SAJAK-SAJAK ZURINAH HASSAN MENGENAI ISU BAHASA.

bahasa jiwa bangsa
Antara isu semasa yang mencetus puisi ialah Isu
Bahasa Melayu. Masalah terpinggirnya Bahasa Melayu  terus mengganggu. Bahasa kita adalah ibarat
pemilik yang disingkir daripada  rumahnya
sendiri.
Adakah ini malang yang menimpa  setelah bahasa Melayu telah pun kukuh sejak
zaman dahulu, setidak-tidaknya sejak zaman kesultanan Melayu Melaka.
Bagaimana hal ini boleh terjadi sedangkan negara
telah memperuntukkan tempat yang tinggi sebagai bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan dengan  kedudukan yang
terpateri kemas dan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152.
Selain itu ia diperkukuhkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang  telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu
hendaklah digunakan sebagai perantaraan  dalam semua urusan rasmi dan pentadbiran
negara.
Malangnya pada hari ini roh dan semangat yang
dibawa oleh Perkara 152 yang mendaulatkan Bahasa Melayu Kebangsaan  tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah
sengaja dilupakan oleh  rakyat.  Kita perlu terima kenyataan walaupun sudah
lama merdeka namun masih terdapat rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Kenapa perkara ini masih berlaku sedangkan kuasa
di tangan kita. Pada hari ini, masih ada yang malu untuk bercakap dalam bahasa
Melayu malah ada yang takut untuk berbahasa Melayu kalau-kalau akan dianggap
orang kampung yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Sesungguhnya kita tidak
nafikan sama sekali kepentingan bahasa Inggeris namun tidak wajar merendahkan
bahasa sendiri.
Adalah kejadian biasa yang dilihat setiap hari
melihat Pemimpin dan mereka yang berjawatan tinggi berbahasa Inggeris bila
diwawancara di television khasnya dalam siaran Berita.  Barangkali kita hanya  melihat dan mendengar bahasa Melayu
dipertuturkan di television bila ada wawancara dengan mangsa banjir, mangsa
kebakaran, rakyat miskin dan sebagainya.
Keadaan bahasa yang menyayat hati ini telah mencetuskan
banyak sajak-sajak dari dahulu hingga sekarang, Antara yang terpenting ialah
sajak-sajak yang terkumpul dalam antologi Keranda
152
, 1967 yang diiringi perarakan protes oleh pejuang bahasa yang bermula
dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara pemimpin yang terpenting ialah Usman
Awang. Terbaharu ialah antologi Cakar Nanar yang diusahakan oleh SN
Datuk Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang menghimpun suara protes
penyair-penyair menentang PPSMI dan DLP.
Dalam kumpulan  puisi perseorangan saya, Salasilah (dbp 2005) sajak sajak yang khas diruntun oleh isu bahasa
ialah Seorang Penyair Selepas 39 Tahun Merdeka, Ana Maria dan. Seorang Tua
Bernama Bahasa.
SEORANG TUA BERNAMA BAHASA
Di sudut sebuah kota ternama
di belakang sebuah menara
yang terkenal di dunia
ditinggalkan sedikit kawasan
kawasan belas ihsan.
Seluruh kota telah diberitahu
tentang wujudnya kawasan itu
bukti amat nyata
keprihatinan pemilik kota
menyediakan kawasan itu
khas untuk warga tua
yang tidak dipedulikan anak cucu.
Antara yang terlantar di sana
adalah seorang tua bernama Bahasa
dia rajin bercerita kepada kawan-kawan sebaya
yang sama menumpang
menunggu hari petang.
Mengikut cerita orang tua
yang bernama Bahasa itu
dia punya ramai anak cucu
di seluruh alam Melayu
semasa muda dan gagah
dia menjaga mereka
memberi mereka ilmu
hingga menjadi bangsa
yang kuat dan berpadu
apakan daya mereka tidak menyayanginya
mereka menghantar dia ke situ
semakin pudar dan layu.
Pada suatu pagi
orang tua yang bernama Bahasa itu
menangis tersedu-sedu.
Kawan-kawan pun bertanya
dan dia bercerita
“Semalam aku bermimpi
terlalu dahsyat mimpi itu
aku bermimpi kampung halamanku
musnah dipukul ribut
aku melihat anak cucuku
terapung dan hanyut
mereka hanyut seperti kayu
yang tak kenal hujung pangkal
mereka hanyut seperti kayu
yang tak tahu usul asal
dibawa arus tak terkawal.
Aku sedih melihat mereka cuba menjerit
meminta tolong tetapi apabila mulut dibuka
mereka telah kehilangan suara.
( Salasilah:  175)
 Dalam sajak ini, Bahasa
dilihat sebagai orang tua yang tidak mahu dijaga, lalu dihantar oleh anak
anaknya ke rumah orang orang tua. Rumah itu berada di belakang sebuah menara
