ULASAN DUA BUKU SITI ZALEHA M HASHIM

By in
No comments
Alhamdulillah, saya telah berpeluang mengulas dua buah buku yang dihasilkan oleh Penyair berbakat Siti Zaleha M.Hashim. Bagi anda yang berhajat membaca bolehlah melayari blog saya.Diskusi Kapal Kertas diadakan di U.M. 19/7/2012. Gemerlap Permata Silam dibicarakan pada 18.5.2013. 


“KAPAL KERTAS DAN LAUTAN API”
ANALISIS PENGGUNAAN
UNSUR ALAM.
Pemakalah:
Zurinah Hassan
Karyawan Tamu, Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya
Abstrak:  
Kapal Kertas Dan Lautan Api
(Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2012) dan Kristal Di Laut Bulan
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) adalah antologi puisi karya Siti Zaleha
M.Hashim. Di dalam kedua antologi ini, Penyair telah memperkatakan pelbagai
aspek kehidupan dari sudut pandangan dan kreativiti seorang Penyair
Melayu/Islam. Penyair menggunakan unsur alam khasnya di dalam metafora, simile
dan personifikasi dengan cara yang menarik bagi menyampaikan maksud.  Kedua-dua buku ini akan dibicarakan dari
sudut penggunaan unsur alam khasnya dengan aplikasi Teori Pengkaedahan Melayu.
Siti
Zaleha M Hashim adalah seorang Penyair wanita yang pernah memenangi Hadiah Sastera
Perdana Malaysia  untuk antologinya Kristal
di Laut Bulan (dbp 2006), lahir di Taiping Perak. Pernah menjadi editor majalah
Dewan Sastera dan bertugas di beberapa
bahagian di Dewan Bahasa dan Pustaka.  Suaranya yang lemak merdu pernah berkumandang
di RTM semasa beliau bertugas di sana. Beliau memiliki Ijazah sarjana muda
sebaran am dari UiTM dan ijazah Sarjana Komunikasi dari university of Leeds
United Kingdom 1996. Kini telah bersara dan menetap di Lembah Kelang.
Melihat
tajuk antologi Kapal Kertas dan Lautan Api ini saya segera teringat sebuah
pantun yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dalam lagunya yang masyhur, iaitu
Cindai
Akar beringin tidak berbatas
     Cuma bersilang paut di tepi
Bidukku lilin layarnya kertas
     Seberang laut berapi

Setakat
ini  Siti Zaleha memilih tajuk-tajuk yang
agak unik dan memerlukan sedikit renungan untuk  difahami. Yang lain ialah Camar di Cangkir
Bumi (dbp 1999) dan Kristal di Laut Bulan (dbp 2006). Sajak-sajak di dalam
antologi ini juga  akan disentuh secara
perbandingan pada diskusi ini.
Walaupun
tajuk tajuk ini agak sukar, tetapi sajak-sajak di dalamnya  mudah difahami dan dihadam. Penyair
mengungkap pelbagai aspek kehidupan baik di sekitar diri dan keluarga, isu
bangsa, negara dan bahasa yang amat dicintainya, hingga ke arena antarabangsa.
Sesuatu
yang menarik perhatian saya bila membaca puisi Siti Zaleha ialah pengucapan yang
lembut dan penggunaan unsur alam yang menjadikannya indah dan puitis. Dengan
penggunaan unsur alam yang sangat dominan serta isi yang berunsur seruan ke
arah kebaikan,  puisi-puisi ini sangat
sesuai untuk dikaji melalui prinsip-prinsip Teori Pengkaedahan Melayu (TPM)  
TPM yang dibina
oleh Hashim Awang bertolak dari dasar utama iaitu karya-karya sastera Melayu
dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Mengikut Hashim Awang (1993) dua faktor
ini, iaitu alam dan agama Islam, mempengaruhi pemikiran dan mencorakkan
kreativiti para penulis seperti mana yang terpancar di dalam tulisan-tulisan
mereka. Hal yang sama diakui oleh Al-Faruqi yang menulis “Jika pernah pendapat
atau perasaan orang Islam dipengaruhi oleh sesuatu, sudah tentu ia dipengaruhi
oleh Al-Quran” (Al-Faruqi,
1982:251-258). Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Syed Naguib Al-Attas
dengan tulisannya: “Pengaruh Al-Quran
terhadap masyarakat Melayu Indonesia itu tiada tolok bandingnya di sini”
(1972:29).
Ketika
berucap di dalam Syarahan Perdana Universiti Malaya pada 4 Disember1997, Hashim
Awang menyebut bahawa Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang
membawa mesej ke arah kebajikan. Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan
mesej yang baik dan positif di dalam karya-karya mereka. Katanya:
“Kesusasteraan
Melayu telah mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan
persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf,
di samping turut menyelitkan penyuaraan-penyuaraan tegas berbentuk larangan
supaya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang batil atau kejahatan, demi
kebajikan dan kebaikan manusia, khususnya bagi umat Melayu dan Islam.”
Ciri-ciri ini dapat digariskan sebagai berikut:
·        
Karya-karya yang menggambarkan keindahan dan kebahagiaan
manusia yang membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan; dan ini dapat pula
memberi galakan untuk anggota masyarakat supaya lebih banyak mengerjakan
kebaikan, khususnya di kalangan mereka sendiri.
·        
Karya-karya yang memberi motivasi kepada manusia untuk
berusaha mempertingkatkan kedudukan dan kemuliaan diri sendiri dan
saudara-saudara sebangsa dan seagama, terutama dalam mempertingkatkan taraf
ekonomi, moral dan pelajaran.
·        
Karya-karya yang memupuk semangat dan sikap tertentu yang
baik seperti kerjasama, kejujuran, keadilan, kasih sayang, dan kerelaan.
·        
Karya-karya yang memperkuatkan semangat perpaduan dan
persaudaraan di kalangan umat Islam, dan seterusnya membina penyatuan.
·        
Karya-karya yang mampu membentuk peribadi dan akhlak yang
tinggi.
·        
Terdapat
pengajaran atau moral yang diperoleh daripada karya.
·        
Ditekankan
juga aspek penggunaan bahasa yang indah serta jelas dengan penyelitan
bentuk-bentuk puisi yang bernilai.
·        
Niat
yang tersirat dalam penulisan haruslah ikhlas serta baik sehingga boleh
terhindar daripada segala fitnah atau tersinggung pada pihak tertentu.
Pengkajian puisi dengan TPM adalah melalui aplikasi
Pendekatan-pendekatan seperti di bawah:
FIRASAT:
tertumpu kepada pentafsiran makna tersirat di sebalik yang tersurat termasuk
penggunaan unsur alam dan pemaparan pengisahan dan maklumat pada hasil karya
sastera. Dari lapis yang tersurat ini akan dapat makna lain iaitu makna yang
lebih besar dalam hasil karya sastera. Biasanya makna yang tersembunyi itulah
yang menjadikan sesuatu hasil karya sastera benar-benar bermutu (Hashim Awang,
2002:5).
