Hari ini hari lahir Usman Awang- Al Fatihah. Ini adalah antara karya Usman yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Sajak pertama Usman Awang yang tersiar di akhbar ialah “Korban Tanah Air” (Utusan Zaman 7 November 1948).
Biar dia telah pergi
Atau gugur ke persada ibu
Yang…takkan kembali
Meninggalkan bakti dan jasa
Dia hanya seorang mata-mata
Atau hanya perajurit yang berbakti
Meninggalkan bingkisan jasa
Pada bangsa dan ibu pertiwi
Ia gugur di medan perjuangan
Di tengah-tengah hutan belantara
Atau kurburnya ditabur kembangan
Disiram dengan air mata.
Usman Awang memperlihatkan pemikirannya terhadap penjajahan dan kemerdekaan dan terbentuk daripada pengalaman dan penglibatan peribadinya secara langsung semasa bertugas sebagai polis. (Disember1946 hingga Januari 1951).
Sebagai anggota polis, beliau dan kawan-kawannya menggadaikan nyawa untuk menjaga keselamatan dan harta benda daripada ancaman komunis. Akan tetapi jiwanya dapat merasakan bahawa harta benda yang dijaga bermati-matian itu bukanlah kepunyaan anak negeri, bahkan kepunyaan bangsa penjajah. Beliau mula merasakan bahawa mereka hanya bersusah payah untuk menyenangkan bangsa penjajah sedangkan petani-petani miskin negaranya semakin dihimpit kesusahan hidup. Usman menginsafi bahawa rakyat seperti pekebun-pekebun kecil berada di dalam keadaan yang perit. Mereka tersepit di antara pemerintah yakni penjajah yang menuntut kesetiaan dan mereka sentiasa diancam oleh gerila komunis di hutan yang datang meminta makanan. Hal inilah yang diceritakan di dalam novelnya Tulang-tulang Berserakan:
Keadaan ini menyebabkan Usman Awang semakin gelisah dengan soal-soal siapakah musuhnya yang sebenar. Beliau juga terharu melihat kawan-kawan sejawatan yang cedera parah atau yang terkorban dalam pertempuran. Apabila seorang sahabat karib terkorban seminggu sebelum tarikh yang ditetapkan untuk perkahwinannya, peristiwa menyayat hati itu mendesaknya menulis sebuah sajak ini. Usman akhirnya meletak jawatan lalu ke Singapura.