PERLAMBANGAN ALAM DALAM PUISI-PUISI SABAH
Oleh: Zurinah Hassan
Alam amat penting di dalam proses kreatif seorang penyair. Dari renungan terhadap alam penyair menemui makna kewujudan dan makna kehidupan Misalnya sungai yang mengalir deras mengingatkan kepada perjalanan waktu dan perjalanan usia yang berlalu pantas. Ombak dan gelombang di laut mengingatkan kepada cabaran yang dihadapi di dalam hidup. Pulau yang jauh mengingatkan kepada impian yang tidak mudah dicapai. Maka lahirlah puisi sebagai reaksi atau tafsiran kreatif penyair terhadap alam yang direnungnya. Puisi yang dicipta akan memperlihatkan pandangan hidup dan pemikiran penyair yang dicorakkan oleh agama dan budayanya.
Hal ini tidak terkecuali kepada penyair-penyair Sabah. Karya penyair yang berbakat dan aktif masakini seperti Jasni Matlani, Abdul Rahim Tapah, Ariffin Arif, Hasyuda Abadi, Jair Sulai, Zaiton Ajmaian, DMS Donny Marujil, Raymond Majumah dan ramai lagi memancarkan rasa keakraban dan kekaguman terhadap alam sebagai tanda kebesaran Penciptanya. Tulisan ini membicarakan beberapa buah puisi penyair Sabah dari sudut penggunaan alam sebagai perlambangan. Pembicaraan ini dibuat melalui pendekatan firasat iaitu salah satu pendekatan yang terkandung dalam Teori Pengkaedahan Melayu yang dikemukakan oleh Hashim Awang pada 29 Oktober 1989 di Universiti Kebangsaan Malaysia.. Sejak kelahirannya, teori tersebut telah mendapat sambutan dan reaksi dari pengkaji dan sarjana kesusasteraan dan telah dijadikan landasan pengkajian oleh beberapa orang mahasiswa dari peringkat sarjana muda hingga ke ijazah kedoktoran.
Menurut Hashim Awang teori ini dibina atas kesedaran bahawa sastera Melayu mempunyai nilai-nilai dan keunikan tersendiri dan terhasil oleh adanya pandangan hidup, kebudayaan, dan kepercayaan masyarakat Melayu yang ternyata amat berbeza dengan masyarakat Barat. Oleh itu ia perlu dikaji dan dinilai dengan kayu ukur atau pengkaedahan tersendiri juga. Teori Pengkaedahan Melayu dibahagikan kepada dua Pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah (dibahagikan kepada pendekatan firasat, pendekatan moral, pendekatan gunaan) dan Pengkaedahan Agama (dibahagikan kepada pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan,pendekatan seni).
Pendekatan Firasat tertumpu kepada hakikat bahawa sastera itu mengandungi dua lapis makna, iaitu lapis makna yang tersurat dan lapis makna yang tersirat. Melalui Pendekatan Firasat, baris-baris yang yang tersurat akan dapat dikaji bagi mendapatkan lapis yang tersirat iaitu makna yang lebih besar dalam hasil karya sastera. Untuk memahami makna yang tersirat memerlukan pentafsiran . Kerja mentafsir atau mentakbir ini dapat dilakukan melalui pemahaman pada penanda-penanda yang terdapat pada lapis yang tersurat serta pada proses berfikir secara kritis dan terbuka yang berpandukan kepada akal (gerak hati) dan ilmu pengetahuan.
Tulisan ini tertumpu kepada penggunaan kata-kata yang merupakan objek alam fizikal atau alam inderawi. Ini termasuklah kata-kata yang merujuk kepada alam fizikal, misalnya pohon, gunung, laut, embun, sungai, hujan, langit dan segala ciptaan Allah yang boleh dilihat dengan matakasar dan dialami secara sedar menjadi tanda-tanda atau alamat kepada makna sebenar. Pencarian dan penghayatan yang tersirat dari objek-objek tersebut hanya akan dapat dicapai melalui pemerhatian, renungan dan penggunaan akal fikiran. Aplikasi Pendekatan Firasat juga selaras dengan anjuran Islam supaya manusia berfikir dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT. Setiap kejadian alam adalah bukti kebesaran Allah seperti yang dijelaskan oleh ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang , demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua tu ada tanda-tanda keesaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran. (Al-Baqarah ayat 164).
