SENI MENGARANG SYAIR

By in
No comments

Buku Puisi Melayu Tradisional, terbitan Pekan Ilmu 2012, dalam proses ulangcetak. 
Penggiat syair Nusantara, Pehin Abdul Ghani (Ibnu Abdeer Rahim), Roslan Madon dan Zurinah Hassan


SENI MENGARANG SYAIR
BERPAKSI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU


Oleh:
ZURINAH HASSAN.
Pengenalan:
Syair dan Pantun
adalah dua subgenre kesusasteraan Melayu tradisi yang terus  akrab dengan masyarakat hingga ke zaman ini. Bentuk
puisi Melayu tradisional ini mudah dikenali oleh khalayak, juga masih dikarang
dan disebarkan melalui pelbagai media umpamanya dalam acara acara majlis dan
dijadikan senikata lagu. Bentuk bentuk yang lain seperti gurindam, seloka,
nazam, lebih lebih lagi kitaah, rubayat, mathnawi, semakin jarang ditulis malah
kian sukar dikenali oleh generasi muda. Pantun diterima sebagai ciptaan asli
masyarakat Melayu, manakala bentuk bentuk puisi yang lain ini dikatakan muncul daripada
pengaruh kesusasteraan asing terutama Arab dan India. Hal ini terjadi apabila tanah
leluhur Nusantara ini pada suatu masa dahulu menjadi tempat persinggahan para
pedagang dan pengembara yang menunggu munsun beredar dan musim bertukar.  Di samping membawa pelbagai barang dagangan
mereka turut membawa adat resam dan bahasa pengucapan, ekspresi seni termasuk
puisi. Tidaklah diketahui bagaimana bentuk gurindam, seloka, nazam dan syair
yang mula sampai di Nusantara.
            Dari
segi pengistilahan dan teknis perkataan syair dipinjam daripada istilah Arab,
syi,ir namun kata sepakat dikalangan sarjana telah tercapai bahawa istilah yang
dipinjam ini telah dicorak dengan ragam tempatan dengan mengubah suku awal syi
kepada sya , lalu menjadi syair. Syair telah menarik perhatian Sarjana dan
pengkaji seperti A. Teeuw (1966), Winstedt (1967:186), Hooykaas (1965: 72) Syed
Muhammad Naguib al-Attas (1969:178) yang telah mengulas dengan panjang lebar
struktur dan asal usul syair Melayu. Tulisan ini juga tidak bertujuan mengulas
perselisihan pendapat antara para sarjana tempatan dan  sarjana barat tentang perkara tersebut.  
Pada asalnya semua
terminologi syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya  bermaksud puisi iaitu karangan yang berangkap,
sama halnya dengan erti puisi dalam
Bahasa Melayu atau poetry di dalam
Bahasa Inggeris. Namun begitu generasi ke generasi ia melalui perubahan dan
istilah istilah tersebut merujuk kepada puisi2 tradisi Melayu yang mempunyai
bentuk  dan ciri-ciri tersendiri serta
mengambil fungsi yang berlainan di dalam masyarakat Melayu. Perkataan syair  di
dalam Bahasa Melayu mendapat pengertian yang khusus iaitu:
·        
Mengandungi 4 baris dalam serangkap
·        
Dalam satu baris terdapat 4 perkataan dan mengandungi 8-12
sukukata
·        
Rima akhir syair adalah a-a-a-a
·        
Satu rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri sepertimana satu
rangkap pantun.
·        
Syair tidak mengandungi pembayang maksud seperti pantun
            Seni dan teknik mengarang
syair memperlihatkan bahawa ianya berpaksi kepada prinsip-prinsip  Teori Pengkaedahan Melayu. Hal ini dapat dibuktikan
melalui analisis  isi dan pemikiran serta
gaya penulisan syair. Pada umumnya tradisi mengarang syair Melayu ditandai oleh
beberapa ciri penting yang mendasari penciptaan pujangga-pujangga silam yang
lahir  di daerah Nusantara, iaitu:.
·        
Memulakan syair dengan kalimah bismillah, memuji mensyukuri rahmat
Allah
·        
Menyatakan tujuan bersyair iaitu sebagai peringatan demi kebaikan
·        
Merendah diri dan menyebut diri sebagai
dagang yang hina, miskin dan   bermusafir
·        
Selalu menyebut nama Allah dan Rasul di dalam isi syair.
·        
Menggunakan unsur alam dalam menyampaikan isi sajak.
TEORI PENGKAEDAHAN
MELAYU
Teori Pengkaedahan Melayu
merupakan sebuah teori yang di kemukakan pada tahun 1989 oleh seorang sarjana
tempatan, iaitu Prof Datuk Dr. Hashim Awang. Menurut Hashim Awang (2002:2),
teori ini mengandungi rumusan atau formula yang berupa prinsip-prinsip umum
tentang karya atau teks sastera dan amalan-amalan yang berkaitan dengan
kesusasteraan Melayu di mana pembentukannya adalah bertunjangkan realiti
kehidupan dan keagamaan panghasil sastera.
