BAHAWA AKU PERNAH HIDUP: ZURINAH HASSAN SEBAGAI PENTAFSIR WAKTU DAN PERISTIWA

MUHAMMAD HAJI SALLEH

kertaskerja ini disampaikan di Seminar Budaya “Seminar
Kefahaman Budaya ke VIII: Zurinah Hassan, Sirih Pulang ke Gagang”, yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia,Pulau
Pinang pada 18 Disember 2004 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah
Utara dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains
Malaysia. 

Antara penulis dan pembentang kertaskerja ialah
Prof Muhammad Haji Salleh, (Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah Hassan Sebagai Pentafsir
Waktu Dan Peristiwa),Dr.Rahimah Hamid Muhammad,( Zurinah
Hassan: Takah-Takah Perpuisian  Menuju Puncak),  Dr.Suzana Muhammad (Pembentukan
Identiti Wanita: Pendekatan Feminisme Puisi-Puisi Terpilih Zurinah Hassan), Dr Siti Hajar Che Man, (Menelusuri Antologi
Cerpen Zurinah Hassan:Antara Konvensi Dan Invensi), Dr. Lalitha Sinha, (Antara
“Aku” Dan “Kau” Zurinah Hassan Dan Lim Swee Tin Dalam Nota Waktu) Dr.Sakinah Abu Bakar (Lambang Daripada Kisah Kehidupan
Dalam Puisi-Puisi Zurinah Hassan), Dr.Zakaria Ali (Menyelami Hatimu Aishah), dan Dr. Sohaimi Aziz.
(Antara Memori dan Autobiografi: Satu Kajian Generik Terhadap Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi)

Diperturunkan kk SN Muhammad
Haji Salleh yang turut dimuatkan dlm buku saya CATATAN PERJALANAN SENI (terbitan ITBM) yg akan dicetak tak lama lagi  
Pengantar
Sudah
menjadi semacam piawai tradisional bahawa watak wanita harus lemah lembut,
cantik, menyerahkan kehidupannya pada suami atau lelaki sekiranya dia muda, dan
cantik harus menyiapkan diri untuk menarik perhatian bakal suami atau lelaki
umumnya. Inilah di antara beberapa nilai yang diperturunkan masyarakat Melayu
untuk dipatuhi wanita supaya dapat dianggap sebagai wanita yang berbudi dan
berbahasa.
            Salmi Manja, Siti Zainon dan
Zaihasra, walau pun telah membawa beberapa pembaharuan, lebih memilih untuk
melukis dunia dan perasaan mereka sebagai manusia yang halus, dengan suara yang
lemah lembut, dan rentak yang gemalai. Tetapi dalam sajak-sajaknya Zurinah
Hassan menyimpang dari kebiasaan ini. Dalam hal ini Zurinah mungkin didahului
oleh Anis Sabirin, yang juga lebih berminat untuk melukiskan wajah wanita yang
merenung dan berfikir, dan tidak saja yang merasa cinta atau sengsara.
            Dari awal lagi, awal 1970-an,
Zurinah masuk ke dunia puisi (beliau sangat bangga bahawa beliaulah penyair
wanita pertama yang menerbitkan buku puisi persendirian , suatu kejayaan yang
tidak kecil) dengan watak yang agak berlainan daripada penyair sebelumnya. Saya
tidak tau apakah beliau pernah dianggap sebagai ‘tomboy’ semasa mudanya,
sewaktu di sekolah, tapi ternyata watak inti dan persekolahan beliau, serta
kesedaran terhadap bakatnya telah menggabungkan suatu cara berfikir dan
bertindak, yang akhirnya mencipta suatu gaya penulisan yang cukup unik di
Malaysia.
            Suara puisinya dan kehidupan
hariannya tidak mencari yang gemalai dan manis, rentaknya tidak bertingkah di
depan kita untuk mengesan perasaan lembut atau sentimen lama pembaca.
            Dengan suara dan rentak yang
berlainan ini muncul pula tema yang agak berlainan, ataukah dapat kita
terbalikkan – dengan tema yang berlainan ini muncul pula rentak yang berlainan?
Walau apa pun susunan sebab-akibat di sini, tetapi kita sedang berhadapan
dengan peribadi yang kuat, dan yang dilahirkan dengan fikiran yang sama tajam
dan ingin menyatakan yang dianggap sebagai benar, dan sedang berlaku di
depannya, dan di depan bangsanya.
            Pada diri Zurinah kelihatan seperti
ada tegangan ‘binary’ di antara perasaan dan fikiran –pada beliau perasaan ada
tempatnya, tetapi sajak-sajaknya diberikan tulang belakang logika, perbincangan
dan soalan yang dilontarkan kepada kehidupan. Beliau merenung dan selalu
membentuk soalan tentang kehidupan – dengan rentak kontot, disalut dengan suara
lancang, dalam suatu bentuk yang tidak terdapat pada penyair wanita lainnya.
            Suaranya yang berterus terang, suara
orang bercakap, berfikir secara nyaring, dan tidak dibendung oleh rasa silu
bahawa ini cara yang patut atau tidak patut dikeluarkan oleh seorang wanita
Melayu. Suaranya tidak sentimental – dan tidak diucapkan sebagai isteri
penggoda dan kekasih yang memberi berahi. Bahasanya pula ialah percakapan yang
berlapik logik atau hujah. Malah kita lebih banyak mendapati puisi pernyataan
‘poetry of statement’ daripada beliau dan bukan sangat puisi lukisan perasaan.
