PERTEMUAN SASTERAWAN NUSANTARA.

PERTEMUAN SASTERAWAN NUSANTARA.

KARYA PENULIS WANITA BRUNEI dan MALAYSIA)
TENTANG WANITA YANG DIBISUKAN
Zurinah Hassan, Malaysia.
kertaskerja ini disampaikan pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Bandar Seri Begawan, 28,29 Mei 2015





KARYA PENULIS WANITA BRUNEI dan MALAYSIA)
TENTANG WANITA YANG DIBISUKAN
Zurinah Hassan, Malaysia.
kertaskerja ini disampaikan pada Pertemuan Sasterawan
Nusantara di Bandar Seri Begawan, 28,29 Mei 2015
Abstrak
Makalah ini membicarakan karya penulis wanita dua
negara dalam  menyuarakan isi hati dan
mengungkap pengalaman hidup wanita sebangsa. Karya terpilih ialah Tsunami di Hatinya (antologi cerpen
Norsiah Gapar , Brunei) , Antalas Sukma
(novel Sosonjan A.Khan,Brunei) dan Opera
Nyonya Cantik
(kumpuln drama Amelia Hashim, Malaysia). Analisis
memperlihatkan bahawa penulis wanita ini menyuarakan penderitaan wanita
sebangsa yang telah dibisukan oleh konvensi adat dan tekanan masyarakat
patriaki Nusantara. Mereka menjadi jurucakap dan memberi ruang kepada  suara wanita sebangsa mereka yang terbelenggu
di samping memperlihatkan sensitivity 
dan pemahaman yang mendalam penulis wanita dua negara akan jiwa dan
pengalaman kaum sejenis mereka khasnya di 
dua buah negara, Brunei Darussalam dan Malaysia.
            Setiap bangsa di dunia mewarisi
sejumlah mitos dan legenda yang diantaranya memaparkan kisah kekejaman dan
ketidakadilan terhadap wanita. Sebagai contoh ialah sebuah mitos Greek yang menceritakan
kisah puteri Athens, Philomela, yang telah diperkosa oleh abang iparnya,
Tereus. Bagi menutup perbuatan terkutuk itu, Tereus telah memotong lidah
Philomela dan meninggalkan Philomela di dalam hutan.  Philomela akhirnya berjaya  berkomunikasi dengan kakaknya, Procne, untuk
menceritakan segala yang telah berlaku. Kekejaman itu didedahkannya dengan cara
melukiskan melalui jahitan ke atas sehelai kain. Sebagai tanda ‘menjatuhkan
hukuman’ ke atas suaminya tadi, Procne sanggup membunuh anak lelakinya sendiri
hasil perkongsian hidup beliau dengan Tereus.
            Mitos
tersebut menceritakan kekejaman dan pengkhianatan terhadap wanita. Paling kejam
ialah perbuatan memotong lidah supaya tidak dapat lagi berkata apa-apa khasnya
untuk menceritakan kekejaman lelaki. Kisah ini juga memperlihatkan bagaimana wanita
itu mencari kakaknya dan kakaknya kemudian bertindak untuk menuntut bela.
Walaupun hanya sebuah mitos, kisah ini telah diterapkan sebagai lambang wanita yang
dibisukan atau dinafikan hak bersuara (dengan memotong lidah) dan bagaimana
wanita mendapat kembali semangat dan kekuatan dengan menyalurkan masalah mereka
kepada saudara perempuan (sisterhood).
KRITIK FEMINIS
            Berabad berlalu namun persoalan
wanita dan suara wanita tetap menjadi persoalan utama dalam karya sastera,
malah dalam karya-karya seni yang lain termasuk filem. Kecenderungan untuk
melihat persoalan wanita dalam karya-karya seni ini telah menimbulkan aliran
dan Teori  yang dikenali sebagai Feminisme.
Antara definisi yang telah diberikan  terhadap feminisme, ialah aliran yang menyokong  hak asasi dan emansipasi wanita, pembebasan
dan hak persamaan wanita  (Mitchel,
1971:65, Rosnah Baharudin dlm Zalila Sharif,2003:12). Ideologi yang mendasari
pembebasan wanita ini ialah kepercayaan bahawa wanita menderita dan
terkongkong  kerana kejadiannya sebagai
wanita. Keadaan ini amat menyedihkan kerana sebagai manusia, wanita juga
memerlukan ruang untuk bergerak bebas bahkan wanita juga turut menyumbang
kepada perkembangan negara.  Feminisme berasal daripada bahasa
Latin, femina iaitu wanita. Aliran
Feminisme bermula di Barat sejak abad ke-18 tetapi mula merebak ke merata
pelosok dunia sejak tahun 1960-an dan 1970-an.  Pada peringkat awalnya, Feminisme merupakan
gerakan atau fahaman yang menuntut kesamarataan seperti yang dinikmati oleh
kaum lelaki. Feminisme melihat wanita sebagai golongan manusia yang tertindas dan
dizalimi oleh institusi sosial dan budaya yang semuanya dibina dan diperintah oleh
lelaki (Patriarki). Berdasarkan teori-teori yang tersendiri, feminisme
membongkar dan menganalisis ketidakadilan di dalam sistem patriarki, mengajukan
critique dan memeranginya, di samping
memperjuangkan hak dan martabat wanita untuk hidup bebas dan bahagia (Md.Salleh
Yaapar, 2002:4-5).
