PERJALANAN MENJADI SASTERAWAN NEGARA (WANITA).

PERJALANAN MENJADI SASTERAWAN
NEGARA  (WANITA).
Intisari ucapan di Universitas
Gadjah Mada, Jogjakarta, 19 November 2016.
Apabila
adinda saya yang dikasihi Dr. Free hearty yang lebih mesra dengan panggilan
Bundo Free mencadangkan saya bercakap tentang Perjalanan Menjadi Sasterawan
Negara dalam konteks sosio budaya Melayu saya bersetuju kerana memikirkan itu
ternampak sebagai topik yang tidak terlalu menyusahkan. Pastinya ia tidak
melibatkan banyak research dan pembacaan. Saya bayangkan saya dapat bercakap
dengan santai tentang pengalaman sendiri.
Namun apabila saya mulai berfikir
tentangnya dengan sungguh-sungguh saya dapati keadaan tidaklah semudah yang
dijangkakan.  Ini kerana perjalanan diri  melibatkan pertemuan dengan individu2 lain dan
institusi2 yang kadang2 sensitif untuk disebut . Maka dengan sebab itu saya
memilih untuk membaca kertas ini dan tidak memandai-mandai bercakap.
Saya pun telah berkali-kali
juga diberikan ruang untuk memperkatakan tentang perjalanan diri menjadi
penulis dan sebahagian darinya telah dibukukan seperti Memoir Zurinah Hassan Menjejak
Puisi
(Penerbit UKM ) dan Catatan
Perjalanan Seni Zurinah Hassan
(ITBM 2013).
Telah saya catatkan di dalam buku2 tersebut  bahawa saya mula bermesra dengan puisi ketika
masih sangat muda iaitu dalam sekitar usia 13 tahun. Saya tinggal di sebuah
kampung di Kedah . Saya tidak bebas bermain di luar lalu saya duduk di rumah
dan mendengar radio. Saya mendengar lagu-lagu yang disiarkan termasuk lagu-lagu
Indonesia dengan senikata sangat puitis. (Di wajahmu kulihat bulan/bersembunyi
di balik senyuman). (ibarat gadis desa bunga melur/sederhana) . Saya menggemari
lagu-lagu asli yang menggunakan pantun. (Gunung Banang tinggi mengawan). Semua
ini mengajar saya bahawa manusia berinteraksi,   berintegrasi dan menginterpratasi  alam. Gambaran alam dari lagu-lagu tersebut
tumbuh dalam pemikiran dan perasaan.     
Saya. mengembara dengan lagu-lagu tersebut melihat laut, pantai dan
gunung yang tergambar di dalamnya.. Aktiviti mendengar nyanyian ini memberi
asas pengenalan kepada metafora   dan
menumbuhkan minat untuk menulis puisi..
Percakapan  tentang perjalanan diri di dunia seni akan
dapat mendedahkan kepada proses kreatif seorang pengarang seperti saya. Di
samping itu dapat memberi maklumat tentang perkembangan dunia penulisan kreatif
khasnya untuk memperlihatkan kemajuan dan perbezaan dahulu dan sekarang.
Tentu sahaja banyak perbezaan yang telah berlaku.
Pada masa sekarangTeknologi semakin canggih, pemikiran manusia juga semakin
tinggi, pelbagai buku boleh diterbitkan dengan pantas.. Di Malaysia penulis
novel, cerpen puisi bertambah ramai dan karya-karya sastera berkembang subur. Ramai
penulis baru telah berjaya menerbitkan buku di arus perdana atau bukan arus
perdana. Saya terfikir kalau mereka telah menghasilkan 10 buku sebelum berusia
40 tahun atau 35 tahun bayangkan berapa yang dihasilkan setelah mencapai usia
emas. Mungkin mengatasi Shahnon dan Arena Wati. ( Ini belum lagi mengambil kira
 penulis Indonesia yang saya rasa lebih
hebat dan dikenali di peringkat dunia).
Kiranya apa terlintas di fikiran saya itu
terlintas juga di fikiran anak-anak muda yang kreatif dan lantang itu, sehingga
ada yang menjadi sinis dan mula menyoal di manakah kehebatan seorang Sasterawan
Negara. Hal seperti telah ditulis oleh seorang penulis muda di akhbar Berita
Harian pada akhir tahun lepas.
Sememangnya ramai anak muda yang lantang dan
kreatif, namun begitu sepatutnya mereka  dapat
melihat kedudukan SN yang ada berdasarkan waktu dan zaman.  Semua SN yang berusia lebih 60 tahun berkarya
semasa sebuah buku mengambil masa sehingga lapan tahun untuk diterbitkan. Satu
tahun  mengetuk mesin taip hingga sakit
jari dan pedih urat bahu. Penerbit akan mengambil masa 4 tahun untuk membaca
dan menilai, 3 tahun untuk menyunting, mengatur huruf, membaca  pruf, membetul itu dan ini, buat format, lay
out dan cetak. Akhirnya buku terbit. Walaupun akan terdapat kesalahan di sana
sini) penulis terasa mendapat nyawa yang baru.
Itu keadaan secara general. Sebagai perempuan  saya menghadapi kepayahan yang tersendiri.
Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak
dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan   ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah
wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh
di bandar. Masyarakat  hanya menghargai
anak perempuan yang cekap membuat semua kerja rumah. Anak anak perempuan
sentiasa akan dipanggil ke dapur dan hal ini mengganggu perjalanan idea. Orang2
tua tidak faham tentang dunia kepengarangan. Mereka mula hairan melihat saya
gemar duduk bersendirian dan berjalan dari pokok ke pokok terutama pada hari
petang hingga ke senja. Orang2 tua mula bimbang apakah saya dirasuk makhluk
halus yang memanggil saya dari pokok ke pokok. Saya mulakan dengan menulis
sajak dan menulis dengan tangan untuk dipos kepada akhbar di Kuala Lumpur. Saya
belum menulis cerpen apatah lagi novel kerana ketiadaan mesin taip.
Bila sudah bekerja, berkahwin saya memiliki mesin
taip dan kemudian komputer, saya terus menulis. Namun kekangan tetap ada.
Barangkali tidak perlu dicurahkan di sini kerana semua orang tahu masalah yang
dihadapi oleh pengarang wanita. Kita biasa mendengar pengarang lelaki berkata
“bila saya menulis isteri dan anak anak tidak akan ganggu”. Apakah keistimewaan
ini dapat dirasai oleh penulis wanita?. Dengan sebab itu saya kurang berkarya
semasa anak-anak masih kecil. Kerana itulah ramai penulis wanita telah hilang
setelah berumahtangga.
Usaha
gigih telah membuahkan hasil dan saya telah diisytiharkan sebagai Sasterawan
Negara.  Sudah tentu merasa bahagia dana
mat bersyukur.  SN diberi sedikit imbuhan
walaupun  jauh lebih rendah dari jumlah
yang diperolehi oleh Maharaja Lawak dan hadiah hadiah lain yang tersedia untuk
artis-artis hiburan.  Kabarnya dari tahun
ke tahun ada permohonan dibuat oleh jawatankuasa ASN supaya kerajaan menaikkan
jumlah wang tetapi jawapannya sentiasa ‘tak ada bajet” walaupun kerajaan sentiasa
ada wang untuk menghulurkan jutaan rm sebagai hadiah kepada ahli sukan yang
mendapat medal di olimpik.. Kalau diamati habuan untuk SN bukan bertambah,
malah semakin berkurangan. Apa tidaknya, pada zaman Keris Mas, Usman Awang dengan
hadiah rm 30ribu sudah boleh membeli rumah, sekurang-kurangnya rumah teres
setingkat dan kalau ada tanah di kampung sudah dapat membina sebuah banglo.
Hadiah itu naik menjadi rm 60 dan semua itu jauh dari mimpi.
Bukan soal
wang yang hendak saya perkatakan di sini. Nikmat sebenar ialah apabila Dewan Bahasa
dan Pustaka mencetak ulang  buku-buku
yang pernah mereka terbitkan yang sekarang mereka labelkan Edisi Sasterawan Negara.
Sudah berpuluh tahun saya memendam rasa kerana karya2 umpamanya sajak-sajak
yang dikarang dengan susah payah terperuk dan terperam begitu sahaja, tidak ada
di pasaran dan tidak pula diulangcetak.
Di
negara saya, kemungkinan untuk buku puisi dicetak ulang amat tipis  kerana ia hanya akan membebankan penerbit.  Hal ini menyebabkan Pusat-pusat pengajian yang
 menggunakan mana-mana buku saya untuk
kuliah, terpaksa membuat salinan fotocopy. Mereka beritahu saya mereka sudah
cari dan terpaksa buat fotocopy. saya tidak pernah marah  Kalau tidak dapat ganjaran kewangan, cukuplah
karya-karya saya terus dibaca dan tidak mati begitu saja.
Sajak2
tidak diulangcetak dan tidak dapat disiar kembali melainkan dengan menulis
surat dan melalui proses yang meletihkan. .Ini semua kerana ikatan Akta
Hakcipta yang memperuntukkan  Hakcipta
dipegang  oleh pengkarya dan penerbit berkuatkuasa
dari tarikh karya itu diterbitkan sehingga 
lima puluh tahun setelah pegkarya
meninggal dunia. 
Klausa ini termaktub di dalam perjanjian
World Intellectual Property Organization (WIPO) yang merupakan organisasi
antara kerajaan. WIPO mengambil kira Konvensyen Berne untuk perlindungan karya
Sastera dan Seni (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic
Works 1886) dan dikemaskini pada tahun 1970.
Akta ini menjadi amalan di beberapa buah negara.
Malaysia adalah salah sebuah negera yang turut menandatangani persetujuan persetujuan
untuk mengguna pakai dan mematuhinya tersebut. 
Di
dalam bidang seni hiburan klausa ini ternyata telah menguntungkan pengkarya. Di
Malaysia, misalnya karya-karya muzik, termasuk senikata lagu ciptaan
Allahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan  Hal
ini tentu sahaja besar manfaatnya kepada pewaris  Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada
bidang penghasilan karya sastera? 
Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu
banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat
telah mendatangkan lebih banyak 
kesusahan dan kerumitan berbanding keuntungan.
PENUTUP
Saya
telah melalui perjalanan yang panjang dan berliku. Setelah menjadi seorang muda
yang ghairah dengan laut, saya kini umpama Seorang Tua di kaki gunung.  Masih banyak harapan yang belum terdaki . Namun
begitu saya menadah tangan berdoa , Semoga Allah mengizinkan saya menulis lagi
kerana gelaran dan Anugerah adalah satu
amanah.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.