita lupakan semasa bekerja. Keadaan semakin samar dan kabur dan dikaitkan dengan rasa tidak menentu. Hujan yang menitis juga menyerupai air mata yang mengalir. Lalu terciptalah pantun di bawah ini:
Dari ladang pergi ke gurun
Buluh duri melingkar kota
Hari petang hujan pun turun
Dagang berurai air mata
Mata hari yang cerah dikaitkan dengan suasana yang ceria. Kehilangan matahari membawa suasana muram. Awan dan mendung juga mempengaruhi perasaan manusia dan digunakan oleh pencipta puisi bagi membina suasana sedih dan sayu. Ini terlibat di dalam pantun di bawah:
Singkorak kotanya tinggi
Buah pauh dari seberang
Awan berarak tangisi
Badan jauh di rantau orang
Suasana cerah melambangkan kebahagiaan manakala mendung dan hujan dikaitkan dengan sesuatu yang menyedihkan. Dengan keadaan ini seseorang yang cuba menyembunyikan perasaan sedihnya di sebalik senyuman digambarkan sebagai ‘panas yang mengandung hujan’. Keadaan ini dijelaskan oleh pantun:
Meninjau berpadi masak
Batang kapas bertimpal jalan
Hati risau dibawa gelak
Bagai panas mengandung hujan
Seperti yang disebut di atas, di dalam pantun dan puisi Melayu, sinar matahari diasosiasikan dengan kebahagiaan atau sesuatu yang membawa harapan di dalam hidup seseorang. Oleh itu kebahagiaan yang tidak kekal lama dianggap sebagai ‘hujan di tengah hari’. Hujan yang turun diumpamakan sesuatu yang datang untuk menggangu kebahagiaan seseorang. Inilah yang dimaksudkan oleh pantun di bawah:
Panjanglah rumput di permatang
Disabit orang Inderagiri
Disangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari.
Walau bagaimanapu hujan di dalam pantun bukanlah semestinya membawa konotasi yang tidak menyenangkan seperti gangguan kepada kebahagiaan. Hujan juga digunakan bagi membawa pengertian rahmat dan rezeki sesuai dengan sifatnya sebagai sumber air untuk meneruskan kehidupan manusia. Hujan menyuburkan tanaman lalu ia diasosiasikan dengan sesuatu yang membawa harapan baru atau membawa sinar kebahagian.
Sehubungan dengan itu seseorang yang sedang menunggu dan mengharapkan kebahagiaan diumpamakan sebagai sedang menunggu hujan turun. Apabila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan, maka keadaan itu diibaratkan sebagai hujan tak jadi.
Di dalam peribahasa Melayu, hujan tak jadi membawa pengertian impian yang tidak kesampaian khasnya pertunangan yang putus di tengah jalan dan perkahwinan tidak berlangsung seperti yang diheboh-hebohkan. Situasi ini tergambar di dalam pantung di bawah. Pantun ini dinyanyikan di dalam sebuah lagu yang dipetik dari filem keluaran Cathay Keris, Puteri Gunung Ledang, arahan S.Romai Noor.
Pergi ke hutan memotong nibung
Parangnya tumpul tidak diasah
Petir berdentum kliat bersabung
Hujan tak jadi bajuku basah
Oleh kerana itu orang tua sering menasihatkan kita supaya jangan terlalu yakin dan terlalu mengharapkan sesuatu. Sikap terlalu mengharap atau terlalu yakin dianggap sebagai mengharapkan hujan di langit. Lebih buruk lagi jika kita membuang sesuatu yang kita telah miliki kerana mengharapkan sesuatu yang belum tentu. Ini digambarkan di dalam pantun:
Harapkan si untung menggamit
Kain di badan didedahkan
Harapkan guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Kita telah menyentuh mengenai gangguan emosi yang sering berlaku pada waktu petang. Gangguan ini menjadi lebih hebat pada waktu malam ketika suasana lebih senyap dan sunyi. Hal ini dapat dilihat di dalam dua pantun di bawah:
Riuh rendah di tepi telok
Lihat orang duduk bertenun
Tengah malam ayam berkokok
Serasa tuan datang membangun
Terang bulan di Pulau Pinang
Anak Belanda turun ke kapal
Tengah malam bangkit terkenang
Air mata turun ke bantal.
Unsur waktu dan cuaca juga banyak digunakan oleh pencipta lirik lagu Melayu. Saya ingin menarik perhatian kepada beberapa contoh saja. Paling ketara ialah lagu yang amat popular Isabela, nyanyian kumpulan Search. Lagu ini mengisahkan perhubungan dua insan berlainan bangsa. Penulis liriknya, Bob, menggunakan perubahan empat musim bagi menceritakan perasaan yang melanda dua insan terbabit. Inilah lagunya:
Isabela adalah
Kisah cinta dua dunia
Mengapa kita berjumpa
Namun akhirnya berpisah
Siang jadi hilang
Ditelan kegelapan malam
Alam yang terpisah
Melenyap sebuah kisah
Terbayang lambaiannya
Salju terbakar kehangatan
Dunia dipenuhi
Warna berseri bunga cinta
Kita yang terlena
Hingga musim berubah
Mentari menyepi
Menyalalah api cinta
Dia Isabella
Lambang cinta yang lara
Terpisah kerana adat yang berbeza
Cinta gugur bersama
Daun-daun kekeringan haluan.
Pada 1953, seniman agung P.Ramlee berlakon di dalam filem berjodol Hujan Panas, membawa watak seorang suami yang tersiksa akibat perbuatan isteri yang tidak setia. Terdapat sebuah lagu yang dinyanyikan oleh watak ini ketika menidurkan anaknya. Antara lain berbunyi:
Jangan kau buat
Hati ayah menjadi cacat
Seumpama hujan turun lebat di hari yang panas
Begitulah misalan hati cacat
Dek kasih tak puas
P.Ramlee juga menggambarkan rumah tangga yang tidak kekal sebagai ‘hujan di tengah hari’ di dalam lagu yang dipetik dari filem Perjodohan juga keluaran 1953:
Sedih rasanya hati di dalam
Mengenangkan peristiwa masa yang telah silam
Di mana aku hidup bersama si dia
Tak pernah rasa aman bahagia
Perselisihan sering terjadi
Walaupun jauh dari nyata dan juga bukti
Namun begitu dia selalu cemburu
Tetap menurut mengikut nafsu
Kusangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengahari
Imej ‘hujan di tengah hari’ ini dibawakan pula oleh Zamani dan kumpulan Slam di dalam lagu mereka Gerimis Mengundang:
Kusangkakan panas berpanjangan,
Rupanya gerimis, rupanya gerimis mengundang
Dalam tak sedar ku kebasahan
kESIMPULANNYA: Telah banyak karya yang tercetus dari keadaan cuaca yang mengusik perasaan.
anak mama pernah jadi pemantun terbaik…
dan kebanyakan pantun ciptaan saya memang berasaskan waktu dan cuaca sebagai simbolisme..
kemana tumpahnya kuah jika tidak ke lantai akibat uteh panjat meja makan
fewit…
best!
alam nan indah dipandang, alam juga penunjuk ajar, tidak dijadikan apa jua di bumi ini melainkan untuk beribadat kepadaNya.
masih Aliff terkesan dengan novel Hatimu Aishah.
Teringin nak tahu kupasan pantun ni-
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kekasih hamba turutkan
Apa pengajaran pantun ni sebenarnya ya?
Satu lagi, kota Singkorak tu di mana ya?