LAUT SEBAGAI PERLAMBANGAN DALAM PUISI MELAYU.(MAKALAH PULARA 8)

LAUT SEBAGAI PERLAMBANGAN DALAM PUISI MELAYU.(MAKALAH PULARA 8)
Alam sangat mempengaruhi proses kreatif
seorang penyair. Sebahagian besar puisi adalah reaksi kreatif seorang penyair
setelah berinteraksi dengan alam dan mentafsir makna daripada objek-objek alam.
Daripada tafsiran itu penyair  menemui
makna kehidupan yang dilalui olehnya dan manusia lain. Misalnya gunung yang
tinggi adalah misalan kepada   harapan
dan cita-cita yang sukar dicapai. 
Alam digunakan dalam dua cara.
Pertama ialah sebagai latar belakang
kepada peristiwa yang digambarkan.
Dan yang kedua ialah sebagai sumber
perlambangan, metafora, simili dan personifikasi yang merupakan peralatan atau
perantara untuk menyampaikan maksud puisi.
Perlambangan ialah satu daripada peralatan penyair dalam menyampaikan
puisi. Secara keseluruhan perlambagaan boleh ditafsirkan sebagai menggunakan
sesuatu untuk menggambarkan sesuatu.  Antara
unsur alam yang dominan ialah LAUT dan kata-kata yang berasosiasi dengannya
iaitu samudera, ombak, badai, perahu, pelabuhan  Matlamat kertas ini ialah untuk memperlihatkan
bahawa alam dan agama Islam adalah faktor utama dalam pembinaan perlambangan (
termasuk metafora, simile, personifikasi) penyair-penyair Melayu telah membina
perlambangan untuk menunjukkan unsur alam fizikal iaitu laut, sebagai  menyatakan keluasan alam dan ilmu Allah
serta  perjalanan manusia pulang ke alam
yang abadi. Puisi-puisi yang menggunakan alam laut dan lautan sebagai
perlambangan perlu ditanggapi secara mendalam untuk menemukan makna atau
pengertiannya melalui penafsiran lambang-lambang atau alamat tertentu yang
wujud di dalamnya. Puisi-puisi ini memperlihatkan keintiman hidup manusia
dengan alam yang  menjadi antara faktor
terpenting yang membuahkan hasil-hasil sastera Melayu yang amat banyak
persamaannya dengan sifat kejadian alam semesta dari ciptaan Allah.
Pujangga-pujangga
Melayu sejak zaman berzaman telah menggunakan Laut bagi menyampaikan pemikiran,  membantu pengolahan bahasa 
dan perlukisan suasana yang berfungsi untuk menyampaikan makna yang jitu
dan jelas di samping mengungkap pemikiran yang tinggi untuk dimanfaatkan oleh masyarakat
Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa
perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan
menentukan nilai estetikanya:
”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara
alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan,
hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan
makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu
ciri dasar dalam estetikanya.” 
Penggunaan
laut Secara ringkas dapat dibahagikan kepada dua perlambangan utama.
 1.   
Laut yang luas dan bertenaga menjadi simbol kekuasaan Allah. Keluasan
laut merepresentasi keluasan alam ciptaan Allah dan keluasan ilmu Allah.