Setiap kali kulihat kelopak-kelopak berkembang
adalah hasratku yang bakal layu
setiap kali kudengar riang nyanyi burung
adalah suara kesedihan yang menggema di dadaku
setiap kali kulihat sungai mengalir jauh
adalah riwayat diri yang makin lanjut
setiap kali kudengar suara ribut hinggap di bumbung
adalah tengkingan waktu yang bakal mengusirku dari sini
setiap kali kulihat dedaun gugur menggelepar
adalah gelora yang bergulung d padang hayatku
setiap kudengar rengik kuda di halaman
adalah duka sengsara mereka yang jauh di tanah seberang
setiap kumulakan perjalanan
adalah perhentian yang makin dekat merapat
aku pada setiap kalinya
adalah diri yang sentiasa resah dialun gelora musim
(“Setiap Kali” karya Abdul Rahim Tapah)
Puisi di atas terbit di dalam antologi Tergantung Pada Kata, (1996:50) . Puisi ini adalah antara contoh terbaik bagaimana alam mempengaruhi proses kreatif seorang penyair Melayu/Islam. Penyair merenung alam tetapi renungan itu berbalik kepada diri dan memberikan makna yang lebih mendalam terhadap erti kewujudan dan kehidupan yang sedang dilalui. Memandang kelopak-kelopak berkembang penyair teringatkan bahawa bunga bakal layu seperti juga kehidupan di dunia yang akan berakhir. Setiap kali mendengar burung berkicau riang penyair insaf bahawa bukan semua makhluk di dunia ini berada di dalam keadaan riang kerana di sana sini ada insan yang menderita. Memandang sungai mengalir penyair mengenang kehidupan yang telah dilaluinya selama ini. Setiap kali dia mendengar bunyi ribut ia semakin terasa bahawa saat kematiannya semakin dekat. Melihat daun daun yang gugur dia terkenangkan nasibnya yang tidak menentu . Seperti daun yang diluruhkan angin, dia tidak akan bertahan buat selama-lamanya
Sajak ini jelas menunjukkan keadaan penyair yang sedang melakukan muhasabah diri dan amat menyedari bahawa segala yang ada di sekeliling adalah alamat atau tanda-tanda kebesaran Allah. Penyair menggunakan elemen alam fizikal seperti kelopak bunga, daun-daun berguguran, sungai dan ribut adalah kata-kata yang tersurat dan perlu difahami pada lapis yang tersirat.
Salah satu unsur alam yang sering dijadikan simbol atau lapisan tersurat ialah alam serangga seperti semut dan anai-anai. Sebuah sajak yang menarik tentang alam serangga ialah “Seperti Semut Kita” karya Jair Sulai.
Seperti semut kita pun dijalinkan keakraban
sekata menyusun arah
Sederap mengatur langkah
Seperti semut kita pun saling berkorban
Berpadu ringankan bebanan
Bersatu ungkaikan kesulitan
Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan,
Sejiwa menghening kerukunan
Sepantun menenun harapan
( Jair Sulai, “Seperti Semut Kita”, Dewan Sastera, Jun 1998.)
Sajak ini menceritakan tentang semut. Semut dikenali sebagai haiwan sosial kerana mereka hidup di dalam kumpulan atau koloni. Sebahagian koloni mengandungi berjuta-juta ahli. Sarang dibina di dalam kayu, di pokok-pokok atau di dalam tanah lengkap dengan lorong-lorong dan bilik-bilik yang bertingkat-tingkat. Setiap sarang mempunyai seekor ratu yang hanya berfungsi untuk bertelur dan membiak. Semut-semut yang lain adalah pekerja. Semut yang lebih besar menjadi asykar yang mempertahankan sarang, yang lain bertugas membina sarang, mencari dan menguruskan pembahagian makanan.