            Sering pula perbincangan atau
penghujahan digunakan sebagai pendekatan, dan ini dicapai melalui suatu fokus
yang jelas dan menuju sasaran yang tertentu.
Sejumlah
Persoalan
            Dalam
karyanya tentang Zurinah dan beberapa orang penyair Malaysia, Penglibatan
Dalam Puisi, Shahnon Ahmad yang pertama menilai manuskrip Sesayup
Jalan
untuk terbitan oleh USM dengan baik sekali melukis pencapaian
karya-karya awal Zurinah ini. seterusnya Memoir (2003) beliau sendiri
membentangkan perjalanan puisinya dari sejak beliau bersekolah melalui zamannya
sebagai pelajar, gadis dan ibu., sehinggalah puisi terakhirnya. Kita amat
berterima kasih kerana belum ada, pada pengetahuan saya, suatu perjalanan puisi
yang digalurkan dengan begitu terperinci. Malah saya rasa kertas saya ini juga
tidak perlu; siapakah mungkin membentangkan pengalamannya sebaik penyair
sendiri?
            Beliau menyatakan bahawa
sajak-sajaknya, yang tertulis di antara 1973 dan tarikh penerbitannya 1977,
melukis ‘gambar kehidupan yang melalui sehingga kini’ dan ‘puisiku adalah
pentafsiranku terhadap kehidupan’.
‘Alangkah
Sukar Menulis Puisi Ini’ (1977:38),
Akulah
pentafsir yang selalu mencari
lautan
yang membikin aku rindu
senja
yang membikin aku bertanya…
            Seterusnya beliau mengungkapkan
aspek-aspek kehidupan seperti waktu yang melintas dan menghilang di depannya,
usia yang melunturkan jasad, perasaan dan peristiwa, konflik-konflik peribadi
dan sosial. Beliau menangisi situasi di mana manusia semakin keras dan
kehilangan kelembutan yang menjadikan manusia itu manusia.
            Saya ingin melihat dari sudut
perkembangan jalur tema, bukan melalui waktu dan kronologi, tetapi sebagai
jalur perkembangan tersendiri. Ada tiga cakerawala pada perasaan dan
pemikirannya:
1.   
Cakerawala
diri dalaman peribadi, dan wanita
2.   
Cakerawala
Perkahwinan dan Keluarga
3.   
Cakerawala
masyarakat/ publik
Cakerawala
Diri dalaman, dan Wanita
            Semua
penyair menulis dari sumber dalam dirinya, kerana inilah dunia yang
memberikannya perasaan dan kesan serta kesimpulan terhadap kehidupan. Untuk
berlaku jujur dunia harus dilukis seakrab dan sebenar mungkin.
            Bakat Zurinah terserlah awal. Bakat
inilah yang melukiskan ‘gelisah’ anak muda yang sedang membesar di sekolah,
yang sedang menjadi dewasa. Zurinah mendengar perkembangan dirinya, gelisahnya,
frustrasinya, dan tidak sedikit daripada gelisah itu merupakan kesan
pertumbuhan fizikal di suatu pihak, tetapi dipihak yang lain juga apa yang
berlaku di sekelilingnya. Jadi walau kita mengkaji diri dalamannya, kita harus
sedar juga bahawa diri dalaman ini terpisah daripada pergolakan sosial dan
ekonominya.
            Cakerawala ini sangat subur, kerana
Zurinah adalah pelukis sketsa yang setia dan tekun – kita melalui jalan lurus
dan tikungan berbelit hidupnya apabila kita mengikuti sajaknya dengan teliti,
malah dapat dikatakan berbandingkan ramai penyair lain karya Zurinah lebih
berunsurkan autobiografi, atau kumpulan cebisan pengalaman beliau sendiri, yang
melalui tidak kurang daripada 30 tahun kehidupan dan penulisan.
            Shahnon menyebutkan kehadiran alam
dalam sajak awalnya, dan dapat kita tambahkan bahawa alam ini juga hadir
sebagai latar setia kepada perlakuan manusia dan menawarkan semacam lambang
atau imejan yang sama merasa kepada perasaannya, dan akhirnya seperti
dijelaskan dalam Memoirnya sangat penting sebagai pelukis dunia perasaan dan
fikiran puisinya.
            Dari awal lagi, dalam Sesayup Jalan, kita lihat seorang
manusia dari kelas menengah Melayu, yang pintar dan selalu sedar akan
pengalamannya sedang menemui diirnya. Dia mencatat banyak hal yang berlaku, di
antara keluarga, perpisahan dengan keluarga, rindu dendam, dan sebagainya.
Tentang kerinduan dan keterpisahannya disampaikan dalam baris-baris yang
ditulis di Kuala Lumpur, (1974:13).
           
Semakin lama, aku semakin jauh dari
rumah, ibu
            Nyaman angin yang bermain pada  langsir diruang tamu
dan
dalam sajak ‘Pemburu Sepi’ perpisahan ini dilukis sebagi agak ganas, ‘Arus
dewasa menamparkan ke mari’. Apabila penyair meninggalkan dunia selesa, yang
melindunginya, dan dihumban oleh arus kehidupan itu ke suatu dunia di mana
perlindungan itu sudah tiada hadir lagi, maka yang ditemuinya ialah kesepian.
