CIRI-CIRI LAGU RAKYAT

CIRI-CIRI LAGU RAKYAT
Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan pelbagai irama dan lagu yang diwarisi secara turun temurun. Walaupun mengalami sedikit pembaharuan dari segi aturan lirik, gaya nyanyian atau alat muzik serta cara penyampaiannya yang dipelbagaikan, ia masih memperlihatkan ciri-ciri yang tersendiri.  
                 Bersama dua orang penyanyi lagu rakyat Malaysia Dato’ Aripin Said (berbaju biru) dan Roslan Madon.
 Lagu dapat didefinisikan sebagai gubahan suara dalam urutan, kombinasi, dan hubungan temporal untuk menghasilkan gubahan muzik yang mempunyai kesatuan dan kesinambungan. Lagu amat penting di dalam kehidupan masyarakat.Menurut Zainal Kling (1999), muzik dan  lagu menjadi bahagian daripada budaya dan
sistem sosial masyarakat. Sama ada penghasilan mahupun persembahannya, muzik
tetap merupakan sebahagian daripada perlakuan anggota masyarakat. Beliau
menegaskan bahawa, pelbagai bentuk muzik harus diteliti pada dua aspek utama
iaitu sebagai perlakuan manusia dalam budayanya serta sebagai bentuk budaya
atau seni  tersendiri.
Menurut Rahmah Bujang (1999), lagu
rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau 
nyanyian yang berasal dari sesuatu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira
kawasan itu terletak di negara Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei hatta di
mana-mana pelusuk pulau terpencil di Nusantara sekalipun, dan merupakan
lagu-lagu yang amat popular di kawasan tersebut. Biasanya lagu rakyat
menceritakan perihal masyarakat, alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan ataupun senario
semasa di kawasan tersebut. Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan semasa
bermain, mendodoikan anak, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga
semasa majlis-majlis keraian, didendangkan secara berkumpulan atau
berseorangan. Kanak-kanak juga bermain sambil menyanyi sama ada untuk
menghiburkan hati sambil berayun di buaian berseorangan atau dengan
kawan-kawan. Ada juga lagu yang menjadi sebahagian dari permainan kanak-kanak.
Dengan ini, menyanyi menjadi pencetus silaturrahim.
Lagu rakyat merupakan
satu daripada genre sastera Melayu yang digolongkan ke dalam kategori sastera
Melayu klasik. Dikir barat adalah cabang dari lagu rakyat. Lagu rakyat
merupakan warisan yang berharga. Ia telah menjadi kebanggaan masyarakat sejak
terun-temurun kerana mengandungi pelbagai falsafah dan pemikiran Melayu yang
unggul yang menjadi teras pembentukan identiti Melayu.
Menurut
Aripin Said (1999), lagu rakyat juga dikenali sebagai nyanyian rakyat. Nyanyian
rakyat merupakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh masyarakat tradisional masa
lalu yang rata-ratanya bukan sekadar untuk 
menghibur, tetapi untuk lebih daripada itu adalah untuk mendidik
masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa, pada masa lalu, penyanyi lagu-lagu
rakyat atau penyampai lagu-lagu ini juga terdiri daripada penglipur lara yang
turut terkenal sebagai penyampai cerita-cerita rakyat.
Lagu
rakyat dihasilkan atau dicipta secara spontan oleh golongan masyarakat yang
tinggal di desa-desa, perkampungan atau kawasan pedalaman. Ia dikembangkan
daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain dalam bentuk lisan. Lagu
rakyat dapat diertikan sebagai gabungan gubahan muzik berdasarkan seni katanya
dan diiringi dengan persembahan gerak tari tertentu.  Terdapat pelbagai bentuk lagu rakyat seperti
pantun,  seloka,  syair, gurindam, bahasa berirama serta
bentuk-bentuk bebas yang lain. Lirik yang digunakan biasanya dalam bahasa
dialek mengikut loghat tempat masing-masing. Irama lagu rakyat amat unik kerana
mempunyai kaitan dengan budaya dan alam sekeliling.
Bagi Abdul Jamal Abdul
Hamid (1999), nyanyian rakyat ialah salah satu tradisi lisan yang lahir,
diperhalusi, dan diperkembangkan secara lisan. Ia dikenali, dihayati, dan
dianggap sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat yang melahirkannya, dan
bagi kebanyakkan pengkaji budaya, ia mencerminkan cita-cita, pandangan hidup,
dan pendirian sesebuah masyarakat.
Lagu
rakyat dicipta, ditujukan kepada masyarakat daripada kalangan rakyat jelata,
petani, nelayan dan pekerja umum. Menurut beliau, ciptaan, irama, seni kata,
dan gubahan tidak disusun secara sedar tetapi lebih berupa spontan, sesuai
dengan matlamat dan fungsinya.

Zubir
Ali dalam seminarnya yang dianjurkan oleh bahagian Kesusasteraan Tradisional
menyatakan ciri-ciri lagu rakyat semasa adalah seperti berikut :
1.      
1.                1-    Lagu
diterima secara evolusi oleh sesuatu kelompok masyarakat atau rakyat 
kerana                  terdapat kesinambungan budaya daripada lagu rakyat tradisional.
2.                   2     Lagu menyuarakan rasa bersama dan pandangan dunia sosial masyarkat
   3.      Liriknya menyuarakan rasa bersama dan pandangan
dunia sesuatu kumpulan.
   4.      Irama dan melodinya berunsur santai dan mudah untuk
dinyanyikan.
   5.      Sesuai untuk dinyanyikan dalam banyak suasana
rakyat, membina perpaduan,            membina ciri- ciri murni dan perkembangan jiwa
rakyat.