Mesej yang disampaikan oleh sajak ini ialah pentingnya keadilan sosial dan perpaduan umah. Kehidupan semut dengan amalan berdisiplin (sekata menyusun arah) dan bantu membantu (berpadu ringankan beban) memberi contoh teladan kepada manusia dalam hidup bermasyarakat. Penyair memberi tumpuan kepada aspek kesetiaan semut mencari makanan dan melindungi keselamatan masing-masing. (Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan/Sejiwa menghening kerukunan/Sepantun menenun harapan)
Kisah semut juga mendapat sebutan di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Al-Naml (perihal semut). Di dalam Surah ini terdapat kisah Nabi Sulaiman yang sedang mara dengan bala tenteranya sepertimana digambarkan di dalam ayat yang bermaksud:
”(Maralah angkatan itu)hingga apabila mereka sampai ke ”Waadi’n Naml” berkatalah seekor semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari. (Surah Al-Naml ayat 18)
Nabi Sulaiman dikurniakan kebolehan memahami percakapan segala jenis haiwan. Dari percakapan semut itu baginda mengkagumi sifat-sifat kesetiaan mereka. Nabi Sulaiman sendiri mengambil iktibar dan pengajaran dari kejadian itu.
”Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa ”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan ni’matMu yang kau kurniakan kepadaku dan kepada ibu-bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang engkau redhai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang salih. (Surah Al-Naml ayat 18)
Selain serangga, jenis haiwan yang sering muncul di dalam puisi ialah burung yang sering dijadikan simbol kebebasan. Abdul Rahim Tapah telah memilih burung tukang untuk menyampaikan maksud yang agak berlainan. Beliau tidak bersajak tentang kebebasan tetapi tentang keupayaan manusia yang terhad. Hal ini terlihat dalam sajaknya ”Burung Tukang”. ( Tergantung Pada Kata: 49)
Ia senandungkan dukanya
Pada malam-malam yang gundah dan resah
Kelam yang sentiasa menyembunyikan cahaya purnama
Menggoncang rindu dan hasratnya
…………………………………………..
Senandung sendu burung tukang di kejauhan malam
Selalu mengingatkan aku pada fajar di kaki langit
Dan aku ingin segera meninggalkan keresahan malam
Kelmarin yang tertangguh merimbunkan hasrat
Pada pagi dan padang-padang luas
Di dalam sajak ini burung tukang digambarkan sebagai berduka lalu duka itu dinyanyikan kepada malam yang resah. Burung tukang boleh ditafsirkan sebagai manusia yang terus tekun menukangi atau mengejar impian yang masih tidak tercapai. Dalam hal ini suara burung tukang adalah juga perlambangan kepada nafsu dan keinginan manusia. Hasrat yang tidak kesampaian dinyatakan oleh penyair melalui lambang suasana kelam tanpa cahaya purnama. Mendengar suara burung tukang, penyair seolah-olah mendengar suatu suara dari luar yang mengingatkannya bahawa hari akan siang juga akhirnya. (Senandung sendu burung tukang di kejauhan malam/Selalu mengingatkan aku pada fajar di kaki langit).Mendengar ini dia tidak merasa resah lagi. Dia meletakkan harapan pada kedatangan siang. Peringatan kepada kedatangan siang boleh ditafsirkan sebagai peringatan kepada waktu yang sentiasa beredar. Kedatangan fajar membawa cahaya dan harapan.
Dengan adanya harapan untuk menemui hari siang, bererti penyair mengharapkan agar terkeluar dari keadaan gelap gelita kepada keadaan yang cerah. Di dalam aspek ini, Al-Quran juga telah menggunakan misal perbandingan bahawa seseorang yang dikeluarkan dari keadaan kufur kepada keadaan beriman sebagai terkeluar dari gelap gelita kepada cahaya yang terang. Hal ini dinyatakan di dalam ayat yang bermaksud:
Dialah yang memberi rahmat kepada kamu- dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu)-untuk mengeluarkan kamu dari gelap gelita (kufur dan ma’siat) kepada cahaya yang terang benderang (iman dan taat) dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat). ( Surah Al-Ahzaab ayat 43).
Selain alam haiwan, tumbuh-tumbuhan juga sering menjadi perlambangan di dalam puisi. Perlambangan ini dapat ditelusuri kepada Al-Quran yang banyak menggunakan unsur tumbuhan sebagai amsal atau misal perbandingan misalnya Allah SWT membandingkan kasih sayangNya dengan pohon-pohon yang tumbuh di bumi. Hal ini terlihat di dalam ayat yang bermaksud, “Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat? (Surah Asy-Syu’araa : ayat 7)
Ayat ini mendasari puisi Ariffin Ariff berjodol Rumpun.