Sistem patriarki secara umumnya ditafsirkan sebagai  satu sistem di mana lelaki berkuasa ke
atas  institusi institusi sosial, politik
dan ekonomi yang menindas kaum wanita.  Humm,
(1989:159) menyimpulkan patriaki sebagai “a
system of male authority which oppresses women through its social, political
and economical instituitions’
’ Petikan ini membawa maksud  lelaki mendominasi dan mengawal semua
kehidupan wanita.  Hal ini juga lumrah di
Asia, di mana seorang ayah mengawal dan mengatur kehidupan semua ahli keluarga,
berkuasa ke atas harta benda dan mempunyai kata pemutus di dalam setiap
perkara. Pada keseluruhannya, dapatlah difahami bahawa patriarki membawa maksud
segala nilai, adat, kepercayaan dan dan peraturan dalam pelbagai aspek
kehidupan yang dirangka oleh lelaki dan dilihat sebagai melebihkan lelaki serta
mengenepikan hak kaum wanita.
Dominasi
dan kecenderungan patriaki turut mempengaruhi bidang kritikan sastera dan filem.
 Peranan wanita sebagai pengarang
tenggelam dalam tradisi penguasaan lelaki. Kritik Feminis muncul sebagai satu
cabang disiplin dalam ilmu kritikan sastera dan filem untuk mengimbangkan teori
dan amalan kritikan yang bersifat patriaki. Kritikan ini bermula dengan
kesedaran betapa kebangkitan feminisme semakin mendapat tumpuan kerana
kesedaran terhadap tindakan prejudis kaum lelaki yang menjadikan karya sastera
sebagai wadah untuk menaburkan pengalaman yang tidak menepati jiwa dan perasaan
wanita. Bahkan kedudukan wanita juga sering disalahtafsirkan. Teori ini cuba
membantah, membongkar, dan menentang segala kezaliman patriaki dengan
memperjuangkan hak, kedudukan, martabat dengan memperkasakan ideologi kuasa
feminis untuk sebuah dunia yang sejahtera , bahagia dan bermaruah
(Humm,1989:112-113).
Secara
kasar Kritik Feminis melihat persoalan wanita dalam karya-karya penulis lelaki.
Kritik Feminis diikuti dengan Ginokritik iaitu menganalisis kedudukan wanita
dari sudut pandangan penulis wanita. Ginokritisme secara etimologi berasal
daripada perkataan Peranchis, la
gynocritique
, iaitu satu teori yang dirangka khusud untuk menerangkan dan
menganalisis karya-karya tentang wanita yang dihasilkan oleh wanita.. Menurut
Showalter (1982) the study of women as writers – and its subjects are the history,
styles, themes, genres, and structures of writing by women, the psychodynamic
co female creativity.
Kajian
lanjut terhadap Ginokritik dilakukan oleh Norhayati Ab.Rahman dalam bukunya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia Satu Bacaan Ginokritik.
Norhayati merumuskan,( 2012:17) bahawa
ginokritik merangkumi:
1.     
Kajian terhadap wanita sebagai pengarang, pengeluar
atau penghasil teks dengan persoalan sejarah,tema , genre dan struktur
penulisan dibentuk sepenuhnya oleh wanita.
2.     
Penelitian terhadap psikodinamik dalam kreativiti
wanita termasuk soal-soal linguistik dan persoalan ‘bahasa wanita’.
3.     
Hubungan antara kerjaya seorang pengarang wanitadengan
aspirasi wanita secara kolektif.
4.     
Perkembangan dalam tradisi sastera wanita.

Wanita Dalam Islam
Pembicaraan ini
tidak meninggalkan pandangan daripada sudut Islam. Islam tidak merendahkan
kedudukan wanita, malah menyatakan dengan jelas bahawa  seorang wanita memiliki hak-hak
tersendiri  dan sepatutnya dimuliakan
oleh lelaki. Islam tidak menyatakan bahawa sesuatu jenis jantina itu lebih
mulia atau tinggi walaupun mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan yang
berlainan mengikut kesesuaian kejadian dari segi fizikal. Allah
subhanahuwataala menegaskan bahawa setiap hambanya berhak mendapat balasan atau
ganjaran dunia dan akhirat mengikut apa yang mereka usahakan. Ini bermakna,
posisi dan status yang diraih oleh kedua jantina adalah setara Pencapaian
sebenar kedua-duanya dibezakan oleh tingkat ketakwaan dan amalan masing-masing
seperti yang  dijelaskan melalui ayat Al
Quran yang bermaksud, “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan dan orang orang
perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan pohonlah kepada Allah
akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan tiap sesuatu. (An
nisaa ayat 32.)  Penegasan bahawa Allah
tidak merendahkan hambanya dari segi jantina 
terdapat di dalam banyak ayat lagi, antaranya “Sesungguhnya aku
tidak akan sia-siakan orang-orang yang beramal dari kalangan kami, sama ada
lelaki atau perempuan (Ali-Imran: 195).
Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam
bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Lelaki
dan wanita memiliki hak untuk belajar dan memahami ilmu yang boleh digunakan
untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat. Hal ini terdapat di dalam hadis
Rasulullah saw yang terkenal bermaksud, 
“Menuntut ilmu adalah kewajiban atas setiap muslim, lelaki dan wanita”.Hadis
ini menjelaskan tentang perintah menuntut ilmu bagi setiap muslim termasuk
wanita di dalamnya. Hal ini menjelaskan bahawa. seorang wanita harus mendapat
pendidikan yang sesuai dengan fitrah, kecenderungan dan kudrat kewanitaannya. Keduanya
juga memiliki tugas untuk membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan dalam
seluruh aspek kehidupan mereka. Untuk menjalankan tugas ini Maka dengan itu,
masing-masing jantina tertakluk kepada prinsip etika dan akhlak yang sama untuk
dipatuhi, seterusnya dapat mengangkat darjat mereka tatkala melaksanakan fungsi
kekhalifahan tatkala memikul amanah Allah. Isu perbezaan seksualiti biologi
dalam Islam tidak dilihat sebagai mendasari sikap untuk mendominasi jenis
jantina yang lain sehingga mengakibatkan diskriminasi dan pergeseran gender.
Suara Wanita dalam karya penulis wanita Brunei
Malaysia.