Di sini, seperti menggemakan rentak Kassim Ahmad, suatu pengaruh awal yang kuat
pada karya Zurinah, dia berkata,
            rindu adalah rasa paling pedih
            kami tidak tahu lagi menangis.
Maka dari awal lagi dilukis manusia
moden yang diberikan neon tetapi tidak diberikan cahaya, diberikan kota tapi
tidak diberikan cinta. Dia terhukum sebagai pemburu sepi, kerana itulah yang
akan menjadi tujuan wujudnya.
Sekali lagi sewaktu mengenang ibunya
beliau berkata (1974:24),
            Aku
telah meninggalkan mamaku
            kau
telah menyerahkan anakmu
            kerana
kita adalah milik waktu
            yang
tidak merelakan air mata.
Walau terpisah dan sedih, ini
bukan dunia air mata, dan air mata bukan penyelesaiannya. Tetapi secara
ironisnya, walau pun inilah kota (dengan neonnya) yang diburu, namun pemburuan
ini hanya pengalaman sementara, kerana untuk dirinya (dan manusia) ‘di sini
tiada perhentian … jalan ini tiada hujungnya’. Tiada istirahat atau
ketenangan dalam perjalanan ini.
Dalam kesepian kota dan dunia
buatan ini hanya alam yang menjadi teman, sebuah dunia penawar, selain cinta,
yang juga tidak selalu membahagiakan atau menjanjikan kepastian,(1974:18),
            Ombak
dikaki
            Ombak
di hati
            Menghempas,
menghempas dan menghempas
                        ……………………ke jantung.
            Ombak
lambang pergerakan hidup dan waktu, selalu bergerak, dan manusia tiada pula
dapat berhenti sewaktu dihempas ombak ini.
            Buku
kedua, Di sini Tiada Perhentian (1977), memajukan lagi perjalanannya ke
negeri dewasa, dan kesedaran akan situasi keperempuanannya. Menjadi seorang
gadis Melayu dalam masyarakat yang khusus dengan peraturan yang dikenakan
secara ketat kepada wanita, dia memberontak dari dalam, walau tidak secara
kasar, melalui kata dan imejan puisi.
            Seorang
Zurinah di kamar saudara-saudara perempuannya
                        ia
tidak berani keluar lagi
                   ke padang yang melambainya
                di sini ia bisa memiliki apa saja
                           kecuali dirinya.
            Inilah
kamar sempit di mana wanita Melayu/ Malaysia dikurung pada tahun-tahun 1970-an.
Semuanya disediakan, dan boleh dimilikinya, melainkan, (yang penting dan
dasar), kata penyair, dirinya sendiri. Dia harus mengikut kehendak
keluarga,masyarakat, dan tidak kehendak hatinya.
Jalan keluar ialah kata-kata, tapi
kata-kata pun mempunyai masalahnya pula (1977:4);
            Dia
mahu berkata
            tapi
tidak punya suara
     
       kerana bahasa seorang
wanita
    
         telah menjadi berbahaya.
Dan kesimpulan beliau terhadap keadaan
ini ialah:
Dia dan saudara-saudara
perempuannya
            dalam
perarakan menuju hari mati
 
          sedang ketakutan talah
lama
  
         membunuh mereka.
Mungkin di peringkat awal ini
drama keterkurungan ini dipentaskan dengan terlalu ghairah, tetapi saya kira
disalutkan drama keadaan seseorang yang sedang terperangkap, dan diucapkan
sebagai protes. Sebenarnya beliau berhak berkata-kata, dan kita bertuah kerana
Zurinah berkata-kata. Sangat menguntungkan bahawa walau dalam keadaan terkurung
ini sastera Malaysia dapat mengembalikan kata-kata kepadanya, dan malah
mengiktirafnya sebagai suara wanita yang jujur dan baik.
Sementara itu penyair sedang
mencari arah kehidupannya. Katanya dalam ‘Di Perhentian Bas’ (1977:7),
dan aku terus menanti
 mobil-mobil berlalu
 
           tiada satu yang kuberhentikan
       
     kerana aku belum pasti
ke mana akan pergi.
Masih banyak pilihan yang
sedang berpawai di depannya, semuanya dengan arah dan destinasinya sendiri.
Untuk sementara waktu penyair belum dapat memilih arah dan tempat tujuan
terakhirnya.
Citra perjalanan sangat hadir
dalam karya-karya awal Zurinah. Imej keberangkatan, perhentian, kereta api,
kereta dan perhentian bas memenuhi baris-barisnya. Yang dibawakan ialah simbol
tempat dan simpang kehidupan, tempat bertolak dan tempat tujuan. Nampaknya
penyair sering mendapati dirinya dalam keadaan ini.
Sementara mencari metafora
untuk dilema atau keadaan hidupnya dia juga bertanyakan berbagai-bagai soalan.
Oleh yang demikian banyak baris-barisnya bermula dengan ‘Tidakkah,’ ‘Manakah,
Ke mana telah pergi?’ dsb. Dilontarkan soalan, sebagai lukisan perasaan dan
kerisauan hatinya, dan walau pun dia kadang-kadang tidak mendapat jawapan, tapi
inilah perbuatan penyair yang sedang memikirkan kehidupan. Seperti dirinya juga
nampaknya masa depan belum memberikan jawapannya,
Hari
Depan
Yang tenat menanti jawapan.
