PUISI WARISAN DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

PUISI WARISAN DALAM PEMBANGUNAN NEGARA



PANTUN ialah warisan bangsa yang sejak berabad menjadi media pendidikan informal . Antara jenis pantun yang terkenal ialah Pantun Nasihat yang mengandungi nasihat dan panduan terutama kepada generasi muda. Melalui pantun pantun ini dapat disalurkan permata berharga bagi membina jatidiri dan membentuk individu yang bernilai dan berguna untuk negara. 


Pantun nasihat banyak menggunakan unsur alam sebagai perlambangan dalam menyampaikan buah fikiran, nasihat dan pedoman.



ALAM
DALAM PANTUN NASIHAT

PANTUN sering digunakan untuk menyampaikan nasihat dan  membentuk jatidiri . Seperti yang ditegaskan oleh Hashim Awang, Sastera Melayu
sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Nasihat
dan pengajaran ini disampaikan dengan menggunakan perlambangan terutama dari
unsur alam .  Salah satu yang paling
dominan ialah laut.
Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu
mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun.
Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang
menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu
samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai,
bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.
            V.I.Braginsky
telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang
Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun.
V.I.Braginsky (1994) mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair
mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. 
Simbol laut dan perjalanan laut  telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk
memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam
yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah Fansuri,
penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17.  Hamzah 
menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia
menuju ke akhirat.  Ini terdapat di dalam
syair ’Perahu’.
Nasihat Menempuh Alam Dewasa:
Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah
besar tiang sebatang
            Kecil
– kecil ditimang ibu
                         Sudah besar ditimang gelombang
                       
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pantun
ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui
pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan. Bila
meningkat dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan
sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari kerana di dalam hidup ini tidak boleh
selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
            Sejak
kecil seseorang diingatkan bahawa kedewasaan  adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah
cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang
dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan
“Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang
sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu
‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh
ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh
gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai cabaran hidup.
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza,
iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya
ialah  masa kecil dan masa sudah
membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang
seribu. Tiang adalah dokongan (support).
Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan
kaum keluarga. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang
ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau
memberi  kasih sayang dan tunjuk ajar
secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan
melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya..
Nasihat
Untuk Melengkapkan Diri
 Perjalanan laut
adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat
di bawah juga menggunakan unsur laut.
           
Kalau mengail di lubuk dangkal
       Dapat ikan penuh
seraga
Kalau kail panjang sejengkal
      Jangan lautan
hendak diduga
                    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 129)
Pantun ini menyentuh perihal pentingnya
melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan. 
Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai
cabaran. Terdapat peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan
hendak diduga”.  Objek “kail panjang
sejangkal” menandakan  suatu kekurangan.
Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat
sesuatu pekerjaan di samping  mencabar
seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun
“mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup
untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih
lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih
tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Pohon beringin daunnya hijau
    Pucuk petola
diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
    Biduk ada pengayuh
tidak.
                       (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 179)

Pantun ini menyatakan bahawa setiap orang mempunyai cita-cita dan impian. Hal ini
dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat
dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang mencukupi.
Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal dan
mental. 
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah simbol  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang
diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan
pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di
dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah
simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu
yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah
musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan
orang-orang yang terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jika dilurut padi masak
     Jatuh ke tanah
berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
    Jangan berumah di
tepi pantai.
Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur
keupayaan. Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah
menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Seseorang yang tidak mempunyai
cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai
‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail
yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak Selain
dari kelengkapan fizikal, setiap orang perlu mempunyai persediaan mental. Orang
yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia
untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada
berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari
pantai
Hidup Mesti Berimbang
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan
yang luas  adalah simbol perjalanan
manusia. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah
lautan. Kapal akan tenggelam di tengah lautan jika muatan yang dibawa terlalu
berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan melalui
pantun:
Angin barat gelombang barat
      Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan sarat
    