GUNAAN;
Hasil karya itu akan diteliti dari sudut kegunaan atau
kemanfaatan penghasilannya kepada pembaca dan masyarakat, dari aspek ekstrinsik
dan intrinsiknya. Jenis atau bentuk kegunaannya bergantung kepada pembaca yang
menikmati atau mentafsirkannya. Dalam hal ini, sastera Melayu, misalnya pantun,
telah mengambil peranan sebagai media pendidikan, alat penawar jiwa, pengungkap
perbilangan adat, serta panduan dan tatacara hidup bermasyarakat. Hal ini
samalah juga seperti objek alam ciptaan Tuhan, Kejadiannya atau penciptaannya itu
mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. Ukuran
dan imbangan ini boleh dinilai dari segi isi dan strukturnya.
MORAL: Teladan
yang diperolehi daripada kehidupan watak boleh dijadikan iktibar. Peristiwa
yang menimpa juga mengajar manusia bersedia untuk menghadapi
kemungkinan-kemungkinan atau takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
DAKWAH sastera
sebagai wadah untuk mempertingkat nilai ketakwaan seseorang insan terhadap
Allah SWT. Setiap karya sastera itu dianggap boleh menyampaikan
persoalan-persoalan dan memaparkan sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian
kekuasaan Allah.
KEMASYARAKATAN:
sastera dilihat sebagai alat pendedahan segala macam persoalan, yang bertujuan
mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat seperti yang dituntut oleh
Islam. Dalam konteks ini, sastera dianggap lumrah untuk mendedahkan dengan
jelas, benar, dan berani tentang permasalahan kemungkaran, ketidakadilan,
penipuan, kepura- puraan, rasuah, dan penipuan, yang dianggap menjadi punca
kepada kepincangan masyarakat dan keimanan insan.
SENI: Memberi
tumpuan kepada unsur keindahan dalam sastera yang bersandar kepada nilai etika
Islam, yang sudah pasti pula tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran
Islam  menerusi pelbagai aspek atau unsur
pembinaannya.
Analisis
terhadap puisi-puisi Siti Zaleha dimulakan dengan  sajak Seniman (88)
Pengaruh alam terhadap
pemikiran seniman sangat ketara dalam sajak Seniman . Penyair mengatakan bahawa
dia menjadi penyair atau seniman adalah atas izin Allah yang mengajarnya untuk
mengutip  makna dari alam, khasnya daun yang
hijau dan bunga yang jingga , awan yang putih awan dan laut yang biru. Unsur
alam yang ketara di dalam puisi ini ialah warna:  hijau daun, jingga bunga, putih awan dan biru
laut. Semua warna yang berlainan 
mengindahkan satu sama lain mengajarnya erti persahabatan. Hal ini juga
mengingatkan bahawa terdapat  kelainan
dan perbezaan  pada alam yang kita diami.
Dari pengertian yang diperolehi ini dia belajar menyusun kata-kata atau menjadi
penyair yang menulis puisi kasih
dengan kata-kata sukma dan baris-baris
rasa. Penyair menegaskan bahawa dia akan  menghasilkan karya-karya  yang dapat memupuk kasih sayang dan persaudaraan.
Hal ini menepati prinsip TPM yang bertolak dari keakraban manusia dengan alam
dan mementingkan penciptaan karya sastera yang menyuburkan kasih sayang dan ada
manfaat kepada manusia. Penciptaannya adalah berdasarkan rasa tanggungjawab
akan amanah dan tugas yang akan disoal  di Hari Kemudian.
Ini
bermakna penyair melihat hasil sastera sebagai objek alam yang penciptaannya
mempunyai kegunaan atau faedah, selaras dengan Pendekataan Gunaan TPM. Hal ini
ditegaskan oleh Hashim Awang (2002:17), bahawa sastera menjadi sumber yang amat
berharga dalam memperkayakan pengalaman dan pengetahuan pembaca dan sastera
dinilai keberkesanan peranannya dalam memberikan unsur-unsur pengiktibaran
kepada pembaca untuk memahami manusia, kemanusiaan dan kehidupan. 
Dengan
niat yang demikian, pengkarya melihat penghasilan puisi sebagai mempunyai
tujuan tertentu. Ia menepati kejadian alam yang dijadikan Allah dengan
tidak sia-sia. Hasil karya yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada
masyarakat. TPM mengutamakan penelitian dari sudut kegunaan atau kemanfaatan
hasil sastera Kejadiannya
atau penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan
imbangannya. Ukuran dan imbangan ini boleh dinilai dari segi isi dan
strukturnya. Di samping itu, kejadian itu (kejadian kesusasteraan) boleh
dimanfaatkan oleh manusia sama seperti objek alam yang lain, bertepatan dengan
firman Allah yang bermaksud: ”Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah
dan gunanya yang sebenar” (Surah az–Zumar, ayat 5).
disihir kedamaianmu
ajaib rasa tiba
kau
jadikan aku seniman
menyempurnakan
tugasnya.
Prinsip TPM adalah tumpuan
kepada alam. Seluruh alam adalah ciptaan Allah yang perlu dibaca dan
ditafsir.  . Di dalam Kitab
suci Al-Quran terdapat banyak ayat yang diakhiri dengan   Afalatabsirun
bermaksud apakah kamu  tidak memerhati, Afalatakkhilun bermaksud apakah kamu
tidak menggunakan akal? dan  Afalatatafakhkarun bermaksud apakah kamu
tidak berfikir? 
Sajak yang menjawab seruan
ini ialah Ayat-ayat Pencipta (hlm 92)
Ayat-ayat Pencipta
ada pada alam
cari dalam segar embun
lihat dalam hijau daun
terpahat pada sinar mentari
tertulis pada wajah bulan
terlukis pada sayap unggas
dan kita makhluk pilihan
sia-sia saja perjalanan
jika tidak belajar  mendengar
ayat-ayat Tuhan dibaca alam
penuh dengan  peringatan
akan tibanya titian.
Sajak ini mengandungi
peringatan bahawa seluruh alam adalah ayat
Tuhan maka sia-sia saja perjalanan jika tidak belajar  dan mengenalnya. Ini adalah contoh karya yang mengandungi peringatan dan
meningkatkan ketakwaan,   Pemerhatian dan pentafsiran terhadap objek-objek alam
fizikal akan mendekatkan makhluk dengan Penciptanya seperti yang digariskan di
dalam Pendekatan Firasat dan Pendekatan Dakwah. Alam adalah tanda-tanda
kekuasaan Allah. Kata “tanda” di dalam bahasa Arab ialah “ayat.” Maka seluruh alam ialah ayat Allah atau ayatullah. Ramai ulama berpendapat
bahawa alam berasal daripada perkataan “alamat” kerana setiap makhluk itu
adalah alamat atau dalil tentang kewujudan dan keagungan kuasa Penciptanya. Ada
sesetengah ahli ilmu yang mengatakan bahawa perkataan “alam” dipetik daripada
perkataan “al-ilmu.” (Jamaludin Yusuf bin Abdullah Al-Armayuni Asy-Syafii,
2003:54). Hal ini menepati prinsip Teori Pengkaedahan Melayu yang melihat alam
dan karya sastera sebagai sumber ilmu dan pengetahuan.