Pendekatan-Pendekatan
Dalam Teori Pengkaedahan Melayu
Teori ini terbahagi kepada
dua pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Agama yang saling
berkait antara satu sama lain. Dua pendekatan ini dibahagikan pula kepada tiga
pendekatan. Tiga pendekatan yang ada di dalam Pengkaedahan Alamiah adalah
Pendekatan Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat. Manakala tiga
Pengkaedahan Agama pula ialah Pendekatan Dakwah, Pendekatan Kemasyarakatan dan
Pendekatan Seni.
Pengkaedahan Alamiah
merujuk kepada pendekatan yang berteraskan corak hidup masyarakat Melayu yang
biasanya boleh dianggap sebagai masyarakat yang ‘mesra alam’. Hal ini
bermaksud, masyarakat Melayu sering menjadikan alam sebagai sebahagian daripada
diri mereka. Hashim Awang menyatakan bahawa, masyarakat Melayu sering
menjadikan alam sebagai faktor untuk memberikan mereka pekerjaan, pengalaman,
pengajaran dan kebajikan. Manakala, pengkaedahan keagamaan pula menggunakan
pendekatan yang berteraskan akidah agama Islam. Maka, corak kehidupan
masyarakat saling berhubung dengan pegangan agama mereka yang majoritinya
beragama Islam. Mereka menjadikan Al-Quran
dan hadis sebagai panduan.
Pendekatan
Firasat
Pendekatan firasat
berasaskan kepada tanggapan bahawa sastera adalah suatu kejadian alam yang
dirakamkan dan dimanifestasikan dalam pengalaman hidup. Maka, dalam pendekatan
ini, karya sastera di kaji untuk mencari dan menghuraikan pengalaman hidup,
iaitu berhubung dengan peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh manusia tertentu
dan seterusnya. pengalaman tersebut dapat disingkap untuk mengibarat atau
memberi ikhtibar kepada pembaca atau khalayak. Pendekatan ini berasaskan kepada
tanggapan bahawa sastera adalah satu kejadian alam semesta yang memberikan dan
memperkayakan pengalaman hidup sama seperti yang ada dalam pendekatan moral.
Kejadian alam yang difokuskan di adalah keinginan dan imaginasi yang melahirkan
mimpi. Bagi masyarakat Melayu, mimpi merupakan pengalaman hidup yang menarik
dan bermakna dalam kehidupan. Mimpi sering diberikan perhatian untuk
mendapatkan pengertian atau makna di sebalik kelahirannya. Maka, sastera perlu
dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat zahir dan batin atau yang disebut sebagai
yang tersurat atau tersirat menjadi alamat untuk mendapatkan makna yang
tersirat.
a)    Pendekatan
Gunaan
Pendekatan gunaan melihat
sastera sebagai objek ciptaan yang sama dengan konsep penciptaan objek-objek
lain ciptaan Allah. penciptaan yang dibuat mempunyai sebab, tujuan, dan fungsi
yang tersendiri. Menurut Hashim Awang (2002), hasil karya yang dicipta akan
diteliti dari sudut kegunaan atau manfaat penghasilannya kepada pembaca atau
khalayak, dari aspek ekstrinsik dan intrinsiknya. Jenis atau bentuk kegunaan
bergantung kepada pembaca yang menikmati atau mentafsirnya. Dalam hal ini,
sastera Melayu, seperti pantun telah mengambil peranan sebagai media
pendidikan, alat penawar jiwa, pengungkap perbilangan adat, serta panduan dan
tatacara hidup bermasyarakat. Hal ini sama juga seperti objek ciptaan Tuhan,
umpamanya sungai yang menjadi sumber air untuk menusia dan segala makhluk Allah. 
b)    Pendekatan
Moral
Pendekatan Moral adalah
ekoran daripada dasar yang terdapat di dalam pendekatan pertama. Namun, ia
bukan sebagai kewujudan memberi kegunaan tetapi kejadian yang bersifat
pengalaman hidup. Maka, dalam pendekatan ini, karya sastera dikaji untuk
menyingkap dan menyatakan pengalaman hidup, iaitu berhubung dengan
peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh manusia-manusia tertentu dan seterusnya.