Rumpun segar cinta
Akarnya tulus
Subur ukhuwah
Tak mengenal warna tanah
Akidah dicambah Junjungan
Dikedapi dalam rumpun
Muafakat membelai damai
Kasih berpanjangan
Tergantung pada kata” Dbp 1997: 90,
Ariffin Ariff menyamakan rumpun hijau dengan kasih sayang yang menyuburkan ukhuwah. Rumpun menghijau kerana akar yang kejap dan kasih sayang bertambah subur atas rasa yang tulus ikhlas. Maka penyair mengatakan rumpun segar cinta/akarnya tulus.
Sebatang pohon yang tumbuh juga boleh dibandingkan dengan sebuah negara yang membangun. Perlambangan ini telah digunakan oleh Hassan Jaidin penyair kelahiran Sindomin Sabah di dalam sajaknya “Wasiat Rimba Merdeka”.
Maka Raja Iskandar bertanya,
“apa nama kayu ini, tempat kita bersandar?”
Mari kita elus makna akar dari sebatang pohon sebijaknya
Dengan akar yang menujah bumi
Terfikir kita keakraban paling mutlak
Tanpa akar bumi takkan kejap tanpa bumi akar takkan hidup
Itulah akar asal bangsa
Menunjang baang ketamadunan gemilang
Meski dibadai petaka lapan penjuru angin
Meski disimbah sengsara tujuh jirus samudera
Takkan goyah baang ini,
Takkan goyah.
Mari kita gapai makna pucuk dari sebatang pohon sebijaknya;
Dengan pucuk yang melakar langit
Terfikir kita keinginan paling waja
Tanpa pucuk pohon mati segera
Tanpa pohon pucuk tiada
Bertunas itulah pucuk aspirasi bangsa
Menyegar batang ketamadunan gemilang
Ini pucuk aspirasi bangsa mengaut gizi agung dari jagat terbuka
Mari kita analisa pohon ini sebagai kita negara bangsa sepadu;
Pohon ini segak namanya ke seluruh rimba buana
Pohon in rimbun keprihatinannya menaungi sengsara mergastua
Pohon ini kukuh pendiriannya meski kerdil diukur mata
Ini bukan pohon Melaka, bukan
Ini pohon Malaysia!
( Mutiara Pertiwi, 1995:21-22 )
Sajak bermula dengan menceritakan kembali kisah pembukaan negeri Melaka oleh Raja Iskandar (Parameswara). Pohon yang menjadi tumpuan di sini ialah pohon melaka dari mana negeri Melaka mendapat namanya. Pertanyaan Raja Iskandar ,apa nama kayu ini tempat kita bersandar?kemudian menjadi soalan dan jawapan tentang makna pohon, akar, batang, dahan, pucuk , kayu dan rimba. Setiap unsur alam ini ditafsirkan melalui Pendekatan firasat untuk menemui makna tentang kebangkitan suatu bangsa yang merdeka. Akar ditafsirkan sebagai asal usul, tradisi, keturunan atau sejarah yang mengejapkan kedudukan suatu bangsa. Batang yang berfungsi membawa zat mineral dan air dari akar dan makanan dari daun ke seluruh pokok ditafsirkan sebagai kekuatan yang membina tamadun bangsa. Pokok yang subur akan sentiasa berpucuk dan ini membawa makna tersirat bahawa negara terus mengeluarkan tenaga muda menjadi harapannya, seperti yang dimaksudkan oleh ungkapan pucuk aspirasi bangsa. Gambaran pohon yang sentiasa berpucuk digunakan untuk membawa pengertian negara yang sentiasa berkembang. Pucuk yang tumbuh menandakan pohon masih subur. Pucuk adalah pertanda kepada idea-idea baru atau wawasan yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Rimbun digunakan untuk membawa makna kesuburan perasaan dan semangat keprihatinan yang menyuburkan perpaduan. Rimba adalah lambang kekuatan dan azam untuk terus bebas dan merdeka.
