BERSYAIR DI MALAM PUISI RIONG SHAH ALAM 4 MEI 2012

TAK TERCAPAI AKAL INSANI Syair ini kudendangkan semalam. Ada seseorang yang minta sangat2 nak menatapnya kerana katanya dia sangat terkesan. “Ada dibukukan ke? Kalau ada saya nak beli”. Saya beritahu syair ini adalah diantara syair, pantun, gurindam etc etc yang terkandung di dalam buku PUISI MELAYU TRADISI dengan keterangan2nya. Manuskrip yang dijanjikan oleh penerbit akan terbit tapi tak terbit-terbit. Mungkin penerbit ini berpendapat aku tidak akan mengkayakannya spt seorang penulis novel popular. Oleh itu tunggu dulu lah..lain tahun pun boleh terbit.Jadi untuk yang mengaku sangat meminatinya itu , bacalah dulu di sini. Orang yg kumaksudkan itu adalah seorang penyanyi yang menyanyi dengan iringan pelbagai jenis gendang. Sangat menarik persembahan mereka malam tadi.Terima kasih kepada Datuk Bandar Shah Alam yang turut hadir.
Marilah kita bertafakur Luas alam tidak terukur Berputar cakerawala dengan teratur Segala kejadian tunduk dan akur
Lihat langit seperti bumbung Bulan bintang bagai terapung Bintangnya banyak tidak terhitung Dalam edaran tidak bertembung
Burung dan serangga pelbagai warna Dengan tekun sarang dibina Namun teguh seperti istana Kita memandang terpesona
Dari gunung setitis air Mencipta sungai terus mengalir Batu yang keras menjadi pasir Maknanya dalam jika ditafsir
Lihatlah bijian halus dan kering Jatuh ke tanah dibawa angin Dari benih hanya sekeping Menjadi pohon tumbuh beranting
Di waktu siang suria memancar Bila malam bulan bersinar Hari berganti minggu bertukar Supaya kita insaf dan sedar
Takjublah lagi kejadian diri Setitis darah sedenyut nadi Tak terjangkau akal insani Segalanya dalam ilmu Ilahi
Segala pohon menjadi kalam Segala lautan dakwat yang hitam Tidak tertulis tidak terakam Ilmu Allah luas dan dalam
Walaupun manusia diberi akal Ilmu dikurnia hanyalah dangkal Jika tidak bertawakal Sesat hujung hilanglah pangkal
Alam menyimpan hikmah dan rahsia Tiap kejadian tak sia-sia Allah menjadikan kita manusia Untuk berbakti sepanjang usia
Kita ini umpama tetamu Di atas dunia tempat bertemu Umat terbaik antara kamu Yang bertakwa dan berilmu
Bila ajal sampai diambang Ke negeri abadi kita pun pulang Bagai pohon rebah dan tumbang Meningalkan buah untuk ditimbang

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.