Pendekatan ini dapat dilihat untuk mengibarat atau memberi ikhtibar kepada
pembaca tau khalayak.
c)    Pendekatan
Dakwah
Pendekatan ini melihat
sastera sebagai wadah untuk mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang insan
terhadap Allah. Setiap karya yang sastera itu dianggap boleh menyampaikan
persoalan-persoalan dan memaparkan sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian
kekuasaan Allah. Sastera di sini dapat diibaratkan sebagai ‘kitab’ yang dapat
membantu insan menganali dengan lebih dekat, sifat dan diri Tuhan sehingga
timbulnya pertambahan dan peningkatan rasa kecintaan dan kehormatan insan
terhadap-Nya. Maka, karja sastera dilihat sebagai mampu menjelaskan kemurnian
dan kelebihan agama Islam. Di samping itu, karya sastera juga dikatakan boleh
memaparkan kesucian agama Islam dan menjadi alat mengembang agama Islam.
d)    Pendekatan
Masyarakat
Pendekatan ini memberi
perhatian kepada aspek isi dan persoalan yang menjadi kebaikan dan keadilan
dalam masyarakat seperti yang dituntut oleh agama. Sastera boleh dijadikan
objek untuk menguraikan punca kepincangan masyarakat dan permasalahan yang
diihadapi oleh masyarakat. Maka, dapat dilihat bahawa kepincangan yang dihadapi
dalam masyarakat yang dipaparkan mestilah bertujuan untuk mencapai
kesejahteraan hidup bermasyarakat dan pengukuhan keimanan serta ketaqwaan.
Antara isu-isu yang dilihat ialah ketidakadilan, kemungkaran, penipuan, rasuah
dan sebagainya. Boleh dikatakan bahawa, segala aspek politik, ekonomi, moral,
pemikiran menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat akan dijadikan
subjek utama.
e)    Pendekatan
Seni
Pendekatan seni memberi
tumpuan kepada unsur keindahan dalam sastera. Keindahan yang dimaksudkan ialah
keindahan nilai etika yang sudah pasti pula tidak bertentangan dengan akidah
serta ajaran Islam. Keindahan yang demikian sifat dan tuntutannya, menjadi
objek penelitian untuk ditemukan dalam sastera menerusi pelbagai aspek atau
unsur pembinaannya; bentuk harfiah dan dalamannya, gaya penceritaan, kaedah
pendedahan tema dan watak, pemakaian sudut pandangan, atau gaya bahasanya. Apa
yang dipentingkan daripada penggunaan pendekatan ini dalam penelitian sastera
ialah menemukan segala-galanya untuk kemudiaannya menghasilkan ‘keindahan’ itu
kembali, bagi memperkukuhkan tapak-tapak asas yang murni lagi suci,iaitu
keimanan, ketakwaan, dan kecintaan kepada Allah
Hashim Awang mengatakan
bahawa, karya sastera diukur daripada isi dan penyampaiannya. Isi yang baik
adalah isi yang membawa nilai yang baik dan positif yang dapat memberi teladan
kepada orang Islam secara khusus dan juga kepada bukan Islam. Daripada
perspektif Pendekatan Seni, penyampaian unsur pisitif di dalam sesebuah karya ini
tidak semestinya bersifat langsung, ia dapat disampaikan secara halus.
Seni
mengarang syair Melayu
            Prinsip
prinsip Teori Pengkaedahan Melayu yang bertunjangkan alam dan agama Islam, jelas
terlihat di dalam syair-syair yang dikarang oleh pujangga Melayu. Tulisan ini
berpandukan beberapa syair tersohor Nusantara. Pilihan ini adalah untuk
mengimbangkan penulisan syair yang lama hingga ke penulisan terkini.
1.    Syair
Perahu
, karangan
Hamzah Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17,
2.    Syair
Rakis
, karangan
Pengiran Md Salleh ditulis  sekitar 1840han, diterbitkan semula oleh Pusat
Sejarah Brunei, tahun 1983.),
3.   
Syair Asli Rejang Hari,karangan Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adu Khairi Waddien ,
Sultan bagi Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan nama Muda Omar Ali Saifuddin
4.   
Syair Madah Permata karya Ibnu
‘Abdir- Raheem,  2001, ( edisi kedua
2014)., Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei. 
Memulakan
dengan kalimah bismillah dan memuji Allah dan Rasul.
            Pada
umumnya Pengarang syair akan bermula dengan 
menyebut nama Allah dan berselawat ke atas RasulNya diikuti dengan
pengarang menyatakan niat atau tujuannya menulis syair.
Bismillah itu mula karangan
gurindam bayu nama timangan
kisah rencana dagang buangan
nestapa lara di gunung larangan
                        (Syair Rakis rangkap pertama)
kumulakan syair dengan
bismillah
sambil bertahmid
Alhamdulillah
Mensyukuri rahmat
kebesaran Allah.
 Atas nikmatnya yang tidak terjumlah 
                        (Madah Permata: 3)
Bermula bismillah syair
dicipta.
Mensyukuri Allah maha pencipta
Tuhan pentadbir alam
semesta.