Kalau Baha
Zain menggunakan ungkapan Bahasa Alam untuk
sajaknya yang bertajuk Bahasa Alam, maka SZ menggunakan Ayat-ayat Pencipta,
kedua-duanya membawa pengertian bahawa seluruh alam adalah ‘tanda’ kebesaran
Allah. Kata ayat di dalam Bahasa Arab
bermaksud tanda. Maka bertepatan pula jika dikatakan bahawa Alam adalah bahasa
atau ayat yang dapat dibaca.  Perkara ini
telah diulas oleh Syed Naguib Al-Attas 
(1989:27). Beliau mengatakan bahawa dunia ini dan seluruh ciptaan Allah
merupakan “buku” yang berisi tanda-tanda, yang bertujuan menunjukkan bahawa
Tuhan itu wujud, sama halnya dengan Al-Quran
itu sendiri. Perbezaannya terletak pada keadaan bahawa alam yang berkembang ini
merupakan sesuatu yang diciptakan, ia tampil dalam pelbagai bentuk yang
berbeza-beza, yang berfungsi sebagai simbol yang wujud secara berterusan
dilahirkan melalui Kalam Tuhan yang kreatif.
Setiap objek alam fizikal
atau alam inderawi adalah penanda untuk mengenal Allah. Penyair juga
menggunakan unsur alam ini untuk menyatakan makna yang lebih mendalam.
Tumbuh-tumbuhan.
Salah satu unsur yang
dominan di dalam puisi SZ ialah tumbuh-tumbuhan. Unsur ini ketara di dalam
beberapa buah puisi misalnya Kitab Bahasa
yang Terbuka
(hlm 23) di mana
Penyair mengungkap kecintaannya terhadap budaya dan bahasa Melayu.Di dalam
sajak  Kitab Bahasa yang Terbuka Penyair mengingatkan
bahawa bangsa kita memiliki khazanah kesusasteraan  yang kaya dengan  pelbagai kitab  bernilai yang sepatutnya  terus dibaca untuk memahami permata ilmu yang
berharga. Di sini Penyair menggunakan tumbuh-tumbuhan bagi menyatakan keperluan
memelihara bahasa yang diwarisi. Bahasa diumpamakan sebagai  pohon yang tumbuh dan tidak akan merimbunkan
daun kata-kata dan tidak akan subur jika tidak dibaca. Kitab-kitab itu perlu
dibaca supaya bahasa akan  tersusun
dengan baik (baris-baris jiwa yang tersusun dan tidak akan pudar dipadam masa)
Kitab bahasa yang terbuka
ini
Untuk kau baca berkali-kali
kerana pohon yang tumbuh
tidak merimbun kata-kata
baris-baris jiwa yang
tersusun
sukar pudar dipadam masa
cahaya jiwa merdeka
semakin terang bersama
usia.
cahaya jiwa merdeka
semakin terang bersama
usia.
Kitab ini sentiasa terbuka
untuk kaupetik segala yang
cantik
pada kata-kata yang menjadi
tanda
bahasa agung akar tamadun
pada makna yang amat
berharga
nilai kasih dan timbang
rasa
pada ilmu yang semakin tinggi
merentas ruang dan benua.
Kitab bahasa ini sentiasa
terbuka
untuk kaudengar suaranya
pada baris-baris yang
tertulis
pada  kata-kata yang tiada terlihat
ada jiwa kita dan martabat
harga diri  negara berdaulat.
Unsur
tumbuh-tumbuhan juga digunakan dalam puisi Akar Pohon Diri (68)
Sajak
ini menyeru supaya manusia bermuhasabah Diri adalah umpama pohon dan Penyair
mengajak supaya berhenti sejenak untuk merenung diri. Ini diucapkan  sebagai 
bersandar sebentar pada pohon diri. Setiap orang harus ingat kembali apa
yang dilihat dan dipelajari dari alam sekeliling. Dari sebatang pohon manusia  telah belajar hakikat kesementaraan hidup.  Bunga yang wangi suatu ketika nanti akan layu
dan terbuang. Daun yang segar apabila tiba waktu akan gugur. Yang  membuat pohon kuat  adalah akar yang  terpahat dan menjalar dalam bumi. Dari sini
muncullah karya yang mengajar  menimba
kekuatan diri dengan mengambil iktibar dari akar yang  tersembunyi dan kadang-kadang dilupakan.
Manusia sering dicabar pelbagai kepayahan hidup seperti juga pohon sentiasa
berada di tempat terbuka selalu terdedah kepada bahaya. Tetapi manusia boleh
mengambil pengajaran dari akar untuk terus bertahan seperti pohon yang berdiri
menahan ribut  angin, hujan dan panas. Seperti
pohon yang menimba kekuatan dari akar  manusia harus 
mencari  sumber kekuatan diri.  Setiap
kali kau rasa hiba dipukul derita,carilah akar yang ada pada pohon diri.
Carilah kekuatan yang tersimpan serta tersembunyi . Kau akan menjadi berani dan
tegap kembali.
Serangga
Siti Zaleha juga
sangat menggemari imej kupu-kupu dan serangga-serangga lain. ’khabar
apa yang kau bawa’. ”Di Kepakmu Ada
Lukisan” dan Kunang-kunang di Alam Takdir (antologi Camar di Cangkir Bumi)
menggunakan imej ini dengan cukup menarik.Melihat serangga yang kecil, penyair
seringkali menyedari kelemahan manusia sebagai makhluk Allah. Manusia hanya
mempunyai sedikit ilmu dan tenaga dan amat memerlukan pertolonganNya..
Kata
Penyair: Bagai kunang-kunang/
yang hilang seketika/Di rimba malam/Aku kembali mencari erti
Dalam  KKLA kita temui sajak Kupu-kupu yang Asyik (71)
Sajak ini
mengandungi peringatan untuk berwaspada. Penyair menyampaikan melalui imej  kupu-kupu yang bermegah dengan sepasang sayap
yang cantik. Ia leka terbang ke sana ke mari. Tiba-tiba tubuhnya terlekat pada
benang  sutera jaring labah-labah. Dari
sajak ini dapat diambil iktibar agar tidak lupa diri seperti kupu-kupu yang
terlalu asyik kerana memiliki sayap yang cantik.
Sebuah lagi sajak
yang menggunakan perlambangan kupu-kupu ialah Menunggu Kupu-Kupu (hlm 35) Kupu-kupu adalah penanda kepada
keadaan yang indah dan meriangkan. Seorang yang inginkan hidupnya dihiasi
dengan keindahan harus tahu mendekatkan dirinya dengan alam dan berbaik-baik
sangka dengan alam.
Aku menunggu
kupu-kupu yang cantik
singgah ke taman ini. Saban
hari aku
semakin sedih, pedih.
Kubiar daun-daun
gugur, kubiar
ranting-ranting bertabur
 kupu-kupu yang kutunggu tidak juga
muncul-muncul. Malam itu
aku menjerit-jerit
pada bulan berwajah penuh,
tinggi di langit,
“Mengapa kau
bulan  cantik dan terang
 di tamanmu pula berkelip jutaan bintang !”
Tidak percaya bulan turun
perlahan-lahan,
pada tangannya ada  berbagai warna cahaya.
 “Jangan memekik-mekik anak muda ,” kata bulan,
“ Inilah rahasiaku , lampu
Mang Pencipta,
membawa terang setiap kamar
batin
milik mereka yang berusaha
dan yakin.”
Dengan lampu Maha Pencipta
di sisi
kubersihkan
tamanku yang terbiar dan sepi
tiba-tiba
terkaku,terharu saat terpandang
ribuan kupu-kupu
berterbangan datang. 
Imej serangga dan unggas
kecil,  dan ingatan untuk bermusahabah
terdapat lagi di dalam sajak Bersandar
(78) .