            
Menurut
Rogayah A. Hamid (2006), lagu rakyat amat penting di dalam sesuatu masyarakat
dan budayanya. Disebabkan ia dinyanyikan dalam ‘loghat’ kumpulan masing-masing,
ia menjadi penanda untuk mengetahui akan dari mana kumpulan atau kelompok
tersebut berasal. Lagu rakyat dicipta kerana pelbagai fungsi dan sebab. Ia
merupakan cerminan kehidupan masyarakatnya atau dengan perkataan lain, sebagai
alat untuk mengucapkan perasaan seni masyarakatnya, berdasarkan peristiwa yang
berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Di dalamnya terungkap pemikiran,
falsafah, budaya, nilai dan sikap masyarakatnya.
Beliau
juga mengatakan bahawa, fungsi lagu rakyat yang utama adalah sebagai alat untuk
menghiburkan masyarakat pada waktu itu kerana tidak ada hiburan lain. Oleh hal
demikian, dendangan lagu-lagu rakyat ini dijadikan sebagai alat untuk
menghilangkan kepenatan setelah seharian bekerja. Maka sudah pasti lagu rakyat
mempunyai audiens yang ramai pada
waktu itu. Tambahan beliau lagi, lagu rakyat juga begitu sinonim dengan upacara
pengubatan tradisional yang menggunakan kuasa supernatural (magis) bagi menyembuhkan sesuatu penyakit yang
dihadapi oleh masyarakat dalam kelompok mereka.
Lagu
rakyat mempunyai peranan dalam masyarakat. Lagu ini dapat membawa mesej
tertentu. Dengan penyampaian yang menggunakan pelbagai nada dan muzik, ia
mampu  menyentuh jiwa, meresap dan
membentuk perwatakan pendengarnya. Ia mampu memberi pengajaran atau pendidikan
kepada pendengarnya. Ia dijadikan sebagai alat pembentuk minda masyarakat masa
lalu dan menjadi alat kawalan sosial yang berkesan. Disebabkan ia mudah
difahami, maka menyebabkan ia diminati oleh semua orang.
Lagu dan nyanyian sangat
diperlukan oleh manusia untuk  menghibur juga melegakan kesakitan dan
stress. Pada zaman dahulu ada lagu untuk bekerja.  Para pekerja melaungkan
sesuatu seperti menyanyi ketika  menjalankan tugas berat. Ini berperanan
mendapatkan ritma supaya dapat bergerak serentak. Lagu ini juga dapat mengalih
fikiran mereka dari kepenatan yang dirasai. Begitu juga lagu yang dinyanyikan
ketika mendodoi anak. Selain menghiburkan anak, mereka juga tidak jadi
mengantuk dan tertidur. Lagu dan sesuatu irama digunakan untuk menarik
perhatian. Misalnya, seorang penglipur lara menggunakan irama untuk bercerita.
Dalam budaya lisan, seorang penutur dilingkungi oleh audiensnya yang buta huruf
yang menghayati cerita secara pendengaran. Oleh itu tukang cerita harus
menguasai beberapa teknik seni persembahan seperti lakonan dan gerak badan,
seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk bercerita. Mereka ini termasuklah
Tok Selampit, dalang wayang kulit dan Awang Belanga. Peranan tukang cerita ini
amat penting sebelum cerita-cerita dapat dibukukan. Irama lagu digunakan untuk
tujuan pengajaran dan pembelajaran, misalnya untuk menghafal nama-nama Tuhan
(AsmaulHusna) dan nama-nama nabi.
Masyarakat
melihat lagu sebagai irama yang dinyanyikan secara formal sama ada menggunakan
senikata atau tanpa senikata. Namun dalam persembahan dikir barat senikata
hanya digunakan oleh Tok Juara. Lagu yang dibawa oleh Tukang Karut pula
biasanya secara spontan bagi melawan pasukan dikir yang lain. (Ismail Derani.
2002)
Satu contoh Lagu Rakyat ialah Dikir Barat . Dikir Barat sememangnya sudah terkenal dalam kalangan
masyarakat, bukan sahaja masyarakat di Pantai Timur Semananjung, malah di
seluruh negara. Walaupun ia hanya suatu teater tradisi, tetapi peminatnya tetap
ramai, malah semakin bertambah bilangannya. Ini mungkin kerana daya penariknya
yang istimewa, yang membolehkan ia bersaing dengan bentuk-bentuk hiburan moden
yang lain.
Menurut Rahmah Bujang (2003) dikir ialah satu kaedah bernyanyi,
biasanya dalam kumpulan. Terdapat beberapa jenis dikir mengikut rentak dan
lagunya, seperti dikir rebana, dikir maulud, dan dikir berendoi. Manakala dikir
barat pula merupakan satu bentuk seni permainan rakyat kalangan kaum lelaki
yang terdapat di Kelantan. dikir barat dimainkan melalui peralatan muzik,
nyanyian, dan gerak aksi yang diadunkan sebagai gubahan untuk bertukar-tukar
sindiran berkenaan hakikat sosial semasa, dan dilakukan dengan tujuan mengisi
waktu lapang dengan berjenaka.
Akan bersambung dengan perbincangan dikir barat.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.