            Persoalan Wanita dan Suara dapat
dilihat dalam karya sastera Nusantara khasnya Malaysia dan Brunei. Kertas ini memberi
tumpuan kepada tiga buah karya, iaitu, novel Antalas Sukma, oleh Sosonjan A.Khan, (dbp
Brunei 2007) Drama Wanita Melayu Terawal
oleh Amelia Hashim (termuat dlm
antologi dramanya Opera Nyonya Cantik,
ITBM 2014), cerpen Tsunami Di hatinya,oleh
Norsiah Gapar (dari kumpulan cerpen Tsunami Di Hatinya, Dbp
Brunei 2009)
). Makalah ini bertolak dari hipotesis bahawa suara wanita terutama
di dalam masyarakat dua negara itu adalah terkongkong oleh konvensi adat dan
peraturan sosial manakala penulis wanita yang lahir dari latar sosio budaya
tersebut telah menjadi jurucakap kepada suara yang terbelenggu itu.  Dengan kata lain, Penulis wanita khasnya yang
disebutkan di atas mengambil peranan untuk bersuara bagi pihak wanita sebangsa
mereka yang dibisukan.
            Banyak karya mitos dan legenda
Melayu mengemukakan wanita yang dibesarkan dalam konvensi peraturan adat untuk
tidak banyak bersuara. Mereka diajar dan diasuh untuk melembut, merendah suara
dan mengawal tutur kerana meninggikan suara itu adalah tidak sopan. Lagenda memerikan
pelbagai kisah wanita yang menderita seperti Tun Teja yang ditipu oleh Hang
Tuah, dan Tun Kudu, permaisuri yang diceraikan oleh suami dan dipaksa mengahwini
Tun Ali. Sebagai penulis kreatif saya pernah menulis puisi yang berjodol “Salam
Perempuan Dari Penjara” dan “Apabila Kata-Kata Menjadi Sebuah Dosa”. Semua ini
memperlihatkan bagaimana Wanita tidak dapat menzahirkan segala yang dirasa dan
difikirkan.
Hal
ini tidak hanya terjadi dalam budaya Melayu malah dalam budaya Inggeris juga
ada pepatah yang berbunyi “girls should be seen and not heard”.  Anak-anak perempuan diasuh untuk diam. Mereka
membesar sebagai wanita yang  tidak
banyak bercakap dan langsung tidak berani menjawab walaupun untuk berkata yang
benar.  Sehingga masyarakat
menganggap  hanya lelaki yang bercakap,
wanita yang banyak bersuara dilabelkan sebagai kuat berleter, membebel,
merungut. Percubaan berbincang atas sesuatu pendapat yang berbeza dengan suami
seringkali pula dianggap sebagai “melawan” suami. Kebanyakan cerita sastera dan
filem dalam genre tragedi adalah tragedi ke atas wanita yang tidak dapat
bersuara.
 
Antalas
Sukma
Antalas Sukma oleh Sosonjan A.Khan (seperti
yang dipetik dipetik dari blurb buku ini) merupakan sebuah novel yang
mengisahkan tentang kecekalan dan kesabaran seorang isteri bernama Sofi. Razak,
suami Sofi adalah seorang yang mementingkan diri dan kerjaya tanpa menghiraukan
perasaan dan keinginan Sofi. Meskipun dia tahu suaminya ada hubungan dengan
wanita lain, namun dia tetap setia, cuba untuk tidak mempedulikan cakap-cakap
orang di sekeliling dan hanya menumpukan perhatian kepada rutin kerja-kerja
rumahtangganya. Sehingga pada suatu ketika Sofi bersua semula dengan sahabat
lamanya, Sahary.  Kehadiran Sahary
sedikit sebanyak menceriakan hidupnya yang serba terbelenggu. Sahary yang dapat
memahami perkara sebenar cuba sedaya upaya meraih cinta Sofi. Di sini timbullah
rasa ingin tahu bagaimana kesudahannya hubungan Sofi dengan Sahary. Pembaca
yang sudah sangat marah kepada Razak dan keluarga Razak mengharapkan sesuatu
berlaku.  
Cerita
Antalas Sukma dikembangkan dari saat Sofi
dikahwinkan dengan Razak atas pilihan keluarga kedua belah pihak. Sofi mengikut
Razak ke tempat barunya lalu terjadilah perpisahan dengan keluarga dan kampung
halaman. Perkahwinan digambarkan debagai garis pemisah  dan titik tolak yang akan menentukan
segalanya. Bermula dengan perkahwinan itu, dia melalui hari-hari yang rutin
sebagai suri rumah tanpa keriangan yang diharapkan. Suaminya Razak merupakan
ahli perniagaan yang terlalu sibuk untuk memberinya kemesraan walaupun tidak
terlalu sibuk untuk jatuh cinta dengan wanita lain.
Dari
awal lagi Sofi dimunculkan sebagai wanita yang tidak berdaya, nasibnya dan
perjalanan hidupnya ditentukan oleh orang-orang lain di sekelilingnya.
Perkahwinan bagi wanita bukan soal peribadi tetapi urusan keluarga dan
masyarakat. Hal ini adalah warisan turun temurun. Wanita dinafikan hak untuk
bersuara tentang perkahwinan. Perkahwinan bagi wanita adalah tuntutan
kemasyarakatan untuk menyelamatkan keluarga, khasnya daripada ditimpa malu
kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini. Inilah hak bersuara dan merasa yang
dinafikan dalam Antalas Sukma. Wanita
seperti Sofi langsung tidak mempunyai hak untuk menentukan jalan hidupnya
sendiri.Sofi telah cuba bertanya kepada orang tua “kenapa Sofi tidak boleh
menentukan haluan hidup sendiri”. Dia menerima jawapan, “Haluan apa?