Suatu lagi ranting persoalan
diri ini dan juga metafora perjalanan pemerhatian penyair bahawa semuanya cepat
berlalu – bas yang lewat depannya,pemandangan dari jendela kereta api, dsb.
Penyair, mungkin sebagai wanita juga, harus hanya melihat dan tidak dapat
menguasai atau memberhentikan kenyataan untuk dinikmati atau dikawal.
Beliau melihat di depannya
‘daun gugur dan bunga layu’, mangsa kepada perjalanan masa. Sementara dalam
‘Suatu Petang yang Terlambat’ penyair juga ragu kepada kesementaraan, takut
meninggalkan daerah selesanya. (1977:12)
Sekian lama kukagumi
bunga-bunga ini
dan petang ini ia berguguran
ke tubuhku.
Begitu pulalah imejan kesukaan
penyair dilukiskan untuk membayangkan betapa cepat perubahan, pertukaran
tempatan dan pengalaman (1977:13), seperti dalam ‘Hidup dari Jendela Kereta
api’.
Hidup adalah pemandangan di
jendela kereta api
di tengah pacutan yang telah
ditentukan relnya
           pemandangan melintas panas
                  berubah-ubah rupa.
Dalam keadaan/situasi begini
sering pula sesuatu peristiwa berlaku tiba-tiba, tanpa diduga. Dunia bukanlah
suatu tempat yang dapat diterka bentuk atau pun perlakuannya. Banyak yang
berlaku di luar jangkaan, dan datangnya juga tanpa diharapkan. Salah satu
contohnya dapat kita lihat dalam ‘Surat Hari Depan’ (1977:27), di mana orang
datang tiba-tiba, dan juga beredar dan hilang tiba-tiba.
Namun masa berlalu, penyair
yang menyaksikannya juga berubah bersamanya, berkasih-kasihan, berkeluarga.
Kadang-kadang ditemukan beberapa jawapan, sementara pada situasi lainnya soalan
masih tinggal soalan.
Dalam sajak-sajak matangnya
suara wanita Zurinah lebih tegas, kerana beliau merasakan bahawa beliau
bersuara bagi pihak wanita lainnya, dan bukan saja pihak ‘saudara-saudara
perempuannya’ yang pada masa kini dan dalam sejarah telah menderita di tangan
lelaki. Maka kita dengarkan suaranya berjalinan dengan suara sejarah dalam
sajak ‘Pesanan Puteri Gunung Ledang,’ di mana suara feminisnya terkeras sekali,
(1994:4);
Aku bukan Tun Fatimah
Yang pandai memaafkan
kezaliman
Aku bukan Tun Kudu
Yang tahu merelakan paksaan
Cukuplah dengan Puteri Hang Li
Po
Yang terbungkus menjadi
persembahan
Dan tersungkurnya Tun Teja
Ketika menangkap bayang-bayang
cinta.
Sajak ini melukiskan situasi
wanita dalam beberapa keadaan, tetapi dala sajak ‘Surat Teja kepada Tuah’ suatu
situasi yang memalukan bangsa Melayu, di mana Hang Tuah menipu Tun Teja secara
tidak ‘gentlemen’ dan mempermainkan perasaannya melalui ubat guna-guna. Seperti
seorang wanita moden yang dapat melawan beliau berkata, (1994:43),
Tuah aku adalah perempuan
malang
yang harus merana, kerana
paras rupa
kecantikanku bukanlah satu
dosa
namun ia telah diperdagangkan
dengan pintar percaturan
lelaki
seperti bunga pada sesedap
gubahan
di hujung lidah seorang
sultan.
Showalter mengingatkan kita
bahawa hanya wanita dapat melukiskan keadaan mereka dengan saksama, kerana
merekalah yang merasakan deritanya, bukan saja dari segi perasaan tetapi juga
dari sudut fizikalnya, kerana hanya wanita melalui siklus bulan dan bersalin,
serta menjadi ibu.
Dalam sajak ‘Satu Percakapan
Singkat’ beliau melihat seterusnya perbezaan situasi gender ini:
Seorang lelaki membebaskan
diri
Untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan membataskan
pilihan untuk membebaskan diri.
Inilah ironi kewujudan yang ditegaskan
oleh perbezaan gender.
            Sajak
ini membantu kita mendefinisikan Zurinah Hassan sebagai feminis, tetapi sebagai
feminis yang bertaakul – the reasonable feminist. Beliau bergerak dari
titik taakulan dan bukan emosi, dan yang dipentingkan bukan dirinya atau
beberapa orang wanita sebagai perempuan, tetapi kemenangan inti lebih luas,
lebih membantu manusia, lelaki dan wanita, hidup yang lebih wajar dan saksama.
Dan juga ego wanita yang ingin ditegakkan, tetapi membentangkan masalah
sebenar. Jadi sudut feminisnya bukanlah feminis klise, feminis buku atau
feminis emosional. Inilah pada saya suatu kejayaan luar biasanya.
Cakerawala Keluarga
Zurinah, yang selalu
memikirkan persoalan diri, berfikir juga tentang kerumitan berkeluarga, apabila
beliau melalui fasa ini. Beliau mempersoalkan dirinya, pertama, sebagai
kekasih, kedua sebagai isteri, dan ketiga sebagai ibu. Beliau bukan penyair
yang baik buat majalah wanita yang sentimental- kerana beliau selalu menawarkan
persoalan dan siratan kerumitan kehidupan berkasih atau berkeluarga.