Digambarkan unggas kecil yang mencari semula tasik impian ketika
ia  berasa amat lelah mengharung angin. Ia
bersandar  sebentar, untuk bermuhasabah atau
memeriksa diri dan menghimpun semula keyakinan dan kekuatan untuk terbang
semula.
Batu-batu
kecil
Pesanan dan ingatan untuk
kembali bersatu terdapat dalam sajak Pesanan
Si Batu Kecil
Kalau kecil akan mudah
dipukul ribut . Ini digambarkan melalui imej batu kecil yang dipukul ribut dan
berguling-guling dari lereng ke lereng. Bahaya itu dikatakan seperti sakit
yang  tidak tertanggung dan akan
meraung-raung. Bahaya di sekeliling diumpamakan seperti angin yang deras. yang
terus memukul-mukul tebing seperti ancaman yang tidak henti-henti mahu
menghancurkan kita. Dalam kesakitan ada penawar yang diberi Tuhan . Kasih Tuhan
menahan pada rumpun tumbuh terpinggir. Si kecil tersangkut dan tiba-tiba muncul
seekor unggas ajaib diperintah membawanya pulang. Setiap kejadian ada
manfaatnya dan dengan sebabnya.
Sebaik tiba di bumi pusaka
dikumpul teman-teman dan berpesan‘ kita mesti bergabung supaya berat kita mesti
sepakat untuk jadi kuat . Puisi ini menepati TPM dengan seruannya ke arah
pesatuan dan persaudaraan. Juga ajaran untuk mengenang kebaikan orang lain.
Laut
dan Ombak
Dalam sajak Peluncur Ombak,(81)
Penyair menggunakan perlambangan laut dan ombak sebagai cabaran di dalam
kehidupan. Penyair mengajak seseorang (yang telah mengalami kekecewaan) untuk
berdiri di pantai dan merenung laut yang luas terbentang dan memerhati peluncur
yang berani sedang melawan ombak. Beberapa kali peluncur itu dikasari oleh
ombak tetapi dia terus memperbaiki cara dan perimbangannya agar dapat menentang
pukulan ombak yang akan datang. Dia menjadi cukup yakin membuat perhitungan
hingga laut pun menjadi amat kagum dan turut bersorak setiap kali, dia berjaya
menawan gerak ombak
Seruan ini adalah untuk
merenung kejadian alam, berikhtiar  dan
untuk tidak berputus asa dari nikmat Allah. mengambil iktibar dari perlakuan
orang lain yang dapat memberi pengajaran iaitu yang dihuraikan sebagai
Pendekatan Moral di dalam TPM.
Peluncur  Ombak (81)
Jika nanti dalam hidup
kau rasa hampa kerana gagal
sesekali cuba berdiri di
pantai
jangan hanya melihat laut
laut memang indah
terbentang
lihatlah peluncur yang
berani itu
bahaya tidak pernah jadi
penghalang
saat –saat  cemas digulung  dan
hampir lemas  dia bangun segera
datang lagi kepada laut,
berkali-kali
bergerak di sepanjang
permukaan ombak
 kini dia tidak lagi silap perimbangan
 cukup yakin membuat perhitungan
hingga laut pun menjadi
amat kagum
dan turut bersorak setiap
kali, dia
berjaya menawan gerak
ombak.
Ikan
kecil di kolam
Di dalam Puisi Penawar Luka Purba (87) dapat dilihat  sikap
Penyair Melayu yang berbaik sangka dengan alam. Penyair mengatakan kau akan
sedar, dalam hidup yang sebentar, kita diberi banyak penawar. Imej alam yang
digunakan ialah perlakuan ikan-ikan kecil yang berenang dan menggosok-gosokkan
tubuh kecilnya pada lumut di batu-batu. Dengan melihat perlakuan memberi
kesedaran bahawa dalam hidup yang hanya sebentar, kitadiberi  banyak penawar.Hal ini menepati prinsip teori
bahawa setiap yang dijadikan oleh Allah swt 
adalah mempunyai hikmah dan manfaatnya kepada manusia.
Jika ada luka purba, belum
sembuh
duduklah di tepi
kolam-kolam ini
lihat ikan-ikan kecil
berenang lembut
meliuk-liuk,sesekali
membalik-balikkan
badan pada lumut di
batu-batu,
bagai anak-anak kecil yang
nakal
 dan lucu . Kau akan sedar dalam hidup
 yang hanya sebentar, kita
diberi  banyak penawar.
Alam
rumahtangga dan keluarga
Hubungan kekeluargaan dan
seruan ke arah kebaikan adalah menepati Pendekatan Dakwah. Hal ini
jelas dalam sajak Seorang Ibu Pesannya
Berpanjangan
(hlm
17) yang merupakan sebuah  karya yang
dihasilkan dengan mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan
persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf,
Kepentingan nasihat dan menasihati dilihat pada Ingatan ayah supaya memberi
anak semangat, jangan menangis. Anak dilepaskan pergi untuk mencari ilmu. Di
sini menepati ajaran Islam untuk memuliakan ilmu. Karya ini yang lahir dari
kasih sayang ibu yang mengasuh anak dengan sabar dari kecil hinggalah dewasa.
Seorang Ibu
Pesannya Berpanjangan
(Untukmu
Firdaus Ramzan)
Usah menangis beri dia semangat, kata
ayahmu
ketika aku melihat kau pergi. Air mata
yang kusimpan
mengalir laju di dalam hati, tiada
siapa pun tahu
pesawat yang membawa kau menerbangkan
semangatku sama. Masa tidak dapat
ditahan kau pun dewasa
menjadi anak muda dan aku mesti tabah
melepaskan kau melangkah jauh mencari
kunci
membuka pintu ilmu untuk jalan hidupmu
sendiri
setiap langkah gaya ayahmu, tabah.
Akulah
memujuk kau segera bangun daripada
jatuh
yang pertama. Bicaramu gaya anak muda
kini
bijak dan berani. Akulah yang pertama
mendengar
kau menyebut bunyi-bunyi entah apa.
Setiap kali
diusik kau tertawa dan akulah yang
amat bahagia
ketika kau mula menyebut abah dan
mama.
Ingatkan juga teman-temanmu yang  turut melangkah
meninggalkan ibu-ibu seperti aku di
dalam rindu
hidup ini
adalah lebuhraya menuju ke destinasi,
sesekali singgahlah ke rumah lama
bermulanya langkah pertama
hidup ini adalah penerbangan membuka angkasa, sesekali
hidupkan semula kereta tua membawa kau
mengenal kota
Kutulis puisi ini untukmu anakku
kukirim doa dan kusimpan semua rindu
seorang ibu pesannya berpanjangan
kerana
kasih sayangnya merentasi masa dan
sempadan.
Puisi ini mengingatkan saya
kepada Pujangga Dunia Kecil dari
antologi Kristal di Laut Bulan di mana Penyair mengungkap tentang kasih sayang dan
alam rumahtangga dengan indah sekali. Mesej atau pemikirannya ialah perlakuan
ibu dan ayah sangat mempengaruhi dan akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh itu
ibu dan ayah wajar menjaga kelakuan mereka. Kasih sayang ibu ayah akan meninggalkan
kenangan manis kepada anak-anak, dan begitulah sebaliknya. Di dalam sajak ini
Penyair menggunakan imej Bulan yang menjadi bertambah jingga/ mengintai di tepi
jendela (ketika gembira) dan bulan menjadi kelabu (ketika berduka). Kata
Penyair Kitalah pujangga/ sebuah dunia kecil bernama keluarga.
