MENULIS BIOGRAFI, AUTOBIOGRAFI DAN MEMOIR

MENULIS BIOGRAFI, AUTOBIOGRAFI DAN MEMOIR
Pada 15 April 2015, saya telah menyampaikan ceramah berkaitan menulis biografi, autobiografi dan memoir di Universiti Utara Malaysia. Bengkel dua hari ini adalah anjuran UUM Press. Beberapa orang penulis biografi, autobiografi dan memoir telah dijemput untuk menceritakan pengalaman masing-masing, yang dapat menjadi panduan kepada penulis-penulis yang sedang giat menyiapkan tulisan masing-masing. 
Secara
ringkasnya  Biografi, Autobiografi dan
Memoir  ditakrifkan sebagai kisah hidup
seseorang. Kamus Dewan (edisi 4)
mencatatkan biografi ialah riwayat atau kisah hidup seseorang, cabang sastera
yang berkaitan dengan riwayat atau kisah hidup seseorang (191). . Autobiografi:
riwayat hidup yang ditulis sendiri  (91)
Memoir: biografi yang berasaskan kenang-kenangan seseorang tentang pengalaman
dan peristiwa dalam hidupnya.
Kisah Tokoh dan Kisah Benar
Dua
ciri penting di dalam penulisan biografi, autobiografi dan memoir ialah ia
mengandungi maklumat tentang seseorang dan maklumat itu diterima sebagai
maklumat yang benar. Penulisan ini akan memberi maklumat first hand tentang kehidupan tokoh dan peristiwa-peristiwa yang
berlaku di dalam hidupnya. Dalam konteks ini seseorang itu adalah tokoh yang penting
dan dikenali oleh masyarakat. Ciri penting yang melayakkan sesuatu tulisan
diterima sebagai biografi, autobiografi atau memoir ialah kebenaran fakta.
Ketiga-tiga
jenis tulisan ini tidak boleh mengandungi cerita yang tidak benar atau ditokok
tambah dengan elemen rekaan. Misalnya seorang Profesor atau tokoh akademik
Negara menulis tentang dirinya dan menceritakan tentang kehidupan masa kecilnya
yang dihimpit kemiskinan. Beliau tidak boleh menokok tambah kisah-kisah sedih
bagi menimbulkan simpati atau membangkitkan keinsafan di kalangan pembaca.
Misalnya jika ayahnya seorang penoreh getah yang menoreh di kebun sendiri, dia
tidak boleh mengatakan ayahnya mengambil upah menoreh di kebun orang lain dan
tuan kebun itu pula selalu menipu dan tidak memberi upah yang setimpal. Begitu
juga jika seseorang menulis mengenai kisah hidup tokoh perniagaan atau usahawan
yang berjaya dan kaya. Beliau menyingkap kisah jatuh bangun usahawan tersebut
dan segala cabaran yang dilalui. Jika usahawan itu pernah mengalami kerugian
dua ratus ribu maka dia tidak boleh menambah-nambah kerugian itu kepada lima
ratus ribu dengan tujuan memperlihatkan bagaimana sukarnya jalan yang dilalui
oleh usahawan tersebut. Hal ini dianggap sebagai memalsukan fakta.
Riwayat tokoh mengandungi maklumat
penting dan bersejarah.
Apabila
menulis kisah hidup tokoh, penulis hendaklah faham apakah peranan tokoh yang
paling penting atau sumbangan tokoh kepada bangsa dan negara. Penulis hendaklah
benar-benar mengenalpasti dan memberi highlight
kepada peranan tersebut. Di samping itu peristiwa dan pengalaman yang
dilalui tokoh adalah peristiwa-peristiwa penting yang memberi maklumat berguna,
malah bernilai sejarah, khasnya di dalam bidang yang diceburi oleh tokoh Apabila
menulis tentang Menteri Pelajaran yang pertama maka cerita tentang tokoh itu
mestilah menonjolkan peranannya dalam membentuk sistem pelajaran negara. Dengan
ini khalayak juga mendapat pengetahuan tentang system pendidikan pada zaman
penjajah dan awal kemerdekaan. Mendapat maklumat tentang suasana persekolahan ,
guru-guru dan sebagainya. Jika menulis tentang riwayat hidup seorang Raja di
Malaysia, tulisan itu mesti menitikberatkan adat istiadat, undang-undang dan
system beraja di Malaysia..
Pengarang diketahui
Satu
ciri penting penulisan ialah pengarang yang menghasilkan penulisan tersebut
adalah dikenal dengan pasti. Walaupun si penulis mungkin menggunakani perkhidmatan
orang lain dalam  membuat penyelidikan atau mengupah seorang ghost writer ia tetap dikira
ditulis oleh penulis yang namanya tercatat pada buku yang diterbitkan. Jika anaknda seorang sultan berhajat menulis biografi  ayahndanya tetapi mengupah beberapa orang untuk menjalankan kerja-kerja menyelidik dan menulis, namun akhirnya meletakkan namanya seorang sahaja sebagai penulis, maka dialah yang dianggap penulis biografi tersebut. Beliaulah yang dipertanggungjawabkan bagi mengesahkan kebenaran dan kesahihan segala yang dikisahkan . 

