Fenomena Mawi

Fenomena Mawi

Aku baru pulang dari Johor menghadiri Festival Sastera dan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 2005. Tahun ini Alida Yunus, wakil Johor muncul johan . Naib juara jatuh kepada wakil Angkatan Tentera dan Kelantan dapat tempat ke tiga.

Aku bukan nak kata Alida tak layak. Dia pun bagus. Pada hakikatnya semua peserta adalah baik kerana mereka telah menang di peringkat negeri masing-masing. Tetapi yang tak berapa sedap hati bila ada orang komen mengapa selalu sangat peserta tuan rumah yang menang. Masa buat di Pahang, wakil Pahang dapat tempat pertama. Masa buat kat Perlis, peserta Perlis pula dinobatkan sebagai johan. Waktu Polis jadi tuan rumah, Polis yang menang pertandingan itu. Dan kali ini Johor pula. Ini mungkin kebetulan. Tapi kurang menyeronokkan kalau trend ini berterusan.
Apa pun, peluang bersama Gapena dan kawan-kawan sasterawan memang sentiasa memerangsangkan pemikiran. Kami ditempatkan di Eden Hotel . Indah sungguh pemandangan dari hotel yang menghadap ke laut itu. Di aras bawah adalah pasaraya bebas cukai. Apalagi, ramailah yang bershopping.
Antara topik yang hebat diperbualkan ialah Fenomena Mawi. Dahsyat, sungguh dahsyat penangan si Mawi. Ada mak cik-mak cik yang tak tahu sms pun panggil anak-anak suruh tolong tunjuk macam mana nak undi Mawi.
Kami pun berbual tentang kemunculan WIRA BARU dalam masyarakat dan budaya Melayu. Ya bagiku, pemujaan berlebihan terhadap seseorang wira di dalam bidang hiburan adalah manifestasi kegagalan wira atau pemimpin dari bidang lain. Wira politik telah gagal. Maka rakyat mencari wira baru untuk melarikan diri dan menghiburkan hati dari segala yang menyakitkan perasaan.
Hal ini telah saya suarakan dlm artikel yang terbit di majalah AKSI. Sedikit sedutan di sini:
AF-ANTARA REALITI TV DAN
REALITI HIDUP -ZURINAH HASSAN
Sebagai ibu, saya memang pernah curiga terhadap rancangan-rancangan seperti Akademi Fantasia dan rancangan-rancangan hiburan yang lain. Bagaikan ternampak agenda tertentu untuk merosakkan anak-anak muda kita. Dari kecurigaan itu saya menulis cerpen Menara Impin yang disiarkan oleh Dewan Sastera Disember 2004. Cerpen itu mengisahkan sepuluh anak muda yang berlumba mendaki ke puncak menara tetapi menara itu jatuh menimpa mereka.
Tetapi anak-anak saya terus setia di hadapan TV. Kebetulan masa cuti di universiti. Lalu saya duduk sama bila selesai kerja-kerja . Niat utama ialah untuk mendekati anak-anak sambil itu menasihati mereka agar jangan terbawa-bawa ke alam khayalan hingga melupakan tugas yang lebih besar. Kata anak-anak lebih mereka menonton Akademi Fantasia daripada menonton rancangan Berita yang selalu membawa berita-berita perang dan kekejaman sehingga mereka sedih dan boleh jadi putus asa untuk meneruskan kehidupan.
Bila di depan TV saya dapati ada juga pelajaran yang boleh dikutip. Sekurang-kurangnya dapat mengikuti kelas vocal dengan percuma. Saya ambil kesempatan belajar bagaimana melontarkan suara yang boleh membantu dalam hal mendeklamasi sajak atau bersyair .Selain saya Penyair Kemala (Datuk A.Kamal Abdullah) juga mengikuti Diari AF yang katanya boleh memberi manfaat di pentas puisi.