Orang-orang dahulu pun tidak memilih calon hidup sendiri”.(hlm:5). Anak gadis
tidak harus dibiarkan lama. “kau fikir selamat kalau anak gadis tidak
dijodohkan cepat-cepat?” (hlm 4).  Ini
juga memberi implikasi yang  wanita mesti
‘dijaga’ kerana mereka tidak ada kemampuan untuk menjaga diri sendiri.
Hal
yang serupa terjadi kepada watak Dara dalam filem P.Ramlee Semerah Padi. Ia juga berlaku kepada Radha dalam filem Hindi yang
termasyhur,Sangam. Ia telah berlaku
kepada wanita Sulalatus Salatin (Sejarah
Melayu)
Tun Kudu, Tun Fatimah dan Tun Teja bahkan Puteri Hang Li Po yang
dibawa menyeberang lautan untuk dijadikan persembahan kepada Sultan Melaka
dalam usaha meneguhkan negara kota. Seperti
Dara dalam Semerah Padi yang hanya dapat berkata “aku bahagia kalau kau
bahagia”.
Perkahwinan
memutuskan wanita dari yang lain seperti monolog Sofi “Razak satu-satunya dan
tidak akan pernah ada lagi nama lain yang boleh menyelinap masuk ke ruang
kalbunya”. Wanita sering mengenepikan perasaan sendiri diminta melakukan apa
sahaja bagi membahagiakan suami yang berhak merasa bahagia bila berada di
rumah. “Dan Razaklah yang bakal menentukan syurga neraka untuk alam akhiratnya”.
(hlm 8). Banyak karya yang menonjolkan penekanan masyarakat terhadap wajibnya
isteri berusaha membahagiakan suami tetapi melupakan bahawa Islam juga
meletakkan tanggungjawab ke atas suami untuk membahagiakan isteri. “Memberi
kegembiraan kepada suami dituntut agama” (hlm. 55). Segala perasaan lain,
misalnya perasaan rindu kepada keluarga yang sudah lama tidak ditemui mestilah
diketepikan dan dinafikan.
            Adakah hal ini selaras dengan
tuntutan Perkahwinan dalam Islam. dilihat
sebagai ikatan yang sepatutnya membawa permuafakatan kedua belah pihak. Namun
seperti biasa hanya isteri yang diperingatkan tentang tanggungjawab itu.
“Membahagiakan Razak itu wajib dan pahala bagi dirimu” 49. Walhal Allah SWT
telah mengingatkan bahawa wanita tidak sepatutnya dimiliki secara paksa dan
kekerasan melalui ayat yang bermaksud: 
Wahai orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi
perempuan perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (
dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik
sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali mereka melakukan
perbuatan keji yang nyata.(Surah An-nur ayat 19)
            Walau bagaimanapun Sofi digambarkan
sebagai wanita yang tidak mudah berputus asa. Dia membawa kejujuran yang
digambarkan sebagai “segunung kejujuran sebagai taruhan untuk mendapatkan
kebahagiaan”. Di samping Sofi terdapat wanita-wanita lain yang sama-sama
menderita, tertindas dan tidak dapat menyampaikan perasaan dalam novel ini.
            Kembali kepada mitos Yunani, di sini
Razak digambarkan sebagai watak yang memotong lidah Sofi untuk tidak bercakap. Sosonjan
menggambarkannya dengan menarik sekali bagaimana Razak memegang remote control television dan
membesarkan suara television setiap kali Sofi cuba mencurahkan apa yang
dipendamkannya sekian lama. Razak tidak membenarkan Sofi pulang ke kampung
supaya Sofi tidak dapat bercakap secara bebas dengan orang-orang yang
dikasihinya.  “jadi kau mahu balik dan
berehat? Mahu memberitahu kepada semua orang kampungmu bahawa selama ini kau
terlalu penat dan tidak berpeluang berehat?” (hlm 19). Seperti Philomela dalam
mitos, Sofi tidak dapat bercakap lagi kerana tiada siapa lagi yang dapat atau mahu
mendengar
.
Alam Dan Gaya Penceritaan Sosonjan.
            Pengarang banyak menggerakkan cerita
melalui monolog Sofi dengan keadaan di sekeliling khasnya dengan alam di
samping bermonolog dengan television. Begitulah caranya untuk melayani perasaan
yang tertekan. Setiap yang berlaku dalam alam mempunyai makna ke atas diri
sendiri dan konflik jiwa yang dialami.
            Di suatu ketika Sofi menonton
peristiwa kemalangan yang menimpa Puteri Diana. Terjadilah monolog di dalam
dirinya tentang puteri yang di mata dunia memiliki segalanya, bersuamikan Putera
Charles, pewaris takhta. Kebisuan tetap dideritai  walaupun oleh wanita seperti Puteri Diana.
Dari monolog itu pengarang membuat garis garis pertemuan antara konflik Puteri
Diana dengan konflik jiwanya sendiri. Kedua mereka mengidamkan teman hati atau teman
sejati yang dapat mendengar suara hati. Adakah dunia tahu semua ini? Sofi
mengenang puteri yang malang yang terkorban ketika sedang  mengejar sebuah kebebasan jiwa yang hakiki
akhirnya tewas dalam sebuah pergelutan mengejar impian. “Dia bukan petualang yang
bertopeng kepalsuan. Bukan mencari intan permata. Yang dicarinya adalah sebuah
kejujuran dan harga diri sebagai seorang wanita” (hlm 22).
 Sosonjan juga banyak menggunakan monolog
dengan alam, sesuai dengan dirinya yang juga penyair. Monolog Sofi dengan Alam
terdapat pada banyak tempat, antaranya:
1)     
Rutin hidup yang dilalui digambarkan sebagai bayang
demi bayang yang tidak dapat ditentukan bentuknya. Dari subuh ke malam, mimpi
demi mimpi menghantar ke hujung siang. Sedangkan tiap dinding-dinding  sekeliling bagaikan tembok tembok puaka yang
mengurung harapan demi harapan. Walau bagaimanapun sebagai wanita Islam
kedatangan hari demi hari dilihat sebagai membawa hari baru dan harapan baru. Esok
datang membawa harapan harapan dan harapan itu yang menolak ke hadapan memberi
kecekalan untuk terus meniti kehidupan.