Beza dengan Hikayat, Novel
sejarah, novel autobiografi dan anekdot.
Biografi,
autobiografi dan memoir mestilah dibezakan daripada penulisan lain yang juga
menceritakan tentang seseorang  tokoh
seperti hikayat (contohnya Hikayat Hang
Tuah
). Ianya juga berbeza daripada tulisan-tulisan yang turut mengandungi
kisah-kisah yang benar berlaku seperti novel sejarah, novel autobiografi dan
anekdot. Hikayat tidak ditulis oleh seseorang pengarang yang dikenalpasti. Memang
benar hikayat, novel autobiografi atau novel sejarah mengandungi kisah-kisah
yang benar berlaku dan mengandungi fakta-fakta sejarah tetapi penulisan
sebegini turut mengandungi cerita rekaan dan watak-watak yang tidak wujud.
Tidak ada garis yang memisahkan kenyataan dan khayalan.
Anekdot
adalah cerita cerita benar tetapi yang penting ia memperlihatkan budaya, human
interest, menghiburkan, lucu, unik. Oleh yang demikian tulisan ini tidak diterima sebagai biografi, autobiografi dan memoir.


TUJUAN MENULIS
•      Mengenal
tokoh dengan lebih dekat
•      Mengetahui
latarbelakang sejarah, isu-isu penting bangsa (misal biografi seorang Sultan
menambah pengetahuan ttg institusi beraja). Yang hendak diketahui bukan semata
riwayat tokoh tetapi hal-hal penting dalam bidang khasnya di mana tokoh
terlibat . Memberi MAKLUMAT FIRST HAND
•      
PERJUANGAN:
Biografi etc berada di tengah tulisan yang berupa laporan dan cereka. Ia adalah
kebenaran yang dimasukkan emosi, pandangan pengarang. Rujuk ROOTS  ALEX HALEY yang menulis tentang kekejaman
dalam amalan perhambaan orang kulit putih ke atas bangsa kulit hitam. Alex
Haley telah membuat kajian di Afrika untuk mencari salah silah keturunannya. Shttp://teacher.scholastic.com/writewit/biograph/biography_meet.htm,
dapat dibaca kisah pasangan kulit hitam Patricia and Fredrick McKissack yang
kerja mereka menulis kisah hidup tokoh-tokoh yang memperjuangkan nasib
orang-orang kulit hitam di Amerika. Mereka menulis
dengan misi supaya generasi baru kulit hitam tidak melupai  asal usul dan penderitaan nenek moyang
mereka. Mereka menulis untuk kanak-kanak dengan tujuan “One of the reasons
we write for children is to introduce them to African and African-American
history and historical figures and to get them to internalize the information
not just academically, but also
emotionally
. We want them to feel the tremendous amount of hurt and sadness
that racism and discrimination cause all people, regardless of race,”.
Sasterawan
Negara Usman Awang
Seterusnya
penulis membicarakan buku Sasterawan
Negara Usman Awang,
(Dewan Bahasa dan Pustaka 1990, ed.kedua 2006) dan Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi
(UKM 2003). Keduanya memberi penekanan kepada kisah kehidupan yang telah
membentuk pemikiran dan melahirkan karya-karya kreatif. Dalam Sasterawan Negara Usman Awang penulis
membicarakan ketokohan dan kepentingan Usman Awang di dalam perkembangan
sastera, khasnya puisi moden manakala Memoir
Zurinah Hassan Menjejak Puisi
mengungkap pengalaman dan proses kreatif yang
dilalui oleh penulis yang difikirkan dapat memberi teladan dan manfaat kepada
khalayak khasnya calon penulis.