Saya merasa lega dan berbangga melihat Marlia Musa, M.Nasir dan Siti Hajar Adnan Abu Hassan bersungguh-sungguh membetulkan sebutan lirik lagu. Terus terang dikatakan bahawa golongan sasterawan/budayawan pernah membangkitkan soal ini di dalam seminar-seminar. Mereka bimbang melihat bagaimana penyanyi-penyanyi muda sekarang tidak menyebut perkataan dengan betul malah mengkucar-kacirkan sebutan bahasa Melayu. Bunyinya Inggeris tak Inggeris, Melayu tak Melayu.
Saya akui Diari AF telah menyingkap realiti kehidupan yang tak mungkin dipertontonkan oleh sebuah drama atau filem. Kita melihat secara real,misalnya, bagaimana seorang gadis kecil dari Pulau Langkawi dengan hari-hari yang pahit. Ia membongkar kehidupan sepasang pemuzik dan penyanyi yang mencari rezeki di hotel-hotel yang menghadapi keperitan bila negara dilanda kegawatan. Sambil menyanyi matanya mencuri melihat nota-nota pelajaran kerana esok akan menghadap peperiksaan SPM. Kita melihat kekuatan semangat seorang kakak yang berusaha demi adik-adik. Kita menonton gelagat seorang pemuda dusun .Ini bukan novel atau drama. Ini cerita sebenar. Di situlah kita melihat anak peneroka yang membawa hasrat untuk membantu ibu bapa. Dan seorang pemuda yang hanya menolong keluarga mengerjakan dusun buah-buahan keluar ke kota membawa bakatnya yang lama terpendam.
Paling menarik ialah menyaksikan bagaimana mereka mengamalkan semangat setiakawan. Mereka bersaingan sesama sendiri tetapi pada masa yang sama membantu memperelok persembahan orang yang disaingi. Kata Adlin Aman Ramli inilah perkara yang paling dikaguminya tentang pelajar-pelajar Akademi Fantasia. Misalny, kita melihat Marsha mengajar Mawi menyanyi tanpa lokek memberikan segala tips yang dia sendiri untuk melontar suara ke hadapan. Si Amylea yang manis itu bersusah payah dan tekun mengajar Mawi menari kerana seperti yang diakui sendiri oleh Mawi “saya ini seorang yang kayu”Benarlah kata Fatimah Abu Bakar, “Di sini kami mahu menyuburkan semangat kasih sayang kerana di luar sana sudah banyak rasa benci membenci.”
Akademi itu menjadi tempat terbaik untuk menyuburkan perpaduan dan integrasi nasional. Lihatlah si Mawi yang ‘lebai’ itu boleh selesa tidur sekatil dengan Felix yang berlainan agama. Bagaimana dengan peminat dan pengundi? Mereka bertelagah di @15 tetapi rasanya cuma berseronok sahaja. Tidak semestinya ini kes orang Semenanjung sokong Semenanjung atau mengundi dengan sentiment kedaerahan kerana pada malam kemenangan Mawi kabarnya diraikan juga di Kuching –mengikut kata seorang chatter @15. Bahkan ia boleh membina silaturrahim peminat sesama peminat yang membuat perjumpaan di sana sini. Misalnya anak bongsu saya yang menyokong Felix telah membina jambatan hubungan dengan beberapa peminat di Sabah.
Sesuatu yang tidak pernah berlaku telah berlaku pada tahun ini ialah kegilaan terhadap Mawi yang sudah pun muncul juara. Begitu hebatnya penangan Mawi yang telah mencetuskan fenomena. Sebagaimana biasa, fenomena akan mempunyai pengaruh terhadap bahasa. Maka fenomena Mawi telah mengeluarkan perkataan-perkataan baru seperti gelombang Tsumawi, Jaworld, demam Mawi, malah mabuk Mawi . Kalau dulu orang kata tunggu kucing bertanduk, sekarang menjadi tunggu rambut Mawi panjang..