2)     
“ Sofi melihat dirinya terdampar di pantai yang terlalu
asing. Tiada sesiapa di pantai. Dia ingin bersuara menyatakan apa yang
dirasakannya ketika itu. Namun dia tidak berdaya” (hlm 42).
3)     
Tanggungjawab yang dikenakan ke atas isteri untuk
membina rumahtangga bahagia digambarkan sebagai “Longgokan bahan binaan untuk
mendirikan sebuah mahligai. Dan dialah yang memikul tanggungjawab atau kerja
berat mendirikan binaan. Dia membawa kejujuran segunung kejujuran sebagai
taruhan untuk mendapatkan kebahagiaan. Razak satua-satunya dan tidak akan
pernah ada lagi nama lain ya seng boleh menyelinap masuk ke ruang kalbunya. Dan
Razaklah yang bakal menentukan syurga neraka untuk alam akhiratnya” (hlm. 8).
4)     
“Siang seperti merangkak menggapai malam. Dan malam
mengerang suara-suara sepi menyeru sinar siang. Menanti dan mencari-cari sebuah
makna kehidupan, begini sajakah erti kehidupan ini?” (hlm 23).
5)     
Malam semakin kelam.
Sunyi semakin deras melangkah, mara dengan sejuta perkasa menyeret dirinya jauh
di lembah asing. Sepi Adalah Belati.
6)      Burung-burung
laut terbang tinggi (hlm 27). Pohon-pohon camar tak henti-henti melintuk ke
kanan ke kiri disapu desir angin. Keciak-keciak lebih besar tercipta bagai
gelombang, menyasar beriak-riak terus ke tepi pantai. Sedikit demi sedikit
ketabahan pantai terhakis mencoret bentuk-bentuk tersendiri. Pantai dan laut.
Laut dan pantai, adalah dua objek yang saling dekat. Dan pasir, tetaplah ia
sebagai pasir yang tercipta, menerima yang datang dan pergi, tetap tiadak
berganjak di tepi pantai. Mencari kedamaian di tepi pantai. Bab 14,
7)     
Dia yang tidak boleh bersuara selalu saja diganggu
suara-suara.lebih lebih lagi bila suaminya ada hubungan dengan perempuan lain.
Dia ingin lari dari suara-suara yang bercakap dan bertanya. Sofi ingin
bersembunyi, semakin dekat pula gendang-gendang berapi mengejarnya. 53. Sofi
menjerit. Menjerit dan bertempik dalam gaung maha dalam. Dan sahutan adalah
bau-bau bangkai dalam warna warna keliru.
Bagaimana Sofi menyelesaikan persoalan?
Novel ini
menggambarkan Sofi seorang yang tidak berputus asa. Dia terus hidup di atas
harapan  harapan segalanya akan berubah.”Esok
datang membawa harapan harapan dan harapan itu yang menolak ke hadapan memberi
kecekalan untuk terus meniti kehidupan.”. Sofi juga mengambil iktibar lebih
ramai wanita miskin yang hamil dan mengurus anak sendiri tanpa bantuan. Cerita
diakhiri dengan Sofi melupakan segala kemungkinan dengan Sahary. Sofi juga
tidak berharap kepada Razak tetapi menyatu dirinya dengan Allah.  Dia belajar untuk mengecap nikmat sepi
sebagai anugerah Ilahi.
CERPEN:
TSUNAMI DI HATINYA oleh
Norsiah Gapar

            Cerpen
ini berkisar di sekitar kehidupan  seorang wanita surirumah sepenuh
masa yang digambarkan “yang telah terbiasa
dengan kehidupan rumahtangga yang rutin”.  Dia juga seperti Sofi. Wanita yang tidak
diberi nama ini berusia limapuluhan dan mula kelihatan dimamah usia. Pengarang
menggunakan analogi yang menarik  dan
agak lucu tentang garis usia yang tidak dapat ditahan  “macam polis trafik menahan kereta di jalan
raya”.
            Dia
tinggal di sebuah rumah besar yang dipenuhi bilik-bilik kosong kerana anak-anak
sudah dewasa dan mempunyai penghidupan sendiri. Suaminya
sudah lebih tiga tahun bersara mandatori.
Dan mereka menikmati kecukupan malah kemewahan
fizikal dan material. Atas alasan masih sihat dan kuat, suaminya membangunkan
syarikat perniagaan menggunakan sebahagian daripada wang ganjaran
persaraan.Suaminya sering keluar negara untuk mengurus perniagaan.  Cerita diakhiri
dengan kejadian malapetaka Tsunami dan pada ketika itu suaminya dilaporkan
sedang berada di sana.  
            Cerita
dikembangkan melalui monolog dan imbas kembali Dia pada pagi 26 Disember 2007.
Di situlah diceritakan bagaimana Dia dahulunya seorang pelajar pintar dan gadis
beriman telah dikahwinkan oleh ayah sebelum sempat menduduki peperiksaan akhir
walaupun dia yakin akan meraih keputusan cemerlang. Dengan perkahwinan itu
hancurlah segala harapan dan musnahlah segala impian untuk belajar di luar
Negara dan membina kerjaya yang baik. Dengan perkahwinan itu Dia pun melalui
kehidupan sebagai seorang suri rumah dengan rutin yang mudah membosankan.