2.   
Laut dan perjalanan laut mengandungi
makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke
akhirat.

Rujukan
Laut di dalam Al-Quran
Perbincangan
dimulakan dengan merujuk kepada beberapa petikan ayat Al-Quran bagi memperlihatkan hubungan dan kesinambungan dalam
penggunaan kata laut oleh penyair Melayu. Hal ini adalah untuk membuktikan
bahawa Sebahagian besar perlambangan yang digunakan oleh penyair Melayu semasa,
adalah merupakan kelangsungan atau mempunyai kaitan dengan misal perbandingan
laut dan lautan yang terdapat di dalam Al-Quran.
·        
Laut dan keluasannya digunakan sebagai simbol kebesaran
Allah dan keluasan alam ciptaanNya. Laut dijadikan perbandingan untuk
menyatakan tentang keluasan ilmu Allah atau kalam Allah. Hal ini dilihat
daripada ayat yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), Kalaulah semua
jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu
akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun
Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan
(Surah Al-Kahfi, ayat 109). 
·        
Kehidupan
adalah ibarat sebuah pelayaran dan hanya Allah dapat menyelamatkan manusia
daripada bencana karam di tengah lautan seperti yang diperingatkan oleh Al-Quran, “Dan jika Kami kehendaki, Kami
boleh tenggelamkan mereka, kira-kiranya Kami lakukan demikian) maka tidak ada
yang dapat memberi pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat
diselamatkan ( Surah Yaa Siin,  ayat 43).
·        
Kewujudan
laut dapat diterjemahkan sebagai rahmat Tuhan khasnya kepada manusia. Laut
sebagaimana ciptaan Allah yang lain adalah amat besar manfaatnya. Allah
berFirman, “Dan Dialah yang memudahkan laut supaya kamu dapat makan daripadanya
daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya
benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau
melihat  kapal-kapal belayar padanya, dan
lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya kamu
bersyukur” (Surah An-Nahl, ayat 14).
·        
Laut
menyediakan laluan untuk manusia mengembara dan membina tamadun. Pada laras
yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat, iaitu kehidupan dunia
adalah laluan ke akhirat. Aspek ini ditegaskan oleh ayat yang bermaksud,
kegunaan laut amat jelas daripada ayat, “Allah yang memudahkan laut bagi
kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan
supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur (Surah Al-Jaathiyah,
ayat 12).
·        
Laut di dalam Al-Quran
telah mengemukakan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dan iktibar seperti
yang diseru oleh ajaran Islam. Di dalam kisah Nabi Nuh, Allah telah mewahyukan
kepada Nuh untuk membina bahtera sebelum terjadinya banjir yang besar dan
seluruh daratan telah menjadi laut. Bahtera yang menjadi penyelamat itu adalah
simbol pertolongan Allah terhadap hambaNya yang beriman, sepertimana maksud
ayat, “Dan sesungguhnya Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang
menjadi pengajaran maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf” (Surah
Al-Qamar, ayat 15).
Ayat-ayat yang
dikemukakan tertera di atas adalah di antara beberapa ayat yang menunjukkan
penggunaan laut sebagai misal perbandingan di dalam Al-Quran yang telah berperanan sebagai pembentuk pemikiran penyair-penyair
Melayu yang kemudiannya menggunakan laut sebagai simbol di dalam puisi mereka.
Selain daripada itu pemikir-pemikir Islam turut
membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang
dalam. Contohnya ialah Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengucapkan,
Waspada dan hati-hatilah kamu
terhadap gelombang samudera dunia, kerana tidak sedikit makhluk yang karam di
dalamnya. Ia merupakan samudera yang sangat dalam, yang mampu
menenggelamkan segala-galanya. Hanya sahaja Allah akan menyelamatkan daripada
hempasan gelombang samudera itu  (2003:44).
Hal ini amat jelas kerana laut dan perjalanan
laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya
di dalam syair-syair dan pantun Melayu. Antara lain, V.I.Braginsky mendapati
bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan
imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini
terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang
Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan
telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal  (1994: 272).

 

Keluasaan dan kegagahan laut

Laut, lautan
atau samudera  meliputi lebih daripada
tujuh puluh peratus muka bumi. Laut juga dilihat berada dalam keadaan yang
tidak berubah di
tempatnya berbanding dengan perubahan dan
pembangunan yang berlaku di daratan. Keadaan laut yang masih sama seperti
dahulu dijadikan perlambangan untuk memperkatakan tentang  keadaan yang teguh dan lebih kekal seperti
yang diungkapkan di dalam pantun di bawah:
Lancang
pilan dari selatan
                           Angin bertiup dari
utara
Hilang pulau lenyap
daratan
                           