Setiap hari sejak AF3 bermula ada saja tulisan di akhbar yang menyentuh soal Mawi. Mawi menjadi bahan usikan di ruangan kartun . Mawi disebut bukan sahaja dalam ruangan hiburan malah di ruangan kesihatan dan sebagainya. Hal ini belum pernah terjadi dalam AF1 dan AF2, kerana Mawi bukanlah sekadar satu ‘happening’ di dalam dunia hiburan. Dia turut diperkatakan oleh para pemikir, professor, doktor dan cendekiawan.
Apakah yang menarik tentang Mawi. Sebenarnya Mawi bukan sekadar pelajar akademi Fantasia yang bersuara lunak, berwajah keMelayuan dan kacak, boleh berzanji, membaca al-Quran, bersilat dan sebagainya. Lebih dari itu, fenomena ini adalah manifestasi satu bangsa yang sedang kedahagaan. Sudah sekian lama bangsa Melayu dilanda duka nestapa dan kebimbangan akibat pelbagai gejala yang menimpa anak muda. Anak-anak muda semakin mengabaikan nilai budaya. Setiap hari hati kita terluka membaca kisah-kisah perbuatan-perbuatan sumbang , penagihan, perlumbaan haram dan menjadi sampah sarap di jalanan. Malah anak-anak sekolah menjadi gangster dan pembunuh. Tidak kurang menyakitkan ialah gejala politik wang dan rasuah yang berleluasa.Empire Melayu seperti Melaka telah menghilang. Budayawan dan Cendekiawan Melayu berduka nestapa melihat bangsa yang semakin hilang ciri ke Melayuannya.Lalu apabila muncul seorang Mawi, di situlah tempat menghiburkan hati. Dia ibarat sedikit penawar untuk sakit yang lama. Hal yang sama terjadi pada Siti Nurhaliza. Saya pernah mendengar seorang pemikir Indonesia berkata pada sebuah seminar antarabangsa. Katanya pada masa ini bangsa Indonesia khasnya generasi muda sedang resah gelisah . Perasaan menjadi kucar kacir akibat hilang identity dan hilang pedoman budaya. Maka Siti Nurhaliza adalah satu-satunya harapan untuk mengembalikan generasi muda Indonesia dan serantau kepada akar budaya Melayu yang sebenar. Siti dianggap sebagai satu faktor penyatuan di Indonesia. Kini faktor itu dikuatkan lagi oleh Mawi. Kita jangka Mawi akan diterima di Indonesia sebagaimana mereka menerima Siti. Malah Mawi ada kelebihan dari Siti Nurhaliza kerana dia sendiri berketurunan Jawa dan bercakap Jawa. Menurut sebuah akhbar, sudah ada barangan Mawi dijual di Medan dan dari Channel 15 terbaca bahawa kemenangan Mawi turut diraikan di Jakarta. ALHAMDULILLAH.
INI SAJAK ANAK SAYA, RAIHANI
Hikayat Si Gondol
(sajak untuk Mawi)‘’Adapun di sebuah negara
para muda lelanya
lebih kenal Si Gondol
dari orang besar-besar
dan para biaperi.’’

Maafkan kami kerana memilih Si Gondol
kerana suaranya manis madu dara
bergetar bagai bayu teluk
wangi bagai sekebun seroja
meneduhkan serambi rumah kami
mengharumkan selut lumpur bendang kami
sedang mereka punya intan segudang
diam di mahligai kencana
minum dari piala
makan anggur syurga

Kata Si Gondol
‘’hamba ini kayu, tiada arif bertandak’’
Hamba ini kayu
Kaki hamba keras

Tapi kata kami
‘’itu lebih bermakna
dari seribu lihai pencak
yang mencarik dan mengoyak
lebih besar erti
dari yang menari menabur duri
ke kasur mimpi’’.

Maafkan kami kerana memilih Si Gondol
daripada segala mereka yang menggondol.
RAIHANI MOHD. SAAID,(Pusat Kebudayaan, UM.)

2 Comments

  1. Hey, you have a cool website here! I’ll tell my friends about it.

    AWSOME Flower Gardening
    website. If you, or someone you know, has an interest in Flower Gardening,
    please come and check it out. Enjoy!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.