            Seperti
Sofi dalam Antalas Sukma dia adalah
wanita yang dibisukan atau dipotong lidahnya mengikut mitos Greek itu. Dia
tidak ada kebebasan untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Dia merupakan antara
pelajar yang terbaik di seluruh negara namun dia tidak upaya untuk berhujjah
untuk meyakinkan ayah dan ibu bahawa dia tidak akan melakukan sesuatu yang
buruk kalau dibenarkan belajar di luar negara kelak. Sebagai gadis Timur yang
terkongkong oleh konvensi adat dia hanya mengikut apa yang diatur ke atasnya
walaupun pembaca boleh membayangkan betapa hancur hatinya. Sebagai isteri dia
ingin memberi pendapat bahawa suaminya tidak perlu membangun perniagaan dan
lebih baik menumpukan masa untuk beribadat, apatah lagi suaminya digambarkan
sebagai seorang yang  banyak kekurangan
dalam urusan hubungan dengan Allah swt. Dia hanya mampu berdoa sambil
mensyukuri setiap nikmat dan rahmat yang sedang dikecapi. “Alhamdulillah,
berkat rezeki Allah yang sewajarnya disyukuri. Dan dia memang selalu
mensyukuri. Tapi kata suaminya  bosan kalau tidak buat apa-apa. Sedangkan
suaminya boleh mengisi masa itu untuk memperbanyakan lagi  pahala melalui
amal ibadat yang perlu diperbaikki.”
            Seperti
Sonsonjan, Norsiah juga menggunakan unsur 
alam bagi menggambarkan perasaan wataknya. Di pagi Ahad 26 Disember 2004 dia sedang duduk menghadap
kaca TV melayani kesepian Suaminya sudah dua hari terbang ke Bangkok  atas
urusan bisnis dan anak-anaknya masing-masing ada acara sendiri lantas terpaksa
melemparkan ia di  gaung  sunyi  rumah batu dua tingkat yang
penuh dengan kamar-kamar kosong. Kamar yang dulu diisi keriuhan anak-anak dalam
meniti  kehidupan  ke alam dewasa.
            Cerpen
ini menggambarkan kehidupan wanita yang biasanya tidak banyak meminta. Hal ini
dimanifestasikan melalui: KEPERLUAN WANITA
sangat sedikit dan sederhana. Jam mahu
menghampiri angka 12. Keseorangan begitu dia amat santai. Dia wanita sederhana
dan tidak meminta. Dalam segi makanan. Tidak perlu menyediakan makan tengah
hari kerana untuknya seorang sekeping sandwich berintikan telur dadar pun
 sudah mencukupi. Kadang-kadang kalau ia diserang penyakit malas,
 buah-buah segar sahaja jadi habuannya. Itupun sudah mengenyangkan. Memang
sejak dulu dia begitu. Tidak begitu memberatkan soal makanan.
Pembaca mengenali dengan lebih
dekat dan bersimpati  bila dia mengenang
kembali jalan hidup yang telah dilalui. Dia boleh dikatakan seorang gadis yang
pintar, rupa sederhana dan taat akan perintah orang tua. Didikan agama yang
diterimanya sejak kecil  meyakinkan dia bahawa syurga itu di bawah telapak
kaki ibu. Dosa engkar orang tua adalah dosa besar kedua selepas dosa syirik
kepada Allah SWT.
            Perkahwinan
sekali lagi. Sebenarnya dia sendiri
tidak mengerti kenapa ia  disuruh belajar demikain tinggi kemudian
diarahkan berhenti hanyalah kerana mahu dikawinkan?Dalam gambaran Dia Perkahwinan
memutuskan segala cita-cita dan harapan. Perkahwinan adalah jalan untuk
menjamin nama baik keluarga tetap terpelihara. 
Gambaran hancur hati dan kekecewaan itu digambarkan melalui “Ia merasa
seperti  ditatang di atas sebuah puncak yang tinggi dengan hamparan emas
yang menghimbau, tiba-tiba  kemudian dihumbankan
ke dalam gaung yang sempit, gelap  dan melemaskan
.
Ibunya
juga tidak berdaya membelanya kerana kata putus adalah di tangan ayah. Lebih
lebih lagi ayahnya adalah seorang  imam
yang warak tidak mahu anak perempuannya satu-satunya menuntut di luar negeri. Kata
pengarang “Abahnya takut kalau-kalau ia akan menconteng arang di muka keluarga”.
Imej wanita yang dinafikan hak bersuara itu terlihat
sejak mula. Bila diberhentikan dari sekolah dia ada sebab-sebab yang kukuh
untuk membantah tetapi tidak dapat berkata apa-apa. Sebagai pelajar yang cerdik
dan mematuhi ajaran agama, dia tentu tahu adanya hadis yang  mewajibkan lelaki dan wanita menuntut ilmu.  Lalu ia
menerima segalanya dengan reda
dan menganggap segalanya sebagai  ketentuan Allah untuknya. Ia percaya
 ada hikmah di sebalik segalanya. Dia harus selalu berfikiran positif dan
baik sangka. Di zaman ramai remaja belum memahami motivasi diri., visi dan
wawasan dia sudah mengadopsi  sikap demikian ke dalam diari hidupnya lewat
pembacaan buku-buku berat yang menjadi kegemarannya. Allah telah mengurniakan
dia sekeping hati yang peka. Alhamdulillah!
            Dengan
perkahwinan, dia tidak ada pilihan lain selain membentuk
dirinya menjadi seorang isteri yang taat dan meyenangkan hati suami.  Sebagaimana yang terjadi kepada Sofi, dia juga
diasuh dan diingatkan bahawa kini ketaatannya tertumpah sepenuhnya  kepada
suaminya.  Seperti Sofi dia percaya bahawa suami menentukan segalany dunia
dan akhirat. “Kini dia harus taat kepada suami kalau mahu mencium  bau syurga”. Ia ingat ibunya telah menyeka air mata yang luruh di pipinya
 dengan tangan yang begitu lembut sekali Baris-baris ini menggambarkan dua
wanita yang sedang berduka dan menangis kerana tidak berdaya.Seperti suami Sofi, 
suaminya seorang lelaki tidak pun punya ciri-ciri romantik yang
sering ia baca lewat  novel bahasa Inggeris yang dipinjam dari teman
sekolahnya. Dalam dataran  waktu yang mereka lalui bersama dia  cuba
untuk mencambahkan benih cinta dan sayang; sementelah dia belum pernah
mencintai sesiapa.