Tentang perasaan di antara
suami isteri dan perbezaan gender di antara mereka Zurinah berkata (2000:70):
Saya juga mencari makna baru
dari hubungan suami isteri. Pemikiran yang melintas tidak jauh berbeza dari
pengertian yang dahulu bahawa manusia itu tetap individu yang terpisah …
tetapi memiliki kelainan … Namun saya berpendapat bahawa kita tidak perlu
pasti dengan perasaan.
Inilah ruang legar manusia
yang sangat rumit, yang juga misterius dan berahsia, yang menggembirakan dan
mendukacitakan. Beliau melukiskan dengan suami dengan kerumitan dan ironi yang
timbul dari situasi dan kejujuran seorang wanita, yang tahu diri dan tahu
kehidupan (Yang Pasti):
Kau mungkin bukan lelaki
terbaik
tetapi buat perempuan
sepertiku
mungkin tidak ada yang lebih
baik
darimu.
Aku mungkin tidak mendapat
segala-galanya
Tetapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih lagi.
Saya, kita ini bukan menyerah
kepada keadaan, tetapi kebijaksanaan seorang yang mengenali kehidupan – tahu
meminta dan tahu menerima, tahu hak dan sempadan kemungkinan.
Katanya lagi dalam
Keberangkatan (1985:24) sebagai renungan lanjut terhadap hubungan yang baru diterokai
itu,
Mawar adalah lebih
Dari sekadar keharuman
Kita pun
Lebih
Dari sekadar rupa dan
kata-kata
Kadang-kadang dengan menyedari
kelainan
Membolehkan kita hidup
bersama.
Mawar dan manusia harus
dinilai secara keseluruhannya, dan oleh itu dengan lebih saksama dan memahami
bentuk dan makna kehidupan sendiri. Oleh yang demikian manusia tidak dapat
dinilai dala kemarahan atau kasih sayang saja, kerana dengan berbuat demikian
kita hanya melihat pada kata-kata atau rupa saja, di sebaliknya masih banyak
lagi sudut yang perlu dihayati dan diiktiraf.
Setelah mengalami perkahwinan
beliau melukiskan pula maknanya dalam sajak yang sama judulnya, ‘Perkahwinan’.
Perkahwinan
 adalah kesukaran
 mengurangkan beberapa kebiasaan
Yang kadang-kadang
mengurangkan kewujudan
Dan seorang perempuan selalu
mengurangkan kewujudan
Untuk melengkapkan kejadian.
Perkahwinan bagi perempuan
Ialah perlindungan
Untuknya yang tidak lagi
berani
Hidup sendiri dan menegakkan
peribadi
Kerana harga yang terlalu
tinggi.
Harus dipilih untuk hidup
penuh, dan tidak menjadi ibu dan isteri, yang oleh itu menipiskan kewujudan,
atau menjadi kedua-dua, dan berlaku sebagai seorang wanita yang dicipta sebagai
perempuan untuk memenuhi kejadiannya.
Dalam sajak ‘Satu Percakapan
Singkat’ beliau melihat seterusnya perbezaan situasi gender ini:
Seorang lelaki membebaskan
diri
Untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan membataskan
pilihan
Untuk membebaskan diri
Dalam perbezaan cara ini dibaca juga
ironi antara – gender ini.
            Sebuah
ruang lain daripada cakerawala keluarga dapat kita saksikan dalam sajak-sajak
yang ditulis untuk anak-anaknya – dituliskan bukan saja untuk menidurkan anak,
tetapi seperti dalam pantun dan seni kata lagu lama maka tersirat di dalamnya
beberapa nilai yang diinginkan oleh ibunya untuk masa depan dan keselamatan
anak-anak itu. Sekurang-kurangnya dua buah sajak ditulis untuk Halini dan Siti.
            Bermula
dari  Di sini Tiada Perhentian
juga kita lihat bahawa penyair semakin dekat dengan Tuhannya, dan sering
berkata-kata dan menanya beberapa soalan terhadapnya.
Dunia Masyarakat/ Publik
            Sastera
dekad 1960-an sangat kuat diwarnai oleh pandangan engagee atau terlibat
Asas 50. Buat pengarang – pengarang kumpulan ini sastera adalah alat untuk
membangunkan masyarakat, menyedarkan terhadap masalah ekonomi atau keadaan
terjajahnya. Keris Mas, Usman Awang, Awam il-Sarkam, A.Samad Ismail, Asraf
adalah di antara pelaksana penting ideologi sastera ini. sementara itu muncul
pula suatu kumpulan sosialis yang memajukan lagi penglibatan ini, mengikut
jalur sosialisme, dengan Ahmad Boestaman dan Kassim Ahmad sebagai contoh. Walau
berlainan pendekatan kedua kumpulan ini berkait rapat, dan saling memperkaya
dan menyokong kerana yang dipentingkan ialah kemajuan rakyat dan anak watan.
Pada tahun-tahun 1960-an hingga kini, mengikut Zurinah (2004), beliau amat
tertawan kepada ‘komitmen’ W.S.Rendra, yang menulis untuk dibaca dan diambil
manfaat atau contoh oleh rakyat.
