MENGENAL SASTERA TRADISI

Sastera
Melayu Tradisional
Puisi Melayu Tradisional atau Puisi Warisan  adalah satu cabang daripada Sastera Melayu
Tradisional.  Cabang Sastera Melayu
Tradisional yang lain ialah:
  • Sastera Istana
Sastera Istana adalah sastera yang bertulis dan
terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
1-Sastera Sejarah misalnya Sejarah Melayu,
2- Sastera Undang-undang misalnya Undang-undang
Melaka.
3- Sastera Kitab misalnya hikayat-hikayat yang
mengandungi kisah disekitar kehidupan nabi-nabi seperti Hikayat Nur Muhammad
  • Sastera Rakyat
Sastera rakyat tersebar di kalangan rakyat jelata
melalui tradisi lisan. Bahagian ini terdiri daripada
  1. Mitos: cerita-cerita yang dianggap mulia
    berkenaan pembukaan sesebuah negara misalnya mitos pembukaan Melaka
  2. Legenda: 
    sesuatu cerita yang dianggap penting dan terkenal di sesuatu
    masyarakat. Ia mengisahkan seseorang pahlawan atau tokoh yang dipercayai
    hidup pada zaman dahulu.seperti Hang Tuah dan Mahsuri
  3. Cerita Asal Usul seperti asal usul,nama sebuah
    negeri-atau nama tempat.
  4. Cerita Penglipur Lara seperti hikayat Malim
    Deman
  5. Puisi Warisan
Jenis-jenis Puisi Warisan
Antara puisi warisan atau puisi tradisional ialah pantun, syair, gurindam,seloka,teka-teki,
nazam, bayt, kit’ah, masnawi dan ghazal, talibun, bahasa berirama, teromba,
peribahasa berangkap, mantera dan dikir.
Puisi-puisi ini mempunyai  struktur dan fungsi yang tertentu di dalam
kehidupan masyarakat.
Tidak semua puisi tradisional masih popular dan
dikenali pada hari ini. Secara kasar ada beberapa jenis puisi warisan yang
masih bernafas iaitu:
  • pantun
  • syair
  • nazam
  • gurindam
  • seloka
  • teromba
Pantun
Ciri utama Pantun ialah ia terdiri daripada
pembayang dan maksud dengan skima rima a b a 
b. Ciri ini menyebabkan pantun mudah dikenali dan berbeza daripada
jenis-jenis puisi tradisional yang lain. Pantun, terutama pantun empat kerat
masih popular hingga ke hari ini Kita mendengar pantun setiap hari terutama
melalui lirik lagu. Lagu Melayu Asli  Seri Mersing, Patah Hati, Gunung Banang,
Tudung Saji, Bunga Tanjung
 mempunyai
pantun yang indah sebagai senikatanya
Syair                                                                                                                          
Kata Syair
berasal daripada Bahasa Arab. Tetapi para pengkaji berpandangan bahawa dari
segi struktur, syair Melayu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.  Syair adalah genre yang sangat popular pada
masa dahulu.  Pada zaman yang lebih awal,
syair tersebar melalui tradisi lisan. Syair mula dicetak pada akhir kurun ke
19. Ada sekitar 300 judul syair yang telah dicetak termasuk Syair Dandan Setia, Syair Bidasari, Syair
Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Juragan Budiman, Syair Ken Tambuhan, Syair
Siti Zubaidah Perang Cina.
Nazam
Nazam juga berasal daripada kesusasteraan Arab.
Ianya terdiri dua baris dalam setiap rangkap dengan skima rima a-a, a-a;
a-b,a-b; atau a-a,b-b. Nazam mengandungi cerita atau pengajaran agama. Hamka
mengatakan nazam tidak jauh berbeza dengan syair dari segi strukturnya tetapi
ia lebih banyak membawa tema keagamaan.
Lagu nazam berbeza daripada lagu syair .  Lagu nazam mempunyai tempo dan boleh diiringi
dengan muzik percussion atau ketukan
gendang dan rebana. Pada masa ini terdapat kumpulan-kumpulan rebana yang
bergerak di kampung-kampung. Sesetengah mereka menyanyikan lagu nazam. Nazam
boleh dinyanyikan secara beramai sedangkan syair disampaikan secara solo dan
memerlukan vokal yang baik.