Sajak Pujangga Kecil dapat
diaplikasi melalui Pendekatan Moral yang mengutamakan pemerian contoh teladan.
Karya sastera memerikan manusia, kehidupan dan kejiwaannya yang diperolehi
melalui pengalaman dan pentafsiran pengarang terhadap manusia dan
lingkungannya. Keragaman peristiwa itu sebahagian besarnya boleh menjadi contoh
dan teladan dalam hidup pembaca. Teladan yang diperolehi daripada kehidupan
watak boleh dijadikan iktibar. Demikian pendapat Penyair bahawa perlakuan ayah
dan ibu amat besar pengaruhnya terhadap anak-anak.  
Perjalanan
Dan Alam Yang Ditemui Dalam Perjalanan
Penyair juga banyak
menggunakan simbolisme perjalanan dengan imej lebuh raya dan kenderaan bagi
menyampaikan pemikirannya tentang perjalanan hidup manusia. Di dalam sajak  Seorang Ibu Pesannya Berpanjangan, Penyair mengatakan hidup ini adalah
lebuhraya menuju ke destinasi dan hidup ini adalah penerbangan membuka angkasa.
Anaknya telah dewasa dan menaiki pesawat atau kapalterbang. Dia berpesan kepada
anaknya agar jangan lupa untuk kembali ke rumah asal untuk menghidupkan semula
kereta tua yang pernah membawanya mengenal kota.
Ingatkan juga teman-temanmu yang  turut melangkah
meninggalkan ibu-ibu seperti aku di
dalam rindu
hidup ini
adalah lebuhraya menuju ke destinasi,
sesekali singgahlah ke rumah lama
bermulanya langkah pertama
hidup ini adalah penerbangan membuka angkasa,
sesekali
hidupkan semula kereta tua membawa kau mengenal kota
Simbolisme perjalanan ini
terdapat di dalam sajak-sajak  Lebuh Raya
(Kristal di Laut Bulan) . Katanya Lebuh raya kehidupan ini/ sering membawa kita
ke destinasi/ amat jauh sekali Yang diungkap di dalam sajak tersebut adalah juga
tentang kasih sayang ibu bapa dan pentingnya menjaga hati mereka yang sudah
tua. Sejauh mana pun lebuh raya yang dilalui, pulanglah ke rumah ibu dan ayah.
Seruan ini juga membawa makna sejauh manapun seseorang merantau janganlah
melupakan budaya dan tempat asal.
Lebuh Raya
Lebuh raya kehidupan ini
sering membawa kita ke destinasi
amat jauh sekali
kadangkala kita lupa
singgah di sebuah daerah
ke rumah ibu dan ayah
yang suatu waktu dahulu
menunggu penuh sabar
langkah-langkah kecil
dengan tawa seorang anak manja
menuju ke arah mereka
sesekali hadiahkan nikmat singkat
selagi mata mengerdip
untuk melihat zuriat.
Perjalanan dengan kereta di
waktu hujan juga digunakan sebagai perlambangan tentang kehidupan yang
kadang-kadang didatangi oleh titis-titis kekecewaan dlm sajak Hujan dan Luka
(97). Seperti hujan yang jatuh di cermin kereta begitulah juga titis-titis luka
dan kecewa / kadang-kadang singgah / di cermin hadapan kehidupan. Sepertimana
kita berwaspada di dalam hujan begitu juga di dalam kehidupan agar sampai ke
destinasi yang dituju.
Simbolisme perjalanan ini
turut melibatkan  perjalanan udara dan
kenderaannya iaitu pesawat atau kapalterbang. Dalam sajak Pesawat Telah Terbang (98), Penyair menggunakan penerbangan pesawat
untuk mengungkapkan kepentingan menghargai waktu. Semua orang harus menghargai
waktu agar peluang tidak terlepas seperti pesawat yang telah berlepas.
Pesawat telah terbang
dan kau terlewat tiba
peluang yang datang
terlepas begitu sahaja
waktu paling tepat
berharga dan bermakna
 kerana sesaat 
lambat
sasaran sudah berangkat.
Seluruh dunia dan kehidupan ini dimisalkan sebagai daerah
orang-orang kerdil/menaiki pesawat. Semuanya mempunyai misi untuk berjuang
sebelum berangkat pulang.
Daerah Orang-orang Kerdil
Di
sini daerah orang-orang kerdil
menaiki
pesawat
sambil
dilayan dengan hormat
sama-sama
tidak bernama
boleh
duduk di mana-mana
kerana
semuanya akan pulang
setelah
selesai berjuang.
Selain perjalanan darat
dengan imej lebuhraya dan kereta serta perjalanan udara dan kapalterbangnya,
Penyair ini turut menggunakan perjalanan laut dan kapal yang belayar.
Selain perjalanan darat
yang melibatkan kereta dan perjalanan udara yang melibatkan pesawat, simbolisme
perjalanan juga melibatkan perjalanan laut dengan kapal, perahu, dermaga dan
pelabuhan.
Seperti dalam sajak Pesan
Ibu Berpanjangan, SZ pernah menulis tentang anak-anak yang harus pergi jauh
setelah meningkat dewasa. Akan tiba waktu untuk belayar dan menyahut cabaran
yang datang bersama kedewasaan. Hal ini diperkatakan di dalam puisi berjudul
“Pelayaran”
                        Pelayaran ini bukannya mudah
Hari-hari hitam yang dilalui
Detik-detik putih yang ditempuhi
Datang dan pergi
Namun api yang menyalakan semangat
Tiada pernah padam
Biar siang ataupun malam
Pelayaran ini kau teruskan
Dan alam pun melihat kerlipan bintang-bintang.
                                                     
(Camar di Cangkir Bumi,
1999:73)
Puisi
“Pelayaran” mengemukakan keadaan manusia yang bergantung kepada alam, iaitu
keadaan laut dan perjalanan waktu di dalam menentukan tindakan dan arah tuju di
dalam hidupnya. Daripada penerapan
Pendekatan Dakwah, kedua buah puisi membicarakan tentang kepentingan waktu dan
mengingatkan manusia agar tidak terus leka dengan kesenangan yang ada.
Selain sajak-sajak yang
disentuh di atas terdapat sajak-sajak 
yang diilhami dari perjalanan umpamanya Tasik Dal & Aku. Penyair menemui anak-anak yang menjaja jagung
bakar tetapi menyedari bahawa yang dipikul dan dijaja ialah impian yang entah
bila akan menjadi kenyataan. Di sana juga ada penjual bunga yang diabadikan
dalam Penjual Bunga
Kashmir .
Penyair melukiskan keindahan unsur alam seperti bunga-bunga
dan tasik namun menyedari di bumi Kashmir itu ada tembakan lagi,. Penyair
membeli bunga tetapi turut membawa pulang insaf yang panjang.
Penyair juga
menyentuh isu negara dan Nusantara di dalam Apa khabar Selat Melaka, Ada nada kebimbangan bila ada kabar
tentang kuasa asing yang merancng untuk menjadi ‚polis‘ dunia untuk mengawal
selat melaka. Penyair melihat ini sebagai satu campurtangan yang tidak
diingini.