Apa yang mesti ada di dalam biografi atau memoir
seorang penyair dan sasterawan adalah pengalaman yang berkaitan dengan penglahiran
karya sastera. Aspek yang perlu ditekan ialah kehidupan yang dilalui oleh tokoh yang dibicarakan, khasnya
bagaimana apa yang dilalui telah mempengaruhi pemikiran dan membentuk
karya-karya mereka.Bagi buku Sasterawan Negara Usman Awang, penulisan dimulakan dengan gambaran
kehidupan masakecil . Di samping itu ialah peristiwa peristiwa sastera pada
tahun 40han, 50han dan 60han terutama penubuhan Asas 50,  peranan pertubuhan
tersebut pada bahasa dan negara. Sama pentingnya ialah keadaan atau situasi Negara
pada zaman darurat dan perjuangan kearah kemerdekaan  politik dan kemerdekaan jiwa sepertimana yang
digambarkan dalam novel yang amat menarik iaitu Tulang2 Berserakan.

Untuk
menyesuaikan dengan suasana kreativiti, dan personaliti Usman Awang, penceritaan
dimulakan dengan petikan senikata lagu Melayu asli “Kuala Sedeli”. Senikata
ini menggambarkan sebuah kampung nelayan

Kuala
Sedeli di Negeri Johor
    kampong halaman kaum nelayan/
hatiku
sedih belum terhibur/
    mengenang kekasih jauh di perantauan.
Kesayuan irama 
dan lirik lagu,  seperti angin
laut yang menyingkap  tirai kehidupan
sebuah kampong nelayan  dengan rumah-
rumah kecil beratap nipah, dan di antara rumah itu adalah rumah yang didiami
oleh  Wan Awang Kechik bin Wan Din
isterinya Halimah binti Abdul Rahman dan tiga anak lelaki mereka, Wan Ahmad,
Wan Osman dan Wan Ismail. Sehingga m.s 4 barulah diberitahu bahawa Wan Osman
anak Wan Awang Kecik itu sebenarnya ialah Usman Awang. Penceritaan tentang
kisah hidup sebanyak 54 halaman adalah untuk memperlihatkan bagaimana
pengalaman yang dilalui oleh Usman Awang semasa kecil ke zaman remaja telah
membina pemikiran dan sikapnya. Suasana lagu ini membina suasana penceritaan seorang penyair yang terkenal sebagai romantic dan seniman alam. Barangkali tidak sesuai untuk menggambarkan ketangkasan seorang usahawan.Kehidupan sebagai anak muda di dalam pasukan
polis, pemerhatiannya terhadap golongan kaya dan miskin, disertai oleh
pembacaannya tentang kisah kesultanan Melaka telah membuka mindanya bahawa
bangsanya sedang tertindas oleh penjajah asing dan tertindas juga oleh system feudal
dan system kapitalis. Sikap dan pemikiran ini diolah dalam karya-karyanya
seperti Matinya Seorang Pahlawan, Uda dan Dara , Pak Utih.

Usman  berhijrah ke Singapura lalu berada  di tengah perkembangan dan pergolakan sastera
tanah air. 
Sebagai penulis biografi Sasterawan Negara Usman Awang
saya seterusnya menumpukan penulisan bagi menghuraikan kedudukan dan
kepentingan Usman sebagai seorang sasterawan yang diangkat menjadi sasterawan Negara
ke 3. Saya telah menganalisis karya-karya penting terutama bagi memperlihat pemikiran
Usman dan kepentingan kedudukan beliau dalam sastera dan masyarakat.

Dalam  Memoir
Zurinah Hassan
Menjejak Puisi, saya juga memulakan dengan menulis tentang
kehidupan awal saya sebagai kanak-kanak di sebuah kampung di kedah. Hal ini
adalah untuk memperlihatkan suasana yang menumbuhkan kecintaan terhadap puisi,
iaitu bermula dengan mendengar lagu-lagu Melayu Asli dari radio. Senikata yang
berisi pantun-pantun indah mendedahkan saya kepada keindahan ungkapan dan puisi
Melayu tradisional terutama pantun. Memoir itu menerangkan  bagaimana saya mula menggarap baris-baris
puisi kecil pada zaman remaja.