Penyair memperincikan peri pentingnya fungsi yang dijalankan oleh bahagian-bahagian pokok seperti akar, batang dan pucuk. Misalnya peranan akar ialah untuk menujah bumi dan “tanpa akar bumi takkan kejap tanpa bumi akar takkan hidup” Ia membawa makna betapa pentingnya peranan setiap warga di dalam memperteguhkan negara.
Kisah pembukaan negeri Melaka itu sendiri adalah suatu mitos yang amat terkenal yang mempunyai kaitan dengan ilmu firasat bangsa Melayu. Segala peristiwa yang berlaku seperti pelanduk yang menendang anjing buruan Raja Iskandar dan pohon melaka tempat baginda bersandar adalah kisah-kisah yang simbolis yang mempunyai makna yang besar tentang kebangkitan empayar Melaka. Raja Iskandar mentafsir kejadian seekor pelanduk putih menendang anjing buruan baginda sebagai penanda bahawa tempat itu adalah elok untuk dijadikan negeri. Sejarah Melayu mengisahkan,
Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan berbalik dari sana ke tepi pantai, pada sutu sungai di tepi laut; dan nama sungai itu Bertam. Maka Raja iskandar pun berdiri di bawah sepohon kayu, terlalulah rendang. Maka baginda pun berburu,maka anjing perburuan itupun diterangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air. Maka titah Raja Iskandar Syah, “Baik tempat ini, sedang pelanduknya lagi gagah, baiklah kita berbuat negeri di sini”(Sejarah Melayu edisi Shellabear, cetakan ke30, 1995: 53-54)
Penyair juga mudah dirangsang oleh suasana alam yang dilihatnya di dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Dalam hubungan ini ditemui sajak Saik Dalwis berjodol ”Tukang Bot Laju” (siaran Wadah, Disember 2004)
Tukang Bot Laju
Dialah tukang yang aku kagumi
purnama ini
pakar pahat
pakar ukir
pakar pandu
pakar hala tuju
pada lembar-lembar hari pertukangan ini
aku menyaksikan kearifan pustaka
inderanya
memahat
menukir
mencantum dan mengukuhkan senibinanya
dari aneka kayu pilihan
khazanah dari hutan-hutan hijau persekitaran
sementara di atas ledakan air
diukirnya landasan paling lurus
pelayaran menjadi singkat
ke pangkalan sasar hari depan
Perjalanan laut merupakan satu perlambangan yang lumrah di dalam puisi Melayu moden mahupun puisi tradisional. Menjalani kehidupan adalah ibarat belayar di lautan. Badai dan gelombang melambangkan cabaran yang terpaksa ditempuh dan diatasi. Untuk selamat di laut dan selamat di dalam kehidupan, manusia harus pandai mengendali kenderaannya.
Laut menyediakan laluan untuk manusia mengembara dan membina tamadun. Pada laras yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat iaitu kehidupan di dunia adalah laluan ke akhirat. Aspek ini ditegaskan oleh ayat yang bermaksud, “Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur. (Al-Jaathiyah, ayat12).
Di dalam sajak ”Tukang Bot Laju”, Saik Dalwis mengungkap rasa kekaguman pada seorang tukang dan sekaligus pemandu bot laju. Tukang itu merupakan seniman yang mempunyai ilmu tentang dua alam iaitu alam laut dan alam rimba. Di rimba dia mengenal aneka jenis kayu dan dapat memilih kayu yang terbaik untuk dijadikan bot (aku menyaksikan kearifan pustaka inderanya). Dengan kayu yang didapati, dia dapat pula menukangi sebuah kenderaan air. Kemahirannya terlihat pada ungkapan (mengukir/ mencantum dan mengukuhkan senibinanya). Kemahiran si tukang bukan sahaja dalam memilih khazanah rimba dan menjadikannya sebuah bot, malah lebih dari itu dia mampu pula mengendalinya di air. Dia mengenal arah tuju dan tahu jalan yang terbaik untuk sampai ke destinasi dengan cepat dan selamat.
