mengenang bonda kandung

menjelang 50 tahun kemerdekaan negara, mengapa aku tidak dapat menulis dengan bersemangat tentang kejayaan dan kegemilangannya? Mengapa aku merasa sayu ketika menulis sajak ini?

Senandung Bunda Kandung (setelah 50 Tahun Merdeka)
50 tahun telah berlalu ayuhai bunda kandung sejak kali pertama kau berdiri di anjung memakai kerudung mahkota, dan kalung.
Betapa anggun wajahmu,bunda kandung dihiasi kerudung termahal tenunan halus dalam seri benang-benang peribadi gubahan warna pancaran panji-panji yang pernah berkibar pada tiang empayar silam mercutanda bangsa yang gemilang
Betapa berserinya wajahmu, bunda kandung memakai mahkota dan kalung bertatah mutiara paling berharga yang digelidah dari laut sejarah mahkota yang pernah terhempas oleh taufan ganas tangan-tangan kejam kuku-kuku tajam yang mencakar luka pantai Nusantara
Betapa merdu suaramu, bunda kandung menyanyikan merdeka yang agung memuja bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung dengan suara yang lantang dan lafaz yang terang mengungkap kasih sayang mengenang ribuan pahlawan yang hilang darah dan airmata yang berguguran di sepanjang perjalanan menuju kemerdekaan sebuah watan Dan di pagi Ogos ini setelah setengah abad, kau bersenandung di pentas agung suaramu mulai serak bertanyakan tentang anak-anak tentang rimba, pantai dan ombak dalam rangkap-rangkap yang tersayat mencari putera-puteri yang tersesat menangisi lidah bangsa yang cacat Setelah lima puluh tahun merdeka kau masih memanggil anak-anakmu yang sedang ghairah menyusun aksara menghias dataran dan pentas kau memanggil anak-anakmu yang hampir hilang dalam hingar-bingar laungan dan riuh rendah perarakan dalam hiruk pikuk ribuan slogan dan sepanduk Dan pagi ini ayuhai bunda kandung kau masih bersenandung tentang merdeka merdeka bukan susunan aksara merdeka bukan dataran yang terhias merdeka bukan bunga-bunga di pentas merdeka setelah menghalau penjajah adalah keberanian melangkah ke pentas dunia berdiri megah dengan fasih lidah berhiaskan kerudung peribadi dan mutiara harga diri yang tidak dijualbeli.
ZURINAH HASSAN Shah Alam, Selangor.

6 Comments

  1. Sue

    Assalamualaikum,
    Saya sangat suka membaca puisi mengenang bonda kandung saudari.
    Dan sememangnya saya tercari-cari sebuah puisi yang sesuai untuk dihantar kepada pelanggan syarikat kami yang dilahirkan tanggal 1957.
    Saya amat berbesar hati jika saudari dapat memberi kebenaran kepada syarikat kami (sebuah syarikat Bumi SME)untuk diletakkan di dalam kad jemputan kami.
    Terima kasih.

  2. Assalamualaikum..

    Saya Muhammad al-amin, pelajar dari Kolej MARA
    Banting sedang menyiapkan sebuah tugasan mengenai
    Allahyarham Usman Awang. Saya dikehendaki mencari
    petikan kata-kata dan pendapat para penulis tentang
    Allahyarham Usman Awang. (Usman Awang Daripada Kaca
    Mata Penulis Lain)

    Saya berharap agar saudara dapat membantu saya
    dengan memberikan sedikit pandangan saudara tentang
    Allahyarham Usman Awang.

    Saya boleh dihubungi melalui email
    al_are@yahoo.com

    Segala kerjasama daripada saudara saya dahului
    dengan ucapan terima kasih.

    Sekian, terima kasih

  3. Maaf.. terilap penggunaan kata nama saudara(sepatutnya saudari)

    copy paste error..

  4. Bonda Zurinah,
    Gembira rasanya dapat bertemu dengan blog bonda pada pagi ini. Catatannya bagus sekali. Selalu-selalulah kemaskinikan blog ini. Banyak yang akan beroleh manfaatnya!

Leave a Reply to Saiee DrissCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.