KORBAN HANG TUAH dan DILEMA SEORANG MELAYU

hang tuah

Heboh pula sekarang orang berdiskusi samada Hang Tuah pernah wujud. Bagiku Hang Tuah sangat bermakna dalam kehidupan orang Melayu dahulu maupun dalam situasi sekarang. Pada tahun 80han, saya telah menulis dua buah sajak yang judulnya tertera di atas. Kedua sajak telah dimuatkan di dalam antologi sajak PUJANGGA TIDAK BERNAMA terbitan dbp 1994. Kedua sajak berkisar pada perlawanan atau pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang amat masyhur dalam memori orang-orang Melayu. Keduanya bertemakan dilema yang dihadapi oleh Hang Tuah dan Hang Jebat . Beberapa orang penyair termasuk Usman Awang telah menulis sajak dan drama berdasarkan episod ini. Ramai juga yang mempersoalkan siapa sebenarnya wira di antara mereka berdua.

Saya pula berfikir tentang sisi yang lain iaitu dilema yang dihadapi oleh Hang Tuah. Dalam Dilema Seorang Melayu, terlihat betapa Hang Tuah amat terkejut mendengar berita tentang penderhakaan Hang Jebat. Dia tahu bahawa Hang Jebat menderhaka kerana memprotes tindakan raja membunuhnya tanpa usul periksa. Tetapi apabila bendahara datang membawa titah sultan untuk membunuh Hang Jebat maka berlakulah konflik yang amat hebat dalam diri Hang Tuah hingga “dadanya bagai akan pecah/dihempas gelombang serba salah” Sukar baginya membuat keputusan untuk setia kepada raja yang zalim dan menzalimi kawan yang setia. Yang dipertimbangkan oleh Hang Tuah ialah kedudukan raja sebagai simbol Ke’raja’an. Tanpa raja Melayu akan wujud lagikah kerajaan Melayu. Walaupun dia tahu raja juga banyak kerenahnya. Bukan mudah untuk membuat pertimbangan melayan kerenah seorang raja dan memelihara sebuah kerajaan. Bagaimana dia harus membantah seorang tuan kerana tuan itulah yang pada fikirannya berfungsi untuk
mempertahankan ketuanan.

Dilema Seorang Melayu

Maka bangkitlah seorang Hang Jebat
suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”

Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan
gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.

Alangkah sukarnya membuat keputusan
untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.

Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.

Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.

Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah

Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku
bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.

Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.

Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.

Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.

Biarkanlah
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.

Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana
tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.

Dalam Sajak Korban Hang Tuah (m.s.45) dilema ini disorot dengan lebih mendalam. Bila Bendahara membawa titah Sultan untuk membunuh Hang Jebat, Hang Tuah dilanda serba salah. Bolehkah dia melawan titah Sultan dan tergamakkah dia menikam sahabat yang disayanginya.

kedua pahlawan dan kedua sahabat ini akhirnya berlawan. Orang-orang Melaka (dan orang-orang Melayu seluruhnya) hanya menyaksikan perlawanan ini tanpa sebarang usaha untuk meredakan sengketa. Akhirnya Hang Tuah terpaksa mengorbankan Hang Jebat. Hang Tuah juga membuat pengorbanan dengan membunuh Hang Jebat . Bagi Hang Tuah sebuah kerajaan lebih penting dari segala-galanya. Yang ditentang bukanlah Jebat tetapi penderhakaan dan perebutan kuasa. Tuah sebenarnya boleh agak yang orang akan menuduhnya sebagai pengampu tetapi ini mesti dilakukan demi masa depan negara.

Cetusan Idea
Saya mendapat idea untuk menulis sajak ini suatu petang ketika menyapu sampah di dapur. Entah bagaimana fikiran melayang-layang mengenangkan masadepan Melayu di dalam negara yang maju dan majmuk ini. Mungkin sampah2 itu mengingatkan saya kepada pelbagai semak samun dan masalah yang sedang dihadapi oleh orang2 Melayu. Tiba-tiba teringat kalau Hang Tuah tidak membunuh Jebat atau kalau Hang Tuah tidak bertindak tegas menghalang perbuatan Jebat mungkin raja sudah mati. Kematian raja akan membuka segala kemungkinan perebutan kuasa. Akhirnya takhta akan terbuka untuk direbut oleh siapa sahaja. Masihkah ada raja Melayu hingga ke hari ini? Takhta bermaksud kuasa dan kuasa boleh direbut oleh segala bangsa.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.