Rahmatnya luas merata
rata.
              (Madah Permata
:2)
Menyatakan tujuan
bersyair
:
            Sesudah melafazkan
Bismillah, seorang pengarang,akan menyatakan tujuan beliau mengarang syair itu.
Pengarang
akan mengatakan bahawa beliau sedang menulis syair dengan sesuatu tujuan yang
biasanya adalah untuk menyampaikan pesan ke arah kebaikan untuk masyarakat,
negara,  bangsa dan agama. Ini adalah
selaras dengan penciptaan sastera Melayu sebagaimana yang telah  disebutkan di dalam Teori Pengkaedahan Melayu,
iaitu sastera dikarang oleh pengarang dengan penuh kesedaran akan peranannya
sebagai pengarang,  sepertimana beliau
sedar akan kewujudan dan tanggungjawabnya sebagai insan ciptaan Allah. menyatakan
bahawa tujuan syair. Permulaan atau rangkap satu Syair Bidasari berbunyi:
Dengarkan tuan suatu riwayat
Raja di desa Negeri Kembayat
Dikarang fakir dijadikan hikayat
Supaya menjadi tamsil-ibarat.
Syair
Bidasari (Jamilah Haji Ahmad (ed.) 1989), ialah syair naratif atau syair cerita.
Hal ini disedari oleh pengarangnya yang mengatakan bahawa syair tersebut
”dijadikan hikayat”, namun hikayat atau kisah yang terdapat di dalamnya
bukanlah untuk hiburan semata-mata. Pengarang 
menyatakan bahawa beliau mengarang dengan tujuan menjadikannya  ”tamsil ibarat”, menepati  fungsi sastera sebagaimana diperjelaskan oleh
Teori Pengkaedahan Melayu.
Mengarang
hikayat dengan niat untuk menjadi teladan atau ibarat adalah selaras dengan
prinsip teori yang melihat karya sastera sebagai sumber contoh teladan dan
pengibaratan yang dapat membawa kebaikan kepada kehidupan manusia. Hal ini
terbentuk oleh tujuan yang dinyatakan di dalam Al-Quran “Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu
ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh
teladan (mengenai) kisah-kisah dan berita orang-orang yang telah lalu sebelum
kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu)bertaqwa” (Surah
An-Nur, ayat 34 ).
            Hamzah
Fansuri Pengarang Syair Perahu juga menyatakan bahawa tujuan menulis syair ialah untuk
“membetuli jalan tempat berpindah”. Dengan ini pengarang memberi peringatan
kepada pembaca yang mungkin tergelincir atau  alpa, dalam kehidupan dunia yang penuh pancaroba
ini.  
Inilah gerangan suatu
madah
Mengarang syair terlalu
indah
Membetuli jalan tempat
berpindah
Di sanalah iktikad
diperbetuli sudah.
Kesedaran
ini turut dilihat pada Muda Omar Ali Saifuddien yang menyatakan bahawa tujuan
mengarang syair adalah untuk menyampaikan pesanan kepada anakndanya supaya
mengenang jasa orang orang yang telah berbuat kebajikan.
Anaknda tuan mahkota Hassan
Kepada anaknda ayahnda berpesan
Hendaknya dikenang jasa berkesan
Pada mengingatkannya janganlah bosan.
         (Syair Asli Rajang Hari:
rangkap 91).
Ibnu Abdir Raheem menyatakan bahawa tujuan menulis syair ialah
untuk direnung dan difikirkan
Syair bernama madah permata.
Kukarang untuk anakku tercinta
Sebagai bingkisan mutiara kata.
Menjadi penyuluh di gelap gelita
                     (Madah Permata: 3).
            Memulakan syair dengan lafaz Bismillah diikuti dengan
menyatakan dengan jelas tujuan bersyair adalah teknik mengarang yang
berpaksikan Teori Pengkaedahan Melayu. Melafazkan nama Allah
menandakan bahawa penyair Melayu menulis dengan niat bahawa setiap sesuatu yang
dibuat mestilah kerana Allah. Melafazkan tujuan menulis  boleh disamakan dengan
menzahirkan dan meneguhkan niat di dalam melakukan ibadat. Mengikut Hashim Awang, “lazimnya pengarang Melayu memulakan
penulisan dengan memuji kebesaran dan kekuasaan Allah, dikuti dengan ucapan
salawat kepada Nabi Muhammad saw. dan kemudiannya dijelaskan niat dan tujuan
murninya menghasilkan karya. Selepas itu barulah penulisan teks, atau penulisan
karya sebenar terlaksana”. (Hashim Awang,1993)
            Hal ini juga membuktikan bahawa Pengarang Melayu sentiasa
berpegang kepada pada hakikat bahawa 
Allah mencipta sesuatu dengan bertujuan, iaitu untuk memberi manfaat
kepada manusia. Dan manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah menepati ayat
yang bermaksud “Tidak kucipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat
kepadaku”. Penciptaa syair membuktikan bahawa pemikiran pengarang dibentuk oleh
ajaran Islam  bahawa Manusia dicipta
dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi Allah  dan menegakkan kalimah syahadah, iaitu
menegakkan syariat Islam. Hal ini sangat lumrah dalam syair Ibnu Abdir Raheem.