Akibat laut tempat berkubur
Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam
pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat
ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana
kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang
menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang
bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’.  Angin barat sedang bergelombang dan angin
timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan
yang tidak tenteram dan mencemaskan. 
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang
cukup tetapi tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di
dalam kapalnya. Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan
perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan
sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga memperkatakan perihal
membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung
nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan
meninggalkan yang tidak penting.
Tumbuh-Tumbuhan Dalam Pantun
Selain laut,
objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di
dalam pantun. Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian
pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok,
misalnya lalang, padi, langsat, keduduk, dijadikan simbol untuk menyampaikan
makna pantun mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok
yang berkaitan.
Terdapat pantun yang
memperkatakan tentang benih dan percambahan benih menjadi pokok yang baru.
Kejadian ini mengandungi makna tersirat, iaitu permulaan sesuatu kejadian. Di
dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya  kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah
terhadap hamba-hambanya.
Terbitlah
fajar menjelang subuh
                 Murai berkicau terang cuaca
           Kalau tanaman sudi  tumbuh
               Masakan bumi tidak terima.
Pantun di atas terdapat di dalam
senikata lagu Serampang Lapan,
nyanyian Abdullah Chik dan Nona Asiah. Di sini 
percambahan benih dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih
sayang lalu membawa nada gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang
berbalas.. Kegembiraan dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua
baris pembayang iaitu  fajar yang terbit
dan hari baru menjelang. Ini diikuti dengan murai berkicau yang membawa kesan
audio atau bunyi yang riang. Cuaca terang menandakan satu harapan baru.   Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi
cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud iaitu jika orang sudi menanam kasih
sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia.
Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih
sayang . 
Penggunaan
simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan
Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat
Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthal atau misal perbandingan bukti kekuasaan dan kasih sayang
Allah terhadap hambaNya, seperti yang terdapat di dalam ayat yang bermaksud,
“Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin
itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga
jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil
pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Pemikir-pemikir
Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti
tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak,
mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di
dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya
bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang
itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani
2003: 387).
Menjaga Nama Baik
Benih
yang baik menjadi simbol sesuatu yang berasal dari sumber yang baik khasnya
bagi menyatakan bahawa  anak-anak yang
lahir daripada keluarga yang baik-baik dan mendapat didikan yang baik akan
lebih selamat walau di mana mereka berada. Hal ini menjadi maksud pantun di
bawah:
Buat
bangsal di Pulau Daik
     Menahan taut sambil mengilau
Kalau
asal benih yang baik
     Jatuh ke laut menjadi pulau.
Sebatang
pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia tumbuh membesar dan seterusnya
menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang ke bumi. Daun-daun akan gugur
bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada tiupan angin dapat ditafsirkan
 dari sudut Pendekatan Firasat bahawa manusia juga terdedah kepada
segala kemungkinan. Setiap kejadian membawa perubahan dan
menjadi penanda kepada kejadian yang lebih besar iaitu kehidupan manusia
berbekalkan usia yang dikurniakan oleh Allah. Sebuah pantun yang menggunakan
lambang daun atau pelepah yang gugur ialah:
Orang  Jawa menanam kapas
   Orang Eropah menanam anggur
     