Aku mendengar berita  ada nakhoda luar
ingin membina pagar
sekelilingmu
bimbang ada buaya, ada ular
yang akan menjalar sekitar
tapi mengapa mereka pula
yang cemas
takut petaka tiba di bumi
kita
sekian lama kapal-kapal
dari daerah timur ini
belayar membawa muatan
bangsa
ke laut luas buana, tanpa
curiga
sejak dahulu semakin hari
semakin ramai
yang tiba ke pantaimu.
Hari ini ada yang memunggah
teknologi
dan ada yang membungkus
komoditi
 bersama mimpi. Selat Melaka
bukankah bumi sendiri lebih
kenal
 laut, kapal dan selatnya
amat arif
muslihat karang
 yang tersembunyi di dasar laut
di sebalik
batu-batu teknologi
dan amat kenal
umpan
 terselindung di sebalik tangan
yang diberi nama bantuan
kemanusian.
Sudah tentu saya wajar bercakap tentang puisi yang
menjadi jodol
Rasanya tidak
lengkap jika tidak menyebut sajak yang menjadi judul antologi ini Kapal Kertas dan Lautan Api 
Ia menyingkap kehidupan
yang penuh ilusi dan manusia yang tidak berdaya. Oleh itu mengharap pertolongan
Yang Maha Esa. Penyair sendiri mahu meninggalkan ilusi ini keana dunia global
adalah reality yang perlu kita hadapi penuh berani. Ada orang yang menangis
kerana terlalu suka dan ada orang suka kerana ada yang menangis. Ada orang yang
jatuh dari tempat yang tinggi dan dikeji. Ada orang di tempat yang tinggi
menjatuhkan martabat bangsa dan dipuja. Pelbagai perkara sedang terjadi dan
menggugat ketenteraman sejagat dan cara manusia menanganinya. Ada teropong
besar memerhatikan Selat Melaka dan Selat Melaka menutup sebuah hasrat dan
muslihat. Ada teraju bumi merdeka yang diikat tangannya. Ada tangan tersembunyi
membebaskan dendam yang terpendam. Begitu banyak berita dan derita.
            Penyair menegaskan bahawa tidak mahu lagi bercerita tentang
kapal kertas dan lautan api. Dia sudah didewasakan masa dan dibesarkan oleh
pengalaman yang mengajar. Jadi, mimpi, biar tinggal di alam mimpi bersama usia
remaja. Hari ini kita harus melangkah ke alam sedar yang benar.
Kecintaan
terhadap budaya terpancar dalam sajak Darah
Melayu
yang mengingatkan seseorang akan janjinya untuk pulang mengurus bangsa.untuk kekal kasih di Alam Melayu.
Adat
dan Budaya turut disusun dalam Sesusun
Pantun (
Sesusun pantun dalam tepak waktu
selalu menjemput aku,
mengangkat harumnya yang amat luar biasa.) Penyair sering membangkitkan suasana
ke Melayuannya dengan gambaran  tepak sirih
dan  pinang, sirih kasih, kapur nasihat,
gambir ibarat. Segalanya menyimpan  hiba, 
jenaka, dan budi bahasa.
Pergolakan dunia turut meruntun hati Penyair sepertimana yang terlihat
dalam sajak Tujuh Sahara  dan
bencana alam tsunami melahirkan sajak Kata-kata
yang Hilang.
(Kupanggil kata-kata, tidak
ada yang mahu hampir/ketika tsunami mengheret ratusan ribu nyawa /kata-kata
pedih berlari ke gunung tinggi/menjerit-jerit
di Aceh, di Sri Lanka, di Kuala Muda) dan akhirnya mengutus pesanan (siapa
yang bergelar manusia perlu mencari hikmah
dan bangun segera
mengangkat sengsara , mentadbir bumi dengan penuh bijaksana.)
kesimpulan
Daripada analisis
yang telah dibuat dapatlah dirumuskan bahawa puisi-puisi tersebut telah
dihasilkan oleh penyair setelah berlaku interaksi, interpretasi dan integrasi
dengan alam yang memberikannya makna atau pengertian tentang kehidupan yang dilaluinya.
Penyair menggarap pelbagai persoalan di sekitar kehidupan manusia Melayu sama
ada yang menyentuh persoalan keagamaan, ekonomi, sosial, dan jatidiri bangsa
dan menghasilkan puisi-puisi  wadah bagi
menyampaikan peringatan, nasihat dan mesej kebaikan yang berlandaskan kepada
ajaran Islam.
 PANTUN: GEMERLAP PERMATA SILAM
PANTUN- GEMERLAP PERMATA SILAM –Siti Zaleha M.Hashim
-Zurinah Hassan.
(diskusi buku
Majlis SEBUDI 18.5.2013)
Di antara sekian
banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang paling
popular  dan hidup subur pada masa
ini.  Pantun tersebar luas melalui
pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan
pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas
pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, contohnya,
Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh
Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak swasta.  Pantun bukan sahaja disiarkan dalam
majalah ilmiah dan budaya  seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah
jenaka dan komik seperti  Ujang dan
Din Lawak. Pengiklan juga
menggunakan pantun untuk melariskan jualan, misalnya pantun di bawah:
Kek lapis dan
kuih bahulu,
      Menjadi juadah di Hari raya;
Kalau puan-puan
ingin tahu,
     Semua perkakasan ada di IKEA.
 (Utusan Malaysia 13 Oktober 2006
dalam iklan IKEA )
Pantun juga berkembang di internet.
melalui beberapa laman web khas. Di samping itu pantun turut  disebar luas melalui sms misalnya sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu.
Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan
komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan
unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.
Melihat kepada
keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival
pantun. Ia bukan hanya hidup  tetapi
berkembang mekar. Walau bagaimanapun  hal
yang membimbangkan ialah tentang 
penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang
menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan
falsafah yang  tinggi itu tidak dikenali
oleh masyarakat.
Misalnya ramai yang mengucapkan:
Kajang tuan kajang berlipat
   
            Kajang saya mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
                dagang saya menumpang lalu
tanpa memahami apakah kajang atau
bagaimana rupanya ‘kajang yang berlipat’ dan terlalu sibuk dengan urusan hidup
yang lain untuk mengambil tahu. Dalam situasi inilah saya melihat buku Gemerlap Permata Silam (tulisan Penyair
Siti Zaleha M.Hashim) ini sebagai sangat relevan dan dapat menyumbang ke arah
usaha memberi penerangan dan pencerahan kepada suasana yang kelabu (kalau tidak
pun gelap gelita) ini. Buku ini memberi pendedahan tentang pantun kepada
masyarakat terbanyak.
Apatah
lagi, Pantun dan nama Siti Zaleha M.Hashim terasa seperti ada kesejajaran. Bagi
saya Siti Zaleha M.Hashim dan Pantun kedua-duanya membawa pengertian “lembut
dan berseni”. Perwatakan atau keperibadian yang menepati ciri-ciri tradisi
seorng wanita Melayu adalah seperti pantun yang harmoni rimanya. Siti Zaleha
umpama Pantun.
Pantun- Gemerlap Permata Silam terbitan ITBM 2013, adalah buku yang
memperkatakan tentang pantun. Isi buku ini tidaklah sarat akademik. Buku ini
dapat dikategorikan sebagai bahan bacaan santai. Namun ini tidak sekali-kali
bermaksud ia kurang bernilai.  Bacaan
santai juga perlu diterbitkan untuk keperluan masyarakat, paling sesuai  bagi mengisi masa lapang.  Bukan semua orang memerlukan bacaan yang
bertaraf akademik.  Justeru itulah dalam
masyarakat pelbagai perniagaan  berjalan
serentak seperti di dalam pembangunan negara kita  memerlukan hotel lima bintang dan juga hotel 3
bintang. Serta hotel bajet. .