Namun laut berombak juga
(Zainal Abidin
Abu Bakar, 1984: 214)
Di samping itu, laut dijadikan simbol keluasan. Pemakaian simbol ini didasarkan oleh Al-Quran 
yang juga menggunakan laut untuk menerangkan tentang keluasan ilmu Allah
atau kalimah Allah. Hal ini jelas pada ayat yang bermaksud, “Katakanlah
(wahai Muhammad) “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis
Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis
Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding
dengannya, sebagai bantuan” (Surah Al-Kahfi, ayat 109).
Laut  yang berombak dan sering bergelombang dilihat
sebagai suatu tenaga yang kuat. Oleh yang demikian,
laut mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia. Sebuah puisi memperkatakan
tentang ini ialah “Ke Pusar” oleh Muhammad Haji Salleh.
Ke mana pun aku pergi
Samudera
bergelombang dalam kesedaranku
Atau membentangkan langitnya
Pada mata ingatan
Ke mana pun aku pergi
Kudayung kembali
Ke laut
pertama
Dihanyutkan oleh debu
Dan bulan yang menunggunya.
(Muhammad Haji Salleh,Sebuah Unggun di Tepi
Danau,1996: 61)
Di dalam puisi ini penyair menyatakan bahawa kehadiran laut amat
mempengaruhinya dan menjadi bahan yang sering difikirkannya. Dengan kata lain,
laut adalah sesuatu yang mencabar mindanya seperti yang diungkapkan Ke mana pun aku pergi/Samudera bergelombang dalam
kesedaranku.
Daripada baris ini pembaca dapat memahami peribadi penyair
sebagai seorang yang suka mengembara dan telah luas perjalanannya. Dia telah
pergi jauh menyeberangi samudera. Perjalanan telah menemukannya dengan pelbagai
perkara baru. Namun begitu penyair tidak melupai asal usul dan tetap kembali ke
tempat asalnya seperti kata penyair, ke
mana pun aku
pergi/kudayung kembali/
ke laut pertama
. Kembali ke laut
pertama
atau tempat asal juga boleh ditafsirkan sebagai tetap berpegang
kepada adat dan budaya warisan atau sentiasa merujuk kembali kepada budaya dan
akal budi bangsanya. Penyair
memperihatkan keterikatannya kepada budaya dan tradisi dan mengekalkan citra
keMelayuan dengan mendayung kembali ke
laut pertama.
Teori Pengkaedahan Melayu menjelaskan bahawa karya sastera
Melayu membawakan tanggapan dan pemikiran yang berasaskan sepenuhnya kepada
budaya, cara hidup, world-view,
kosmologi dan agama orang-orang Melayu.
 Laut simbol kerahsiaan
Sebuah puisi yang menghubungkan laut dengan kerahsiaan ialah “Laut” oleh Noor S.M.
Sebelum
berangkat
Aku
Pun
mengenalnya.mengenal
Laut.
Laut
Adalah:
Rambut bonda
Yang berombak-ombak
Yang menyimpan seribu
rahsia.
           
( Malaysia Dalam Puisi, 1991: 208).
Bagi Noor S.M.
keadaan laut yang berombak-ombak mengingatkan kepada ibunya dengan rambut yang
ikal dan digambarkan sebagai berombak-ombak. Citra laut, ombak dan rambut ibu
membina suasana yang suram. Suasana ini diselubungi misteri dan sesuai untuk
memperkatakan tentang seorang ibu atau wanita yang telah lama menempuh hidup
dan banyak menyimpan rahsia atau memendam rasa. Walau ibu tidak banyak
berkata-kata  si anak mempunyai firasat
atau gerak rasa yang membayangkan bahawa ibunya menyembunyikan banyak perkara.
Seperti laut
kehidupan ini penuh rahsia dan tandatanya. Perlambangan ini terjadi kerana,
walaupun laut terbentang dan dapat dilihat seluas pandangan, namun itu hanyalah
pada permukaannya. Apa yang ada di bawah permukaan laut adalah penuh rahsia
yang tidak dapat diselami oleh manusia. 
Sehubungan dengan itu, kita temui cerita-cerita rakyat yang
menggambarkan dunia di dasar lautan dengan penuh imaginasi. Hampir semua bangsa
di dunia mempunyai versi tersendiri tentang cerita puteri duyung. Kitab Sejarah Melayu
sendiri menceritakan bahawa raja-raja Melayu adalah dari keturunan raja Suran
yang telah mengembara ke dasar laut. Misteri laut yang mengundang tanda tanya
ini juga turut dirakam oleh penyair Tagore:

What language is thee, O Sea
the
language of Eternal question’
(Rabindranath Tagore
(terjemahan Louise Bachelder(ed).1977: 7)
Melalui Pendekatan Dakwah
dapat dibaca bahawa keadaan yang demikian adalah pertunjuk tentang keluasan
ilmu Allah dan kedangkalan ilmu manusia. Hanya Allah yang  mengetahui segalanya seperti maksud ayat,
”Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada
sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa
yang ada di darat dan di laut” (Surah al-An’am, ayat 59).
Penggunaan laut
sebagai simbol kerahsiaan oleh Nor
S.M. adalah selaras dengan metafora yang terdapat di dalam Al-Quran. Al-Quran  juga telah menjadikan laut dan ombak yang
bergolong-golong sebagai  bandingan
tentang tahap kegelapan dan kerahsiaan kejadian alam yang penuh keajaiban dan
tidak tercapai oleh akal manusia. Selain dari itu, Allah SWT juga telah berfirman tentang
kegelapan yang menyelubungi orang-orang kafir. Kekufuran dan kejahilan mereka
dibandingkan dengan ombak “(Orang-orang kafir
itu keadaannya) adalah umpama keadaan gelap gelita di lautan yang dalam yang
diliputi ombak bertindih ombak”(Surah An-Nur, ayat 40).
Laut menjadi semakin bermisteri dengan terdapatnya hidupan di dasarnya dan
mutiara yang dihasilkan oleh tiram. Perkara ini menyentuh perasaan penyair Kemala yang menulis puisi “Maknawi
itu Kekasihku”.
Busa
di hujung gelombang
Ulat
seni di karang Ada camar           
Menyambut
ikan masa   
Dan
getar           
Terpendam
dalam diam
Aku
takmau noktah percuma itu, ini suatu
keakhiran
kosong dan sesia ini pakaian
lahir
bukan pilihanku, pilihan maknawi
bagi
garis-garis geometeri
bertemu
untuk tidak kehilangan lagi
( Permatang Budi,1991: 50)
Kemala mencari makna kehidupan dari lautan dan menemui pengertian bahawa
kehidupan manusia boleh diumpamakan sebagai buih atau busa di hujung gelombang. Buih dan percikan ombak ini adalah simbol
yang telah digunakan di dalam karya sastera bagi menyatakan konsepsi manusia di
alam Tuhan. Dalam ulasannya mengenai konsepsi mistik Serat Centhini, Imam Budi Utomo menulis, “manusia dipandang sebagai
percikan atau ombak dari lautan yang serba Ilahi” (Imam Budi Utomo, 1997:37).
Abdul Hadi W.M. menulis bahawa di dalam karya-karya Hamzah Fansuri manusia
juga ditamsilkan sebagai buih ombak untuk melukiskan kedudukannya yang kecil
berbanding dengan keagungan dan keluasan Ilmu Tuhan (2001:155). Simbol buih ini
memperlihatkan pengaruh dari Al-Quran. Allah
SWT telah  menjadikan buih yang terapung
dibawa banjir sebagai misal perbandingan bagi  
menyatakan  perkara yang benar dan
yang salah. Perbandingan ini terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “adapun
buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang manakala benda-benda
yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah
menerangkan misal-misal perbandingan” ( Surah Ar-Ra’d, ayat 17).
Kemala juga menyentuh tentang kepentingan mentafsir dan mencari makna yang
lebih jauh tentang kehidupan. Sesekali manusia berjaya menangkap makna sebenar
maka ia digambarkan seperti camar
menyambut ikan masa.
Bagi penyair sendiri, pendiriannya adalah jelas.
Dia  tidak akan berhenti setakat
mengetahui yang zahir tetapi akan
terus mentafsir penanda-penanda yang ada bagi 
mencari makna tersirat atau makna batin.Makna tersurat disifatkan
sebagai pakaian lahiriah yang hanya
merupakan suatu keakhiran kosong.  Pendirian ini dijelaskan oleh ungkapan:
 aku takmau noktah percuma itu
 ini suatu keakhiran kosong dan sesia
 ini pakaian lahir bukan pilihanku, pilihan
maknawi.
Laut dan ombak adalah penanda kepada kehidupan yang penuh
misteri dan kerahsiaan.  Manusia yang
mempunyai perasaan ingin tahu sentiasa mahu mendapatkan jawapan. Hal ini
dilihat dalam puisi “Apakah yang Kau
Katakan Padaku, Lautan” oleh Muhammad Haji Salleh.
Apakah yang kau katakana padaku lautan
Dengan bahasamu yang selalu
dipelbagaikan
Dan samar-samar sebutannya
Tapi selalu saja menanyakan tempatku
di pantaimu
Kau membuat aku ragu
Kepada diriku
Kepada kewujudan yang pendek ini
Kepada kekecilan kemanusiaanku
Suara yang aku dengar dari
tahun-tahunmu
Sering pasang dan surut di hayatku
Mengembalikan maknaku
                                           