Seperti Sosonjan, Norsiah juga mengembang cerita menerusi
 penyatuannya  dengan alam. Dari cerpen diketahui bahawa “Riadah
yang paling disukainya ialah  berjalan di gigi pantai berkaki ayam.
Sesekali ombak datang memecah di kakinya yang putih mulus itu, ia akan ketawa
geli yang mengundang senyum suaminya. Senyuman yang teramat mahal dan bukan
mudah diperolehi. Unsur bisu dan sepi. Selalunya masa bersama mereka adalah
masa santai dalam diam. Kerana dengan dirinya, suaminya  tidak suka banyak
cerita. Dan dia pun  bukanlah seorang wanita yang dilahirkan gemar
bercakap. Kebiasaannya  hanya mengucapkan  dua tiga patah perkataan
yang  bernas. Selebihnya ia hanya senyum  mendamba pengertian.
Seperti suami Sofi, suaminya juga bukan seorang
yang romantik dan tidak pernah mengucapkan kata-kata cinta, kasih dan sayang
selama mereka bersama. Dia hanya mampu berpuas hati dan menerka munkin suaminya
 sudah ada pilihan hati sebelum dirinya. Dan seperti dirinya, suaminya
juga munkin seorang  anak yang taat kepada ibunya. Justeru  setuju
 mengahwini pilihan ibunya.    Kehidupan diteruskan dan mereka dikurniakan  empat orang zuriat: dua lelaki dan dua
perempuan. Suaminya  seorang lelaki yang bertanggung jawab ke atas
kelangsungan hidup anak-anak mereka. Sumainya tidak pernah munkir dari
mengunjuk wang keperluan rumah demi kemewahan anak-anak. Tetapi dia dengan
kebijaksanaan didikan ibunya  akan memastikan anak-anaknya tidak hanyut
dalam arus pembaziran. Pelajaran anak-anak berjalan lancar atas kesedarannya
ingin menjadikan mereka orang berilmu demi kebaikan dunia dan akhirat. Kedua
putrinya melanjutkan pelajaran ke  negeri orang putih. Mereka
berkomunikasi melalui surat-surat dan sekali sekala bertelefon. Ia pastikan
anak-anaknya senantiasa di dalam pemantauan yang rapi darinya. Demikianlah
anak-anaknya dipastikan terdidik supaya senantiasa berada di jalan yang lurus;
mendekati kemakrufan dan meninggalkan kemunkaran. Alhamdulillah, mereka selamat
Tiada yang menconteng  arang di muka seperti yang digeruni oleh arwah
abahnya dulu.
            Perwatakan
suaminya selain seorang yang tidak romantic digambarkan seorang yang tidak
terlalu patuh dalam soal hubungan dengan Allah. Suaminya  juga pernah menjalin hubungan  dengan
setiausahanya Anak-anaknya marah dan kecewa lalu mendatangi wanita itu di
pejabat ayahnya. Perempuan itu seorang yang berani dan lancang. Katanya dia
 tidak bertepuk sebelah tangan.      Bila segalanya sampai ke pengetahuannya,
alangkah hancur hatinya. Dia tidak
digambarkan sebagai cemburu atau marah tetapi  malu dan seolah segala harga dirinya
 hancur lumat  dipijak-pijak orang.
Terjadilah
peristiwa dia mengangkat suara di hadapan suaminya. Katanya kepada suaminya
kalau suaminya  benar-benar ingin beristeri lagi dia rela tetapi jangan
berbuat maksiat. “Malu kepada Tuhan. Malu kepada masyarkat sekeliling. Malu
pada anak-anak. Bukankah yang didambakan seorang bapa adalah rasa hormat dari
anak-anaknya?  Dia bercakap tentang maksiat, dosa besar dan kematian yang
ditakuti. Dan kata pengarang, Pertama kali itulah ia pernah berkhutbah di depan
suaminya. Tidak pernah sebelum itu dan tidak pernah lagi sesudah itu.” Ini
memperlihatkan dengan jelas sifat suami isteri itu.
            Kenangannya
terhenti bila ada ‘news flash’ terpampang di muka TV. Beberapa buah
negara bermula dari barat daya Pulau Sumatera  hingga ke Teluk Parsi dan
kawasan persekitarannya ditimpa bencana Tsunami.  Di depan matanya
terentang senario yang kacau bilau dan mengerikan. Antara tempat yang paling
teruk dilanda dan menunjukkan angka mangsa terkorban paling tinggi ialah Phuket,
Thailand.
            Dia
teringat kepada suaminya lalu segera menelefon. Walaupun suaminya di Bangkok
dia mahu memastikan keadaan selamat. 
Namun nombor suami yang didail tidak memberikan
sebarang jawapan malah  senyap dan sepi. Dia
mencuba nombor rakan niaga suaminya Robert Tan rakan niaga suaminya. Mr Tan
memberitahu Rustam telah pergi ke Phuket. Dari sini debaran jantungnya semakin
kencang. Apa yang terjadi kepada suaminya? Pengarang tidak memberikan jawapan,
seolah-olah membiarkan pembaca mengandai-andaikan sendiri. Tetapi pemergian
Rustam ke Phuket mendedahkan segala-galanya tentang lelaki itu. Dia adalah
seorang yang berpoya-poya di tempat hiburan, mungkin terlibat dengan maksiat
dan pelacuran. Maka itu menjawab mengapa dia tidak perlu berkahwin lagi.
