PANTUN: ANTARA PEMBAYANG DAN MAKSUD.

PANTUN: ANTARA PEMBAYANG DAN MAKSUD.
Seseorang menghantar
watsapp bertanyakan mestikah dua baris pertama pantun mempunyai hubungan dengan
dua baris kedua yakni bukan sekadar untuk mendapatkan rima.

Jawapan saya: 2 baris pertama ialah pembayang. Fungsinya memBAYANGkan apa yang
akan berlaku pada dua baris akhir.
Pembayang yang baik tidak boleh lari dari MAKNA dan SUASANA dalam maksud. Jika
dua baris maksud membawa keadaan cemas atau suasana cemas, maka dua baris
pembayang mesti ada suasana yang sama.

Namun begitu, ciri-ciri ini hanya ada dalam pantun yang baik sahaja. Bukan
semua pantun dapat digolongkan sebagai baik atau Sempurna.
Antara pantun yang diminta saya ulas:
Kusangka nanas di tengah padang
Rupanya pandan yang berduri
Kusangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari.
Suasana dan makna dalam pembayang adalah sama dengan maksud
iaitu harapan yang kecewa.. Apa yang disangka tidak menjadi kenyataan. Yang
diharap ialah nanas yang boleh dimakan, rupanya bukan, Ia hanya pokok pandan
yang seperti nanas tapi tiada buahnya. Kusangka panas hingga ke petang. Yang
diharapkan ialah keadaan yang baik dan selesa tetapi kecewa di pertengahan
kerana pada tengahhari hujan telah turun.
Antara buku yang membicarakan tentang beberapa aspek pantun, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016.
Budak-budak mendayung perahu
Sambil berdayung sambil bermain
macam mana bunga tak layu
Embun menitis di tempat lain
Pantun ini membawa maksud kekasih yang tidak setia, tidak serius tidak bersungguh-sungguh menyebabkan cinta tidak kekal yang dilambangkan sebagai bunga layu. Dua baris pembayang juga membawa gambaran keadaan tidak bersungguh-sungguh iaitu sambil berdayung sambil bermain.
Sambil berdayung sambil bermain menunjukkan tiada konsentrasi kepada kepada tugas yang satu. Buat sambil lewa, Ini sesuai dengan dua baris maksud yang mengisahkan kekasih yang tidak tertumpu atau setia kepada satu sahaja. Akhirnya membawa kecewa.
Tuai pada antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan.

Pantun ini menasihati agar
mengambil berat akan kekasih selagi ada masa dan peluang. Si kekasih memberi
nasihat agar selalu mengintai , dalam ertikata selalu menjenguk, melihat
keadaannya. Pantun ini membawa pesanan supaya jangan sesekali mengambil ringan
dan terlalu yakin bahawa hubungan akan terus berjalan dengan baik tanpa dipupuk
dan dijaga. Pembayang “tuai padi antara masak” mengingatkan pesawah supaya
bersedia menuai padi ketika padi “antara masak”, maknanya, ada yang sudah
kekuningan dan ada yang kehijauan. Jika ditunggu semuanya masak, adalah
dibimbangi padi akan layu sebelum sempat habis dituai. Kedua pembayang dan
maksud memberi penekanan kepada penggunaan masa dan peluang
Saya sering menjadi pengadil pertandingan pantun bersama Dato’ Aripin Said dan Roslan Madun..

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.