Jangan ketawa pelepah di atas
      Melihat pelepah bawah yang gugur
                           (Zainal Abidin Bakar,1984:181)
Pelepah kelapa yang  jatuh adalah kejadian yang memandu kita menyedari
hakikat bahawa segala yang berada di alam fana adalah bersifat sementara. Pelepah kelapa yang mudah
digugurkan itu adalah representasi manusia sebagai makhluk Allah yang lemah,
manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa amaran ini
adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat bahawa mereka
berada di bawah kuasa Allah SWT.
Oleh yang demikian setiap
manusia mestilah berhati-hati dan tidak merasa sombong atau riak  dengan kekayaan dan kesenangan yang
dikurniakan oleh Allah. Pangkat
yang tinggi  diumpamakan sebagai pelepah
yang berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan berlaku kejatuhan seperti
gugurnya pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan nikmat yang dirasai
tidaklah terjamin buat selama-lamanya.
Selain benih dan daun, terdapat juga perlambangan dari  dahan dan ranting. Dahan adalah lambang
keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan gugur ke bumi. Dahan yang
teguh menjadi tempat berteduh.  Justeru
itu manusia mencari dahan untuk berteduh atau menjamin keselamatan diri.  Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar
untuk terus mendapatkan sesuatu yang dihajati, oleh itu  disarankan agar merancang dan melakukan
pekerjaan dan sistematis.  Seandainya
tidak berjaya mendapatkan sesuatu yang besar , cubalah mencapai yang lebih
kecil dan lebih mudah. Hal ini diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan,
cubalah menangkap ranting terlebih dahulu.
Anak rusa lari ke pekan
      Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap
dahan
      Menangkap ranting cuba dahulu
(pantun
senikata lagu Serampang Lapan)
Pantun
ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud
menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk
Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak
rusa yang secara tabii  berada di hutan
telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu
telah berlaku tragedy iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris
pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di
dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar
mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk
menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian  menjadi penanda yang perlu diambil iktibar
dan dijadikan pengajaran.
Terdapat banyak lagi pantun Melayu yang menggunakan  bunga sebagai perbandingan terhadap kehidupan
dan perlakuan manusia. Sebagai contoh, pekerjaan yang tidak dilakukan dengan
bersungguh-sungguh, atau ilmu yang dangkal, tidak akan mendatangkah hasil yang
memuaskan. Keadaan ini diumpamakan sebagai “bunga kembang tak jadi.”
Pandangan  dan pemikiran ini terdapat
dalam sebuah pantun:
Berburu
ke padang datar
   Dapat rusa berbelang kaki
Berguru
kepalang ajar
   Bagaikan bunga kembang tak jadi.
Pantun
di atas menyentuh peri pentingnya menuntut ilmu. Hendaklah menuntut ilmu dengan
bersungguh-sungguh. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang mengatakan
bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan wanita. Pantun lain
yang memperkatakan tentang ilmu ialah:
Kemumu di tengah pekan
      Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
       Bagai pohon tidak berbuah
      (Zainal
Abidin Bakar, 1984:160)
Pantun ini memberi
penekanan kepada kemuliaan ilmu dan kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkan,
mengamal dan menyebarkannya. Hal ini merupakan satu aspek dakwah kerana selaras
dengan ajaran Islam yang  memuliakan
ilmu. Ilmu merupakan asas untuk menentukan darjat seseorang. Islam mengakui
adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.
Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di
antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah Al-Mujadalah,
ayat 58). Melalui Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia
dengan tinta (dakwat) dan pena. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut
ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan,
malah diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah
amalannya melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah
dikeluarkan, dan ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).
KESIMPULAN:
Kesusasteraan Melayu
telah menjalankan peranan untuk mendidik masyarakat khasnya melalui Pantun
Nasihat.  Pantun Nasihat menyalurkan
pedoman untuk menjalani kehidupan agar selamat di dunia dan di akhirat. Pantun
Nasihat mengandungi pemikiran dan falsafah yang 
mencerminkan pandangan dan pegangan hidup orang Melayu. Segala nasihat disampaikan
menerusi bahasa yang diperindah dengan penggunaan kias ibarat dan perlambangan
yang diambil dari unsur-unsur alam. Semua ini membuktikan bahawa orang-orang
Melayu adalah pemerhati alam yang tekun. Imej laut lebih banyak digunakan untuk
pantun-pantun yang berisi falsafah dan pemikiran manakala objek alam yang
berupa tumbuh-tumbuhan lebih banyak digunakan untuk menyatakan perihal kasih
sayang di antara manusia dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.
Rujukan:
Abdul Qadir al Jailani(terj. Qodirun Nur), 2004.(cetakan
ketujuh), Al-Fath ar- Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library
Hashim
Awang, 2002. “Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya”. Kertaskerja
Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan
Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28- 29 Jun di Riviera Bay Resort, Melaka
Muhammad Haji
Salleh Puitika Sastera Melayu, 2000,
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheikh Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian
Al-Quran,
Kuala Lumpur: Darulfikir
Zainal
Abidin  Bakar, 1984, Kumpulan Pantun Melayu Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
.
Zurinah Hassan, Unsur Alam dalam Puisi Melayu , 2010 .
Penerbit UKM.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.