Contoh Nazam yang terkenal ialah Nazam Siti Fatimah.  Nazam ini sering dibaca atau dinyanyikan oleh
ibu-ibu semasa mendodoi anak untuk memberi nasihat dan menyuburkan rasa cinta
kepada Nabi dan ajaran yang dibawanya.
Gurindam
Pengkaji sastera tradisional berpendapat bahawa
gurindam tidak mempunyai bentuk atau skima rima yang tertentu atau tetap. Ia
tidak mudah dikenalpasti seperti pantun atau syair. Walaupun gurindam tidak
tertentu atau tidak tetap bentuknya tetapi dari segi bahasa dan isi terdapat
ciri-ciri khusus. Bahasa gurindam biasanya padat dan bernas. Isinya lebih
menekankan nasihat, moral, pengajaran atau kebenaran. Hal ini dipersetujui oleh
Sutan Takdir Alisjahbana dalam bukunya, Puisi
Lama
(1971). Beliau menulis: “Gurindam ialah nasihat, pengajaran yang
mengandungi kebenaran”.
Gurindam dapat dilihat terbahagi kepada dua jenis,
iaitu ada yang terikat dan ada yang tidak terikat atau bebas. Gurindam
berbentuk terikat terdiri daripada dua baris dan berima aa. Kedudukan atau peranan 
baris 1 itu sebagai isyarat dan baris 2 sebagai jawab. Ini dapat
diteliti dari gurindam yang ditulis oleh Raja Ali Haji. Gurindam Dua belas. Yang mudah dilagukan ialah gurindam dua baris
terikat yang mempunyai rima dan sukukata yang hampir tetap dalam sebaris.
Seloka
Zaaba dalam Pelita
Bahasa Melayu
(1957) menulis, ”Gurindam dengan seloka itu boleh dikatakan
lebih kurang sama sahaja pada fahaman orang Melayu, iaitu sejenis syair melarat
yang tidak tentu skima rimanya. Perbezaan antara gurindam dan seloka dapat
dilihat pada isinya. Isi gurindam berunsur nasihat dan falsafah sementara
seloka mengemukakan gurauan, ejekan termasuk kritik sosial dalam sindiran yang
tajam
Contoh Seloka yang terkenal ialah Seloka Emak Si
Rendang dan  Seloka Pak Kaduk yang penuh
sindiran  tajam dan sehingga hari ini
digunakan untuk kiasan terhadap nasib bangsa yang menumpang di rumah sendiri.
Teromba
Teromba
ialah sejenis bahasa berirama yang isinya memuatkan hal hal yg berhubung
dengan  undang-undang  adat istiadat yg diamalkan oleh sesuatu
kelompak masyarakat . Puisi ini berbentuk bebas dan tidak  tentu jumlah baris, ugkapan,  rima dan jumlah sukukata dalam satu baris.
Di
dalam Teromba terdapat sisipan berbagai puisi  yg  lain
seperti pantun, gurindam dan peribahasa. Isinya terpakai hingga hari  ini  dalam  adat pepatih sebagai peraturan yg telah
menjadi pedoman masyarakat.  Teromba juga
dikenali sebagai Perbilangan Adat Pepatih.
PUISI
MELAYU WARISAN PADA MASA INI
Pada masa ini puisi Melayu tradisional atau puisi
warisan seperti pantun, syair, gurindam dan nazam masih dikarang dan dihasilkan
oleh segolongan  penulis-penulis
kontemporari. Di antara mereka ialah, Ahmad Sarju,  A Halim ‘R’ 
Khadijah Hashim, Hamdan Yahaya, Rahman Shaari, Azimin Daud , Siti Zaleha
M.Hashim. Media tempatan,  iaitu majalah Dewan Sastera membuka ruang khas, “Ujana
Klasik”  bagi menampung karya-karya yang
sedemikian.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.