            Zurinah
bermula awal sebagai penyair yang terlibat dengan masalah di sekelilingnya.
Beliau bermula di ruangan pelajar, dan bukan sangat tentang diri beliau tetapi
lebih menjurus kepada masalah di antara pelajar yang harus hidup di dunia yang
tidak terlalu mudah. Puisi pertama beliau ‘Tujuh Gunung tidak Terdaki’ terbit
di bawah nama samaran Haniruz, dalam Warta Mingguan, yang berpusat di
Pulau Pinang, di bawah pimpinan Keris Mas pada waktu itu. Sejak awal lagi juga,
persekitarannya menjadi sebahagian daripada diri dan temanya. Mengikut Kemala
dalam Utusan Zaman (Kutipan tth.)
           
Ia terpikat dengan kehidupan
nelayan yang sederhana dan juga melarat
            Dia
sampai dengan cara dan gaya hidup kuli pelabuhan yang memerah
tenaga untuk menyambung hidup
dan seterusnya terhadap nasib
“orang-orang kecil” yang
malang. Dan dia menulis tentang kehidupan mereka,
kehidupan yang mungkin saja di
luar dirinya dan di luar
pengalamannya”
Misalnya suatu kebakaran pada
tahun 1968, di kampung nelayan Kuala Kedah dia ‘menggambarkan penderitaan para
nelayan yang terpaksa menghadapi tindak tanduk orang tengah’ (Zurinah,
2003:29-30)
Tiba-tiba api bersorak
Kuala Kedah berteriak …
pada mereka yang kehilangan
segala
pada mereka yang ketiadaan
semua.
Sudahnya jatuh ditimpa tangga, kerana
di atas tangga itu ada orang tengah yang menunggu,
            tapi
yang tiada sudah-sudah rumah mereka
milik pun dengan sembah
            –pada
pantai menghisap darah
            –pada
lautan menghisap keringat.
           
            Sebuah
sajak yang berjaya dan mengesani ramai pembaca awalnya ialah sajak ‘Anak-anak
Rambutan Putik’ ‘yang dibesarkan dari kepahitan’ kerana makanannya yang
terbatas di rumah, maka mereka mencari makanan tambahan di kampung dan di
pinggir jalan. Zurinah mempertahankan mereka:
            Anak-anak
itu bukan mencuri
            mereka
mengambilnya
tuntutan dari kelaparan
            ibu
bapa mereka adalah manusia dewasa
            dulu
ketika anak-anak
            adalah
anak-anak dari kepahitan itu jua.
            Berdasarkan
beberapa kutipan ini kita lihat seorang penyair wanita, yang dewasa ini tidak
banyak mempersoalkan masalah kewanitaannya, tetapi meleburkan masalahnya dan
memberi ruang kepada kehidupan pahit di luar dirinya. Beliau amat peka, malah
sosialis dalam tanggapannya, dan melaungkan revolusi untuk orang-orang kecil
ini, kali ini petani miskin yang sama menderita kehidupan yang dikuasai alam
dan orang tengah.
            Keluhan
sepanjang permatang
            terus
terdengar
pergelutan kukuh mencakar
rezeki secupak
di atas kemungkinan yang
sering memudar.
Setelah bermula dengan
masalah-masalah masyarakat nelayan dan tani, serta masalah teman sekolah yang
miskin (‘Kawan’), dan anak-anak FELDA, maka ‘semangat untuk menjadi penyair
rakyat’ dibawa ke USM dan selepas itu (Zurinah, 2003:38). Universiti yang
didatanginya ditakrif dari sudut yang amat berlainan,
Minden bagimu bukanlah rumput-rumput
dingin
Minden bagiku bukanlah ramah
angin
Ia adalah tangan-tangan
bergantungan
Ia adalah belantara perjuangan
Demi air mata demi keringat
Orang-orang tercinta bernama
rakyat.
Universiti dianggap sebagai
tempat suci di mana rakyat diperjuangkan, dan cita-cita bangsa dijadikan
kenyataan.
Buku kedua beliau maju lagi
dan melihat penyair sebagai ‘pentafsir kehidupan’. Zurinah selalu merenung,alam
dan manusia;karyanya melukis garis yang tidak lurus tentang hidup yang ‘resah’.
Kata Zurinah, penyair ‘mesti sedia
berfikir’ – dan yang difikirkan haruslah tentang kehidupan ini.
            Ruang
yang menjadi perhatiannya cukup besar, dari masalah konsumerisme,(‘Dunia  sebuah Pasar Raya’) hinggalah ke pengambilan
tanah oleh orang yang menggunakan kekuasaannya dan dengan itu memiskinkan dan
menjadikan tuan punya tanah sebagai orang tidak punya apa-apa, dan nanti
mungkin juga bukan saja tanpa tanah, serta ‘tanpa tanah air’, kepada peranan
sultan, dengan soalan apakah sultan boleh dijadikan tempat berlindung bangsa yang
sebenar – dan kita maklum jawapannya hanya dengan mendengar soalan!
            Di
samping itu sebagai pengguna bahasa Melayu dan sangat sedih apabila apa yang
sedang berlaku kepada manusia ini beliau menyediakan ruang untuk mempertahankan
dan juga menyindir mereka yang mengkhianati bahasa ini, tidak terhindar yang
tersohor namanya.