Dengan kejadian sempurna
dan indah.
Manusia diciptakan membawa
risalah
Demi menegakkan kalimah
syahadah.
Kalimah tayyibah
lailahaillah
                                                              (Madah Permata:5)
Semuanya
itu diciptakanAllah.
 Yang maha pengasih lagi pemurah
Supaya
manusia mengambil faedah.
Bagi
mengukuhkan iman dan akidah.
                                                              ( Madah Permata:
9).
Pengarang
syair merendah diri
.
            Gaya penulisan syair seterusnya ialah Pengarang
memperkenal dan menyebut dirinya  sebagai
miskin dan fakir. Dalam masa menulis itu pengarang menggambarkan diri sebagai
sedang bermusafir, berdagang atau berkelana. 
Kata dagang membawa citra pengembara yang berada di tempat orang,
justeru itu tidak berkuasa Ini adalah gaya merendah diri yang digunakan oleh pencipta
pantun, sebagaimana yang digambarkan di dalam pantun berikut:
Kajang tuan kajang berlipat
       Kajang saya mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
      Dagang saya terbuang lalu
            Pengenalan diri
pengarang sebagai pengembara yang tidak berdaya itu tergambar di dalam Syair
Rakis:
Namaku
Misa Panji Larangan
dari
kecil timang-timangan
sudah
sekarang buang-buangan
di
negeri orang keseorangan.
Di
gunung larangan asmara guna
menyamar
jadi papa kelana
segenap
desa pantai saujana
membawa
nasib tiada berguna
 Gambaran rendah diri,
berkelana atau bermusafir itu terdapat di dalam ungkapan  buang
buangan, membawa nasib tiada berguna,
di negeri orang keseorangan, papa kelana,
            Amalan merendah
diri menjadi kelaziman pengarang syair tidak kira walaupun pada realitinya
Pengarang adalah seorang Sultan yang memiliki kekayaan dan kuasa. Hal ini jelas
dilihat dalam Syair Asli Rajang Hari
karya Muda Omar Ali Saifuddein, iaitu nama yang digunakan oleh Al-Marhum Sultan
Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adu Khairi Waddien , Sultan bagi Negara Brunei
Darussalam.
Kadar hanya menyusun
sajak.
Dagang nin bukan yang
pandai bijak
Hanya mengikutkan dakwat
melajak.
Kalam berlari tiada
berjejak.
                          (Syair 
Asli Rajang Hari
: 495)
            Rangkap ini
memperlihatkan bagaimana seorang pengarang syair tetap menggambarkan keadaan
dirinya sebagai tidak berkuasa dan tidak berdaya walaupun pada realiti
kehidupannya adalah seorang yang memiliki kuasa.  Citra ini dibawa oleh dua baris “Dagang nin bukan yang
pandai bijak/Hanya mengikutkan dakwat melajak”.
Pengarang mengaku dirinya bukan seorang yang bijak.  dan hanya mengharapkan kuasa lain iaitu  kuasa Allah untuk melajakkan kalam atau
menggerakkan pemikirannya.  Ini adalah
suatu pengakuan terhadap kuasa Allah di dalam menggerakkan ilham yang menjadi
pegangan dalam proses kreatif atau kepengarangan Islam. 
            Citra miskin dan dagang diteruskan
oleh Ibnu Abdir Raheem.
Dengarlah anakanda muda jauhari.
Tiada harta yang dapat kuberi
Melalui syair ayahnda berperi.
Sebagai panduan di kemudian hari
PENGGUNAAN UNSUR ALAM
SEBAGAI PERLAMBANGAN.
Citra alam menambah
nilai estetika di dalam puisi Melayu khasnya puisi Melayu tradisi termasuk
syair.  Penggunaan unsur alam berkait
rapat dengan  Pendekatan Firasat, Teori Pengkaedahan
Melayu, yang menggariskan bahawa penciptaan
sastera adalah sebahagian daripada kejadian alam yang mempunyai makna atau
maksud, atau berlaku dengan unsur kemisterian yang penemuannya itu hanya dapat
dikerjakan melalui proses takbir atau tafsiran. Kemisteriannya itu terdapat
dalam bentuk corak atau teknik penyampaiannya, seperti penggunaan bahasa yang
berlapis dan pemakaian lambang terutama lambang dari unsur unsur dan objek
objek alam dan alamiah, Kemisteriannya itu juga terdapat dalam corak
persembahannya, maksudnya karya sastera itu mengandungi makna di sebalik apa yang
berlaku. Ini bererti bahawa sastera itu mengandungi dua lapis makna, iaitu
lapis makna yang tersurat dan lapis makna yang tersirat. Makna yang pertama
adalah jelas, tetapi makna yang kedua memerlukan mata hati, atau pemikiran dan
keintelektualan untuk memahaminya.