                                        (Puisi Sepanjang Zaman, 1986: 273)
Puisi ini memperlihatkan bahawa interaksi telah berlaku di antara penyair
dengan alam, iaitu laut. Ketika
berhadapan dengan laut penyair merasa seolah-olah laut sedang berkata sesuatu
kepadanya.  Percakapan
itu adalah dengan bahasa yang pelbagai dan samar-samar
sebutannya
memberi gambaran apa yang diperkata itu perlu didengar dengan
hati-hati dan ditafsirkan maksud sebenar. Laut 
selalu saja menanyakan tempatku di
pantaimu
bererti dengan melihat laut penyair sering merenung dirinya
sendiri dan kadang-kadang penyair merasa ragu-ragu dengan segala yang sedang
dihadapi. Dengan melihat laut yang luas dan gagah  penyair menyedari tentang usia yang singkat
dan kewujudan yang pendek ini dan
dirinya yang amat kerdil di hadapan laut yang amat luas.
Oleh
kerana laut menimbulkan pelbagai tandatanya maka terjadilah percubaan untuk
mencari jawapan. Ini melibatkan  usaha
mencari ilmu dan mencari guru. Oleh kerana manusia banyak mendapat pengajaran
dari laut maka laut dijadikan simbol guru yang mengajar dan menginsafkan
manusia. Pemikiran ini ditemui di dalam puisi Muhammad Haji Salleh Maafkan Aku Laut”,
Maafkan aku
Laut, pantai dan pohon-pohon
Aku lama tak ke sini
Menemuimu
Sahabat yang sering menenangkan
Menasihati aku tentang
Kebodohan manusia
………………………..
Maafkan aku
Laut, pantai dan pohon-pohon
Kerana tidak menghormati guru
Yang mengajar aku tentang rentak-rentak
Hidup, keluasan alam
Sekarang aku di sini
Ajarlah aku lagi
Isi pengetahuan
Pada ombak, pasir atau
daun-daunmu.
                                               
 (Lagu
Kehidupan
, 1983: 158)
Di dalam puisi ini ditemui penyair yang mendapat pengetahuan dan pengajaran
dari alam. Muhammad Haji Salleh menyatakan bahawa dengan mendampingi dan
merenung laut, seseorang akan mendapat pertunjuk tentang kebesaran Allah SWT.
Penyair bukan sahaja memperolehi ketenangan bila berdekatan dengan laut, malah
mendapat kesedaran tentang betapa terhadnya pengetahuan manusia. Manusia
digambarkan sebagai ‘bodoh’ dengan pengertian cuma memiliki sedikit ilmu
seperti yang diungkap oleh penyair, sahabat
yang sering menenangkan/ menasihati aku tentang/ kebodohan manusia).
Gambaran
ini adalah bertepatan dengan maksud ayat, “kamu tidak diberikan ilmu
pengetahuan melainkan sedikit sahaja” (Surah Al-Israa’, ayat 85).
Oleh kerana laut banyak mengajar dan menyedarkan manusia maka penyair menganggapnya
sebagai ‘guru’ yang harus dihormati. Manusia perlu belajar dari laut dan dari
seluruh alam. Penyair menginsafi isi pengetahuan yang ada pada ombak,
pasir dan daun-daun. Hal ini juga menepati ungkapan di dalam pepatah Melayu
”alam terbentang jadikan guru” .
Selain
Muhammad Haji Salleh, Marsli N.O juga mengambil sikap yang sama untuk belajar
dari laut dan ombak. Hal ini terdapat di dalam puisinya ”Belajar Dari Ombak”
Kau terpaksa
belajar                                                    
Dengan pertimbangan jernih
Bagaimana untuk tidak mudah kalah
Memisah dan mengecilkan
Kepejalan di hadapanmu
Daripada ombak yang memanjat batu
Saban waktu
Meski Cuma dengan tangan buih
Telah menyaring lumut
            Dan merubah asalnya.                ( Marsli N.O Hanya Kata: 1995:
84)
                                    