            Sebagai
kemuncak kepada puisi kemasyarakatan atau publik ini kita saksikan dalam Pujangga
Tidak Bernama
dan kumpulan bersama akhirnya, Nota Waktu, walau
terselit beberapa unsur autobiografi seperti dalam sajak ‘Pekan Rabu’, tetapi
bibit ini menumbuhkan soal jati diri dan masalah Melayu serta masa depannya.
Misalnya kita diheret untuk mendengar ‘Dilema Seorang Melayu’, yang dirundung
kesetiaan terhadap terlalu ramai tuan,
            ‘Alangkah
sukarnya membuat keputusan
            Untuk
setia kepada raja yang zalim
            Dan
menzalimi kawan yang setia’.
            ‘Dilema
Hang Tuah pada masa dulu adalah sebenarnya dilema kita pada masa ini’.
(Zurinah,2003:133). Penyair melihat ini sebagai salah satu dasar masalah dasar
Melayu, kerana manusianya dibekukan oleh masalahnya, dan tidak dapat berbuat
apa-apa. Inilah yang membuat Zurinah berkata,
            tetapi
apa yang lebih aku bimbangkan
            ialah
bangsaku pada hari esok.
            Sekiranya
penyair pulang ke pangkal sejarah maka beliau melihat bahawa sejarah banyak
mengajar, dan menjadi akar kepada pohon semasa. Beliau pulang ke peristiwa dan
watak sejarah untuk mencari situasi kekal dilema Melayu, seperti yang dibuat
dalam sajak terdahulu ini.
            Begitu
pula masalah orang Melayu Pulau Pinang juga diberikan ruang sedih dan gelap di
halaman dan fikirannya, dan dibengangkan dalam ‘Mari Berpantun di Pulau Pinang’
(1994:15). Suaranya muram, kerana digaraukan oleh kemiskinan dan kehilangan
yang berterusan. Yang mungkin diramalkan, walau tak diingininya ialah,
            ‘hilang
satu persatu
            bangsa
tidak bernama’.
            Sama
nada dengan masalah Pulau Pinang ialah sajak yang menangisi nasib anak-anak
Melayu lainnya, yang juga menderitai takdir Pulau Pinang, walau pun tidak
tinggal di kota ini (Zurinah,1994:38)
            dewasa
mengenang untung nasib
            yang
serba malang serba kurang.
            Inilah
sajak-sajak publik oleh penyair yang ingin memainkan peranan tradisionalnya.
Dan Zurinah menjalankan tugas ini dengan baik, kerana beliau bukan seorang
sentimentalis yang merayu atau merintih. Beliau mencari masalah, dan
menurunkannya untuk diperlihatkan kepada pembacanya, dan juga bangsanya. Pada
saya umumnya sajak-sajak publiknya dapat menyentuh masalah sebenar, mendalam
dan jujur, bukan ditulis yang baik-baik untuk memuji perdana menteri atau
menteri lainnya di pesta pembacaan puisi rasmi.
            Sajak-sajak
mutakhirnya adalah sajak-sajak yang memerhati, menilai dan smaa menderitai
nasib Melayu. Beliau selalu merujuk kepada sejarah, kerana perspektif yang
ditawarkannya, dan dari pandangan masa kini menjadi lebih berfokus dan tajam.
Oleh yang demikian cerita-cerita dari Sulalat al-Salatin, watak dan
situasi Hikayat Hang Tuah yang dihadapi Hang Jebat, Tun Teja dan Tun
Fatimah digunakan sebaliknya. Dan kelihatan bahawa Zurinah lama merenung
keadaan mereka – kerana makna yang dicari bukan saja makna sejarah, tetapi
makna kontemporer. Dan yang muncul dari perspektif dua mata ini cukup
bijaksana, matang dan ternyata diperas dengan susah payah dari pengalaman yang
sedih serta pedih.
            Sejarah
menawarkan teras masalah dan dilema, dan apabila diulang cerita memberi makna
yang berguna bukan saja untuk orang yang mengalaminya pada peristiwa asal tapi
juga untuk kita yang telah melalui beberapa generasi. Sejarah menawarkan makna
ulang tayang dan ulang perit.
            Beliau
mengkritik zaman dan peristiwa, kehilangan orang Melayu dan kekalahannya.
Tetapi Zurinah juga boleh mengkritik dirinya sendiri, dalam penyesalan terhadap
suara keras yang dilepaskan terhadap ibunya tentang kerosakan kualinya sendiri,
manakala wanita tua itu mengorbankan segala-galanya untuk anak-anaknya. Cerita
sedih ini dibentangkan dalam ‘Kuali Hitam’.
            Walau
beliau menjadi penyair rakyat Malaysia, namun perlu disebut di sini bahawa
dunia kepenyairannya cukup besar, sering juga mengembara ke kesusasteraan
lainnya, dan pengalaman lainnya. Dalam barisnya pernah muncul citra manusia
sebagai pelakon di pentas, dan juga sebagai dekonstruksi kepada Shakespeare,
pentas Beckett yang kosong, dan absurd (mungkin diperkenalkan dalam kuliah di
USM),
            Kata
Shakespeare
            Dunia
adalah sebuah pentas …
Di tangan Beckett
Manusia adalah pelakon
Yang terperangkap di pentasnya
..