Hal yang
pertama itu dipenuhi dengan penanda atau alamat tertentu, yang
terkandung dalam pemaparan pengisahan dan maklumat pada hasil karya sastera.
Dari lapis yang tersurat ini  akan dapat dicari
makna yang tersembunyi. Makna yang tersembunyi itulah yang menjadikan sesuatu
hasil karya sastera benar-benar bermutu (Hashim Awang, 2002:5).
            Hal ini
dianalisis melalui gaya pengucapan Syair Rakis.
Di gunung larangan
asmara guna
menyamar jadi papa
kelana
segenap desa pantai
saujana
membawa nasib tiada
berguna
Membawa nasib untung
sendiri
meninggalkan rumah anak
isteri
masuk segenap desa dan
negeri
seperti orang hendak
mencari
Seperti burung lepas
tangkapan
terbangnya tiada lagi
hinggap hinggapan
bunga dan buah tiada
dimakan
daripada bagas
kemasygulan
Sebut namaku dagang
asmara
tiada tentu desa negara
bercerai dengan sanak
saudara
membawa nasib untung
ketara
namaku Misa Panji
Larangan
dari kecil
timang-timangan
sudah sekarang
buang-buangan
di negeri orang
keseorangan.
            Setelah baris pembukaan “bismillah itu mula karangan”,
pengarang Syair Rakis memperkenalkan dirinya dengan nama Gurindam Bayu
dan  Dagang Asmara tidak sebagai seorang Pengiran, keluarga diraja dan
wakil pemerintah Brunei di Sarawak. Perkataan Bayu dan Dagang memberi gambaran
kedudukan yang tidak tetap. Pengarang seterusnya menggambarkan keadaan dirinya
yang nestapa, menjadi   dagang buangan yang sedang membawa diri di
segenap desa dan pantai yang saujana.
            Syair ini diperindah dengan penggunaan  imej alam
seperti gunung,  pantai, dan burung yang sedang terbang.. Terdapat unsur
metafora gunung larangan yang membawa maksud suatu tempat yang
terpencil dan penuh kesukaran ; pantai saujana memberi
gambaran  tempat yang sangat luas  dan perjalanan panjang yang telah
ditempuhi untuk  mencari sesuatu. Penyair membuat misalan dirinya
seperti  burung yang sedang
terbang tetapi tidak hinggap di mana-mana ranting dan tidak singgah untuk
mematuk buah dan bunga. Pengarang syair menganggap dirinya sedang merana
keseorangan. Gambaran ini adalah tepat untuk menimbulkan suasana cemas seorang
yang sedang dalam pelarian atau sedang diburu. Pembaca tertanya-tanya adakah
dia telah dianiaya dan disingkir daripada tempatnya yang hak.  Adakah dia
sedang diburu oleh musuh sehingga  takut untuk berhenti atau berehat di
mana-mana. 
            Terdapat unsur
metafora gunung larangan yang membawa
maksud suatu tempat yang terpencil dan penuh kesukaran ; pantai saujana memberi gambaran 
tempat yang sangat luas  dan
perjalanan panjang yang telah ditempuhi untuk 
mencari sesuatu. Penyair membuat misalan dirinya seperti  burung yang sedang terbang dan oleh kerana
berada di dalam kecemasan,  tidak hinggap
di mana-mana ranting dan tidak singgah untuk mematuk buah dan bunga.
            Ibnu Abdir Raheem sebagai penerus tradisi kepenyairan Melayu
turut menerapkan unsur alam di dalam syair syairnya.  Terdapat citra alam yang diadun di dalam
bentuk perlambangan, metafora, simile dan personifikasi sebagai  perantara bagi membawa makna yang mahu
disampaikan. Analisis penggunaan unsur alam dalam syair IAR dibuat berpandukan
rangkap rangkap di bawah:
Allah ciptakan bulan dan
bintang
siang  dan malam pagi dan petang
Laut yang biru luas
terbentang
 bukan sekadar untuk dipandang
                        (Madah
Permata
: 24).
Allah ciptakan siang dan malam.
Yang satu terang yang satu kelam
Hikmatnya luas amat mendalam
Bukti keagungan khalikul alam.
                       (Madah Permata : 4).