Puisi ini adalah perihal ombak laut yang dilihat oleh penyair sebagai satu
pergerakan yang tekun. Penyair menggambarkan keadaan alam, iaitu ombak yang
begitu tekun dan tetap cuba menyentuh batu yang tinggi. Perilaku ombak ini
digambarkan sebagai percubaan yang berterusan walaupun hanya dapat mencapai
batu-batu itu dengan buih-buihnya sahaja. Dengan usaha yang berterusan ombak
telah memberi kesan kepada persekitarannya. Ombak laut telah menyaring lumut
dan membawa perubahan pada keadaan batu tersebut. Kesannya walau sedikit demi
sedikit adalah pencapaian yang bermakna. 
Ketekunan ini memberi pengajaran kepada manusia agar tidak mudah
mengalah. Sifat ombak yang tekun dan perubahan pada batu-batu yang telah
dibersihkan daripada lumut itu merupakan kejadian alam yang memberi
pengiktibaran kepada manusia
Mesej puisi  ini adalah selaras
dengan peranan sastera sebagai kejadian alam 
dan sebagai  pemberi pengajaran
atau iktibar kepada manusia. Sastera menjalankan peranan dakwahnya dengan
memberi semangat dan dorongan ke arah kehidupan yang lebih beriltizam. Puisi
ini membawa mesej  bahawa setiap sesuatu
yang dijadikan Allah adalah bermanfaat kepada manusia dan alam seluruhnya.
Ketekunan ombak adalah simbol sifat tabah dan sabar yang dianjurkan oleh Al-Quran melalui ayat yang bermaksud,
”Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan
pahala lebih baik dari apa yang mereka telah lakukan” (Surah An-Nahl, ayat 96).
Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapa pun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman.
Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapa pun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai.
                            (Lagu Kehidupan,
1983: 215)
Di dalam puisi ini,
Di Perpustakaan Shafie Abu Bakar
menggambarkan ilmu sebagai laut yang amat
luas. Puisi ini memperlihatkan pandangan penyair yang selaras dengan pandangan
Islam tentang kemuliaan ilmu dan kewajiban menuntut ilmu. Ilmu juga digambarkan
sebagai laut yang  dalam tak terselam. Imej ini digunakan bagi memberi gambaran bahawa
seorang manusia tidak akan mampu menelaah segala ilmu yang terkumpul di situ.
Laut ilmu bukan sahaja dalam dan luas, 
malah tidak mempunyai pantai, bererti tiada batasan atau sempadan pada
keluasannya. Seorang yang menuntut ilmu adalah umpama seorang pelayar yang
dahaga atau tidak puas dengan apa yang dapat dipelajarinya. Dalam pengertian
yang lebih luas, seorang insan tidak akan dapat memahami segala kejadian alam
yang hanya berada di dalam pengetahuan Allah.
                    
Laut lambang kedewasaan
Manusia yang diberi akal telah membina kapal yang membolehkan mereka
berjalan di muka bumi. Laut menjadi 
“jalan” atau laluan yang amat berguna untuk manusia melakukan
perjalanan, berniaga dan mencari rezeki. Penyair menggunakan laut dan
perjalanan laut bagi memperkatakan tentang kehidupan yang menempuh pelbagai
cabaran.
Melakukan perjalanan khasnya perjalanan laut menandakan seseorang telah
dewasa. Orang yang dewasa, mesti keluar dari rumah atau kampung halaman untuk
mencari penghidupan. Kedewasaan akan membawa bersamanya tanggungjawab dan
pelbagai cabaran. Seorang yang telah dewasa perlu melakukan perjalanan melalui
laut yang melambangkan perjalanan meninggalkan dunia kanak-kanak dan menuju ke
dunia dewasa.  Apabila seseorang telah
dewasa dia dikatakan mesti menempuh laut. Dari sini nasibnya  akan ditentukan oleh ombak dan gelombang Gambaran
ini terlihat di dalam pantun di bawah:
                       
Rumah kecil tiang
seribu
                            Rumah besar tiang sebatang
                        Kecil
– kecil ditimang ibu
                             Sudah besar ditimang gelombang
                              (Zainal
Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di
antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang
adalah dokongan (support). Begitulah
kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum
keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan
persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya. Setelah besar si
anak  akan hidup berdikari dan
bersendiri. Dia akan pergi jauh menyeberang lautan dan terdedah kepada
gelombang yang datang.  Perjalanan laut
adalah simbol yang sangat lumrah di dalam puisi tradisional. Hal ini terjadi
kerana masyarakat Melayu telah terlebih dahulu menggunakan laut sebagai jalan
perhubungan sebelum adanya jalan darat.
           