Kekaguman dan penghargaan penyair ialah kepada ilmu. Si tukang begitu arif di rimba, mahir menukang dan mengukir, mengenal arah tuju dan bijak megendali kenderaan di lautan. Dengan ilmu yang dimiliki maka ”pelayaran menjadi singkat/ ke pangkalan sasar masa depan”. Ungkapan pangkalan sasar masa depan adalah penunjuk yang jelas bahawa terdapat lapisan makna yang lebih penting. Pembaca dapat menangkap bahawa yang dimaksudkan oleh penyair bukan lagi kisah seorang tukang bot tetapi manusia seluruhnya . Setiap kita sedang menuju pengkalan sasar masa depan . Berjaya atau tidaknya bergantung kepada kebijaksanaan dalam berusaha dan menyiapkan diri sepertimana tukang bot memilih kayu-kayu dari hutan, menukangi dan melayari kenderaan tersebut hingga sampai ke pelabuhan..
Penyair juga sering bersajak tentang waktu atau peredaran hari iaitu pertukaran malam dan siang. Al-Quran menybut bahawa pertukaran malam dan siang adalah ketentuan Allah yang membuktikan kebijaksanaanNya “Bahawa sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Al-Imran:190)
Bagi penyair, waktu pagi, tengah hari, petang, sore, malam dan subuh membawa maksud tertentu. Antara waktu yang banyak digunakan ialah Senja. Terdapat banyak sajak yang menggunakan senja sebagai lambang kesementaraan hidup manusia, misalnya sajak “Kita Ini Tetamu Senja” oleh A.Samad Said.
Di dalam antologi puisi Kun (Dbp.1991), ditemui sebuah sajak ”Bicara tentang Senja” oleh Jalidar Abd.Rahim yang pernah berkhidmat sebagai pendidik dan pegawai Majlis Agama islam Sabah.
Suatu malam
kita bicara tentang senja
ia pun berlabuh membayangi hidup
kita pun berfikir
ketidakabadian kita yang fana
syukur
kedewasaan memanjat diri
kesenjaan yang disedari
musim gugur
satu-satu daun kering berterbangan
melayang jatuh ke bumi
bara yang tersisa
jadi suluh
meraba dunia.
Selain dari unsur waktu iaitu senja, sajak ini turut menggunakan perlambangan dari alam tumbuh-tumbuhan iaitu daun kering yang berterbangan dan melayang jatuh ke bumi.Kedua unsur ini membuat penyair berfikir tentang kehidupan yang telah dilalui. Waktu senja dan daun kering menjadi peringatan terhadap kehidupan di dunia yang tidak kekal abadi
Sajak ini memberi penekanan kepada kepentingan masa. Setiap orang seharusnya peka dengan waktu yang cepat berlalu. Peringatan ini menepati maksud ayat Al-Quran,. “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” (Surah Al’Asr)
Dari sajak-sajak yang dianalisis dapat dibuktikan bahawa kreativiti penyair-penyair Sabah dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Mereka menggunakan objek-objek alam fizikal atau alam inderawi sebagai lapisan tersirat yang mengandungi makna yang tersurat yang dapat ditafsir melalui Pendekatan Firasat. Penciptaan puisi dan renungan terhadap alam menepati kehendak ayat Al-Quran yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad, perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). (Surah Yunus:101).
rujukan:
Jasni Matlani, Abdul Rahim Tapah, Ariffin Arif, 1996, Tergantung Pada Kata, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Matlin Dullah, Jasni Matlani (penyelenggara) 1991,Kun, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gapena (penyelenggara), 1995, Mutiara Pertiwi, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka 1995
Hashim Awang, 1989. “Kajian Sastera: Suatu Pendekatan Melayu”’ , Dewan Sastera (Disember) hal. 60 -63.
Hashim Awang, 1992 ‘Suatu Kritikan daripada Pendekatan Firasat’, dlm Dewan Sastera Februari hal 66-68. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
Hashim Awang, 2002. “Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya”. Kertaskerja Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28- 29 Jun di Riviera Bay Resort, Melaka.
Satu esai yang menarik dan bermanfaat untuk menghayati puisi. Tahniah.
Assalamualaikum. Saya begitu tertarik dengan kajian Puan mengenai perlambangan dalam sajak. Saya sedang melakukan kajian dalam skop ini. Bolehkah saya menghubungi puan melalui emel?