Dua rangkap di atas merujuk kepada kejadian alam khasnya
cakerawala, peredaran waktu dan hari, siang dan malam  yang telah diatur oleh Maha Pencipta. IAR
menyebut kejadian bulan dan bintang dan laut biru terbentang yang bukan
semata-mata untuk dipandang tetapi mesti diperhati dan difikirkan. Kejadian
bulan dan bintang juga dijelaskan  di dalam
ayat Al-Quran yang bermaksud; ”Dan Ia
pula yang mencipta matahari dan bulan serta bintang-bintang semuanya tunduk
kepada perintahNya” (Surah Al-A’raf, ayat 54). Mohd. Kamal
Hassan, “Seni dan sastera yang dituntut oleh Islam mendapatkan visi hidupnya
dan visi keindahannya daripada Al-Quran
yang amat nyata memperlihatkan pertemuan yang sempurna antara kebenaran,
kebaikan dan keindahan bahasa” (1981: 49).
           Pertukaran malam dan siang
adalah ketentuan Allah yang membuktikan kebijaksanaanNya. Pemikiran ini adalah
selaras dengan maksud ayat “Bahawa sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi
dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan
dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (Surah Ali-Imran, ayat
190). Peredaran waktu  adalah bukti
kesempurnaan ciptaan Allah SWT dan rahmat yang dikurniakanNya. Hal ini
diterangkan melalui ayat yang bermaksud, “Dan sebahagian daripada rahmat Allah
itu ialah dijadikanNya bagimu malam dan siang, agar kamu dapat beriistirahat
dan bekerja mencari rezeki kurniaNya, dan akhirnya agar kamu sekelian suka
bersyukur” (Surah al-Qasas, ayat 73).
            Penggunaan unsur alam juga terdapat
di dalam bait:
Ingatlah wahai anakanda
tersayang.
Payung yang buruk jangan
dibuang
Dibawa berjalan di hari
benderang.
Kemungkinan hujan
menjelang petang.
                                   (Madah Permata:23).
            Pada rangkap ini
terdapat simbolisme yang menarik. IAR menggunakan unsur cuaca untuk menerangkan
tentang kehidupan manusia yang tidak dapat ditentukan atau diramal kerana
segalanya berada di bawah takdir Allah SWT. 
Cuaca terang dikaitkan dengan waktu senang sementara hujan menandakan
kesukaran.  Keadaan cuaca yang tidak
menentu mengingatkan manusia supaya berhati-hati.
Suatu simbolisme yang
lumrah di dalam puisi Melayu, ialah laut dan lautan. Simbol laut dan
dan perjalanan laut  telah digunakan oleh
pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara
pemikir Melayu-Islam yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik
ini ialah Hamzah Fansuri, yang menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai
perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat di dalam syair Perahu yang
termasyhur itu. 
Wahai
muda kenal dirimu
ialah
perahu tamsil tubuhmu
tiadalah
berapa lama hidupmu
ke
akhirat juga kekal diammu.
Hai muda
arif budiman
hasilkan
kemudi dengan pedoman
alat
perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan
 (Syair Perahu , sumber: Harun Mat Piah,
1997:255)
Aplikasi Pendekatan Firasat terhadap
syair syair ini memperlihatkan bahawa hidup manusia umpama perjalanan menuju ke
suatu pelabuhan yang telah ditentukan. Ibnu Abdir Raheem meneruskan simbolisme
ini
Hidup bagaikan suatu pelayaran
 penuh ranjau serta cabaran
jika berani menghadapi kesukaran.
pasti selamat sampai di pangkalan.
                                                (Madah Permata: 27)
            Di sini pengarang menggunakan laut bagi mengibaratkan
bahawa hidup di dunia diibaratkan satu pelayaran yang pasti menempuh  ombak, gelombang dan badai. Manusia harus
tabah dan sabar disamping meningkatkan ilmu bagi menempuh segala rupa
kesukaran. Pada laras
yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat, iaitu kehidupan dunia
adalah laluan ke akhirat, iaitu yang dilambangkan oleh IAR sebagai “Sampai di pangkalan”. Aspek ini selaras dengan  ayat Al-Quran yang bermaksud, , “Allah yang
memudahkan laut bagi kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan
perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur
(Surah Al-Jaathiyah, ayat 12).
Pandangan yang diutarakan ini dapat
dibandingkan dengan pemikir-pemikir Islam yang turut mengumpamakan kehidupan di
dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Syeikh Abdul
Qadir Al Jailani berucap di Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H. “Wahai
anakku, dunia ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan
adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157).Beliau
juga mengucapkan:
Waspada dan hati-hatilah kamu terhadap
gelombang samudera dunia, kerana tidak sedikit makhluk yang karam di dalamnya. Ia
merupakan samudera yang sangat dalam, yang mampu menenggelamkan segala-galanya.
Hanya sahaja Allah akan menyelamatkan daripada hempasan gelombang samudera
itu  (2003:44).