Berdasarkan puisi-puisi yang dianalisis dan pantun yang dipetik di atas,
laut adalah lambang kedewasaan. Seorang yang telah dewasa mesti melakukan
perjalanan menempuh laut. Dari sini dia akan terdedah kepada ombak dan
gelombang seperti maksud pantun sudah
besar ditimang gelombang.
Oleh yang demikian, pantai menjadi simbol tempat
bermain bagi seseorang yang belum dewasa atau kanak-kanak yang belum mempunyai
tanggungjawab. Terdapat beberapa buah puisi yang menggambarkan kehidupan
sebagai bermula di pantai atau bermain di pantai yang bermaksud  belum dewasa atau belum memikul
tanggungjawab. Dari pantai dia akan semakin dekat dengan gigi air yang
ditafsirkan sebagai berada di ambang kedewasaan. Seterusnya seseorang yang
telah dewasa mesti turun ke air kerana waktu tidak mengizinkan dia berada di
pantai lagi. Pantai adalah lambang zaman kanak-kanak yang tidak kekal atau
suatu tempoh waktu yang sementara.  Waktu
dewasa bukan waktu untuk bermain di pantai tetapi untuk turun ke laut menyahut
cabaran yang datang bersama kedewasaan. Hal ini diperkatakan dalam puisi “Pelayan
oleh Siti Zaleha Hashim
          
                        “Pelayaran”
Ada tapak-tapak kecil
di pasir pantai
                        Anak-anak
manis mengejar ombak
Burung-burung camar
Ikan-ikan kecil
Teman-teman yang tiada pandai meminta
Ingatkah kau lagi waktu itu
Masa tiada pernah menunggu
Yang kecil pun tumbuh dewasa
Laut pun menjadi saksi
Sebuah keberangkatan bermula
Pelayaran ini bukannya mudah
Hari-hari hitam yang dilalui
Detik-detik putih yang ditempuhi
Datang dan pergi
Namun api yang menyalakan semangat
Tiada pernah padam
Biar siang ataupun malam
Pelayaran ini kau teruskan
Dan alam pun melihat kerlipan bintang-bintang.
                                                     
