SIMBOLISME LAUT DALAM PANTUN MELAYU

Laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun Melayu. Antara lain, V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal  (1994: 272).Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu
mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun.
Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantn yang
menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu
samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai,
bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya. 
   
                 Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah besar tiang sebatang
                Kecil – kecil ditimang ibu
                      Sudah besar ditimang gelombang
                        (Zainal Abidin Abu Bakar,
1984: 163)
Pantun
ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui
pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan . Bila meningkat
dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan sendiri.
Tibalah waktunya untuk berdikari. Ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak
boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
 Sejak kecil seseorang
diingatkan bahawa kehidupan adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah
cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang
dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”Ungkapan
“Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang
sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu
‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh
ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh
gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai godaan hidup.
Pantun ini menggunakan laut sebagai lambang kedewasaan.
Laut menjadi perantara orang Melayu menyampaikan pemikiran dan nasihat tentang
kehidupan dan cabaran di alam kedewasaan. Kedewasaan akan membawa bersamanya
tanggungjawab dan pelbagai cabaran. Seorang yang telah dewasa perlu melakukan
perjalanan melalui laut yang melambangkan perjalanan meninggalkan dunia
kanak-kanak dan menuju ke dunia dewasa. 
. Dari sini nasibnya  akan
ditentukan oleh ombak dan gelombang
                       
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza,
iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya
ialah  masa kecil dan masa sudah
membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang
seribu. Tiang adalah dokongan (support).
Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan
kaum keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan
melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya. Dengan
mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab
ibu untuk menimang atau memberi  kasih
sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil..
 Perjalanan laut
adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat
di bawah juga menggunakan unsur laut.
            Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan hendak diduga
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:
163)
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:
163)
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:
163)
Ketiga-tiga rangkap pantun menyentuh perihal
pentingnya melengkapkan diri dengan prsarana yang secukupny dalam menjalani
kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan
minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Pantun pertama memberi
peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak
diduga”.Objek “kail panjang sejangkal” ditafsirkan sebagai penanda kepada
sesuatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan
sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan. Pantun ini juga mencabar seseorang
untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail
dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk
dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih
lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih
tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Dalam rangkap kedua
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.
Oleh kerana hidup diumpamakan seperti satu pelayaran,
maka perahu dan pendayung adalah peralatan dan kelengkapan yang diperlukan
untuk belayar menempuh hidup. Seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya, iaitu
perahu dan dayung, akan berada di dalam kekurangan,  seperti yang digambarkan oleh baris pantun
”biduk ada pengayuh tidak”.
Setiap orang mempunyai cita-cita dan impian sendiri. Hal ini
dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat
dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Pantun ini  menasihatkan agar  melengkapkan diri dengan pengetahuan dan
segala keperluan. Mempunyai biduk tetapi tidak memiliki pengayuh adalah satu
keadaan tidak lengkap. Tanpa kelengkapan ini destinasi tidak akan dicapai dan
ia menyerupai kegagalan untuk mencapai cita-cita.
Biduk atau
perahu yang dimiliki adalah penanda kepada 
ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai
cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah
juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh
kehidupan.  Perahu
yang selamat sampai ke pelabuhan hakiki adalah simbol sebuah kehidupan yang
berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan
membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan
orang-orang yang terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
Pantun di atas
mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Selaras
dengan itu ialah peringatan agar manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri
atau bermuraqabah, membuat
perhitungan banyak sedikit amalan yang diusahakan, iaitu bermuhasabah di samping giat mempertingkat keupayaan diri.
Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani
mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Oleh  kerana hidup ini umpama menempuh gelombang di
lautan, maka kita sering dinasihati agar memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan
sebagai persediaan untuk menempuh segala kemungkinan. Seseorang yang tidak
mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan
sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai
pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak
Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang mesti pula mempunyai persediaan
mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai
tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak
untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada
jauh dari pantai
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah simbol perjalanan manusia yang amat
bergantung kepada peliharaan Allah. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar
tidak berkubur di tengah lautan. Salah satu sebab kapal tenggelam di tengah lautan
ialah muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan
kapal.
                Angin barat gelombang
barat
                   Barat ditiup si angin
timur
                Tidak dirintang muatan
sarat
                    Akibat laut tempat
berkubur
Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran.
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup. Namun begitu dia tidak
boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya.
Oleh yang demikian dia perlu memilih barang-barang yang diperlukannya sahaja.
Di sini timbul keperluan untuk mengukur kemampuan diri sebelum melakukan
sebarang pekerjaan. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan
menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya
menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang
tidak penting.
Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka
yang bijak membuat pilihan. Maka pilihlah yang terbaik dan yang diperlukan
sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak
muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti
maksud jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Orang
tua-tua menasihati agar berpada-pada di dalam segala segi. Kalau mahu selamat
mestilah  menjaga batas dan sempadan.
Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia mengandungi panduan untuk hidup
dengan berimbang iaitu mengimbangi barang-barang yang dibawa dengan kemampuan
had muatan.  Segala sesuatu dijadikan
Allah adalah dengan ukuran dan imbangan.

Di sini terdapat nasihat peri pentingnya
membuat pilihan. Manusia perlu selalu berdoa agar diberi pertolongan dan
pertunjuk untuk membuat pilihan yang tepat selaras dengan maksud baris
Al-Fatihah yang dibaca di dalam solat “tunjukkanlah kami jalan yang benar”. 

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.