yang terkenal di dunia, menunjukkan orang tua bernama bahasa itu berada di
sebuah negara yang mementingkan bangunan bangunan tinggi sebagai simbol
kemajuan.
Kawasan yang menempatkan
orang tua itu berada di belakang Menara seolah-olah jelek dan perlu
disembunyikan. Walau bagaimanapun pemerintah yang  suka bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk
mencanangkan kebaikan mereka menyediakan tempat sedemikian semata-mata untuk mengelabui
mata penduduk kota.
Maka duduklah orang tua
itu di situ. Degan sifatnya yang memiliki kekayaan perkataan dan pengalaman, dapatlah
dia bercerita kepada kawan-kawan lain tentang kehidupannya pada masa muda
dahulu. Mengikut  orang tua yang bernama
Bahasa itu dia punya ramai anak cucu di seluruh alam Melayu, Pada masa dulu dia
memainkan peranan yang penting. Dialah yang memberi mereka ilmu dan menyatukan
mereka sehingga menjadi bangsa yang gagah. Malangnya anak cucu yang telah
membesar menyangka diri mereka telah terlalu besar dan tidak memerlukannya
lagi. Inilah sifat anak-anak yang dikesali
Mereka tidak seperti bangsa-bangsa lain yang menghargai bahasa
mereka.
      Apakah nasib dan
kesudahannya bangsa yang tidak menghargai bahasa mereka.  Segalanya diperlihatkan melalui mimpi orang
tua bernama Bahasa itu. Dia bermimpi kampung halamannya musnah dipukul ribut
dan anak cucunya hanyut dibawa arus. Dia kasihan melihat mereka. Ketika mereka
cuba membuka mulut untuk meminta tolong, tiada suara yang keluar.  Demikianlah dahsyatnya keadaan bangsa yang
tidak menjaga bahasa, mereka menjadi seperti tunggul kayu yang tidak berupaya
untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri. Mereka seolah-olah
dikuasai oleh orang lain . Bangsa yang tidak menjaga bahasa tidak dapat
mengeluarkan pendapat seolah-olah telah  kehilangan suara.  Kehilangan suara bermakna kehilangan kuasa.
aku melihat anak cucuku
terapung dan hanyut
mereka hanyut seperti kayu
yang tak kenal hujung pangkal
mereka hanyut seperti kayu
yang tak tahu usul asal
dibawa arus tak terkawal.
Aku sedih melihat mereka cuba menjerit
meminta tolong tetapi apabila mulut dibuka
mereka telah kehilangan suara.
Mengapa hal ini terjadi
sedangkan kita memegang tampuk kuasa. Sepatutnya bahasa dan bangsa dipelihara
agar terus perkasa. Inilah yang ingin saya sampaikan melalui puisi  PANTUN RINTIHAN BAHASA (Ahmad Kamal Abdullah,
Cakar Nanar, 2016)
Pohon bahasa rimbunan segar
Mengapa dibiar kering terkapar
Tuan berdiri umpama pagar
Jangan sanggup meracun akar
Dengan pisau di tangan kanan
Dengan mentimun di tangan kiri
Gila apakah tuan gerangan
Maka dihiris lidah sendiri?
Sekali berjanji sekali mungkir
Bagai tebu tumbuh di bibir
Bangsa disisih bahasa dipinggir
Itulah jalan kuasa berakhir
 ( CAKAR NANAR)
Seorang Penyair Menyambut 39 Tahun Merdeka
Ketika fajar Ogos 1957
menguak kelam desa
dia dibangunkan untuk diajar
mengejar jejalur sinar.
Ketika dingin pagi peralihan
memucukkan rumpun harapan
dia
tekun di meja tua
menyebut
huruf demi huruf
mengeja
sepatah demi sepatah
membaca
baris demi baris
lembar-lembar
sejarah.
Ketika mekar suria menyingkap tabir hari
dia pun telah belajar membuka
jendela diri
sambil angin pembangunan berdesir di halaman
ladang kasihnya menyuburkan pengertian.
Diselaminya lautan madah pujangga
tersentuhlah kilau mutiara makna
dikecap merdeka yang manis
dengan lidahnya yang fasih
membaca puisi-puisi patriotis.
Diukirnya syair-syair untuk tanah air
dilafazkan ikrar perwira
dinyanyikan “Bahasa Jiwa Bangsa”
dengan getar jiwa
di tengah pentas negara.
39 tahun selepas merdeka
dia masih seorang penyair yang setia
menyusuri liku-liku negara
sering kali dia penat dan tersesat
di celah-celah hiruk-pikuk papan-papan iklan
celaru papan tanda di tengah kota.
Ketika mereka mengarak panji-panji
untuk ketiga puluh sembilan kali
dia masih setia mengutip
mutiara peribadi
perit suaranya menyanyikan lagu tradisi
“Bahasa tidak dijual beli”.
Apakah suaranya akan tenggelam
oleh riuh wayang retorik
berat sepanduk hingar-bingar slogan
kempen semasa matlamat segera.
39 tahun selepas merdeka
mungkinkah panggung akan kosong
dan dia menjadi pelakon tua
yang tersingkir daripada pentas negara.
SEORANG PENYAIR SELEPAS 39 TAHUN MERDEKA  merenung perjalanan bangsa atau bermuhasabah)