(Camar di Cangkir Bumi,
1999:73)
Puisi di atas memperlihatkan bahawa bermain di pantai adalah untuk
seseorang yang masih belum dewasa dan belum mengenal tanggungjawab. Tetapi masa
berlalu dan seseorang yang kecil pun tumbuh dewasa dan akan berangkat. Dia
memulakan perjalanan melalui laut seperti yang digambarkan dengan baris: laut pun menjadi saksi, sebuah keberangkatan
bermula .
Bermula pada saat itu setiap orang yang meningkat dewasa akan menempuh satu
pelayaran yang disedarinya sebagai  bukannya mudah. Dia akan menghadapi hari
yang cerah dan hari yang murung yang digambarkan oleh penyair sebagai Hari-hari hitam yang dilalui Detik-detik
putih yang ditempuhi.
Dalam keadaan ini hanya semangat yang kuat dapat
menyelamatkannya  dalam meneruskan
pelayaran.
Laut simbol perjalanan hidup di dunia
Puisi-puisi yang akan dianalisis seterusnya, telah menggunakan laut sebagai
simbol perjalanan hidup manusia. Perjalanan melalui laut memerlukan kenderaan
seperti perahu, bahtera, kapal, sampan atau rakit. Terdapat puisi-puisi yang
menggunakan kenderaan-kenderaan ini sebagai peralatan atau prasarana yang
diperlukan di dalam menjalani kehidupan. Di dalam puisi-puisi yang membicarakan
perjalanan laut sering terdapat kata pelabuhan
yang membawa erti detinasi di dalam hidup seseorang. Selain kata pelabuhan,
kata-kata lain yang digunakan untuk maksud yang sama ialah pangkalan, jeti dan dermaga.
Ali Ahmad  turut menggunakan
perlambangan  ini di dalam puisi
“Kembara, Jalan Mengembara”.
                       Kembara, Jalan Mengembara
                        Untuk
kembara baru tiba
                        Sebuah
perahu
                        Di
tambatan
                        Berjalanlah
kembara
                        Di
tepi pantai ia bermula dengan
kelembutan pasirnya
Akan berdayung ke tengah pada gelombang
menelan indah
                        Pesanku
hanya Satu
                        Pulang
nanti bawakan lagu
                        Kesan
lukisan dari awan dan gelombang
                        Betapa
ia bisa hidup di rahang burung laut
                        Yang
garang.
                                               ( Puisi Sepanjang Zaman, 1989 : 158)
Puisi ini juga menggunakan perlambangan laut untuk menyatakan perjalanan
hidup manusia.  Simbol pantai digunakan
untuk  menandakan permulaan atau
kehidupan sebelum menempuh usia dewasa. Pengembara yang baru tiba itu
digambarkan sebagai sedang berada di pantai dengan
kelembutan pasirnya
. Gambaran alam fizikal ini membawa maksud  sedang menikmati keselesaan zaman kanak-kanak.  Situasi ini tidak akan kekal kerana bagi
setiap orang telah tersedia sebuah perahu. Setiap orang akan berdayung ke
tengah dan merentas gelombang, dengan ini puisi ini memperlihatkan satu
kehidupan manusia yang dipengaruhi oleh alam dan waktu. Manusia menjadikan alam
di sekelilingnya sebagai panduan dan pengibaratan hidup dan setiap gerak atau
langkah berlandaskan waktu dan suasana alam. Ciri-ciri ini, iaitu pemakaian
simbol-simbol alam untuk membawa makna tersirat adalah menepati ciri-ciri
Pendekatan Firasat yang diperkatakan oleh Hashim Awang (1991). Objek alam,
iaitu perahu, tambatan, pantai, gelombang, awan dan burung laut yang garang
perlu ditafsirkan untuk memahami maksud puisi.
Seorang yang masih berada di pantai menandakan belum mengenal
tanggungjawab. Hal ini adalah satu persamaan dengan puisi “Pelayaran” oleh Siti
Zaleha M.Hashim yang dibicarakan di atas. Setelah turun ke air akan bermulalah
perjalanan yang terdedah kepada cabaran gelombang. Gelombang adalah simbol
cabaran di dalam hidup sebagai seorang yang dewasa.
Penerapan
Pendekatan Dakwah memperlihatkan pesan-pesan dan  peringatan agar manusia berhati-hati. Untuk
selamat di dalam perjalanan manusia mesti belajar dan memahami tindak tanduk
alam. Pesan yang terpenting ialah bahawa semua orang akan kembali suatu hari
nanti. “Pulang” adalah kata yang membawa makna kembali ke tempat asal,  sebagai tanda bahawa setiap orang akan pulang
ke akhirat membawa pahala dan dosa . Perkara ini disimbolkan sebagai “kesan
lukisan” atau hasil kerja yang diperolehi setelah selesainya perjalanan itu.
Hal ini dinyatakan di dalam ungkapan, Pesanku
hanya Satu/Pulang nanti bawakan lagu/Kesan lukisan dari awan dan
gelombang/Betapa ia bisa hidup di rahang burung laut /Yang garang.
Selaras dengan
itu ialah peringatan agar manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri atau bermuraqabah, membuat perhitungan banyak
sedikit amalan yang diusahakan, iaitu bermuhasabah
di samping giat beramal soleh iaitu bermujahadah.
Ali
Ahmad menyatakan tentang kedewasaan dan tanggungjawab sebagai bersedia
mendayung perahu yang telah menanti di pangkalan. Bagi setiap orang telah
tersedia sebuah perahu bererti bagi setiap orang telah tersedia tanggungjawab
yang tidak dapat dielakkan. Kesedaran tentang tibanya saat dewasa dilambangkan
oleh perbuatan menyiapkan kenderaan untuk belayar. Sebuah puisi yang menggunakan
simbol tersebut ialah “Aku Hanya Mahu Ke Seberang” oleh Hashim Yaacob,
Demikian
beberapa  buah sajak yang  memggunkan perlbambangan dari laut..  .

2 Comments

  1. pandangan pelbagai perspektif dalam satu perkataan-laut. Ini baru satu perkataan dalam lautan sastera. Harap Dr. boleh buat penulisan simbolisme sebegini lagi untuk perkataan2 lain yang selalu digunakan dalam arena puisi…

Leave a Reply to Ali AizatCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.