Ada perbezaan antara menulis biografi iaitu tentang
seorang tokoh lain dengan menulis Memoir tentang diri sendiri. Dalam penulisan
biografi boleh diperuntukkan sebahagian besar untuk memperkatakan tentang
karya-karya dan memperlihatkan ketokohan Usman Awang. Hal ini tentulah tidak
dapat saya lakukan bila menulis tentang diri sendiri. Saya tidak dapat mengulas
dan menilai tulisan sendiri. Jadi seterusnya ialah menulis tentang pengalaman
sebagai seorang penyair , Apakah hal2 yang saya fikirkan penting diketahui oleh
khalayak?.
DALAM MENGOLAH saya berfikir dan mengingati,
mengumpul kembali apakah soalan2 yang telah diterima sepanjang jadi penulis:Bagaimana
puan mula menceburkan diri dalam penulisan? Bagaimana mendapat ilham?, Apakah
dan bilakah sajak pertama tersiar?Selalunya apakah tema yang ditulis? Berapa
lama masa diambil untuk menghasilkan sebuah sajak? Siapa mendorong? apakah
pandangan saya tentang menjadi penulis yang baik? Tak lupa, bagaimana membahagikan
masa dengan tugas rumahtangga.
Dengan soalan-soalan ini saya meneruskan penulisan
untuk memberi jawapan yang sebaiknya. Lalu lahirlah huraian tentang: Bagaimanakah
persekitaran yang dapat merangsang kreativiti. Peristiwa di sebalik penciptaan
sesebuah puisi yang terpilih. Apakah isu-isu kemasyarakatan dan konflik
masyarakat yang mengganggu pemikiran dan seterusnya melahirkan  karya. Isu yang disentuh misalnya ialah isu
pemimpin dan rakyat, isu pengangguran dan perpecahan bangsa, isu bangsa Melayu
yang semakin kehilangan tanah dan tanah air, isu pencemaran, isu kehidupan di
kotaraya dengan banjir kilat, pembinaan dan jatidiri, isu kedaulatan bahasa
Melayu .Saya juga bercakap tentang beberapa cara saya menyuarakan puisi,
menerangkan apakah maksud berpuisi secara bermonolog, berdialog, membina
cerita, watak dan dialog. Di samping itu kisah-kisah legenda dan cerita rakya
juga banyak memberikan kesedaran dan mencetuskan puisi-puisi baru.
Sebagai penyair wanita sudah pasti perkara
yang sering ditanya ialah bagaimana membahagikan masa bersama keluarga.  Hal ini menjadi tumpuan bila ramai penulis
wanita  hilang setelah berumahtangga.
Apakah halangan dari latarbudaya dalam menjadi seorang wanita dan seorang penulis?
Perkara ini diminati dimana-mana, misalnya saya dijemput ke forum mengenai
Intelektual Asia anjuran Universiti Chulalongkorn, dan mereka sangat berminat
untuk mengetahui pengalaman saya menjadi seorang penulis wanita dalam latar
budaya Melayu.
Perkara2
yang saya sentuh, misalnya bagaimana 
kehidupan masa kecil Usman Awang dan saya sendiri, memberi maklumat
tentang pertumbuhan dan perkembangan penulis Melayu secara am, buka terhad
kepada dua orang sahaja.
Di
Barat biography dan memoir pernah digunakan untuk mengaib orang lain. Penulisan
seperti ini boleh menjadi skandal dan menjatuhkan seseorang. Tetapi sebagai
penulis Melayu dan Islam, kita mempunyai tatacara dan tertib berkarya yang
berbeza.  Penulisan genre ini juga
tertaklok kepada tatacara penulisan yang lain di mana penghasilannya  mengikut keteraturan dan keindahan. Seperti
tugas-tugas yang lain, kerja menulis mesti disertai dengan niat yang baik. Mengandungi
 nilai yang baik dan positif yang dapat
memberi teladan kepada orang Islam secara khusus dan juga kepada bukan Islam.
Menurut Mohd. Kamal Hassan, “Seni dan sastera yang dituntut oleh Islam
mendapatkan visi hidupnya dan visi keindahannya daripada Al-Quran yang amat
nyata memperlihatkan pertemuan yang sempurna antara kebenaran, kebaikan dan
keindahan bahasa” (1981: 49).
Penulisan biografi
dan memoir yang membentang kisah hidup manusia dan keragaman peristiwa seharusnya
menjadi contoh dan teladan dalam hidup pembaca. Melalui pengalaman-pengalaman
sedemikian, pembaca menjadi lebih matang dan bersedia menghadapi hidup yang
penuh dengan ketidaktentuan. Seorang penulis biografi, autobiografi dan
memoir  seharusnya berniat untuk
menjadikan ceritanya sebagai iktibar dan teladan yang memberi manfaat kepada
pembaca. Penulisan seperti ini adalah selaras dengan kisah-kisah yang diceritakan
di dalam Al-Quran, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran menerusi ayat
yang bermaksud:


“Sesungguhnya adalah di dalam
cerita-cerita (kisah-kisah) tentang mereka itu menjadi iktibar bagi mereka yang
mempunyai fikiran”  (Yusof: 111).

2 Comments

Leave a Reply to Blogger Eno Broker Profesional PropertiCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.