Jelas beliau sedarkan akan
dunia sastera dalam bahasa lain, dan jalur falsafah lain. Sajak-sajak
mutakhirnya adalah penegasan, atau penguatan terhadap sajak-sajak yang lebih
awal.
Alatan untuk Gagasan
            Seorang
yang mementingkan tema publik harus juga mempersiapkan alatan puisi untuk
menyampaikan gagasan atau pandangannya. Tanpa alatan yang efisien makna itu
tidak mungkin sampai sepenuhnya, dan dalam nada yang diinginkan. Pada Zurinah
(2004) bahasa yang baik, ialah yang mudah difahami khalayak, sesuai dengan
suasana hati dan makna yang ingin disampaikan, dan akhirnya boleh menjadikan
sebuah sajak yang baik.
            Jadi
yang dipilih beliau puisi kontemporer, yang dikutip dari bahasa harian, tetapi
bukan bahasa, namun bahasa orang sedang berfikir dan menyampaikan pendapatnya.
Oleh yang demikian kita seperti mengikut lorong fikirannya, mengikut logika dan
juga hujahnya.
            Fikiran
atau hujah kadang-kadang berakar kepada metafora, manusia atau pun alam. Dan
metafora yang dicari bukan yang lusuh oleh ulang guna tetapi ‘yang segar’.
            Cukup
menarik juga bahawa Zurinah tidak menulis untuk menyedapkan perasaan kita atau
memuji bangsa bagi pihak ahli politik yang boleh mendapat keuntungan daripada
kata-kata baik penyair.
            Walau
bahasa beliau agak keras atau kurang luwes dalam sajak-sajak awalnya, tetapi
dalam  sajak-sajak mutakhirnya beliau
sudah lebih lentur, diluweskan oleh kematangan, pengalaman dan juga cinta pada
bahasa ini. bahasanya lebih halus, walau suaranya masih khusus Zurinah –
langsung, tanpa banyak hiasan,atau lenggok dendangan. Apa yang dipersoalkannya
tidak  mungkin dibawakan dendang
tradisional.
            Saya
selalu terkesan oleh metafora dan diksi yang sesuai, tepat dan oleh itu lekat
pada ingatan.
            Sering
kita dihadiahkan dengan metafora dan alur gagasan yang membawa ‘surprise’ . dan
hadiah begini tidak datang dengan mudah. Seperti diakui oleh Zurinah sendiri
(2004), beliau mengambil waktu untuk mengedit, dan proses pengeditan melalui
beberapa peringkat. Kata beliau, walau sehingga sudah terbit pun beliau akan
merubahnya sekiranya dirasakan sesebuah frasa ayat atau citra itu kurang tepat
atau sempurna.
            Yang
juga amat jelas ialah bahawa sajak-sajak ini adalah karya yang asli- tumbuh
langsung dari peribadi dan fikiran penyair. Jarang ada yang diulang dalam
perasaan atau perkataannya. Jarang ada klise, inilah hasil dari suatu zaman
yang baru, situasi dan pandangan yang dihadapi oleh seorang penyair asli untuk
disampaikan dengan susah payah kepenyairan oleh Zurinah.
            Pada
umumnya, walau pun ada kekecualian, keindahan puisi Zurinah tidak tertawan oleh
gemalai dan lelehan manis bunyi perkataan, (yang sangat dicari oleh khalayak
puisi Melayu), tapi oleh metafora baru, sudut baru dan tema baru. Beliau
menulis dalam arus kontemporer.
            Pada
beliau, seperti ramai penyair yang memberat kepada gagasan dan fikiran, ‘bentuk
walau pun boleh dicari- bagi puisi makna lebih panjang’ (Zurinah,2004).
Dianggapnya bentuk hanya sebagai kulit, tetapi di atas segala-galanya ialah
makna, pemikiran dan kebijaksanaan yang menjadi pusat kejayaan sesebuah puisi.
RUJUKAN
Asri Efendi, ‘Zurinah Hassan penyair
Pentafsir Kehidupan’. Mingguan Malaysia, 13 Julai 1986.
Kemala,
‘Zurinah Hassan (Siswazah Universiti Sains Malaysia ): Jaring dan Siklus    Kepenyairannya’ dalam Majlis Kebudayaan
Negeri Kedah Darul Aman, Warisan Sastera Kedah Darul Aman. Alor Setar:
Majlis Kebudayaan Negeri Kedah Darul Aman. 
Shahnon
Ahmad, 1978. Penglibatan dalam Puisi. Kuala Lumpur:Penerbit Utusan.
Zurinah
Hassan dan Lim Swee Tin,2000. Nota Waktu. Kuala Lumpur :Citra.
Zurinah
Hassan,1971. Sesayup Jalan . Pulau Pinang: Biro Penerbitan USM.
Zurinah
Hassan, 2003. Memoir Zurinah Hassan : Menjejak Puisi. Bangi : Penerbit
UKM
Zurinah
Hassan. 1977. Di sini Tiada Perhentian. 1977. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan pustaka.
Zurinah
Hassan. 1985. Keberangkatan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zurinah
Hassan. 1994. Pujangga Tak Bernama. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Zurinah
Hassan, 2004 (a) Pesanan dari Gunung Ledang/ A Message from Mount Ledang.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zurinah
Hassan. 23 November, 2004 (b). Temu ramah, Shah Alam, Selangor.
_________________________________________________________________

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.