 Isi buku ini diatur dalam tiga peringkat
seperti mana yang difikirkan oleh penulisnya paling sesuai untuk mendekati
pembaca. Ada tiga perkara penting:
–         
Mengenal
pantun sebagai cabang dari puisi warisan
–         
Mengenal
ciri-ciri pantun yang baik
–         
Bimbingan
mengarang pantun.
Mengenal Pantun Sebagai
Cabang Dari Puisi Warisan
Sebelum
memperkatakan pantun, penulis memberi sedikit penjelasan tentang puisi-puisi
warisan yang lain iaitu syair, gurindam, seloka dan sebagainya. Dengan ini
penulis dapat menunjukkan keragaman puisi dan kekayaan yang terdapat di dalam
khazanah sastera Melayu yang dipusakai zaman berzaman.  Di samping membolehkan pembaca membuat
perbezaan di antara puisi-puisi tersebut, ia 
juga dapat menarik minat khalayak untuk mendalami pengetahuan tentang sub
genre puisi tradisi yang lain yang disebut di bahagian ini.
Penulis
kemudiannya memperkatakan jenis-jenis pantun. Masyarakat seharusnya dapat
mengenal jenis-jenis pantun melalui bentuknya iaitu samada pantun dua kerat,
empat kerat, enam kerat atau lebih. Ini diikuti dengan penerangan tentang
pelbagai jenis pantun yang dapat dikenali melalui tema dan persoalannya.  Penulis menelusuri pantun mengikut
tema-temanya . Dari sini mendekatkan pembaca dengan Pantun Adat khasnya yang
digunakan di dalam majlis peminangan, persandingan dan perkahwinan, Pantun
Budi, Pantun Agama, Pantun Nasihat, Pantun Ilmu, Pantun Pahlawan dan Pantun
Dagang, Pantun Peribahasa , Pantun Jenaka, Pantun teka teki dan pantun
berniaga.
Bahagian
awal buku ini lebih bertujuan untuk memperkenalkan atau memberikan pengetahuan
asas kepada  Pantun. Seperkara yang
ditekan dan penulis ialah kedudukan Pantun sebagai  warisan 
silam yang bukan sahaja dikenali 
oleh bangsa  Melayu, malah
dikenali dan dikaji olehi oleh sarjana-sarjana antarabangsa. Pantun diakui
sebagai pengucapan yang bernilai tinggi.
Penulis
memberi perhatian kepada kepentingan kedudukan pantun sebagai  khazanah Sastera lama. Ia adalah media
pengajaran dan berfungsi untuk membimbing anak-anak ke arah  nilai-nilai murni. Sebelum adanya penulisan,
puisi tradisional terutama pantun telah tersebar luas khasnya melalui nyanyian
dan permainan rakyat. Setelah menyegarkan kembali atau membina asas pengetahuan
tentang pantun, Penulis mengajak pembaca mendalami keistimewaan pantun dari segi
struktur dalamannya iaitu sukukata perlambangan dan hubungan pembayang dan
maksud, fungsi dan isi dan jenis-jenis pantun, Penulis kemudian mengulas kata
dasar dan sukukata yang mengindahkan pantun. Bahagian seterusnya atau bahagian
akhir merupakan bimbingan kepada bakal pengarang pantun. Penulis sudah pasti
menginginkan ramai yang akan tertarik hati dan cuba mengarang pantun. Dengan
ini pusaka bangsa tidak akan malap.
Penulis
juga memberi perhatian kepada aspek keindahan atau estetika Pantun. Estetika
Pantun terletak pada hubungan Pembayang dan Maksud, peranan rima , aliterasi
dan asonansi. Seterusnya ialah penggunaan bahasa dalam pantun yang meliputi
penggunaan bahasa inversi, bombastic, hiperbola. Sebelum adanya tulisan, puisi
tradisi telah berkembang melalui lisan samada dipertuturkan atau dinyanyikan di
dalam lagu-lagu rakyat termasuk lagu kanak-kanak, Digunakan dalam ritual dan
magis…dalam upacara, hiburan dan agama.
Walaupun
pada keseluruhannya buku ini bersifat bacaan santai (bukan ilmiah), penulisnya,
Siti Zaleha telah melakukan kajian dan rujukan tentang subjek yang ditulisnya.
Penulis membuat rujukan kepada buku-buku yang telah dihasilkan oleh sarjana
sarjana seperti Dr.Harun Mat Piah, Aripin Said, Iladam, dan lain-lain. Beliau
turut memetik pandangan pemakalah dari kertaskerja yang dibentangkan di dalam
Seminar seperti Seminar Pantun Antarabangsa 2002. Pengetahuan tentang pantun
dianggap penting bagi menambah pengetahuan dan menjadi persediaan untuk mengarang pantun.
Penulis
telah memilih pantun-pantun dan diulas dengan gaya yang dapat menyemarakkan
kecintaan terhadap warisan Melayu ini.Pada keseluruhannya buku ini juga ditulis
dalam gaya bahasa yang juga berima dan berirama sesuai dengan subjek yang
diperkatakan. Setiap bab dimulakan dengan menurunkan pantun yang indah yang
relevan. Hal ini dengan sendirinya dapat menarik pembaca untuk mengetahui lebih
lanjut.
Bab
empat memulakan pembicaraan tentang tema “Menelusuri Tema Pantun” Ianya
dimulakan dengan memperlihatkan pantun sebagai media komunikasi. Yang paling
menonjol ialah komunikasi di kalangan kanak-kanak dan di kalangan orang muda
yang berkasih sayang. Pantun adalah media 
komunikasi yang tidak berterus terang sesuai dengan nilai budaya
masyarakat Melayu yang mengutamakan kesantunan dan perasaan penerima.
Pembahagian tema dimulakan dengan Pantun Adat dan Istiadat khasnya yang
digunakan di dalam majlis peminangan, pertunangan dan perkahwinan. Ini juga
sesuai kerana di dalam majlis-majlis ini terserlah keindahan pantun.  Bahagian penting seterusnya ialah Pantun Budi
kerana sesungguhnya budi itu menjadi
keutamaan orang Melayu. Kehalusan adalah sifat yang amat diutamakan oleh orang
Melayu. Kehalusan bukan sekadar menggambarkan perwatakan, sahsiah, keturunan
dan pendidikan tetapi mendasari kemanusiaan Melayu, morality dan etika Melayu.
Kemanusiaan Melayu memiliki ciri khas yang dinamakan budi. Budi melalui
perlakuan budi pekerti, pemikiran akal budi, perasaan (hati budi) pertimbangan
budi bicara dan bahasa serta pertuturan (budi bahasa). Dari huraian penulis,
buku ini bukan sahaja dapat menambah pengetahuan pembaca tentang pantun malah
tentang budaya dan pemikian masyarakat Melayu misalnya bagaimana orang Melayu
menghargai budi.  Pemikiran tentang Budi
juga berkait rapat rapat dengan sanjungan orang Melayu terhadap agama yang
danuti. Bahkan seluruh pemikiran dan pandangan hidup orang Melayu dibentuk oleh
Islam. Justeru itu penulis seterusnya memberi tumpuan terhadap pantun agama
.Pantun adalah institusi pendidikan informal. Mengajar, mendidik dan menasihati
ke arah kebaikan. Penulis memberi contoh:
Serindit
terbang rendah
    Terbang mari menyongsong angin
Siapa
tauhid kepada Allah
    Masuk syurga jannatulnaim.