WANITA MELAYU TERAWAL
            Isu perkahwinan dan wanita yang
dibisukan turut diolah oleh Amelia Hashim dalam dramanya “Wanita Melayu
Terawal” yang disiarkan buat pertama kali Dewan Sastera Julai 2007,Ogos 2007 . Drama ini menceritakan
pelajar  sebuah universiti yang sedang
menulis tesis tentang wanita-wanita Sejarah
Melayu
. Drama berkisar pada watak-watak seperti Tun Teja, Tun Kudu  dan Tun Fatimah yang kesemuanya menjadi
mangsa percaturan lelaki.  Zuhar, seorang
siswa yang sedang menulis tesis berjodol “Wanita dan Kewanitaan, satu
emansipasi’ sering diganggu mimpi bertemu dengan watak-watak wanita Sulalatus Salatin terutama Tun Kudu, Tun
Teja dan Tun Fatimah. Dalam bayangan dan igauannya Zuhar mencurahkan
pandangannya dan semua ini lebih merupakan pemikiran pengarang terhadap isu-isu
semasa.
Amelia Hashim
menggunakan episod Tun Kudu untuk menyatakan beberapa pandangan terhadap
kehidupan terutama yang dilalui oleh wanita. Zuhar mengagumi watak Tun Kudu. Melalui
dialog Tun Kudu pengarang mencurahkan pendapatnya bahawa wanita amat setia
kepada perkahwinan dan tidak mudah menukar perasaan cinta tidak kira wanita
zaman sekarang atau  wanita dahulu. Kata
Tun Kudu, “ Tanyalah wanita zamanmu! Menukar suami bukan semacam menukar
baju.”
Drama “Wanita
Melayu Terawal” juga mengandungi pandangan terhadap  isu cinta dan kesetiaan. Isu ini telah digarapkan
oleh beberapa orang penulis semasa termasuk Sasterawan Negara Usman Awang
melalui dramanya “Menyerahnya Seorang Perempuan”. Terdapat perbahasan menarik
 berkisar pada hubungan Tun Kudu dengan
Sultan serta perbezaan makna dan nilai cinta kepada perempuan dan lelaki.
Sultan telah mengenepikan perasaan wanita demi untuk terus berkuasa. Tun Kudu
diceraikan dan diserahkan pula kepada lelaki lain tanpa mengambil kira
perasaan dan pendapatnya sendiri.
Namun begitu
ada perkara yang lebih menarik yang diperkatakan oleh Amelia Hashim.
Amelia turut
memperkatakan isu peranan domestik dan peranan publik yang dipegang oleh
wanita yang dimanifestasikan melalui watak Tun Kudu.   Selain itu sangat menarik kerana penulis
mengemukakan persoalan tambahan yang tidak disentuh oleh Usman Awang iaitu
perwatakan Tun Perak, adik Tun Kudu yang disanjung kerana kepahlawanannya.
Bagi Amelia Tun Perak (seperti juga Sultan) adalah lelaki yang mementingkan
kedudukan dan kuasa tanpa mempedulikan perasaan kakak sendiri.
TUN KUDU: Apa
tidak adakah cara lain! Selain melumatkan jiwa dan perasaan
                   aku. Kalau kau sebagai
adik aku! Rela runtuhkan rumahtangga
                   kakak sendiri demi
kepentingan peribadi. Mencari kedudukan dan
                    pangkat.
TUN KUDU
bertanya apakah wanita tituntut supaya berkorban. Menjadi wanita adalah untuk
berkorban atau lebih teruk lagi menjadi korban.

Lebih menarik ialah di dalam drama ini
terdapat kritikan terhadap penulisan Tun Seri Lanang. Sikap pengarang lelaki
ini disampaikan melalui watak Zuhar.

ZUHAR: Tapi semua wanita dalam buku ini seolah-olah diperalatkan. Tidak
digambar dengan jelas kemahuan dan cita-cita mereka. Mereka hanya diangkat
bagi satu-satu tujuan. Hanya muncul apabila timbul kepada persoalan. Kemudian
dihilangkan begitu sahaja. Peranannya tidak ditonjolkan lagi.

Apa yang disuarakan oleh Amelia ini selaras
dengan suara pengkritik-pengkritik feminis yang mendapati bahawa pengarang
lelaki telah mengabaikan watak wanita. Beliau mengkiritk sistem Patriaki dan pelbagai
cara yang dijalankan oleh lelaki untuk memiliki wanita termasuk  kekejaman yang dilakukan terhadap  Tun Fatimah dan tipu helah Hang Tuah  terhadap Tun Teja. Dalam kes Tun Kudu Sultan
lebih mementingkan perasaan lelaki lain, iaitu Tun Ali dalam membuat
keputusan.  

PENUTUP

Demikian tiga buah karya yang
dipilih untuk dibicarakan dalam pertemuan sasterawan Nusantara pada kali
ini.  Ketiga-tiganya merupakan tragedi
yang menimpa wanita. Nasib malang itu terjadi kerana wanita dinafikan hak untuk
bersuara.  Mereka terpaksa mengurung
rasa dan kalau disuarakan pun belum tentu akan didengar oleh sesiapa.
Sesungguhnya banyak lagi novel, cerpen atau drama yang telah dihasilkan oleh
penulis wanita berkisar pada isu wanita dan kewanitaan khasnya yang mencakupi
kehidupan wanita di Nusantara. Dalam keadaan ini penulis-penulis wanita
Nusantara termasuk Sosonjan, Norsiah Gapar dan Amelia Hashim dilihat sebagai
pembina semangat sisterhood dan
membantu untuk menyuarakan perasaan dan pemikiran demi jatidiri wanita
serumpun se Nusantara. .

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.