– Isu bahasa Melayu yang dikatakan semakin malap di tanahair.
– Kenapa pilih penyair? Penyair golongan terpinggir dlm arus
pembangunan Negara
– Dalam memperjuangkan kemerdekaan, penyair golongan yg aktif
– Akhirnya menjadi ‘pelakon’ di pentas yg dilupakan rakyat
dan makin tidak mendapat perhatian pemerintah (juga rakyat). Rakyat makin leka
dalam budaya hedonistic atau terpengaruh dgn retorik2 politik yg menjauhkan
mereka dari perjuangan bahasa
– Masih relevan dan belum selesai sampai hari ini. Makin
parah (isu PPSMI), penyakit lama tak diubati, penyakit baru datang
– Isu pemimpin yg pandai retorika tapi lupakan perjuangan
sebenar
– Sajak perakam waktu-tahun 1957 mereka berjuang tapi selepas
39 tahun merdeka, mereka tak diperlukan (39 TAHUN MERDEKA-BUKAN UMUR PENYAIR,
TAPI UMUR NEGARA)
– Mereka tenggelam dalam ‘poster’- poster simbol
pilihanraya,pilihanraya sudah beberapa kali berlaku
– Semasa menulis, teringat pada golongan guru yang sudah tua
– Mengambil unsur waktu sebagai perlambangan– fajar menguak
kelam desa-negara baru merdeka, masih belum membangun-penyair masih kecil, baru
hendak mengenal dunia, baru bersekolah dan mengejar kemajuan
– Matahari sudah meninggi-penyair sudah pandai membaca dan
berfikir, sudah tahu tentang sejarah bangsa, kepentingan bahasa tapi ‘tekun di
meja tua’-perjuangannya hanya di kampong/ kesetiaan kepada tradisi,budaya yang
belum bertukar-‘memucukkan rumpun harapan’- suasana desa
– ‘suria /jendela’-terbuka kepada ilmu,pengetahuan dan
pengalaman baru/cetusan idea baru
– Pucuk rumpun menjadi ‘ladang kasih’-semakin luas dunia
penyair/semakin maju
– Alam ada banyak mutiara ilmu
Sajak retrospektif atau bermuhasabah dengan perjalanan masa
setelah 39 tahun merdeka. apa nasib golongan penyair?- juga seniman, pejuang
yang lain?
Apakah nasib bahasa, budaya, seni warisan? 

Ana Maria
Ana Maria yang bijak dan jelita adalah gadis
kelahiran Costa Rica mahasiswa di Florida
pengkhususan di bidang bahasa.
Ana Maria yang bijak dan jelita
bertutur bahasa Sepanyol
sebagai bahasa ibunda
menguasai bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua
giat pula mempelajari bahasa ketiga
memilih bahasa Melayu
atas nasihat profesor
“itu juga bahasa penting dunia
di alam Melayu khususnya Nusantara
beberapa abad menjadi lingua franca.”
Dengan minat dan kerajinan
Ana Maria lulus cemerlang
memenangi hadiah pelajaran
melawat sambil belajar ke mana-mana
negara pilihan.
Lalu dia berkira-kira ke Malaysia
atau Indonesia tujuannya untuk berlatih
bercakap Melayu sebanyaknya
dengan rakyat tempatan bagi membetulkan
sebutan
dan memahirkan pertuturan.
Dia meminta nasihat profesor
ke mana hendak dituju
kerana dia dibenarkan memilih hanya satu.
Profesor yang tegas berkata
dengan jelas “Mujur juga anda bertanya
saya pernah berada
di kedua-dua negara untuk tempoh yang agak
lama
kalau tujuanmu mempelajari bahasa
pergilah ke Indonesia
di sana kau akan suka
mendengar percakapan mereka.”
“Berlainan pula di Malaysia
walaupun ramai orang Melayu
bahasanya agak bercelaru
tak ketentuan ayat
dan nahu.”

 

 

 “Bahasa Melayu memang jarang didengar
kalau anda di hotel-hotel besar
yang mewah di tengah bandar
mereka megah bertutur bahasa Inggeris
itu imej orang terpelajar
pemimpin mereka juga bercakap Inggeris
apabila muncul di TV
walaupun bahasa Melayu diisytiharkan
bahasa rasmi.
Di luar ada juga yang bercakap Melayu
tetapi bahasanya bahasa rojak
iaitu bahasa yang telah rosak
bahasanya bahasa pasar
iaitu bahasa yang tercemar.
Jadi lebih baik ke Indonesia
untuk belajar bahasa Melayu
kalau di Malaysia
anda mungkin jadi lebih keliru.

 

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.