Pantun
agama dianggap sebagai alat ekspressi untuk penghidupan yang lebih tinggi Pada keseluruhannya
pantun agama adalah sarat dengan pengajaran dan nasihat. Pantun berunsur agama
menyentuh pelbagai aspek agama antaranya rukun Islam, terutama mengenai
sembahyang, puasa, rukun haji dan zakat. Rukun iman, percaya kepada qada dan
qadar, hari akhirat, nabi-nabi . Tanpa iman yang sempurna segala amalan akan
ditolak. Sebahagian besar Pantun Agama ditujukan kepada kanak-kanak.
Pantun-pantun ini dinyanyikln Peraturan hidup beragama seperti yang diajar
kepada anak-anak sebagai media pengajaran tidak formal.  Dinyanyikan oleh kanak-kanak sebagai proses
sosialisasi.
Contohnya
lagu Anak Ayam.
Anak
ayam turun sepuluh
Mati
seekor tinggal Sembilan
Bangun
pagi sembahyang subuh
Mengingat
rahmat daripada Tuhan
Anak
ayam turun Sembilan
Satu
mati tinggal lapan
Memohon
rahmat pada Tuhan
Mencari
rezeki jalan kehidupan
Anak
ayam turun lima
Satu
mati tinggal empat
Disuruh
menuntut pada ulama
Supaya
terang jalan makrifat.
Walau
bagaimanapun adalah lebih berkesan jika Siti Zaleha  mengemukakan pantun-pantun sepertimana ia
dinyanyikan oleh kanak-kanak iaitu memendekkan ayat dan tanpa imbuhan. Dalam
nyanyian kanak-kanak:
Anak
ayam turun sepuluh
Mati
seekor tinggal sembilan
Bangun
pagi sembahyang subuh
Ingat
rahmat dari  Tuhan
anak
ayam turun lima
Satu
mati tinggal empat
Tuntut
ilmu pada ulama
Biar
terang jalan makrifat.
Bahagian
seterusnya ialah Pantun Nasihat dan Pantun Ilmu. Ini adalah bahagian yang
penting. Kerana seluruh sastera Melayu itu adalah sastera yang menyeru ke arah
kebaikan:
Ketika berucap di
dalam Syarahan Perdana Universiti Malaya pada 4 Disember 1997, Hashim Awang
menyebut bahawa Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa
mesej ke arah kebajikan. Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan mesej yang
baik dan positif di dalam karya-karya mereka. Katanya:
“Kesusasteraan
Melayu telah mengambil sifat didaktik yang amat mengutamakan penggarapan
persoalan-persoalan tentang kepentingan melakukan kerja-kerja baik dan makruf,
di samping turut menyelitkan penyuaraan-penyuaraan tegas berbentuk larangan
supaya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang batil atau kejahatan, demi
kebajikan dan kebaikan manusia, khususnya bagi umat Melayu dan Islam.”
Oleh
itu diberi penekanan kepada kepentingan nasihat menasihati. Ini juga satu
bentuk penyebaran dakwah dalam masyarakat Melayu.
Cahaya
apa di Tanjung Tuan
Memancar-mancar
bersilang silang
Kapal
belayar mengikut haluan
Supaya
tidak terlanggar karang
 Selepas Pantun Budi, penulis menumpukan
perhatian kepada Ilmu. Ilmu adalah bahagian yang penting di dalam pantun
Melayu. Ini memperlihatkan bagaimana oang-orang Melayu memuliakan ilmu.
Terdapat pantun-pantun seperti:
Keris
kecil menikam ular
Keris
besar menikam singa
Dari
kecil hendak belajar
Sudah
besar teranya-tanya
Selain
itu terdapat banyak pantun bertemakan ilmu seperti:
Burung
kenek-kenek
Hinggap
di atas batu
Pesan
datuk nenek
Rajin-rajin
baca buku.
Bahagian
seterusnya ialah Pantun Pahlawan Pantun Dagang, Peribahasa dan Jenaka dan
sebagainya.
KESIMPULAN:
Penerbitan
buku ini adalah satu usaha yang baik bagi mendekatkan (atau mendekatkan
kembali) Pantun kepada masyarakat terutama generasi muda.  Ia dipersembahkan dalam bentuk yang mudah
difahami . Walau bagaimanapun penyusunan buku ini bukanlah sesuatu yang mudah
dan kekeliruan mudah berlaku di sana sini. Misalnya Di bawah tajuk Pantun Nasihat dan Pantun Ilmu ini
dibahagikan pula kepada:
 Pengajaran dan Nasihat
Jenaka
dan Sindiran
Adat
dan Etika
Budi
dan budi bahasa
Pendidikan,
agama dan akhlak
Ilmu
dan kepentingannya
Peribahasa,
kiasan dan ibarat, kasih sayang
Hal
ini agak mengelirukan. Apakah perbezaan di antara Nasihat, Ilmu dan Pendidikan.
Perlukah pantun nasihat dan ilmu mempunyai pembahagian misalnya kepada adat,
kasih sayang atau budi sedangkan pantun adat, dan budi telah dibicarakan di
bahagian lain yang khas. Mengapa pantun adat dimasukkan di bawah nasihat. Pada
bab yang terdahulu iaitu Bab 6, penulis telah memperkatakan tentang Pantun Adat
dan mengenal adat. Hal ini juga menunjukkan bahawa pantun itu tidak mudah
disusun mengikut temanya.
Burung
kenek-kenak
Terbang
atas pagar
Pesan
datuk nenek
Rajin-rajin
belajar.
Selepas
itu dikuti dengan pantun-pantun yang dikategorikan sebagai Jenaka dan sindiran.
Paya
senggeram batu berjari
Buah
jering dalam petak
Hairan
sungguh hati kami
Lautan
kering timbul katak
Buku
ini dimulakan dengan pengenalan kepada struktur pantun. Ia diikuti dengan
contoh-contoh pantun dalam pelbagai kelompok (Busi, Nasihat, Agama dan
lain-lain). Penulis kembali mendalami aspek struktur pada Bab 12. di mana
penulis membicarakan semula hal-hal yang bersangkutan dengan struktur,
(Ciri-ciri pantun sejajar dan berpasangan, kata dasar pantun, pembayang maksud
dan maksud, rima dalam pantun dan sebagainya)
Pada
mulanya saya berpendapat adalah lebih tersusun jika  pembicaraan terhadap struktur diselesaikan di
bahagian awal ini dan tidaklah diulangi lagi di bab 12 . Namun saya kemudian
saya melihat kewajaran penyusunan Bab yang dibuat oleh Siti Zaleha, kerana
dengan memberikan contoh-contoh pantun akan memudahkan pembaca apa yang
dihuraikan dengan lebih mendalam pada bab-bab akhir.
Kesimpulannya,
buku ini adalah satu usaha yang baik dari seorang yang dekat dan berpengalaman
di dalam cabang puisi tradisional ini. Usaha seperti ini yang wajar dijalankan
oleh individu-individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam apa juga
bidang yang dapat memberi panduan kepada orang lain.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.