            Beberapa rangkap
syair IAR turut mengandungi perlambangan dari tumbuh tumbuhan. Antara bait yang
paling berkesan dan memperlihatkan nilai estetika yang tinggi ialah:
Dunia ini ladangnya
akhirat.
Benihnya iman serta
syariat
Bunganya takwa serta
ibadat.
Buahnya syurga di hari
kiamat
                          (Madah
Permata
:26)
            Rangkap ini mengumpamakan dunia sebagai ladang. Hasil
tanaman adalah amalan yang akan diberi ganjaran di hari kemudian. Perlambangan
ini memperlihatkan jalur pemikiran yang berakar umbi dan terbentuk oleh
Islam.  Menanam pokok
atau berladang sering dijadikan simbol berusaha untuk mendapatkan ganjaran di
akhirat. Ternyata pemikiran ini dipengaruhi oleh hadis Nabi Muhammad saw yang
bermaksud: “Dunia adalah ladang akhirat. Barang siapa menanam kebaikan, maka
dia akan memetik hasil keuntungannya. Dan barang siapa menanam keburukan, maka
penyesalan adalah hasil yang akan dipetiknya” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim). Hadis dipetik oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam bukunya Al-Fath Ar-Rabbani yang diterjemahkan
sebagai Wahyu Agung oleh Muhammad
Qodirun Nur (2004:35).
KESIMPULAN:
            Seni mengarang dan tradisi penulisan syair Melayu adalah
selaras dengan penciptaan sastera yang digariskan di dalam Teori Pengkaedahan
Melayu iaitu sastera yang menjalankan fungsi dedaktik dan menyampaikan pesan ke
arah kebaikan. Mengarang syair Melayu adalah proses kreatif
yang berpaksikan amalan dalam kehidupan Islam yang menggariskan bahawa setiap
perbuatan harus dilakukan dengan tertib, mengikut aturan dan hukum-hukum yang
sudah ditetapkan. Teknik penulisan ini mengukuhkan pandangan Hashim Awang bahawa  Pengarang Melayu sentiasa berpegang kepada
pada hakikat bahawa  Allah mencipta
sesuatu dengan bertujuan, iaitu untuk memberi manfaat kepada manusia. Dan
manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah menepati ayat yang bermaksud
“Tidak kucipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”. Dengan
adanya teknik atau keteraturan itu timbullah keindahan seni, atau estetika,
dalam penciptaan sastera tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan tuntutan
Islam sebagai agama yang mengutamakan keteraturan dan keindahan. Tuntutan ini
dijelaskan melalui dua buah hadis nabi yang masing-masing bermaksud bahawa
“Tuhan itu indah dan Dia sukakan keindahan” dan ” Dari sudut
Pendekatan Gunaan sastera dilihat sebagai suatu objek atau benda ciptaan yang
sama dengan konsep penciptaan objek-objek lain ciptaan Tuhan. Kejadiannya atau
penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan
imbangannya.  Sastera/syair dicipta
supaya boleh dimanfaatkan oleh manusia sama seperti objek alam yang lain,
bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Ia menciptakan langit dan
bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar” (Surah az-Zumar, ayat 5).
            Syair
juga berisi  seruan  untuk anggota masyarakat supaya mengerjakan
kebaikan, memberi motivasi kepada masyarakat untuk  mempertingkatkan kedudukan dan kemuliaan diri
sendiri dan saudara-saudara sebangsa dan seagama.Mengarang syair dijadikan
kegiatan berdakwah iaitu kegiatan yang dituntut oleh Islam mematuhi seruan yang
terkandung di dalam ayat yang bermaksud 
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru
kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang
mungkar. Dan merekalah umat yang beruntung” (Surah Ali-Imran ayat 104).
RUJUKAN
Aminah Haji
Momin, 2009, “Mencarukkan Syair Asli Rajang Hari dari perspektif sastera Islam,
Pangsura, Jurnal Pengkajian Dan
Penelitian Sastera Asia Tenggara , Januari- Jun 2009.
Ibnu ‘Abdir- Raheem,  2001, ( edisi kedua
2014)., Syair Madah Permata, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Brunei. 

Pengiran
Shahbandar Pengiran Md. Salleh Ibnu Pengiran Sharmayuda, Syair Rakis / kata pengantar 
Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama, Awang Haji Mohd. Jamil Al-Sufri
bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Awang Haji Umar, Pusat Sejarah
Brunei 1983.
Zurinah Hassan, 2010,  Unsur Alam dalam Puisi Melayu
Moden,  Bangi,  Penerbit Ukm,
Zurinah
Hassan, 2012, Puisi Melayu Tradisional, Pantun, Syair, Gurindam, Seloka, Kuala
Lumpur.  Pekan Ilmu,

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.